Pages

welcome


Saturday, April 26, 2014

DUDA BERHIAS ITU MILIK RASYIDAH ! 2

Bab 2

Faliq Asyraf menghampiri mamanya yang sedang melayani cucu kesayangannya, Maya Rossana. Kelihatan ceria benar dua beranak itu. Mamanya, Puan Sri Zulina begitu gembira dapat melayan keletah anak adiknya, Fazlina bermain 'masak-masak'. Permainan yang sesuai untuk kanak-kanak perempuan berusia empat tahun seperti Maya Rossana.


            ‘’Assalamualaikum, mama dan Baby Ayah Liq...’’ sapa Faliq Asyraf mesra. Dia menyalami tangannya. Pipi wanita itu dikucupnya hangat. Dia mendekati Maya Rossana.


            ‘’Baby, main apa ni sayang?’’ aju Faliq Asyraf lembut sambil meriba anak buahnya yang dipanggil ‘baby’ itu.


            ‘’Nenek ajar baby main acak-acak Ayah Liq,’’ jawab Maya Rossana dalam telor pelatnya dengan manja sekali. Dia mencium pipi Faliq Asyraf yang dipanggil Ayah Liq itu.


            Faliq Asyraf ketawa kecil dengan jawapan buah hatinya itu. Maya Rossana satu-satunya anak saudara yang paling dekat dengannya. Anak saudara yang lain hanya sesekali dapat berjumpa. Oleh sebab itulah, dia cukup memanjai Maya Rossana. Rambut halus dan keperangan-perangan milik Maya Rossana dibelainya lembut. Sesekali dikucup kepala anak comel itu.


            Puan Sri Zulina tersenyum senang dengan situasi itu. ‘’ Mama ada buat pengat labu tadi. Mama hidangkan sekarang,ya.’’


            Faliq Asyraf yang sedang seronok melayan ‘baby’nya menoleh mamanya. ‘’Pengat labu? Boleh jugak, ma.’’ Jawab Faliq Asyraf mesra. Pengat labu memang kesukaannya.


            Puan Sri Zulina bangkit untuk menuju ke dapur. Sementara itu, Faliq Asyraf menyandarkan tubuhnya pada sofa. Dia menghela nafas penatnya. Memejamkan mata seketika.


            Puan Sri Zulina muncul membawa dulang berisi hidangan pemanis itu.            ‘’Liq, mama nak kenalkan Liq dengan anak kawan baik mama, Quraisya namanya. Liq nak tak?’’ aju Puan Sri Zulina lembut. Dia begitu berhati-hati mengatur ayat. Takut juga sekiranya anaknya itu melenting!


            Faliq Asyraf yang baru lepas meneguk teh O suam itu memandang mamanya dengan ekor mata. ‘’Ma, Liq tak nak kenal mana-mana perempuan lagi. Mama tolonglah jangan paksa Liq kenal dengan perempuan tu, kenal perempuan ni. Liq tetap takkan nak mana-mana perempuan lagi.’’ Dia tegas dengan pendiriannya.


            Puan Sri Zulina membelai-belai rambut Maya Rossana. ‘’Sampai bila Liq nak macam ni? Dah tiga tahun berlalu, Liq. Liq perlu fikirkan masa depan. Liq lelaki. Liq perlukan pasangan. Liq perlukan isteri,’’ balas Puan Sri Zulina lembut tetapi ‘keras’.


            Faliq Asyraf meneruskan menikmati pengat labu yang lemak manis itu selamba. Telinga sudah letih dengan perkataan P.E.R.E.M.P.U.A.N aka I.S.T.E.R.I. Cukuplah apa yang berlaku dahulu. Pahit dan pedih masih berparut. Kesedihan yang terlalu mahal untuk diulang kembali.


            ‘’Ma, nak menantu perempuan lagi? Ma suruhlah Fahim kahwin. Dia dengan Raudah dah lama tunang.’’ Faliq Asyraf pandai mengubah hala tuju perbualan mereka. Dia mengaitkan pula adiknya Fahim yang sudah mengikat tali pertunangan.


            Puan Sri Zulina menggeleng-gelengkan kepalanya. Sesekali mengeluh dengan sikap anak bujangnya seorang itu. ‘’Pandailah kamu ubah topik,ya. Mama cerita pasal kamu, kamu cerita pasal Fahim pula. Mama nak tunggu sangat perempuan mana yang boleh pecahkan ais kat hati kamu tu. Biar cair sikit. Asyik dingin aje,’’ bebel Puan Sri Zulina sambil menepuk pipi Faliq Asyraf lalu berlalu ke dapur untuk menyediakan menu makan malam.


            ‘’Baby, Ayah Liq teringin nak ada anak macam baby. Tapi tak tahulah Ayah Liq boleh rasa bila,’’ luah Faliq Asyraf sambil mengusap-usap kepala anak buah kesayangannya itu.


            Tiba-tiba dia teringat peristiwa di tempat parkir dan dalam kereta tadi. Dia geram dengan keberanian gadis itu. Gadis itu berbeza. Jika perempuan lain pasti sudah terliuk lentok dengannya. Tak kiralah yang bertudung ke tak bertudung sama aje gediknya!


            Dia memang pantang ada perempuan yang cuba memberi perhatian dan minat terhadapnya. Bagi Faliq Asyraf dua saja nama perempuan dalam hidupnya Zulina dan Sumayyah. Tak akan muncul nama perempuan lain dalam hidupnya!



Rasyidah ligat menyediakan hidangan untuk malam itu. Izura pula enak menonton siaran Buletin Utama. Kuew teow sup bersama sambal kicap merupakan menu ringkas malam itu.

            ‘’Wei, mak cik! Aku masak kau sedap-sedap tengok berita pula ya,’’ sergah Rasyidah selamba. Dia meletakkan hidangan itu di atas tikar mengkuang berhadapan televisyen.


            Izura sudah tersengih macam kerang. ‘’Alah, aku mana reti masak. Aku tahu telan aje,’’ balas Izura dengah muka seposen.


            Rasyidah menjeling dengan ekor matanya. ‘’Alasan. Sambal kicap ni pedas tau. Kau jangan makan banyak. Karang tak keluar bilik air,’’ beritahu Rasyidah awal-awal untuk peringatan jangan kata nanti tak habaq mai. Dia tahu sangat kegemaran Izura itu.


            Izura ketawa kecil. ‘’Okey. Pedas-pedaslah baru sedap,’’ balas Izura dengan menyudu dua sudu kecil sambal kicap buatan Rasyidah. Cili padi, bawang putih, kicap manis serta gula. Campuran yang mengiurkan. Dia orang Cik Siti Wan Kembang tapi suka makan pedas-pedas.


            Rasyidah menggeleng-gelengkan kepalanya dengan keletah Izura. Hantu sambal kicap! Mereka menikmati makanan sambil menonton paparan berita.


            Izura terfikir sesuatu. ‘’Tadi kau cakap apa dengan bos aku? Aku dengar keras aje,’’ selidik Izura. Dia tak puas hati selagi tidak mengetahui butir jelas tentang perbualan mereka. Lebih-lebih Rasyidah kelihatan bad mood selepas perbualan itu.


            Rasyidah yang leka melihat perkembangan isu semasa menoleh Izura. Dia mencebirkan bibir. ‘’Malas aku nak cerita pasal bos kau yang berlagak tu!’’ sela Rasyidah dengan geram campur malu yang masih bersisa.


            Izura mengerut-ngerutkan keningnya. Dia menjuihkan bibirnya. ‘’Eleh...yang berlagak tu jugak yang kau minat, kan?’’ perli Izura. Bukan dia tak tahu betapa berminat sahabatnya ingin mengetahui segala info terkini majikannya itu.


            Rasyidah membulatkan matanya. ‘’Minat aje, okey. Bukan nak buat laki pun, ‘’ akui Rasyidah selamba. Dia menambah lagi mee dan sambal kicapnya. Jadi lapar pulak perut bila Izura dah buka cerita pasal lelaki itu.


            Izura mengesat bibirnya dengan tisu. ‘’Jodoh kau tahu ke? Kau tak tahukan? So, tak salah kalau nak berangan jadi laki kau pun. Lagi pun bos aku tu bujang walaupun bukan trang tang tang!’’ provok Izura beria-ia. Dia tak kisah sekiranya Rasyidah mahu mengorat Encik Faliq Asyraf yang dingin beku itu.


            Rasyidah buat tak faham saja dengan kata-kata provokasi Izura. ‘’Izue, bos kau tu gay ke?’’ aju Rasyidah secara tiba-tiba.


            Izura yang sedang menelan kuew teow itu tersedak-sedak dibuatnya. Rasyidah menepuk-nepuk perlahan belakang tubuh Izura. Dia menggigit bibirnya. Dia menyuakan air masak.


            Merah mata Izura dibuatnya. ‘’Soalan maut betullah!’’ dengus Izura geram. Terkejut bukan kepalang Izura dengan soalan kontroversi itu.


            Rasyidah ketawa kecil bagi menutupi ‘kesalahannya’. ‘’Alah, sorrylah. Aku bukan apa, aku tengok dia tu macam tak ada perasaan langsung kat perempuan. Muka tu dahlah tegang, serius memanjang. Berlagak pun satu hal. ‘Menghembus’ aku, pijar telinga ni!’’ luah Rasyidah panjang lebar sambil menarik cuping telinga sendiri.


            Izura mengurut perlahan dadanya menahan sesak terdesak. Perit sambal kicap masih terasa. Geram pula rasanya dengan kawannya seorang itu. 


            ‘’Diakan ada kenangan pahit dengan perempuan. Kan aku dah cerita dengan kau dulu. Lagi pun bos aku tu, solat tak tinggal tau. Dalam office dia tu siap ada sudut untuk dia solat. Lagi satu, dia tiap-tiap pagi mesti buat solat sunat dhuha tahu. Aku ni pun naik malu dengan dia. Kau tak baik tau tuduh bos kesayangan aku macam tu,’’ ujar Izura perlahan. Dia cukup mengagumi Encik Faliq Asyraf bin Ahmad Farid.


            Rasyidah terkedu terdiam tertunduk dibuatnya. ‘’Tapi aku tetap tak puas hati dia sergah aku kat phone tadi,’’ adu Rasyidah masih geram.


            ‘’Apa dia cakap?’’ soal Izura teruja. ‘’Cakaplah, Syidah Syidot!’’ pujuk Izura dengan memanggil panggilan manja antara mereka. Mereka berdua aje yang tahu.


            Rasyidah meletakkan mangkuknya ke atas tikar. Air masak di dalam gelas diteguk perlahan. ‘’Dia cakap, tak baik tenung dia sebab boleh mendatangkan fitnah! Tapi aku bukan tengok dia dengan bernafsu ke apa ke,’’ cerita Rasyidah perlahan.


            ‘’Kalau nak tenungan kau tu jadi ‘halal’ kau jadilah bini dia, ‘’ usik Izura selamba badak.


            Rasyidah ketawa besar dibuatnya. ‘’Kau dah gila? Aku suka aje tengok tak bermakna nak buat suami okey!’’ ujar Rasyidah dengan mengerak-gerakkan jari telunjuknya.


            Izura memuncungkan bibirnya. Dia mendekatkan bibirnya di telinga Rasyidah. ‘’Kalau tetiba jodoh kau dengan dia, macam mana?’’ usik Izura dengan menjongketkan keningnya.


            ‘’Apa salahnya? I reda aje you, he he he...’’  balas Rasyidah selamba. Dia bangkit dan menuju ke dapur meninggalkan Izura berseorangan di ruang tamu. Mieza dan Etty masih belum pulang meskipun jarum jam sudah menginjak ke 8.30 malam.            

IL : tak sangka idea ni hangpa semua suka :) hehe terima kasih sudi baca bab 1 ya :)
         
            

6 comments:

  1. Dah ada bab 2.... hihi... tq2... sambung lg bestttt.... awk ni cerpen @ novel?

    ReplyDelete
  2. Den pun sama redah aje...hehehe
    Sambung yunk

    ReplyDelete
  3. Bab 3 ..iman .cpt ..x sbr ni ..best sgt2 .

    ReplyDelete
  4. Buenos Dias Iman,

    Setiap nukilan iman memang kak ita suka... so teruskan DBIMR...

    Akak doakan DBIMR ke media cetak...

    Menanti penuh debar next N3

    sayang selalu
    kak ita

    ReplyDelete
  5. wahh.. pandai menulis Novel rupanya.. kena baca dari mula ni..

    Haiiiii..Cakkk!!
    done follow sini no.601
    sudilah kiranya follow me back yea..
    he2.. salam kenal.. keep in touch yea..=)

    http://tengkubutang.blogspot.com/

    dan my 2nd blog
    http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

    ReplyDelete

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)