Pages

welcome


Saturday, July 5, 2014

DUDA BERHIAS ITU MILIK RASYIDAH! BAB 3


Bab 3       
Seperti biasa, Rasyidah perlu menunggu Izura di tepi parkir itu. Anak dara seorang itu memang tidak pernah keluar awal. Pekerja dedikasilah katakan. Lagi pun apalah sangat nak dibandingkan dengan Rasyidah yang hanya memegang posisi kerani di bahagian pentadbiran sebuah syarikat perumahan dengan Izura yang bertindak sebagai pembantu peribadi kepada Faliq Asyraf?
            Rasyidah menopang dagu. Bosan menunggu. Tapi dah adat orang menumpang kenalah bersabar, bukan?
            Izura yang ditunggu, orang lain pula yang menjelma. Hendak pecah jantung Rasyidah dibuatnya. Dia bangkit dan mahu menghampiri kereta berwarna merah jambu milik Izura.

            ‘’Hai, tunduk aje? Tak nak tenung saya ke hari ni? Saya handsome hari ni,’’ perli Faliq Asyraf selamba. Dia baru saja menghidupkan enjin kereta buatan Jerman itu. Dia meletakkan briefcasenya di tempat duduk belakang. Tali leher dibuka. Lengan baju dilipat hingga ke siku. Terserlah sungguh ketampanannya walaupun santai.
            Rasyidah yang sedang menyandarkan badan ditepi kereta Izura, mengherotkan bibirnya. Geram pula hatinya. Dari ekor mata dia menjeling susuk tubuh lelaki yang menggetarkan ritma jantungnya.
            ‘’Bukan hari-hari ke encik handsome?’’ balas Rasyidah sinis sekali. Dalam masa yang sama dia menghantar SMS kepada Izura.
-Cepatlah turun...-
            Terkedu Faliq Asyraf dengan kata-kata sinis itu. ‘’Dan sebab tu jugaklah awak suka tenung-tenung saya,kan?’’ tebak Faliq Asyraf pula. Mereka hanya diselangkan sebuah kereta lain. Tetapi angin perbualan mereka tetap kencang.
            ‘’Tapi saya tak sangka pulak, orang yang saya tenung tu berlagak gila!’’ tempelak Rasyidah selamba.
            Berasap telinga Faliq Asyraf dengan kata-kata itu. Berani sungguh gadis itu menempelak dirinya.
            ‘’Awak cakap saya berlagak? Memang tak ada insurans betullah mulut awak ni,’’ sela Faliq Asyraf geram. Dia menjeling tubuh sederhana yang membelakangi itu.
            Rasyidah tersenyum ‘menang’. ‘’Memanglah tak ada insurans mulut, encik. Insurans kemalangan adalah. Lagi pun orang miskin macam saya ni mana mampu nak beli insurans bagai ni. Orang kaya berlagak macam encik ni lainlah. Orang ber’ada’-‘ada’.’’ Rasyidah ‘menghembus’ selamba dia saja. Puas sungguh hatinya dapat berbalas kata dengan duda seorang itu.
‘Semalam masa dalam telefon kau sedap ‘hembus’ aku, kan. Hari ni hang rasalah aku ‘hembus’ hang pulak!’ desis Rasyidah nakal.
Faliq Asyraf menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘’Awak ingat dengan duit boleh beli segalanya ke? Duit dan harta yang berlambak belum tentu bahagia tahu tak? Lagi pun ini semua bukan hak saya. Ada hak orang lain. Cubalah jangan asyik nak condem orang kaya aje!’’ balas Faliq Asyraf tegas sekali dan mengambil tempat di bahagian tempat pemandu.
Rasyidah terdiam dengan balasan kata-kata Faliq Asyraf. ‘Tertampar’ dia seketetika dengan ‘luahan’ itu. Dalam masa yang sama hatinya sudah bertambah dot dot cinta buat lelaki itu. 
Rasyidah hanya menjeling dari jauh kereta mewah itu berluncur laju meninggalkan tempat parkir Menara Kencana.
***
Faliq Asyraff memandang wajah ayu Sumayyah yang cantik duduk di atas pelamin indah itu. Ternyata kejelitaan gadis itu sangat terserlah. Dia menunggu detik yang indah itu. Detik disatukan dengan kalimah penuh keramat. Gadis yang diperkenalkan oleh mamanya, Puan Sri Zulina. Sumayyah merupakan bekas penghuni di rumah Sinar Kasih yang dibangunkan oleh mamanya. Sumayyah anak yatim piatu yang kehilangan keluarga akibat rumah yang dihuni oleh mereka sekeluarga terbakar. Hanya Sumayyah yang terselamat.
            Kelembutan dan kesederhanaan merupakan tarikan utama buat Faliq Asyraf. Faliq Asyraf mendengar dengan penuh tekun khutbah nikah yang disampaikan oleh Tok Kadi. Sumayyah yang duduk disisi adik perempuannya, Fazlina merenung Faliq Asyraf dengan penuh makna. Dia seakan ternampak bayang-bayang kebahagiannya dan Faliq Asyraf semakin kabur.
            Faliq Asyraf yang dapat merasa tenungan itu, mentunakkan pandangan ke arah Sumayyah. Sumayyah tertunduk apabila ‘tertangkap’. Malu pula rasanya apabila bakal pengantin saling pandang memandang. Padahal tidak sampai beberapa saat saja lagi mereka bakal ditabalkan sebagai suami isteri.
            Tangan Faliq Asyraf dan juru nikah sudah bersatu. Faliq Asyraf mencari mata Sumayyah. Sumayyah mengangguk perlahan.
            ‘’Aku terima nikahnya, Sumayyah binti Sulaiman dengan mas kahwinnya senaskah kitab suci al-Quran kerana Allah Taala.’’ Lafaz keramat itu lancar diucap oleh Faliq Asyraf.
            ‘’Sah.”
            ‘’Sah.’’
            ‘’Sah.’’
            Faliq Asyraf meraup wajahnya dengan kedua-dua telapak tangannya. Lafaz syukur yang tidak terhingga dilafazkan ke hadrat Allah s.w.t kerana impiannya untuk bergelar seorang suami buat Sumayyah Sulaiman termakbul sudah.
            Sumayyah dipeluk kejap oleh Fazlina. Bersyukur sungguh Fazlina dengan kehadiran guru muda itu sebagai kakak iparnya. Sumayyah mengesat tubir mata yang bergenang.
            Faliq Asyraf menandatangani surat nikah dengan tenang. Sumayyah juga berbuat demikian setelah disuruh berbuat demikian. Faliq Asyraf mendekati pelamin berkonsep Moroccan itu. Dia duduk disebelah kanan Sumayyah. Mereka berbalas senyum penuh cinta dan kasih.
            Faliq Asyraf meletakkan tangan kanannya di atas kepala Sumayyah. Dia membaca lafaz takliq dengan tenang dan yakin. Dia juga sempat membisikkan doa agar isterinya itu elok akhlaknya dan menjadi isteri yang menenangkan jiwanya zahir dan batin.
            Sumayyah menahan sebak di dalam dada tatkala melafazkan takliqnya yang menggambarkan taat setia dan tanggungjawab sebagai isteri. Tanggungjawab yang masih menjadi tanda soal buatnya.  Sesudah itu, Faliq Asyraf menyarungkan cincin emas putih berpermata zamrud yang ditempahnya sepasang untuk mereka.
            Sumayyah mengucup tangan yang baru saja bergelar suaminya. Dia sebak. Dia tidak pasti ‘sempatkah’ dia membahagiakan lelaki itu? Rasanya ingin saja dia ‘lari’ daripada majlis ijab qabul itu. Dia tidak mahu memberi episod derita kepada lelaki itu. Lelaki itu terlalu baik dan sempurna untuknya.
            Mereka ditinggalkan berdua setelah kesemua tetamu dan ahli keluarga beredar menikmati makanan di halaman rumah yang indah berkanopi itu.
            ‘’Sue, terima kasih sudi jadi isteri abang. Abang bahagia sangat hari ni,’’ ucap Faliq Asyraf memulakan perbualan mereka di atas pelamin nan indah itu. Ditarik rapat tubuh langsing itu kebadannya. Rasanya tidak sabar menanti waktu malam. Desis nuraninya yang nakal. Naluri biasa seorang pengantin lelaki.
            Sumayyah tertunduk malu. Debar jantungnya dengan tingkah selamba suaminya. Dia juga yang canggung. ‘’Sama-sama, bang. Terima kasih juga sebab sudi ambil Sue jadi isteri abang. Maafkan Sue abang andai Sue tak sempat dan tak mampu bahagiakan abang.’’ Sumayyah menggenggam erat tangan suaminya itu. Tangan kekar itu dikucup lagi.
            Faliq Asyraf mengerutkan dahinya. ‘’Sue jangan cakap yang bukan-bukanlah. Abang yakin Sue lah bidadari syurga yang Allah kirimkan untuk abang. Malam ni get ready, okey. ‘’ Faliq Asyraf berkata dengan penuh yakin dan sempat mengusik isterinya yang pemalu itu. Sangat pemalu!
            Merah merona wajah itu. Sumayyah mencubit pipi suaminya. ‘’Abang ni... tak sangka, Sue. Seram!’’ balas Sumayyah manja. Dalam debar jantungnya. Hati dapat merasa entah sempat ke tidak dia mempersembahkan jiwa dan raganya buat suami yang tercinta.
            Faliq Asyraf ketawa besar. Dia memaut bahu isteri tercinta. ‘’Abang suami Sue. Mestilah abang tak sabar nak tunggu ‘saat’ tu...’’ jawab Faliq Asyraf bersahaja dan meleret nadanya.
            Sumayyah menumbuk manja lengan kiri suaminya yang segak berbaju Melayu cekak musang putih gading itu.
            Faliq Asyraf mengambil telefon pintarnya. Dia mahu merakam kenangan indah itu. Mereka sempat ‘beselfie’ dalam gaya yang cukup romantis. Wajah mereka semakin terserlah keirasannya. Sebelum mereka disatukan, ramai yang mengatakan wajah mereka seiras. Seiras cinta rupanya. Kuat sungguh jodoh mereka.
            ‘’Hai, dah kenyang ke pengantin baru? Sabar sikit, siang lagi ni. Malam karang lepas sanding honeymoonlah berdua. Tak ada siapa nak kacau, ‘’ usik Fazlina yang menghampiri pasangan suami isteri itu. Dia mahu mengajak mereka menjamu selera hidangan yang telah disediakan oleh katerer.
            Ketawa besar Faliq Asyraf. Sumayyah sudah memerah wajahnya. Malu diusik begitu oleh adik ipar yang seusia dengannya.
             ‘’Jangan jeles, Faz! Kami dah halal,’’ balas Faliq Asyraf dengan terkekeh ketawa.
            Fazlina menjelirkan lidahnya. Dia tahu abangnya mengusik kerana mama mereka menyuruhnya memantapkan diri dahulu sebelum mahu bergelar isteri kepada Qayyum, teman istimewanya. Jangan sibuk cepat-cepat mahu berkahwin sedangkan makna sesebuah perkahwinan itu belum difahami. Persediaan spritual, fizikal dan mental juga perlu. Dia pula tidak sabar mahu berkahwin dengan Qayyum. Tidak mahu berpacaran terlalu lama.
            ‘’Alah, tak kuasa nak jeles! Jomlah makan, Abang Liq dan Kak Sue!’’ pelawa Fazlina dengan menarik tangan abang keduanya dan kakak iparnya itu.
            ‘’Kak Sue?’’ ujar Sumayyah sambil terjongket keningnya. Aduhai, terasa tua pula dengan Fazlina!
            Fazlina mengerdip-ngerdipkan matanya. ‘’Awak kakak ipar saya sekarang bukan ‘kawan’ saya lagi,’’ balas Fazlina selamba. Mereka berdua sahabat baik kerana ketika kecil mama selalu membawanya ke Sinar Kasih. Mereka menjadi teman baik sehinggalah Faliq Asyraf mahu menyunting Sumayyah menjadi isterinya dan Fazlina sangat mensyukurinya.
            Mereka bertiga ketawa suka ria. Akhirnya mereka bertiga menuju ke pintu utama Villa Usang itu. Mahu mengisi perut yang lapar.
            Sumayyah memandang suaminya yang memeluk manja adik bongsunya itu. Dia bukan cemburu cuma dia takut sekiranya dia harus meninggalkan halaman kehidupan yang berbalam buat lelaki itu.
            Malam itu bakal berlangsung majlis resepsi mereka di sebuah hotel terkemuka. Hatinya semakin tidak sedap. Jiwanya semakin pilu. Tetapi dia telah bersedia mahu menemui ‘seseorang’ yang cukup dia cinta selama ini.
***
Rasyidah menyorong troli pasar raya Giant itu dengan mata yang merayap memerhati deretan makanan dalam tin itu. Sementara Izura masih sibuk memilih pes tomato yang terbaik untuk spageti bolongnesenya. Izura pakar memasak pelbagai jenis pasta. Tidak seperti dirinya yang tahu memasak citarasa Melayu.
            Sedang dia leka memerhati, trolinya berdentum. Terkejut bukan kepalang jantungnya. Rupanya dia telah melanggar troli milik pelanggan lain.
            ‘’Cik adik, mata letak kat mana? Jalan tengok depanlah,’’ ujar orang yang menjadi mangsa rempuhannya.
            ‘Alamak, Faliq Asyraf!’ Desis Rasyidah dalam hati yang bagai mahu melompat keluar dari tubuhnya. Aduhai, macam mana boleh jumpa di situ!
            Faliq Asyraf yang sedang menanti mamanya memilih cendawan butang di dalam tin mengawal tempernya. Dia membetulkan kedudukan barangan dapur berada dalam troli yang telah dipilih oleh mamanya. Dia geram apabila ada orang yang buta celik melanggar trolinya.
Begitulah rutin yang dilakukan Faliq Asyraf bersama mama iaitu menemani membeli barangan dapur. Papanya, Ahmad Farid jarang sungguh mahu melayan. Katanya tidak larat menghabiskan masa berjam lamanya dalam pasar raya. Beli barangan dapur memanglah ambil masa yang lama. Tak akanlah mahu capai saja. Mestilah cerewet memilih yang berkualiti dan melihat tarikh luputnya.
             Faliq Asyraf memeluk tubuhnya memerhati ‘mangsanya’ yang begitu ralit merenungnya bagai tidak berkelip.
‘’Kat sini pun awak nak tenung saya jugak ke? Sini bukan kat parkinglah,’’ sela Faliq Asyraf selamba. Dia semakin mengecam wajah gadis itu. Dia perasan gadis itu merenungnya bagai mahu menelan. Terpegun dan terkaku.
            Rasyidah kembali ke alam nyata. Dia termalu sendiri dengan tingkah lakunya yang lepas. Lantas merengus geram. Tidak habis-habis lelaki itu mahu menebaknya. Sakit sungguh hatinya. Dia tahulah yang dia sudah terpaku dengan kehadiran lelaki itu di pasaraya yang sama. Ditambah pula, gaya santai lelaki itu yang hanya berjeans dan bert-shirt. Ray Ban yang disangkut dikepala menyerlahkan lagi gaya santai dan ketampanan lelaki yang disukainya itu. Serius handsome sangat!
            ‘’Saya terpegun tengok encik handsome sangat!’’ balas Rasyidah selamba. Dia menggerakkan badan ke tepi trolinya. Dia mahu melihat sekiranya ada barang yang dipilih oleh mereka mengalami ‘kecederaan’ setelah pertempuran itu tadi.
            Faliq Asyraf mendengus apabila mendengar jawapan penuh selamba kerbau daripada mulut Rasyidah.
            ‘’Tak payah beritahu. Saya memang always handsome,’’ ujar Faliq Asyraf sambil menyorong troli itu ke tepi rak pameran produk.
Rasyidah sudah mengherotkan bibirnya. Makin bertambah peratus nilai keberlagakan lelaki itu dimatanya.
‘’Sayang aje. Muka handsome tapi berlagak. Sombong!’’ sela Rasyidah selamba dan terus menonong menolak troli yang penuh barang keperluannya dan Izura. Ety dan Mieza tidak menyertai.
Faliq Asyraf cepat-cepat menahan troli milik Rasyidah. Tidak pasal-pasal Rasyidah perlu menekan brek kecemasan!
Rasyidah membulatkan matanya. ‘’Encik Faliq Asyraf ni dah kenapa nak tahan-tahan orang?’’ serang Rasyidah geram. Nasib baiklah ketika itu tiada pelanggan lain.
Sementara itu, Izura dan Puan Sri Zulina leka memerhati gelagat kawan dan anak lelakinya. Sudah lama mereka memerhati gelagat dua manusia yang berlainan jantina itu. Kebetulan mereka berdua berdekatan ketika memilih makanan dalam tin yang dimahukan. Mereka sebenarnya mahu menghampiri troli masing-masing tetapi tidak sangka pula dapat menonton drama sebabak.
‘’Mereka saling kenal ke Izue?’’ tanya Puan Sri Zulina. Dia pelik melihat gaya mereka berdua itu ‘bercakar’ seolah-olah itu bukan kali pertama ‘bercakar’.
Izura menayangkan senyuman penuh makna. ‘’Kawan saya tu dah berkenan dengan anak Puan Sri,’’ beritahu Izura selamba. Dia sedang berfikir-fikir barangan dapur yang masih belum dicekut mereka.
Puan Sri Zulina mengukir senyuman teruja. ‘’Ya ke, Izue? Nanti awak bawak kawan awak tu jumpa aunty, okey’’. Puan Sri Zulina teruja dengan perkhabaran itu. Dia membahasakan dirinya ‘aunty’ dengan mesra. Cuma Izura saja yang segan memanggilnya begitu. Dia mahu mengenali gadis itu secara dekat. Nampaknya seperti ada daya tarikan magnet antara anaknya dan sahabat baik Izura. Magnet mestilah tertarik dengan berlainan kutub.
Izura terkejut dengan permintaan. ‘Biar betul Puan Sri Zulina ni nak kenal dengan si Syidah yang brutal ni?’, desis Izura dengan rasa hati yang penuh tanda soal.
‘’Alah... Puan Sri.  Siapa aje yang tak terjatuh cinta dengan Encik Faliq? Saya ni nasib baik dah ada tunang. Kalau tak dah lama saya tackle anak bujang Puan Sri tu, ‘’ ujar Izura selamba. Aduhai, memang ‘sajak’ sungguh mereka berdua bersahabat! Sama-sama brutal, sama-sama sengal!
Leret  sahaja senyuman yang dilukis oleh Puan Sri Zulina. ‘’Kalau macam tu, Izue ajak kawan Izue tu datang rumah aunty, okey.’’ Pinta mama Faliq Asyraf beria-ia. Dia teringin sangat untuk mengenali gadis yang telah membuatkan mulut anaknya boleh berlawan kata seperti itu.
            Izura tersenyum sungging. ‘’Saya tanya kawan saya dulu ya, Puan Sri. Maklumlah dia tu pemalu orangnya...’’ balas Izura sesopan yang mungkin.
            Puan Sri Zulina tersenyum penuh makna dengan jawapan Izura. ‘’Datang aje rumah okey,’’ pelawa wanita yang penuh sifat keibuan itu.
            Mereka berdua menghampiri Faliq Asyraf dan Rasyidah.
            ‘’Awak ni tak ada sivik langsunglah!’’ ujar Faliq Asyraf geram.
            Rasyidah menjongketkan keningnya. ‘’Encik Faliq Asyraf ni bersivik sangatlah ya? Okeylah saya minta maaf sebab langgar troli encik tadi. Saya tak sengaja,’’
            Faliq Asyraf yang baru saja mahu membalas, terbantut bibirnya apabila melihat kehadiran Puan Sri Zulina dan pembantu peribadinya, Izura.
            ‘’Mama, jom kita gerak!’’ ajak Faliq Asyraf sejurus memandang wajah mama tercinta.
            ‘’Okey. Mama ambil minyak masak pulak,’’ ujar Puan Sri Zulina.
            ‘’Jumpa isnin ya, Encik Faliq.’’ Izura menyapa ketuanya itu.
            Faliq Asyraf hanya mengangguk dan menghadiahkan senyuman manis buat pembantu peribadi kesayangannya itu.
            Rasyidah tersenyum sinis. Dalam diam dia terpesona dengan senyuman manis yang dilayangkan oleh lelaki itu buat Izura. Aduhai, manisnya! Betullah cakap seseorang yang dikenalinya, seseorang lelaki yang mengukirkan senyuman manis pasti menggoda hati seorang perempuan. Tidak kiralah lelaki itu tampan atau pun tidak. Lebih-lebih lagi kalau lelaki itu seseorang yang cukup diminati dalam diam. Boleh angau melayang dibuatnya. Senyuman ‘ubat’ buat segala-galanya. Yang sakit boleh sembuh, yang berduka boleh bergembira.
            ‘’Tak tegur ke bakal mak mertua?’’ usik Izura sedikit berbisik suaranya. Rasyidah masih pegun melihat dua beranak itu beredar dari situ.
            ‘’Apa yang kau merepek, Izue. Dah dapat apa yang kau cari?’’ aju Rasyidah menukar topik perbualan mereka.
            Izura menyengih. ‘’Dah...nak cari minyak masak tak?’’ aju Izura dengan menaik-naikkan keningnya penuh makna.
            Rasyidah yang sedang mengambil buah pic dalam tin itu menoleh Izura. ‘’Minyak masak kan dah beli minggu lepas. Olive oil pun sama. Kau nak kenakan aku ea...’’ balas Rasyidah sambil meletakkan barang yang dipilihnya itu. Teringin membuat puding trifle yang dilapiskan dengan kek span, kastard dan jeli.
            Izura sudah ketawa ‘jahat’. ‘’Kalau aku nak kenalkan dengan seseorang kau nak tak?’’ aju Izura lembut saja nadanya sambil menolak troli yang penuh dengan pelbagai barangan keperluan mereka berdua.
            Rasyidah menyunggingkan bibirnya. ‘’Hai, nak tambah profession pulak ke?’’ sindir Rasyidah sinis. Bukan dia tidak tahu ‘kerja’ Izura yang sudah mencuba beberapa kali untuk mengenalkannya dengan beberapa kawan lelakinya.
            Izura menyengih tidak ubah persis kerang yang sudah siap dibakar. ‘’Nak atau tak nanti aku bawak kau jumpa orang tu. Tunggu ajelah ya, ‘’ ujar Izura tegas dan senyum penuh makna.

            Rasyidah mengangkat kedua-dua bahunya. Tidak kuasa mahu tahu siapa gerangannya. Lantaklah.

6 comments:

  1. nak lagi..... tak sabar nak tau, apa yg jadi seterusnya

    ReplyDelete
  2. Dear sweet little iman

    thanks atas n3 terbaru... bestttt... jgn lambat2 update ek

    satu lagi macam iman buat tu hari... pm akak bila dah update

    kebzzan melampau

    love
    kak ita

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum... bila nak sambung ya...

    ReplyDelete

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)