Pages

welcome


Sunday, March 2, 2014

PROJEK ENOVEL 13

 BAB 13
Firas Amsyar yang sedang menonton rancangan di Astro terbau nasi ayam yang cukup membangkitkan nafsu makannya dan tak beberapa lama kemudian terbau pula sesuatu yang dibakar di dalam ketuhar.
          Firas Amsyar cuba mengawal keinginannya yang mahu melihat apa yang disediakan oleh isterinya di dapur kerana khuatir dikatakan sangat kebulur oleh Munirah. Dia memang pun sedang lapar sangat kerana pagi itu sebelum pulang ke rumahnya, uminya hanya menyediakan sarapan yang sedikit ringan sahaja iaitu jemput-jemput ikan bilis dicicah dengan sos cili. Umi mungkin kepenatan selepas majlis resepsi jadi hanya menu ringkas yang disediakan. Walaupun Yanti, pembantu rumah mereka ada tetapi umi tidak pernah membenarkan Yanti memasak. Umi mahu suami dan anak-anaknya makan makanan air tangannya sahaja.

           Firas Amsyar leka menonton televisyen. Filem Inggeris penuh aksi itu cukup mengkhayalkannya. Tiba-tiba terjengul Munirah di hadapannya. Isterinya tampak santai dengan rambut yang ditocang ala ekor kuda. Gadis itu mengenakan apron yang bercorak buah-buahan dibadannya.
          “Encik Firas, boleh makan sekarang. Saya dah siapkan semuanya. ‘’Munirah memberitahu suaminya dan terus berlalu ke dapur semula tanpa menunggu balasan daripada suaminya.
          Munirah memang tiada rasa untuk berbicara mesra dengan suaminya. Dia tahu tempat dirinya dalam hati Firas Amsyar. Dia mendengar segala butir perbualan lelaki itu bersama teman istimewanya itu. Sayat hatinya. Pilu hatinya.
          Firas  Amsyar yang sememangnya tidak sabar untuk merasai air tangan isterinya yang muda remaja itu terus bangun lalu menutup televisyen plasma 42 inci yang berjenama Samsung itu. Dia menuju ke meja makan yang diletakkan berhampiran ruang tamu itu.
          Munirah sedang merapikan susunan masakannya yang lengkap bersama salad, sup , sambal cili merah dan air bandung soda serta pencuci mulut iaitu puding karamel. Firas Amsyar terpaku melihat meja makan untuk empat orang itu penuh dengan hidangan. Selama ini meja makan itu tidak pernah meriah sebegitu dengan makanan. Kalau penuh pun dengan makanan yang dibeli dari pasar malam.
          ‘’Encik Firas, jemput makan ya. Saya nak solat zuhur dulu,’’ pamit Munirah dan terus menyelinap ke biliknya tanpa medengar balasan apa-apa daripada suaminya.
          Firas Amsyar pun apa lagi ‘membelasah’ makanan yang terhidang di atas meja itu dengan bersungguh-sungguh. Dia tidak dapat menyangkal yang isterinya ini pandai memasak walaupun usianya masih muda dan air tangan isterinya itu kena dengan seleranya.
          ‘Macam mana dia tahu aku suka makan nasi ayam dengan ayam panggang madu ni,’ desis hati Firas Amsyar sendiri. Dalam diam Firas Amsyar memuji air tangan isterinya.
          Munirah yang sudah selesai menunaikan kewajipannya kepada yang Maha Esa, keluar dari biliknya kerana dia juga turut lapar teramat.
          ‘Hai, tak habis lagi ke orang tua ni makan? Lama betul. Sempat aku berwirid panjang tadi,’ bisik Munirah dalam hati apabila melihat Firas Amsyar masih lagi menjamu selera tanpa menyedari kehadiran Munirah.
          Munirah tidak jadi makan sebaliknya dia sibuk membasuh perkakas dapur yang digunakan olehnya tadi.
          “Kau tak makan sekali?’’ tanya Firas Amsyar sekadar berbasa-basi. Ketika itu, dia sudah selesai makan. Dia ke dapur untuk mencuci tangannya.
          Munirah hanya diam tetapi jari-jemarinya ligat mengelap dapur memasak.
          Firas Amsyar yang rasa tercabar dengan Munirah bertanya lagi.‘’Kau ni kenapa ha?Aku tanya kau dah tak reti nak jawab ke, mulut tu tak reti nak guna?” jerkah Firas Amsyar geram soalannya tiada jawapan.
           Firas Amsyar berdiri di sebelah Munirah yang sedang mencuci tangannya di singki. Dia memerhati wajah isterinya yang bersahaja.
          ‘’Maaf, Encik Firas. Saya tak dengar.’’Munirah menjawab selamba. Dia malas nak ‘melayan’ angin suaminya itu. Tersentuh juga hatinya dengan soalan yang berbasa-basi itu walaupun sekadar mempelawa untuk makan.
          Firas Amsyar geram melihat gelagat bersahaja Munirah namun, disabarkan hatinya mengenangkan tempoh perkahwinan kehendak keluarga ini akan berakhir tidak lama lagi. Itu pun jika isterinya yang menuntut cerai.
          ‘’Pekak ke?’’ perli Firas Amsyar selamba.
          Munirah yang sedang mengelap tangannya dengan tuala dapur, menggigit bibir mungil. ‘’Suka hati aje cakap orang pekak,’’ balas Munirah geram tanpa memandang wajah suaminya.
           Firas Amsyar melangkah keluar dari dapur yang berkonsepkan moden itu.
          ‘’Dah pekak tak nak mengaku pula. Nanti aku korek telinga kau tu. Agaknya dah berkati tahi telinga sebab tu tak dengar,’’ ujar Firas Amsyar selamba. Dia cukup suka menyakitkan hatinya. Dia tahu gadis itu memang pantang apabila ‘dusik’.
          ‘’Tak payah. Orang tahu buat sendiri,’’ balas Munirah berani.
          Firas Amsyar hanya menyahut dengan ketawa kuat dari ruang tamu sambil menyambung semula tontonannya.
          ‘Giliran aku pula nak makan’, desis hati Munirah. Sememangnya perutnya juga sudah berkeroncong, maklumlah perut manusia ini empat jam sekali perlu diisi bukan seperti perut buaya sekali makan dah kenyang berhari-hari.
          Munirah menikmati makan tengah harinya dengan suasana yang tenang sekali tanpa gangguan sesiapa. Sesekali matanya mencuri ke arah suaminya yang nampak serius menonton. Dia mengambil ‘peluang’ itu memerhati gerak suaminya daripada jauh. Dari tepi raut wajah lelaki itu tiada celanya. Sempurna.
          Dia tenang menikmati makananannya sendirian namun, ketenangan yang dinikmati tidak lama. Terdengar loceng apartment Firas berbunyi menandakan ada tetamu yang tidak diundang. Munirah  tetap selamba menghabiskan hidangan tengah harinya.
          Firas Amsyar yang mendengar loceng rumahnya berbunyi, bangkit. Dia melintasi meja bulat yang berada berdekatan yang berdekatan hadapan ruang tamu. Dia tidak mengerling ke arah isterinya. Munirah kelihatan berselera sungguh menikmati makanan.
          Terdengar suara ibu mertuanya dan adik ipar yang lebih berusia daripadanya, Fatin Lufya berbicara dengan Firas Amsyar. Cepat-cepat Munirah menghabiskan suapan terakhirnya. Belum sempat suapan terakhir masuk ke dalam mulutnya, terjengul wajah ibu mertuanya dan adik iparnya di meja makan itu.
          ‘’Hai, menantu umi baru makan ke?’’ tegur Datin Nora  dengan senyuman manis terukir dibibir. Fatin Lufya yang berdiri disisi ibunya tersenyum melihat kakak iparnya yang muda remaja itu seakan gelabah.
          Munirah cepat-cepat menghabiskan makanannya. Dia membawa pinggan ke dapur basah. Dia mencuci tangan dengan seberapa segera. Dia kembali ke meja makan lalu menghulurkan tangan untuk berjabat dengan ibu mertuanya dan adik iparnya. Datin Nora menyambut salam menantunya itu dengan mesra. Fatin Lufya sekadar bersalam biasa dengan kakak iparnya. Jika sebelum ini, pasti Munirah mengucup tangannya. Status mereka kini berubah.
          ‘’Umi dan Fatin jemputlah makan, saya masak biasa-biasa aje,’’ jemput Munirah sambil mengambil gelas dikabinet bersebelahan peti sejuk.
          ‘’Umi dan Fatin dah makan dah. Tapi tengok apa yang Munirah masak ni, umi dengan Fatin rasa macam nak makan  lagilah pulak. Teringin umi nak rasa masakan menantu umi ni,’’ jawab Datin Nora mesra. Datin Nora dan Fatin Lufya melabuhkan punggung di kerusi berwarna hitam itu.
          ‘’Eh,umi ni dia yang teringin sangat nak rasa masakan menantu dia kita pulak yang kena!’’ sampuk Fatin Lufya mengenakan uminya.
          Munirah hanya ketawa kecil melihat telatah dua beranak itu. Sebenarnya dia canggung untuk bergaul dengan mereka,tidak tahu layanan seperti apa yang perlu diberi terhadap mereka. Mereka orang yang ada class bukan seperti keluarganya yang biasa sahaja.
          ‘’Umi, Fatin jemputlah makan,’’ jemput Munirah lagi sambil meletakkan pinggan dan sudu garfu di hadapan mereka.
          ‘’Munirah tak payah sudu dan garfu ni. Umi dengan Fatin suka pakai tangan aje masa makan,’’ beritahu Fatin Lufya yang memanggil Munirah dengan panggilan nama sahaja dan dengan mesra membahasakan dirinya sebagai Fatin. Kalau sebelum ini, Munirah memanggilnya Kak Fatin.
          ‘’Tak apalah. Jemputlah makan.’’ Munirah mempelawa lembut.
          Datin Nora tersenyum melihat Munirah melayan mereka berdua. Dalam hati kecilnya,  dia yakin pilihan yang dibuat memang tepat kerana Munirah memiliki ciri-ciri menantu perempuan yang baik walaupun usianya masih muda.
          Datin Nora dan Fatin Lufya berselera menikmati air tangan Munirah.
          ‘’Pandai Munirah masak. Sedap betul nasi ayam ni,’’ puji Datin Nora sambil mengelap tangannya dengan tisu. Fatin Lufya masih lagi enak menikmati nasi ayam madu masakan kakak iparnya. Tidak disangka badan yang kecil molek itu berselera besar.
          Munirah hanya tersenyum malu mendapat pujian daripada ibu mertuanya itu.
          ‘’Biasa aje masakan saya. Umi punya masakan mesti lebih sedap maklumlah umi lebih dulu makan garam. Betul tak, Fatin?’’ ujar Munirah cuba mencipta perbualan yang mesra bersama mereka dengan bertanya kepada Fatin Lufya.
          Fatin Lufya yang sedang mencuci tangan di singki mengeyakan kata-kata kakak iparnya itu,’’ betul tu Irah. Umi punya masakan memang terbaiklah,’’ beritahu Fatin Liyana sambil menunjukkan ibu jarinya.
          Ketawa kecil Munirah dan Datin Nora melihat gaya kartun Boboboi yang dibuat oleh Fatin Lufya.
          ‘’Yalah tu Fatin. Pandailah kamu nak bodek umi. Kamu ingat umi tak tahu yang kamu dah berkenan sangat dengan handbag yang kita tengok dekat City Square tadi,’’ ujar Datin Nora bersahaja.
          ‘’Kalau umi dah tahu baguslah. Umi belanja Fatin ea..’’ pujuk Fatin Lufya dengan gaya manja sambil memegang bahu uminya daripada belakang. Dia sudah pun selesai menikmati makanannya.
          ‘’Mintalah dengan abah,’’ usul Datin Nora.
          ‘’Umi ni macam tak tahu perangai abah.’’ Fatin Lufya cukup faham perangai bapanya yang cukup tegas soal pemberian duit kepada anak-anak. Adik-beradiknya   tidak dapat berbelanja mewah walaupun mereka anak orang berada  kerana umi dan abah tidak mengajar mereka dengan kemewah-mewahan dan pembaziran.
          Munirah sibuk menghidangkan puding karamel buatannya buat mereka. Dia hanya membiarkan dua beranak itu berbual. Firas Amsyar yang berada di ruang tamu tidak mempedulikan langsung ibu dan adiknya yang berada di meja makan ketika itu.
          ‘’Tahu pun kamu perangai abah. Duit hari itu abah bank in  ada lagi?’’ soal Datin Nora sebelum meyuapkan puding karamel air tangan menantu perempuannya itu.
          ‘’Ada lagi. Tapi umi tahulah nak masuk semester baru ni everthing is new okay,’’ balas Fatin Lufya.
          Munirah hanya diam mendengar perbualan dua beranak itu tak berani menyampuk. Munirah tahu Fatin Lufya merupakan pelajar Jurusan Perubatan sebuah universiti di Bandung, Indonesia.
          ‘’Kamu jangan nak ikutkan sangat orang. Pakai dulu apa yang ada. Nantilah sebelum naik cuti ni kita pergi beli beg tu, umi belanja.’’ Datin Nora cukup faham perangai anak daranya itu yang gemar membeli beg baru setiap kali muncul semester baru dan kalau boleh semua benda nak baru.
          Fatin Lufya sudah tersenyum simpul gembira benar hatinya apa yang dihajati bakal terlaksana. Sudah terbayang-bayang beg kulit  itu dibahunya.
          ‘’Tak habis-habis dengan beg anak dara umi ni.’’ Suara Firas Amsyar yang muncul dari ruang menonton itu menganggu ketenangan hati Munirah.
           Ketika itu, dia sedang meyediakan minuman panas buat mereka bertiga di kabinet yang tersedia segala jenis serbuk minuman. Firas Amsyar melabuhkan punggungnya bersebelahan Fatin Lufya dan sempat pipi adiknya dicubit. Terjerit kecil Fatin Lufya.
          Munirah terusik melihat kemanjaan yang ditunjukkan oleh Firas Amsyar buat adik bongsunya itu. Teringat dia akan abang sulungnya, Mahadzir yang semakin renggang hubungan mereka selepas Munirah mengambil keputusan untuk menerima pinangan daripada Dato’ Arshad dan Datin Nora. Mungkin abangnya berasa bersalah atas kesilapan percaturannya menyebabkan adik perempuannya perlu menjadi mangsa. Tidak terlintas rasa marah Munirah terhadap abang sulungnya, cuma dia terkilan dengan sikap ketidakbijaksanaan abangnya dalam pengurusan kewangan. Lebih-lebih lagi melibatkan perjanjian pinjamanan dengan bank.
          ‘’Alah abang ni...nak minta abang belanja tak boleh lagi dah. Maklumlah orang dah ada isteri,’’ usik Fatin Lufya. Abang sulungnya itu memang tidak kedekut soal wang ringgit. Apa sahaja yang dimintanya pasti abangnya beri.
          ‘’Munirah tak kisahkan. Betul tak, sayang?’’ soal Firas kepada Munirah yang sedang mengambil cawan di dalam kabinet itu.
          ‘’Ya...’’ balas Munirah pendek sahaja. ‘Apa hal pulak dengan dia ni nak bersayang-sayang dengan aku. Ni mesti nak ajak aku berlakon ,’ desis hati Munirah. Agak-agaknya aku ni mampu ke tidak jadi pelakon wanita terbaik macam Ellie Suriaty? Munirah bermonolog sendirian. Dia tahu, dia perlu memainkan wataknya dengan baik mengikut skripnya sendiri dan pengarah terbaik industri seni ialah Firas Amsyar!
          Datin Nora tersenyum mendengar betapa mesranya Firas Amsyar menyapa Munirah dan tiba-tiba dia  terfikir  sesuatu. ‘’ Firas nak bawa Munirah pergi honeymoon kat mana?’’
          Firas Amsyar terkedu dengan pertanyaan yang dibangkitkan oleh ibunya. Sememangnya tidak terlintas di mindanya untuk membawa Munirah ke mana-mana. Tiada aktiviti honeymoon bagi perkahwinan ini. Asyik bertikam lidah aje kerjanya, ada hati nak bercuti berdua. Haru pula jadinya.
          ‘’A’ahlah, bang. Bawaklah Munirah pergi honeymoon kat pulau-pulau ke?Manalah tahu tahun depan umi dengan abah dapat title baru,’’ usik Fatin Lufya.
          ‘’Title apa Fatin?’’ tanya Datin Nora pelik dia gagal menangkap maksud sebenar bicara anak gadisnya yang berusia 23 tahun itu namun, setelah melihat kenyitan mata Fatin Lufya barulah dia tersenyum simpul.
          Munirah faham apa yang dimaksudkan oleh Fatin Lufya. ‘Anak?Aku nak ada anak dengan Firas?Tak mungkin sama sekali, jerit hati kecil Munirah.
          ‘’Betul tu cakap adik kamu tu, Firas. Umi dengan abah dah tak sabar nak jadi datuk dan nenek ni,’’ provok Datin Nora dalam masa yang sama cuba melihat reaksi Munirah yang kelihatan bersahaja bagaikan tidak terusik dengan apa yang diperkatakan oleh mereka.
          ‘’Nantilah dulu umi. Firas banyak kerja sekarang ni.’’ Firas Amsyar memberi alasan. Projek syarikat abahnya masih berlambak yang belum selesai. Kebanyakan projek tersebut di bawah tanggungjawabnya.
          ‘’Kerja, kerja juga, Firas. Setahu umi abah bagi kamu cuti dekat dua minggukan? Apa lagi ambillah peluang kenal hati budi masing-masing.’’ Lembut bicara Datin Nora. Dia sedar Munirah dan Firas memerlukan masa untuk menyesuaikan diri sebagai suami isteri.
          ‘’Nantilah Firas fikirkan dulu umi.’’
          ‘’Tak payah nak fikir-fikir. Esok kamu bawa Munirah pergi Pulau Pangkor. Resort yang kita duduk masa Family Day company abah tu pun okey.’’Datin Nora memberi cadangan.
          Bercuti berdua dengan harimau jadian?No way, jerit hati Munirah.
          ‘’Umi, kami tak boleh bercuti sebab Munirah esok dah kerja.’’ Pantas Munirah menyelematkan diri daripada situasi.
          ‘’Kerja?Munirah masih lagi kerja dekat tabika swasta tu?’’ tanya Datin Nora bagi mencari kebenaran kata-kata menantunya itu. Dia gusarnya sekiranya anak menantunya itu ‘berpakat’ tidak mahu berbulan madu.
          ‘’Ya, umi.’’ Munirah pantas. Ya, memang benar ketika ini Munirah masih lagi meneruskan pekerjaan sambilannya sebagai guru tabika sementara di sebuah tabika swasta.
          Datin Nora nampaknya tidak berpuas hati. ‘’Munirah dah kahwin dengan Firas. Umi rasa Munirah dah tak perlu kerja, tumpukan pada rumah tangga. Umi bukan nak masuk campur. Tapi tak nak menantu umi ini bersusah payah nak mencari duit sebab Firas mampu tanggung Munirah. Betul tak, Firas?’’ ujar Datin Nora panjang lebar.
          ‘Nampaknya habislah aku kali ni, tak akanlah nak menghadap muka ‘harimau jadian’ ni 24 jam?’ desis hati Munirah.
          ‘’Betul tu, umi.’’ Firas menjawab yakin.
          ‘’Tapi Munirah dah janji nak tolong mak dengan ayah. Adik-adik pun masih sekolah lagi,’’ terang Munirah. Munirah masih mempunyai dua orang adik yang masih bersekolah diperingkat menengah iaitu Mazni di tingkatan empat dan Mazlan di tingkatan satu.
          ‘’Munirah jangan risau pasal tu. Nanti every month abang akan bagi mak duit belanja sekolah Mazni dan Mazlan,’’ beritahu  Firas Amsyar mesra dan lembut.
          ‘Abang?Dia gelarkan diri dia abang?Biar betul?’ persoalan melatari fikiran Munirah.
          ‘’Tapi apa salahnya Munirah kerja . Sekurang-kurangnya tak adalah bosan duduk kat rumah ni siang-siang hari,’’ tutur Munirah mengharapkan pengertian suaminya dan ibu mertuanya. Fatin Lufya hanya diam dan tidak berminat untuk masuk campur dalam ‘perbincangan’ tersebut baginya itu hal rumah tangga abangnya dan tiada hak untuk dia bersuara.
          ‘’Abang izinkan Munirah bekerja tapi make sure jangan lupa tanggungjawab Munirah sebagai isteri.’’ Kata putus Firas Amsyar itu amat mengembirakan Munirah.
          ‘’Terima kasih, a..a..abang.’’ Munirah  mengucap terima kasih dengan sedikit tergagap kerana memanggil Firas Amsyar dengan panggilan ‘abang’ dengan senyuman simpul dibibir.
          ‘’Kalau dah itu keputusan Firas umi tak kisah tapi umi harap Firas dan Munirah reda menerima jodoh ini ya. Belajarlah untuk mengenali dan mencintai masing-masing. Besar harapan dan impian umi nak tengok Firas dan Munirah bahagia bersama.’’ Datin Nora menitip nasihat dengan panjang lebar Datin Nora tentang harapan dan impiannya terhadap anak dan menantunya.
          ‘’InsyaAllah, umi.’’Munirah menjawab lembut. Berlakon tak habis-habis aku ni menyampah betul jadi orang hipokrit hari ini, gerutu Munirah dalam hati.
          ‘’Umi jangan risaulah tahulah Firas jaga rumah tangga Firas.’’ Firas Amsyar pula mencelah sambil memegang tangan uminya.
          Datin Nora berharap benar agar pasangan ini dapat menjadikan rumah tangga itu berkekalan buat selamanya. Dia mahu mereka bahagia hidup bersuami dan beristeri.


No comments:

Post a Comment

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)