Projek
Cerpen 4
(tiada tajuk)
Nadhirah menghayunkan
kakinya menuju ke bangunan yang diduduki pelajar tingkatan 6 atas dan bawah
yang terletak di bawah bukit kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin
Baki, Johor Bahru yang berdekatan padang sekolah itu. Leretan senyumannya
bagaikan tidak ada penamatnya sejak mula langkahnya di pintu pagar utama
sekolah itu. Ada sesuatu yang cukup mengembirakan hatinya pagi itu.
‘Aduhai, gugur jantung aku tengok dia senyum pada aku tadi,’ monolog Nadhirah
sendiri dengan senyuman yang masih menguntum dibibir mungil ditambah pula lesung pipit yang dimilikinya
menambah kemanisan gadis berusia 19 tahun itu.
Kaki Nadhirah melangkah penuh semangat ke dalam kelas
Tingkatan 6 Atas Sastera 4. Baru punggungnya dilabuhkan atas kerusi kayu itu dia
ditegur Anis, teman semejanya.
Tersenyum kecil Nadhirah dengan pertanyaan Anis yang
duduk bertentangnya, mereka duduk dalam satu kumpulan yang dirapatkan empat
meja.
‘’Kalau bulan jatuh ke riba maknanya dah kiamat tu,
Nis,’’ jawab Nadhirah cuba melindungi perkara sebenar sambil tangannya ligat
mengeluarkan pencil casenya dan buku
latihan Pengajian Am Kertas 2 tanda dia bersedia memulakan pembelajaran waktu
pertama bersama Puan Hasnah Sarman, guru Pengajian Am Kertas 2 mereka.
Anis yang masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang
diberikan oleh Nadhirah hanya tersenyum sinis dan tidak berniat meneruskan
misinya mengorek rahsia senyuman meleret Nadhirah kerana dia perlu menyiapkan
carta painya yang masih tidak lengkap kerana memang kebiasannya kerja rumah
buat di sekolah!
Nadhirah tahu yang Anis dah habis ‘modal’. Sementara
menunggu Puan Hasnah dia mencapai novel Kasih Yang Suci karya Meen Zulaikha
yang dibelinya beberapa minggu lalu, baru sedikit yang dapat dibaca maklumlah
kesibukan mentelaah dan membantu persiapan sekolah sebagai tuan rumah sukan Pelajar Pra U daerah Johor Bahru kerana
jawatan Ahli Jawatankuasa sambutan yang dipegangnya.
Nadhirah masih khusyuk membaca novel dan dia tersenyum
sendiri membaca novel yang cukup romantis itu. Membaca novel itu membangkitkan
lagi rasa gembiranya ketika itu. Peristiwa yang berlaku dihadapan sekolah tadi
cukup indah.
***
‘’Hai, awak
Nadhirahkan?’’
Terkejut Nadhirah mendengar teguran daripada pemilik suara yang cukup diminatinya dalam
diam. Ketika itu Nadhirah baru sahaja keluar daripada kereta Proton Ezora milik
bapanya yang dipandu oleh ibunya. Kakinya berjalan penuh bersahaja menuju ke pagar
utama sekolah dan secara tiba-tiba ‘dia’ yang baru sahaja keluar dari Perodua
Kancil yang dipandunya yang diparkir tepi jalan utama Sekolah Menengah Aminuddin
Baki dan Sekolah Menengah Sultan Ismail, menegurnya.
‘’Ya, mana awak tahu nama saya?’’ jawab Nadhirah tenang
berhadapan ‘dia’ yang menjadi perhatian Nahirah sejak akhir-akhir itu.
‘’Itu pada name tag
awak,’’ Ujar Mohd Fawwaz Ikhwan bersahaja.
Tersenyum tawar Nadhirah. ‘Hai, sempat dia kenakan aku pulak,’ ngomel Nadhirah dalam hati.
‘’Baru sampai ke?’’ tanya Nadhirah cuba melindungi
perasaan berdebar menggilanya ketika itu. Maklumlah ini pertama kali dia
ditegur oleh seorang lelaki yang bukan kawannya dan lagi menarik lelaki itu
menjadi pandangannya dalam diam.
‘’Yup, awak pun
samakan?’’ tanya Mohd Fawwaz Ikhwan kembali.
Nadhirah hanya mengangguk sambil membetulkan pegangan buku
rujukannya.
‘’Awak saya gerak dululah ya, nanti lambat pulak masuk kelas,’’ pamit Nadhirah
sopan.
Belum sempat Nadhirah beredar, Fawwaz Ikhwan bersuara, ‘’Hei,
nantilah dulu, saya nak tanya awak something
ni,’’
Tidak jadi Nadhirah meneruskan langkahnya. Dia
memusingkan semula tubuhnya menghadap lelaki yang berdiri di tepi keretanya
itu.
‘’Apa awak nak tanya?’’ tanya Nadhirah sambil jam tangannya
dipergelangan tangan kirinya yang menunjukkan ke angka 7.00 pagi itu.
Fawwaz Ikhwan berdiri sambil memeluk tubuh dengan
senyuman manis terukir dibibir yang merah itu tanda tidak merokok. Ketampanan
lelaki yang mempunyai ketinggian 170cm dan badan yang sederhana cukup menggamit
mata Nadhirah untuk memerhati dalam
diam.
‘’Boleh kita jadi kawan?’’ tanya Fawwaz Ikhwan.
Terkedu Nadhirah seketika terasa bagai awan-awan di
langit turut tersenyum memahami hatinya
ketika itu.
Tidak tahu jawapan apa yang patut diberi rasa malu yang
teramat mencengkam jiwa Nadhirah ketika itu. Nadhirah hanya diam tanpa memberi
sebarang jawapan hanya bibir mungilnya menguntum senyuman paling manis.
‘’Mama saya kata kalau kita tanya seseorang dan dia hanya
diam tandanya dia setuju, betul tak, Nadhirah?’’ ujar Fawwaz Ikhwan.
‘’Betullah tu apa mama awak cakap, saya pergi dulu ya,
assalamualaikum Saudara Mohd Fawwaz Ikhwan.’’ Jawab Nadhirah bersahaja dan
terus jalan tanpa menunggu reaksi lelaki itu.
***
‘’Wei, mak cik kau
berangan ekk?’’
‘’Astagfirallahalazim, kau ni Wan suka terkejutkan akulah,’’
ujar Nadhirah kepada Ridwan rakan sekelasnya yang duduk di kerusi milik Anis
sambil mengurut dadanya. Tidak disedari yang Ridwan memerhatikannya yang mengelamun
jauh.
‘’Yang kau ni kenapa tersengih-sengih daripada tadi,’’
ujar Ridwan sambil tangannya membelek novel yang sedang dibaca oleh Nadhirah itu.
Nadhirah meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja dan
bersuara, ‘’ Tak ada apalah, saja nak tersengih-sengih sorang-sorang, tak boleh
ke?’’
Ridwan meletakkan jari didagunya dan menjawab pertanyaan
Nadhirah, ‘’Boleh tu memang boleh tapi aku takut orang lain ingat yang kau ni
nak menambah penghuni kat Permai tu, he he he’’
Ridwan ketawa mengekek dengan apa yang diperkatakannya
kepada Nadhirah. Nadhirah yang tidak puas hati dengan butiran perkataan yang
dikeluarkan oleh Ridwan membuat mimik muka geram.
Baru sahaja Nadhirah mahu membalas muncul Puan Hasnah
Sarman masuk ke kelas mereka. Semua rakannya berdiri tanda hormat. Ridwan masih
lagi berdiri dimeja Anis ditegur oleh guru mereka itu.
‘’Wan, mana tempat kau?’’ tegur Puan Hasnah Sarman yang
cukup bersahaja dengan para pelajar. Bagi mereka penggunaan kata panggilan
‘kau’ yang digunakan oleh guru mereka itu adalah perkara biasa dan tanda
hubungan mesra yang terjalin antara para
pelajar dan guru.
Nadhirah hanya tersenyum mendengar pertanyaan yang
diajukan oleh Puan Hasnah kepada Ridwan. Ridwan hanya tersengih-sengih dan
berlalu ke mejanya tapi sempat lagi dia memberi signal kepada Nadhirah.
Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) pada hari itu diteruskan
seperti biasa dengan diiringi suasana yang cukup tenang dan adakalanya disulami
tawa kerana jenaka yang sering dilakukan oleh pelajar kelas tersebut.
***
Tepat pukul 1.10
petang, P&P pun tamat dengan subjek Bahasa Melayu sebagai waktu terakhir.
Nadhirah menggerak-gerakkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan untuk merenggangkan
badan. Hari ini sepatutnya balik pukul 2.30 petang, tetapi disebabkan guru-guru
ada mesyuarat jadi para pelajar Tingkatan 6 dibenarkan pulang pukul 1.10
petang.
Nadhirah mengemas buku-bukunya. Sedang leka dia mengemas
beg sekolahnya, Ridwan datang ke tempatnya.
‘’Dhirah, kau hutang dengan aku,’’ sergah Ridwan. Dia
masih tidak puas hati dengan peristiwa
pagi tadi. Dia tidak berpuas hati selagi
tidak dapat mencungkil rahsia Nadhirah tersenyum-senyum pagi tadi.
Nadhirah buat tidak tahu sahaja dengan sergahan Ridwan.
Dia mengambil serpihan kertas yang telah digunting dan bangun menuju ke bakul
sampah di belakang kelas mereka.
‘’Eh, Dhirah kau jangan buat tak dengar ea!’’ ujar Ridwan
setelah Nadhirah kembali ke tempatnya.
Nadhirah tersenyum-senyum dan mencapai botol airnya lalu
meneguk air putih itu untuk menghilangkan rasa tekaknya yang kering itu.
Ridwan merenung Nadhirah geram sambil tersenyum-senyum
sumbing.
Nadhirah buat tidak tahu lagi lalu menyapa kawan baiknya,
Azlina yang masih berborak bersama beberapa orang rakan lelaki mereka di belakang
kelas. Apa lagi buat korumlah bergosip.
‘’Ina, kau tak nak balik ke? Cikgu bagi balik awal, kau
tak nak balik pulak. Kalau tak, tak menyempat-nyempat kau cabut ea, ‘’perli Nadhirah. Dia dan Azlina akan pulang bersama
setiap hari dengan menaiki bas awam. Mereka satu bas dan satu jalan yang sama.
Azlina sudah tersengih-sengih dengan perlian Nadhirah
itu. ‘’Alah, kau ni sabarlah...kita orang ada hot story ni. Kau tunggu kejap.’’
Balas Azlina dan terus menyambung perbualannya bersama korumnya itu.
Nadhirah sudah menggeleng-gelengkan kepala. Ridwan masih
lagi menunggu.
‘’Kau nak apa ni, Wan?” tanya Nadhirah berpura-pura tidak
mengetahui tujuan rakannya itu dengan meleret gaya percakapannya. Sengaja dia
buat begitu. Tahu sangat sikap ‘busy body’ kawannya itu tentang hidupnya.
Segala perkara dalam hidup Nadhirah dia mahu mengambil tahu.
Ridwan sudah menarik muka, bengang. ‘’Tak apa, kau nak
rahsia aku. One day, aku mesti tahu
jugak,’’ balas Ridwan dalam nada yang ketara ala-ala merajuk.
Nadhirah sudah ketawa mengekek. Geli hatinya dengan sikap
Ridwan itu. ‘Aduhai, kuat merajuk betul kawan aku seorang ni!’
Ridwan mula bangun daripada kerusi yang didudukinya itu
tadi. Dia ingin beredar dari situ setelah tidak ‘mendapat’ apa yang
diinginkannya. Langkahnya mula diatur namun, dia menghentikan gerakan kakinya
sejurus berjalan di tepi Nadhirah yang masih setia di tempatnya.
‘’Aku tahu ni mesti pasal Fawwaz Ikhwan yang kau minat tu
kan? Aku nampak pagi tadi kau berbual dengan dia,’’ kata-kata Ridwan itu cukup
membuatkan denyut jantung Nadhirah bertambah. ‘Alamak, macam manalah mamat
seorang ni boleh nampak!?’ gerutu hati Nadhirah.
Ridwan menambah lagi, ‘’Dhirah, kau jangan sibuk nak
bercintalah. Kita ni dah sibuk nak exam. Aku takut kau terluka nanti,’’ titipan
yang penuh ingatan daripada seorang kawan.
Nadhirah berasa geram pula dengan tebakan Ridwan, lalu dia berdiri dan bertentang mata dengan
Ridwan yang tingginya melebihi paras bahu Nadhirah.
‘’Kau ni dah kenapa? Kau ingat aku kebulur sangat nak
bercinta dengan dia? Kau ni daripada dulu tak suka bila aku kata yang aku minat
dengan Fawwaz Ikhwan. Aku tak tahu apa masalah kau,” ujar Nadhirah penuh
berapi. Dadanya rasa membakar dengan tuduhan melulu Ridwan.
Nadhirah mencapai beg sandangnya. ‘’Lina, aku turun dulu.
Aku tunggu kau kat bus stop.’’ Kata Nadhirah kepada Azlina sedikit terjerit
nadanya. Mujur hanya tinggal mereka sahaja di dalam kelas. Selepas berkata
begitu, dia terus menuju ke pintu
hadapan kelas dan laju menuruni tangga yang berhadapan kelasnya.
Ridwan terkaku dengan tindak balas Nadhirah. Dia tersalah
cakap ke? Rasanya tidak salah dia mengingatkan seorang kawan.
‘Aku ni kenapa emosi sangat?’ gerutu Ridwan.
Azlina yang terpinga-pinga dengan perlakuan Nadhirah,
mengerutkan dahi. Terhenti perbualannya dengan Yazid, Akmal dan Ganesh.
‘’Wan, apa hal dengan Dhirah? Angin semacam aje dengan
kau. Pagi tadi okey aje, tersenyum simpul lagi. Kau salah cakap ke?’’ tanya
Azlina yang masih lagi dalam keadaan terkejut. Dia pun kembali ke tempat
duduknya yang bersebelahan dengan Nadhirah.
Azlina mengambil beg sekolahnya. ‘’ Yang kau ni pulak dah
kenapa? Terkaku jugak. Aduhai, kau orang ni selalu macam ini! Kalah orang
bercinta,’’ tegur Azlina apabila melihat Ridwan yang masih terconggok di tempat
yang sama.
Azlina bersiap-siap untuk pulang. Dia perlu mengejar
Nadhirah yang sudah berubah emosinya. Entah apa yang disentapnya dengan Ridwan
pun dia tidak tahu. Dia memang sudah masak dengan perangai kedua-duanya. Nama
sahaja berkawan sahaja tapi kalau dah berselisih pendapat kalah orang yang
sedang hangat memadu kasih. Ini bukan kali pertama mereka berkelahi begitu.
Sudah acap kali sehingga rakan-rakan kelas sudah tidak endah.
‘’Wan, aku tahu apa yang kau rasa. Kau janganlah tunjuk
sangat. Kau kena bagi dia peluang. Aku chiow dulu,’’ ucap Azlina sebelum
beredar pergi.
***
Nadhirah duduk dibangku
yang miripnya seperti batang pokok itu di perhentian bas berhadapan Hutan
Bandar, Johor Bahru. Mukanya serius benar. Muka yang manis terserlah garangnya
apabila emosi disimbah angin ribut. Rakan-rakan seperjuangan yang melihatnya
juga tidak berani menegur.
Dia sungguh geram dengan kata-kata tuduhan yang
dilemparkan oleh Ridwan. Seolah-olah seperti dia yang menyerah diri kepada
Fawwaz Ikhwan untuk bertonyeh. Sakit hatinya. Ya, memang benar dia menaruh
minat terhadap jejaka itu. Jejaka tampan yang bersekolah di hadapan sekolahnya,
Sekolah Menengah Sultan Ismail (SSI). Sudah setengah tahun dia memerhati dalam
diam lelaki itu. Dia tahu bukan dia sahaja yang memerhati lelaki itu. Pasti
pelajar perempuan yang lain turut memerhatikannya. Wajah tampan persis hero
tampan Malaya siapa yang tak terjatuh minatkan?
Nadhirah pun tidak menyangka pagi tadi dia akan disapa
mesra oleh Fawwaz Ikhwan. Ketika itu, Nadhirah seperti ingin membuat lompat
bintang. Jiwanya terbang melayang di pagi yang hening bayu dan sedikit sejuk.
Dia pun tidak pasti sama ada Fawwaz Ikhwan sudah berpunya ke belum. Selama
hampir setengah tahun dia memerhatikan Fawwaz Ikhwan, dia belum pernah melihat ada pelajar perempuan pun yang berada di sisi
jejaka idaman itu. Oleh sebab itulah, Nadhirah berani menaruh perasaan terhadap
Fawwaz Ikhwan.
Kalau tidak takkanlah Fawwaz Ikhwan ingin berkawan
dengannya. Dah sah-sahlah jejaka itu statusnya single. Lagi pun Nadhirah bukan
mengharapkan sebuah perhubungan istimewa akan dijalinkan antara dua hormon yang
berbeza itu. Antara mereka akan pelik untuk digandingkan bersama.
Ridwan kawannya, kawan yang dikenali semenjak di
tingkatan 4 di sekolah yang sama. Fawwaz Ikhwan pun bersekolah di SSI semenjak
di tingkatan satu lagi cuma baru sekarang Nadhirah menyedari kehadiran lelaki
itu. Lelaki yang sudah berjaya mengusik jiwa gadisnya yang suci murni tanpa
pernah disentuh oleh mana-mana lelaki.
Dia memang cukup terhiris dengan tuduhan Ridwan. Rasanya
inilah perkara yang paling disentapi oleh Nadhirah sepanjang usia persahabatan
mereka. Perkara peribadi. Selalunya mereka berbalah mengenai pelajaran. Selalu
berselisih pendapat. Kalau jawapan yang diberikan oleh Ridwan salah dia akan
bersungguh menegak jawapannya walaupun terang bersuluh jawapan dia.
Azlina yang dari atas bukit sudah dapat melihat figura
tubuh sahabatnya itu dengan muka seperti guru disiplin sekolah mereka, Puan
Norliza yang memang terkenal dengan wajah yang garang dan tegas.
Azlina menghampiri Nadhirah. ‘’Dhirah, jom kita minum
dahulu. Aku hauslah. Kau tak teringin ke nak pekena Teh O Ais Laici favourite
kau tu, ‘’ ajak Azlina lembut. Dia cuba memancing sahabatnya itu dengan minuman
kegemaran Nadhirah itu. Dia tahu Nadhirah cukup menggilai minuman itu. Tak
boleh miss setiap minggu. Paling tidak sekali seminggu.
Nadhirah hanya diam dan masam sambil membelek jam tangan
berjenama Casio di pergelangan tangan kirinya itu. ‘’Okeylah.’’ Setuju Nadhirah
terus bangun daripada pelabuhannya itu dan menonong melalui jambatan yang
menuju ke deretan gerai makan itu.
‘’Ishh..anak dara seorang ni kalau bergaduh dengan Wan
aku pun kena tempias basah sekali,” bebel Azlina geram.
Nadhirah memilih gerai pertama di sebelah kiri. Gerai
minuman kegemaran mereka. Dia memesan minuman kegemarannya itu. Azlina yang
membuntuti langkahnya juga berbuat demikian.
Nadhirah memilih kerusi yang menghadap ke jalan raya yang
sibuk itu. Sibuk dengan bas sekolah dan pengangkutan awam. Azlina pula
mengambil tempat bertentangan dengan Nadhirah.
‘’Kau dengan Wan boleh tak kalau tak bertelingkah sehari?”
soal Azlina membuka bicara antara mereka. Dia perlu mendamaikan perang saudara
itu. Perang saudara yang dicipta bagai di Somalia.
Minuman yang dihantar oleh mak cik pemilik gerai
menghalang Nadhirah membalas kata itu.
‘’Aku boleh aje. Tapi dia tu yang buat ribut. Mana aku
tak angin,’’ balas Nadhirah setelah menyedut sedikit air. Nikmatnya terasa
apabila air yang manis-manis buah Laici itu menyerobos terowong tekaknya. Lega
seketika rasa marahnya.
Azlina menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘’Itulah...kalau
tak kau, dia yang mula. Apa yang ditingkahkan pula kali ni, ‘’ keluh Azlina dan
mengorek punca peperangan itu berlaku. Azlina menyedut sedikit minuman
pilihanya, Tembikai Laici.
Nadhirah sudah mengubah riak mukanya. Ceria semacam. “Kau
nak tahu tak, Ina? Pagi tadi Fawwaz Ikhwan tu tegur aku. Dia nak kawan dengan
aku tahu tak. Gembiranya aku...’’ cerita Nadhirah dengan nada yang begitu
teruja sekali.
Azlina terkejut sekali. “Ya ke? Habis tu kau nak ke
berkawan dengan dia?’’ soal Azlina.
Nadhirah tersenyum simpul sambil mengacau-acau
airnyadengan penyedut air itu.
‘’Mestilah nak. Gila tak nak?’’ jawab Nadhirah ceria
diiringi ketawa kecil.
Azlina masih lagi beriak biasa. “Dah tu apa hal pulak
dengan kau dengan Wan tadi?’’
Nadhirah membuat muka cemberutnya. ‘’Dia fikir aku ni
kebulur sangat nak bercinta dengan Fawwaz. Aku bukan nak bercinta pun dengan si
Fawwaz tu. Kalau dah dapat berkawan dengan dia pun dah baiklah tu. Aku sedar
siapa diri aku. Lagi pun suka tak bermakna cinta!’’ terang Nadhirah tegas.
Sejurus itu, dia terus menyedut minumannya rakus.
Azlina terdiam. Kusut dia melihat dua rakannya yang
bergaduh macam orang yang berpasangan.
‘’Dhirah, kau jangan ambil hatilah dengan apa yang Wan
cakap tu. Mungkin dia risau kau hanyut dengan perasaan kau. Kita ni lagi tiga
bulan nak exam.” Ujar Azlina lembut sekali. Dia perlu jadi pengaman antara
mereka.
‘’Tapi masalahnya sekarang Lina, dari awal lagi dia dah
tak suka bila aku cakap , aku suka kat Fawwaz. Aku tak tahu apa masalah dia.”
Tingkah Nadhirah.Dongkol hatinya dengan sikap Ridwan terlalu mengambil tahu hal
peribadinya.
‘’Kau nak tahu sebab apa, Dhirah?’’ soal Azlina cuba
memetik minat Nadhirah untuk mengetahui punca kelakuan Ridwan terhadap
Nadhirah.
Nadhirah yang kelihatan enak menikmati minuman penghilang
dahaga itu membalas, ‘’kenapa?’’ soal Nadhirah pendek.
Azlina menarik lafaz paling dalam. ‘’Dia cintakan kau,
Dhirah.” Tutur Azlina tenang.
Terkedu Nadhirah dengan kata-kata yang disampaikan oleh
Azlina namun, dia tetap cuba bersahaja.
‘’Kau jangan nak merepeklah, Lina. Semua tu nonesense!’’
balas Nadhirah tegas.
Azlina melepaskan nafasnya. Dia menggelengkan kepalanya.
Dia menyilangkan sepuluh jarinya. ‘’Aku bukan merepek, Dhirah. Ini betul. Wan
dah lama cakap dengan aku. Aku diamkan perkara ni sebab dia suruh aku rahsiakan
tapi aku rasa dah sampai masanya untuk kau tahu semua ni,’’ ujar Azlina telus.
Dia
bukan nak memalukan Ridwan tapi Nadhirah perlu mengetahui semua ini. Dia tidak
sanggup lagi melihat kecewanya Ridwan apabila Nadhirah bersungguh-sungguh
tentang minatnya yang mendalam terhadap Fawwaz Ikhwan.
Nadhirah
menutup mukanya dengan kedua-dua telapak tangannya. Bertambah kusut dia apabila
mendengar semua itu.
‘’Dhirah,
kau tak nampak ke macam mana dia ambil berat pasal kau? Dia bukan baru suka
kau, sejak usia kau 16 tahun lagi. ‘’ tambah Azlina lagi.
Berdebar
jantung Nadhirah mendengar tiap patah pendedahan Azlina.
Azlina
menarik kedua-dua tangan Nadhirah. Dia menggenggam kedua-dua tangan itu.
‘’Dhirah, tolonglah jangan kecewakan Wan. Dia sayangkan kau sangat-sangat. ‘’
pinta Azlina lembut.
‘’Berapa
dia bayar kau untuk cakap semua ni?’’ soal Nadhirah tiba-tiba dan melepaskan
genggaman Azlina. Dia berang tiba-tiba kerana berasakan Azlina ‘diupah’ oleh
Ridwan untuk menyekat hubungan persahabatan yang bakal dicipta oleh dia dan
Fawwaz Ikhwan.
Azlina
cuba mengawal marahnya. Geram pula dia dituduh sebegitu. Dia menyabarkan
hatinya. Dia tahu api yang marak akan bertambah marak apabila disimbah minyak.
‘’Wan,
tak perlu ‘bayar’ dan suruh aku cakap semua ni dengan
kau. Aku lakukan semua ni sebab aku tak sanggup lagi tengok dia pendam perasaan
dengan kau.’’ Luah Azlina dalam nada mengawal geram ditebak begitu.
Terpempam
dia dengan kata-kata Azlina.
‘’Aku
tak pernah suka dia lebih daripada seorang sahabat. Titik!’’ tukas Nadhirah dan
terus berlalu meninggalkan Azlina berseorangan di tempat duduk mereka. Sebelum
berlalu sempat dia meninggalkan not seringgit dua keeping di atas meja.
p/s nak lagi tak :) hehe..
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)