KERANA TAKDIR ITU...
BAB 18 (b)
Munirah
mengurut perlahan tubuh tegap suaminya. Menggeletar jari-jarinya untuk
menari-nari di atas batang tubuh yang meniarap selamba di hadapan televisyen
itu. Tidak pernah seumur hidupnya mengurut badan lelaki waima ayah dan abangnya
sendiri.
Firas Amsyar dapat merasakan
kegigilan tangan isterinya. Dia tersenyum sinis. ‘Ketar kepala lutut kau,’
desisnya nakal. Dia sengaja membuat permintaan itu. Sengaja meminta ‘perhatian’
dan ‘belaian’ daripada seorang isteri. Lagi pun badannya memang tegang beberapa
hari kebelakangan ini. Hafsham ada mengesyorkan kepadanya untuk pergi berurut
ke tempat ala Thai itu tetapi dia tidak suka berkunjung ke tempat sebegitu.
‘’Urutlah kuat sikit. Lembik macam
orang tak makan aje,’’ provok Firas Amsyar. Sengaja mendengki isterinya.
‘’Tangan perempuan mana sama dengan
tangan lelaki, encik. Lagi pun urut suami kenalah lembut-lembut. Tak boleh
kasar-kasar. Dengan penuh kasih sayang.’’ Pandai sungguh Munirah menjawab.