Pages

welcome


Wednesday, September 24, 2014

22 OGOS 2014


22 Ogos 2014.
Matahari bagaikan pilu mahu membangkitkan dirinya
Awan mengukir muramnya
Dada langit mencengkam jutaan rasa
Bumi pula cuba menahan hujan hiba, sendu dan pilu.

Pulangnya yang dinanti
Perginya bulan lalu masih bernyawa
Kini pulangnya hanya jasad tanpa nyawa.

Sebak, pilu mengasak dada ini.
Jasad tidak berdosa menjadi mangsa kerakusan kuasa manusia.
Tragedi itu zalim bukan dari Yang Maha Esa.
Tapi dari tangan-tangan rakus meragut nyawa yang tidak berdosa!

Si kecil itu mencari mana ayahnya?
Masih belum habis ‘kerjanya’?
Lelaki itukah ayahku?
Pandanglah aku?
Kendonglah dan dakaplah aku dalam rindu membara.
Aku rindukan ayah.
Ayah di mana?
Ayah aku rindu kamu!
Mungkin itu suara hati si kecil yang polos itu.

Solat jenazah buat ayahanda dari si kecil itu
Ayahanda pasti ‘tersenyum’ gembira.
‘Hadiah’ pertama buat ayahanda!

Anak kecil itu pula meratap sedih
Wajah mama belum puas dikornea mata,
Pipi mama belum puas dikucup
Dakapan hangat mama juga hilang
Kasih dan belaian mama masih berbaja.
Perginya mama,
Hauslah anakanda
Haus kasih sayang mama.

Si manja itu memeluk keranda ibunya
Ibu ‘bangkitlah’!
Mungkin itu rintih si manja.

Figura-figura itu cukup menghimpit dada
Hilangnya tersayang umpama terhempas di dalam laut dalam
Lemas.
Lemas kasih dan cinta.

Langit dikala itu bagaikan hitam serba kelam
Mimpi ngeri yang begitu perit untuk ditelan
Namun takdir dan tadbir perlu seiring
Reda itu pasrah.
Pasrah dengan takdir-NYA.



Tuesday, September 23, 2014

Syawal Tanpa Nenda (contengan rasa)

Syawal tanpa nenda.

Syawal ini nuansanya sungguh terasa,
Penuh sepi dan pilu,
Tanpa nenda tercinta,
Kami beraya hiba.

Tiada lagi senyumannya yang dapat kutatap,
Tiada lagi kucupan hangat darinya dipipi ini,
Tangannya masih terasa dalam genggaman ini,
Tangan yang mengasuh dan membelai dengan kasih dan sayangnya.

Nenda pergi tanpa pesan,
Perginya tanpa ‘petanda’,
Jumaat itu untukknya,
Kami reda.

Pusara itu masih merah,
Hanya itu tempat melepaskan rindu,
Rindu tawanya,
Rindu usikkannya,
Rindu dakapannya!

Syawal ini cukup memberi ‘rasa’,
Syawal tanpa nenda!

10.48 p.m

24/8/14

Saturday, July 5, 2014

DUDA BERHIAS ITU MILIK RASYIDAH! BAB 3


Bab 3       
Seperti biasa, Rasyidah perlu menunggu Izura di tepi parkir itu. Anak dara seorang itu memang tidak pernah keluar awal. Pekerja dedikasilah katakan. Lagi pun apalah sangat nak dibandingkan dengan Rasyidah yang hanya memegang posisi kerani di bahagian pentadbiran sebuah syarikat perumahan dengan Izura yang bertindak sebagai pembantu peribadi kepada Faliq Asyraf?
            Rasyidah menopang dagu. Bosan menunggu. Tapi dah adat orang menumpang kenalah bersabar, bukan?
            Izura yang ditunggu, orang lain pula yang menjelma. Hendak pecah jantung Rasyidah dibuatnya. Dia bangkit dan mahu menghampiri kereta berwarna merah jambu milik Izura.

BAB 18(b) KERANA TAKDIR ITU...

KERANA TAKDIR ITU...
BAB 18 (b)


Munirah mengurut perlahan tubuh tegap suaminya. Menggeletar jari-jarinya untuk menari-nari di atas batang tubuh yang meniarap selamba di hadapan televisyen itu. Tidak pernah seumur hidupnya mengurut badan lelaki waima ayah dan abangnya sendiri.
            Firas Amsyar dapat merasakan kegigilan tangan isterinya. Dia tersenyum sinis. ‘Ketar kepala lutut kau,’ desisnya nakal. Dia sengaja membuat permintaan itu. Sengaja meminta ‘perhatian’ dan ‘belaian’ daripada seorang isteri. Lagi pun badannya memang tegang beberapa hari kebelakangan ini. Hafsham ada mengesyorkan kepadanya untuk pergi berurut ke tempat ala Thai itu tetapi dia tidak suka berkunjung ke tempat sebegitu.
            ‘’Urutlah kuat sikit. Lembik macam orang tak makan aje,’’ provok Firas Amsyar. Sengaja mendengki isterinya.
            ‘’Tangan perempuan mana sama dengan tangan lelaki, encik. Lagi pun urut suami kenalah lembut-lembut. Tak boleh kasar-kasar. Dengan penuh kasih sayang.’’ Pandai sungguh Munirah menjawab.
           

CERPEN : BUKAN PEREMPUAN SUCI

Projek Cerpen : Bukan Perempuan Suci

16/6/20/14
IMAN LILY

Cahaya Suci itu namaku. Nama unik yang diberikan oleh mama dan papa. Semua orang memanggil aku Suci. ‘Suci’ kata mereka.

‘Suci’ mengikut kamus maksudnya bersih, tidak bernoda, tidak berdosa. Tapi diriku bukan seSuci itu. Aku bukan perempuan suci. Suchi tidak sesuci yang dimaksudkan oleh kamus itu.

Nama Cahaya Suci tidak mampu menjadi ‘doa’ yang terbaik buat perempuan bernama Cahaya Suci ini. Nama itu doa bagi setiap manusia. Nama yang membawa maksud baik pasti menjadi doa yang terbaik buat diri seseorang.

Saturday, April 26, 2014

DUDA BERHIAS ITU MILIK RASYIDAH ! 2

Bab 2

Faliq Asyraf menghampiri mamanya yang sedang melayani cucu kesayangannya, Maya Rossana. Kelihatan ceria benar dua beranak itu. Mamanya, Puan Sri Zulina begitu gembira dapat melayan keletah anak adiknya, Fazlina bermain 'masak-masak'. Permainan yang sesuai untuk kanak-kanak perempuan berusia empat tahun seperti Maya Rossana.


            ‘’Assalamualaikum, mama dan Baby Ayah Liq...’’ sapa Faliq Asyraf mesra. Dia menyalami tangannya. Pipi wanita itu dikucupnya hangat. Dia mendekati Maya Rossana.


            ‘’Baby, main apa ni sayang?’’ aju Faliq Asyraf lembut sambil meriba anak buahnya yang dipanggil ‘baby’ itu.


            ‘’Nenek ajar baby main acak-acak Ayah Liq,’’ jawab Maya Rossana dalam telor pelatnya dengan manja sekali. Dia mencium pipi Faliq Asyraf yang dipanggil Ayah Liq itu.

Thursday, April 24, 2014

DUDA BERHIAS ITU MILIK RASYIDAH!

BAB 1 

Rasyidah  merenung lelaki itu dengan penuh minat. Sudah lama dia memerhati lelaki yang wajahnya serius sentiasa tanpa sedikit ‘sedekah’ pun dihadiahkan buat orang lain. Muka itu sentiasa tegang. Hatinya sudah lama berpaut kepada lelaki itu. Berpaut pada dahan cinta. Ya, dia sudah lama memerhatikan lelaki itu. Kisah hidup lelaki itu ada dalam tangannya.
Dia duduk di tepi divider itu sambil tangannya ligat bergerak-gerak di dada skrin sesentuh Samsung S3 itu. Lelaki itu sedang melihat bahagian enjin keretanya.


Faliq Asyraf yang menyedari dirinya menjadi objek retina seseorang, mengerling tajam. Rasyidah yang terperasan dengan kerlingan itu, pantas memberi pandangan kepada telefon pintar ditangannya.


‘Alamak, dia perasan pulak! Mati aku!’. Rasyidah bermonolog sendiri.
Mata itu menjeling tajam setajam-tajamnya. Tajam setajam mata pedang. Panas hatinya.

Tuesday, April 22, 2014

PROJEK E-CERPEN : DENDAM VS CINTA

Projek Cerpen : Dendam vs Cinta  8/4/14
‘’Akhirnya dendam aku terbalas, Nadeelah!’’ ujar Akif Furqan dengan wajah yang puas. Sangat puas! Dendamnya ketika zaman sekolah terhadap Nadeelah, sudah ‘terbayar’.
Nadeelah duduk meringkuk di hujung kamar yang suram itu. Hanya lampu tidur yang menerangi kamar itu. Kamar berhias indah berharum mewangi. ‘’Kau memang syaitan, Akif! Kau dah rampas seluruh kehidupan aku, tahu tak!’’ jerit Nadeelah dengan memeluk lutut. Rambut yang basah dibiarkan kering sendiri.
Akif Furqan mendekati Nadeelah. Dia memegang kedua-dua pipi itu. ‘’Aku ni suami kau, bukan orang lain. Kau tu milik aku dari hujung rambut sampai ke kaki. Aku berhak ke atas kau. Kau nak menyesal buat apa? Itukan lumrah suami isteri,’’ jerkah Akif Furqan. Dia mencengkam kedua-dua belah pipi itu.
Nadeelah menolak tubuh lelaki yang bergelar suaminya itu sekuat tenaganya. ‘’Tapi kau aniaya aku. Aku teraniaya, tahu tak!’’jerit Nadeelah geram. Dongkol hatinya apabila mengingatkan sebab musabab mereka disatukan sebagai suami isteri. Begitu mudah sekali maruahnya diperkotakkatikkan oleh lelaki bernama Akif Furqan itu.
Akif Furqan ketawa besar. ‘’Aku tak aniaya kaulah, Deelah. Aku ajak kau kahwin, salah ke?’’ balasnya selamba. Akif Furqan mengelap rambut basahnya dengan menggunakan tuala. Tubuhnya hanya bersarung boxer.
Nadeelah bangkit dari posisinya. Dia mendatangi suaminya yang duduk di birai katil itu.  Dia merapapatkan muka mereka. ‘’Kau perdaya mak bapa aku, kau cakap aku ni dah terlanjur dengan kau. Kau tipu semua orang. Sampai tunang aku pun tinggalkan aku. Itu kau kata tak salah, Akif Furqan?’’ serang Nadeelah dengan beraninya dia menampar wajah tampan itu semahunya.

KERANA TAKDIR ITU...BAB 18

Bab 18
Munirah memerhatikan hujan rintik-rintik yang menuruni dari perut awan. Hujan rintik-rintik itu bagaikan mengambarkan hatinya yang walang. Apabila hujan kita adakalanya mengeluh kerana pakaian yang dibasuh tidak kering dan sukar bergerak ke sesuatu tempat. Kita tidak perasaan tentang sesuatu bahawa, hadirnya hujan untuk membawa pelangi. Pelangi selepas hujan. Pelangi tidak akan muncul semasa musim kemarau.
Begitulah hidup kita yang diuji dengan pelbagai masalah. Sehingga ada ahli falsafah Barat  yang mengatakan bahawa, hidup ini sebenarnya hanya menyelesaikan masalah. Itu kata ahli falsafah orang Barat yang tiada cahaya iman. Sedangkan kita ini orang Islam yang menyedari akan diri kita yang hanya seorang hamba. Hamba yang sedar kehidupan harus dijalani seperti yang sudah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t sememangnya menghantar kita ke dunia untuk menguji kita. Ujian hadiahnya kebahagiaan yang abadi di akhirat nanti. Ujian itu diibaratkan sebagai hujan dan pelangi itu ganjarannya. Ujian akan terhenti apabila syurga sudah menjadi milik abadi.
            Hidup berumah tangga juga merupakan ujian. Ada pasang surutnya. Adakalanya bahagia milik kita dan ada juga ujian buat kita. Munirah melayani perasaannya yang sedih dengan kata-kata suaminya malam kelmarin. Pedih hatinya. Dia mengharapkan perubahan positif dalam hubungan mereka. Dia mahu bahagia dalam hubungan itu. Tetapi dia tidak boleh memaksa suaminya untuk menyayanginya sedangkan dia sendiri belum menyayangi suaminya.

KERANA TAKDIR ITU...BAB 17

Bab 17
Hujung minggu itu, Munirah menyediakan sarapan pagi seperti biasa dengan menyediakan pancake dan mee hoon goreng ala Singapura. Suaminya Firas Amsyar juga masih tidak dari bilik tidurnya. Apabila melihat jarum tangan dinding yang sudah menginjak ke 8.30 pagi, dia memberanikan diri untuk mengetuk pintu kayu yang dicat berwarna putih itu. Ketukan sebanyak tiga kali tidak mendatangkan hasil. Akhirnya Munirah memusingkan tubuhnya untuk ke ruang tamu.
            ‘’Tak reti nak bagi salam ke?’’ spontan kaki Munirah menghentikan langkahnya.
            Dia memalingkan tubuhnya menghadap suamin yang tampak kacak bert-shirt Giordano dan berjeans biru gelap. Kacak. Itu ayat yang terbit daripada hati Munirah setelah melihat suaminya yang bergaya ringkas di pagi ahad itu.
            ‘’Assalamualaikum dan selamat pagi, Encik Firas. Jom, kita breakfast!’’ sapa dan lawa Munirah ceria dan bersahaja. ‘Wanginya suami aku pagi ini, rasanya bukan minyak wangi yang dia selalu guna, ‘ monolog Munirah.
            Firas Amsyar menutup pintu biliknya. ‘’Waalaikumussalam. Morning. Nanti lepas breakfast tolong ambil baju kotor aku dalam bilik,’’ arah Firas Amsyar dan dengan selamba menepuk perlahan pipi kiri yang tembam putih gebu milik isterinya. Gayanya bersahaja.

PROJEK ENOVEL...BAB 16

BAB 16
Segala kerjanya pada pagi ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana ingatannya asyik diterpa oleh wajah Munirah yang begitu mesra melayan kanak-kanak di tadikanya. Pagi tadi, selepas menghantar Munirah, dia sempat memerhati dari jauh gelagat Munirah berbicara dan memeluk mesra seorang kanak-kanak perempuan yang comel itu. Satu perasaan halus mencuit jiwa lelakinya. Entah sebab apa hatinya bagaikan sudah ‘terjatuh hati’ dengan isteri  yang dinikahi atas permintaan umi dan abahnya, namun perasaan itu cuba dihalau dengan mengingati wajah dan gaya Amelia yang manja dan romantis itu.
          ‘’Aku tak boleh jatuh cinta pada dia!Aku mesti benci dia!” ujar Firas Amsyar sendiri. Dia perlu menghalang perkara tersebut berlaku kepada dirinya. Hatinya tidak akan sesekali ‘tunduk’ kepada isterinya.
          ‘’Hei, pengantin baru dah masuk kerja?Cepatnya naik,’’ sapa Lukman setelah menyedari pejabat Penolong Pengarah Eksekutif itu ada penghuninya. Dia baru sahaja pulang dari tapak projek untuk melihat perkembangan pembinaan lot rumah kos sederhana di Taman Indah Jaya.

Sunday, March 23, 2014

PROJEK ENOVEL KERANA TAKDIR ITU...BAB 15

Bab 15      
Munirah tampak cantik apabila menyarungkan kurung Johor fabrik kapas yang dibelinya dua bulan lepas. Tudung bawal digayakan ala Wardina. Wajah disapu bedak asas dan sedikit gincu merah jambu lembut dicalit dibibir mungilnya. Setelah puas melihat wajahnya dan gayanya  pada cermin lalu mencapai beg berwarna hitam itu ke bahu.
          Ketika Munirah keluar dari bilik, Firas Amsyar sedang mengenakan tali leher di ruang tamu di hadapan cermin bersar yang terdapat di ruang itu. Cermin yang diletakkan bagai menimbulkan ruang besar dan luas bagi apartment tiga bilik itu. Dia tidak tahu pula suaminya juga bekerja pada hari ini. Fikir dia, suaminya masih bercuti.
          ‘’Encik Firas, saya dah sediakan sarapan. Jemputlah minum. Saya pergi dahulu ya, ‘’ beritahu Munirah sambil memakai kasut bertumit rendah jenama Bata itu. Kasut yang sangat selesa digunakannya. Bata, jenama yang jarang diminati oleh orang muda sepertinya. Tetapi Munirah menyukai jenama kasut itu kerana kualiti dan keselesaan yang diutamakan oleh jenama antarabangsa itu.
          ‘’Ada aku kata, kau boleh pergi sekarang?’’ soal Firas Amsyar selamba dengan tangan masih lagi membetulkan tie dilehernya. Pagi ini dia mengenakan kemeja lengan panjang berwarna biru muda dan dipadakan dengan tie berwarna biru tua. Dia mahu ke pejabat pagi ini walaupun cuti kahwin yang diberi oleh abahnya masih berbaki. Lebih baik menyelesaikan segala projek yang menguntungkan daripada berehat di rumah. 

Sunday, March 2, 2014

CERPEN SAYANG, KU LEPASKAN KAU PERGI [FULL]

Cerpen : Sayang, ku lepaskan kau pergi...

Hari itu, hari ulang tahun perkahwinan aku bersama suamiku yang tercinta,  Fakhri Adli. Ini tahun yang keempat kami hidup bersama menjalani kehidupan rumah tangga yang cukup bahagia.  Bagi orang lain mungkin ulang tahun perkahwinan akan diraikan dengan penuh kegembiraan namun,  tidak bagi kami berdua. Aku dikejutkan dengan apa yang dikhabarkan oleh doktor bahawa suamiku, Fakhri Adli disahkan menghidap Leukemia setelah seminggu dimasukkan ke hospital. Ya Allah, rasa luluhnya hatiku ketika mendengar bait-bait kata  yang keluar daripada mulut doktor itu. Aku memandang raut wajah suami aku yang keihatan tenang menerima penerangan daripada doktor lelaki yang dalam lingkungan 40 tahun itu.
‘’Doktor, ada harapan untuk suami saya sembuh?’’ soalku perlahan dalam mengawal emosiku.
‘’Maaf, puan. Ketika ini saya tak mampu memberi sebarang jaminan kerana penyakit Leukemia yang dihidapi oleh Encik Fakhri berada diperingkat kronik. Kandungan sel darah putih dalam tubuh Encik Fakhri semakin bertambah dari hari ke hari. Keadaan Encik Fakhri juga semakin lemah,’’ terang Mr. Nazri, Pakar Hematologi yang merawat suamiku. Riak wajahnya aku nampak tenang menyampaikan berita namun, terselit juga simpati dalam gaya profesionalnya.
Aku bertambah sebak mendengar penjelasannya. Ketika ini, hatiku bagai dibawa pergi daripada jasadku yang hampir rebah ke bumi. Bayi dalam kandunganku yang berusia enam bulan bergerak-gerak dan menendang perutku seakan memahami situasi Ibu dan ayahnya ketika ini. Kandunganku ini merupakan anak kedua kami. Anak sulung kami, Darwisy Hakimi yang berusia tiga tahun kini berada dalam penjagaan ibu mertuaku buat sementara waktu. Maklumlah dalam seminggu ni aku terkejar-kejar dengan tugasku sebagai isteri, ibu dan pendidik.
‘’Encik Fakhri dan Puan Farhana jangan risau. Kami sebagai doktor akan cuba yang terbaik dalam merawat apa jua penyakit cuma pengakhirannya kita serahkan segalanya kepada ALLAH S.W.T kerana DIA yang Maha Penyembuh. Saya berharap awak berdua tabah dan sabar dengan dugaan ini. Ingatlah setiap penyakit itu apa ubatnya, kecuali mati.’’ Mr. Nazri lagi menyambung kata lagi sebelum berbincang semula dengan kumpulan perubatannya.
Aku mengambil tangan kanan suamiku dan menggenggam erat dengan harapan tindakanku ini akan menyuntik semangat dan kekuatan dalam diri suamiku.
‘’Abang...’’ panggilku lembut.
‘’Ya, sayang. Abang tak apa-apa. Abang reda kalau ni dah takdir-NYA.‘’ Suamiku membalas lemah.
Aku sedar ketika ini mataku semakin memerah dan bila-bila sahaja air mata ini akan mengalir. Dugaan diulang tahun perkahwinan ini cukup mengacau emosiku ketika ini. Akhirnya, aku tak mampu menahannya. Aku menghamburkan tangisan didada suamiku.
Tangan suamiku mengusap-usap kepalaku yang dilitupi tudung bawal itu.
‘’Sayang, kena janji dengan abang yang sayang tak akan sedih.  Abang tak nak sayang sedih. Abang nak sayang kuat. Kalau sayang kuat, abang pun akan kuat. Anak-anak kita pun akan kuat,’’ pinta suamiku sambil tangannya bergerak ke arah perutku yang membawa benih cinta kami.
‘’Sayang janji, bang.’’ Aku membalas lemah sambil memegang erat tangannya.
***
Sejak suamiku disahkan menghidap penyakit Leukemia, kehidupan kami sekeluarga sedikit berubah dek badai ujian yang ALLAH S.W.T beri kepada kami. Kini suamiku tidak mampu bekerja lebih sedikit kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Jika sebelum ini, suamiku akan ke tapak pembinaan kerana tugasnya sebagai Juruukur bahan. Kini, situasi itu telah berubah. Suamiku hanya melakukan kerja di pejabat dan memantau sekali sekala di tapak projek syarikatnya. Suamiku mudah letih dan penat. Tenaganya sudah tidak seperti dahulu. Aku yang banyak menguruskan hal rumah tangga. Jika sebelum ini tugas ke pasar dan membeli barang dapur kami lakukan bersama namun, dek ujian ini aku perlu melakukannya sendirian.
Rasa canggung melakukan semua itu tanpa suamiku. Kandungan yang semakin sarat, menyebabkan aku mudah berasa penat. Kadang-kala sehingga tidak perasan tubir mata ini berlopak disebabkan goyahnya jiwa menghadapi ujian hidup.
‘’Sayang, penat ya? Maafkan abang sayang. Abang dah banyak susahkan sayang sejak abang sakit ni, ‘’ sapa suamiku ketika aku membaringkan badan di sisi suamiku di atas peraduan kasih kami. Ketika itu, jam sudah melewati sebelas malam. Waktu untuk aku melepaskan lelah.
Tersentuh hatiku dengan luahan suamiku itu. Aku tahu dia berasa kerdil ketika ini kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai suami dalam keadaan yang sangat terbatas.
‘’Abang, tak pernah susahkan sayang. Kitakan dah janji masa malam pertama yang kita akan bersama dalam apa pun keadaan kita. Susah mahu pun senang, ‘’ balasku sambil membawa tangan kirinya ke dadaku dan meletakkan kepalaku di dadanya. Itulah janji kami untuk berada bersama dalam susah mahu pun senang. Di kamar pengantin itu juga kami berjanji untuk saling menyokong antara satu sama lain.
Suamiku mengusap-usap kepalaku. Dia mencium ubun-ubun kepalaku. ‘’Abang ingat sayang. Tapi abang sedih tengok sayang kena buat segalanya sendiri. Pergi pasar sendiri. Hantar anak kita ke taska.’’ Suamiku Fakhri Adli meluahkan rasa hatinya. Rasa ketidakmampuannya menjalankan tanggungjawab sebagai suami. Jika sebelum ini, tugas menghantar Darwisy Hakimi ke taska merupakan tanggungjawabnya pada setiap pagi hari bekerja.
Luluh hatiku sebagai seorang isteri. Suamiku sebelum disahkan menghidap penyakit kanser darah ini, seorang yang sangat aktif. Seminggu sekali pasti diluangkan masanya untuk bermain futsal. Tanggungjawabnya sebagai suami tidak pernah culas sekali pun. Dia yang akan menguruskan segala-galanya termasuklah membeli barang dapur dan barangan basah seperti ayam, ikan dan sayur. Kadang-kala aku hanya perlu memasak sahaja kerana dia sudah menyiapkan bahan-bahan kerana dia mahu tangan aku yang menumis dan mengacau lauk. Dia kata dia hanya mahu makan air tangan ibu dan ibu mertua serta isterinya sahaja. Oleh sebab itulah, kami jarang makan di luar.
‘’Abang janganlah sedih. Sayang kuat, bang. Abangkan masih mampu imamkan solat sayang? Itu yang penting, bang. Solat sayang tanpa abang sebagai imamnya tak lengkap, bang.’’ Aku memujuk suamiku. Aku mengesat mata yang telah melimpah kolam airnya. Mata ini asyik benar didatangi bah sejak dua menjak ini.
Dialah suamiku, dialah imamku. Dia yang mengimamkan solat berjemaah kami ketika di rumah. Dia juga imam yang membimbing aku selama ini. Suamiku mengambil aku sebagai isteri dalam keadaan aku yang masih lompong dengan ilmu agama. Dia yang banyak membimbing aku untuk sentiasa dekat dengan Islam. Hidup berlandaskan Islam bukan atas nama sebagai muslim sahaja.
Aku mula mengubah posisi dengan menyandarkan tubuh ke kepala katil. Aku mengusap-usap ubun-ubun suamiku. Aku mengucup dahi suamiku yang luas. Tangan suamiku meragut tangan kananku. Aku cuba mengatur kata.
‘’Abang, macam mana rawatan kemoterapi yang Mr. Nazri syorkan buat abang?Bila mulanya?’’ soalku perlahan sahaja. Aku takut seandainya suamiku marah. Mr. Nazri, Pakar Hematologi yang merawat suamiku telah menyarankan suamiku untuk menjalani kemoterapi bagi membunuh sel-sel kanser yang terdapat pada darah atau sum-sum tulangnya pada setiap hari selama seminggu dan mengulanginya setelah tiga minggu. Ini kerana, suamiku menghidap Leukemia Mieloid Akut atau Acute Myeloid Leukemia (AML). Jenis Leukemia yang sering terjadi kepada golongan dewasa.
Suamiku bangkit daripada pembaringannya. Dia memandang aku dengan tenungan yang paling dalam. Anak mata kami saling bertemu. Pandangan itulah yang menerbitkan rasa cinta antara kami dahulu. Dia memegang kedua-dua tanganku.
‘’Abang tak nak buat kemo, Ana.’’ Suamiku bersuara tegas.
Aku mengeratkan genggaman tangannya. ‘’Bang, tolonglah cuba dahulu. Kita kena usaha,bang. Ana akan teman abang.’’ Aku berusaha memujuk suamiku untuk menjalani rawatan yang cukup ditakuti masyarakat. Rawatan yang dimomokkan sebagai rawatan yang memberi kesan yang sangat teruk. Kesan-kesan seperti keguguran rambut, rasa mual dan loya serta kehilangan selera makan.
‘’Ana tak faham ke cakap abang?Abang tak nak!’’ bentak suamiku tegas. Dia sudah membaringkan semula tubuhnya dan membelakangi aku.
‘’Abang tak sayang Ana dan anak-anak ke?’’ soalku pilu sambil mengusap-usap kandunganku dan mengerling ke katil bayi yang menempatkan anak sulungku, Darwisy Hakimi. Suasana bilik yang suram seakan menambahkan lagi rasa suram dihatiku ini.
‘’Ana jangan paksa abang boleh tak?’’ bidas suamiku tegas dalam posisinya. Dia tidak mahu memandang wajah isterinya ini sedikit pun. Aku tidak tahu sebab apa dia tidak mahu langsung menjalani rawatan kemoterapi itu. Puas Mr. Nazri memujuk. Keluarga aku dan keluarga mertua juga jenuh memujuk. Aku mahu dia berikhtiar. Walaupun suamiku ada mengambil makanan tambahan bagi menguatkan sistem daya tahan badan daripada mudah diserang penyakit. Simptom yang biasa dialami oleh pesakit Leukemia.
Aku menurunkan tubuhku perlahan-lahan. Aku juga membaringkan tubuhku. Aku mengiring menghadap tubuh sederhana suamiku yang selama ini tegap dan sasa berubah drastik menjadi kurus. Aku merangkul pinggangnya. Aku peluk erat tubuhnya. Tubuh kami diselubungi gebar tebal berkain satin itu.
‘’Abang, Ana sayang sangat dengan abang. Ana terlalu...sayangkan abang,’’ ucapku tulus dalam tangis di tepi telinganya. Aku menghamburkan tangisan. Ya Allah berat ujian-Mu tak tertanggung hamba.
Telingaku yang nipis dapat mendengar tangisan perlahan. Kemudian, suamiku membalikkan badannya menghadap aku. Dia memegang kedua-dua belah pipiku. Rambutku panjang mengurai yang hampir menutupi mataku, disebakkannya. Dia mengesat air mataku dengan jari-jarinya. Dikucupnya dahiku dan kemudian kucupan itu beralih dengan bertalu-talunya di pipiku.
‘’Abang juga terlalu menyayangi Ana. Terlalu sayang...’’ ucap suamiku lirih.
‘’Kalau abang sayang Ana dan sayangkan anak-anak kita, abang buatlah kemo. Tolonglah, bang!’’ rayuku. Aku membawa tangannya ke arah abdomenku yang semakin memboyot ini.
Suamiku diam. Kami hanya saling memandang antara satu sama lain. Pandangan itu menerobos ke dalam hatiku. Pandangan itu penuh rasa cinta dan kasih yang melimpah buatku. Kami jatuh cinta tatkala mata hitam kami bertembung. Daripada mata turun ke hati. Cinta kami bermula daripada pandangan mata kami yang saling tertarik antara satu sama lain ketika terselisih semasa di pusat membeli-belah. Bermula pandangan yang mempesona itu kami berjanji untuk hidup bersama.  
‘’Sayang teman abang jumpa doktor esok, ya?’’ kata-kata itu cukup membuatkan aku mengukir senyuman gembira yang bukan kepalang. Aku menarik tubuh kurus suamiku ke dalam dakapanku.
‘’Terima kasih, bang. Esok Ana teman abang jumpa Mr. Nazri okey.’’ Aku menyetujuinya. Aku begitu gembira dan bersyukur dengan keputusan suamiku.
‘’Okey, kita tidur. Esok pagi kita jumpa Mr. Nazri. Abang rindu sangat dengan sayang...’’ ucap suamiku manja dan lembut sekali dicuping telingaku. Aku sudah tersipu malu.
Dalam keadaan memeluk kejap tubuhnya. Aku berbisik lembut. ‘’Degup jantung ini seiring lagu cinta buat, abang.’’
Malam itu kami tidur dalam dakapan erat. Seakan tidak mahu berpisah. Kerinduan kami memang tiada hadnya. Aku sentiasa merindui kasih sayang dan belaian jiwanya buat diriku. Cintaku padanya sentiasa mekar tiap detik dan saat. Walau apa pun yang kami lalui, aku tidak mahu menyingkirkan dia daripada hidupku. Walaupun adakalanya, telinga ini pijar dek kata-kata nista orang. Mereka menghina aku kerana kata mereka aku tengah mengira detik bergelar janda. Aku pedulikan apa jua kata mereka. Aku akan tetap berpaut pada kasih Ilahi dan suamiku yang tercinta.
***
Hari ini hari keenam suamiku menjalani rawatan kemoterapi di Wad Penjagaan Paliatif (PCU). Aku setia menemani suamiku. Aku telah mengambil cuti mengajar selama seminggu untuk menemani suamiku menjalani rawatan kemoterapi berturut selama tujuh hari itu. Rawatan kemoterapi yang dijalani buat kali pertama setelah puas aku, keluargaku dan keluarga dia memujuk.
Aku akui prestasi mengajarku semakin menurun ketika ini. Tumpuan mengajar semakin terbang ke awan. Pengetua juga ada menyarankan kepadaku untuk mengambil cuti lama untuk menumpukan perhatian buat suamiku tapi aku rasa kasihan terhadap anak muridku yang kehausan ilmu. Aku tak boleh korbankan ilmu mereka. Tidak apalah aku biarkan segalanya seimbang.
Aku melihat rambut suamiku semakin berkurangan setelah menjalani beberapa kitaran kemoterapi. Rasa mual dan muntahnya juga semakin ketara. Apa jua makanan yang aku hidangkan hanya dijamah sedikit sahaja. Aku sedaya upaya memujuk dia menikmati makanan, aku tidak mahu dia nampak lemah. Aku mahu dia bertenaga dan bersemangat.
‘’Abang tak tahan, sayang. Ubat ni panas sangat,’’ adu suamiku lemah. Bergenang air mataku.
‘’Abang bertahan, ya. Ana ada kat sini teman abang.’’ Aku memujuk suamiku lembut sambil mengusap-usap ubun-ubunnya lembut. Aku mengucup dahinya yang sedang berbaring lemah di atas katil hospital. Tangan kanannya aku genggam erat. Tangan kirinya dicucuk dengan branula berwarna merah jambu itu. Aku nampak suamiku kadang kala sedikit menyeringai dan mengurut tangan seakan cuba melegakan salur darahnya yang dilalui ubat kemo itu. Aku tahu ubat itu sedikit pedih. Botol yang mengandungi ubat pembunuh sel abnormal dalam tubuh suamiku turut disarungkan kain gelap bagi mengelakkan penembusan cahaya.
Aku bersyukur kerana para doktor dan jururawat di situ sentiasa memberi semangat buat kami suami isteri dan juga buat pesakit lain. Pelbagai jenis kanser aku temui di wad itu. Paling banyak sekali kanser payudara bagi wanita. Perkara yang paling mengejutkan aku ada juga terdapat seorang pak cik menghidap kanser payudara bagi kaum lelaki. Kuasa ALLAH memang terlalu luas. Tidak disangka pembunuh utama wanita itu turut mengancam kaum adam.
***
Pagi ini, suamiku akan menjalani rawatan susulan bersama Mr. Nazri. Tempoh menunggu yang lama membuatkan suamiku sedikit letih. Dia melentokkan kepalanya dibahu kananku sambil memeluk tubuhnya sendiri yang berbaju panas. Dia kesejukkan kerana suhu penghawa dingin yang rendah. Aku mengusap-usap belakang suamiku. Wanita yang berada di sebelah suamiku memberi senyuman manis buatku. Aku membalas seadanya. Tangan kiriku mengusap-usap perutku.
‘’Doktor macam mana keadaan suami saya?Ada harapan untuk dia pulih?’’soalku lembut kepada Mr. Nazri yang nampak segak dalam kemeja lengan panjang yang berwarna hitam itu.
Suamiku berbaring di atas katil yang dilindungi skrin merah jambu itu. Sebentar tadi, Mr Nazri baru sahaja memeriksa fizikal suamiku. Suami yang amat kucintai dan kasihi.
Aku nampak doktor itu menghela nafas pendek.’’Keadaan Encik Fakhri Adli semakin membimbangkan. Rawatan kemoterapi yang dijalaninya tidak banyak membantu puan.” Mr. Nazri menerangkan keadaan suamiku dengan wajah yang sugul.
Aku memandang ruang yang melindungi suamiku itu. “Maksud doktor?’’ ajuku lagi tidak berpuas hati dengan jawapannya itu tadi.
Mr. Nazri meletakkan pen yang dipegangnya dan menaup rapat kedua-dua tangannya. Dia menarik nafas panjang. ‘’Saya tahu saya hanya seorang doktor tetapi menurut pemerhatian saya, jangka hayat suami puan lebih kurang enam bulan sahaja.’’ Kata-kata itu umpama tamparan hebat buatku. Aku meraup wajahku. Bayi dalam kandunganku tiba-tiba menendang dinding perutku. Dia juga seakan terkejut menerima berita itu.
‘’Doktor pasti ke?Kemoterapi tu tak akan tak dapat membantu suami saya?’’ soal aku lagi dalam nada suara yang cuba dikawal. Ya Allah, tabahkanlah hatiku!
‘’Puan, kemoterapi hanya sebagai rawatan alternatif yang bertujuan membunuh sel stem yang bermasalah tapi malangnya tubuh Encik Fakhri sudah tidak mampu menerimanya. Kandungan platelet darah yang penting dalam proses pengumpulan darah juga semakin kurang. Jikalau puan perasan, tubuh suami puan banyak kesan lebam,’’ terang Mr. Nazri panjang. Dia menulis sesuatu dalam laporan kesihatan suamiku. Aku akui, tubuh suamiku banyak kesan lebam. Lukanya juga lambat untuk sembuh dan pendarahannya juga luar biasa.
‘’Tapi puan, ini hanya jangkaan saya. Puan jangan berputus asa untuk membantu suami puan untuk sembuh. Sesungguhnya ajal dan maut itu di tangan Allah bukan saya sebagai doktor. Teruskan beri sokongan buat suami puan. Gembirakanlah dia.’’ Mr. Nazri menitipkan kata semangat buatku. Dia mengukir senyuman paling manis dan penuh harapan.
Jururawat bernama Azura yang turut bertugas dalam bilik rawatan itu, menghadiahkan senyuman manis buatku. Aku membalas senyuman itu dengan seadanya. Aku membawa suamiku keluar setelah mengucapkan terima kasih kepada pakar perubatan itu.
Sebelum aku keluar, jururawat bernama Azura itu mendekatiku.
‘’Tabah ya, dik. Kuatkan semangat. Ingat anak dalam kandungan tu.’’
Aku hanya mengangguk lemah. Kata-kata itu walaupun tampak seperti kata-kata biasa yang diucapkan oleh orang lain namun, tetap memberikan sedikit suntikan kekuatan buatku.
***
Hujung minggu itu, aku sempat membuat sambutan ulang tahun kelahiran yang ketiga buat putera sulung kami, Darwisy Hakimi. Dalam sibuk dan termengah-mengah melakukan semua perkara sendiri, aku masih berupaya merencanakan majlis istimewa buat buah hati pengarang jantungku itu.
Kedua-dua belah keluarga memenuhi rumah teres dua tingkat milik kami sekeluarga. Aku mahu memberi kegembiraan buat suamiku dan anakku. Aku kasihan kepada Darwisy Hakimi kerana mama dan babahnya telah banyak ‘terabaikan’ dia disebabkan  telah banyak menyerahkannya ke tangan nenek dan tok ayahnya. Perhatian kepada kesihatan babahnya lebih menjadi tumpuanku.
Aku lihat suamiku begitu ceria pada hari ini. Dia banyak meluangkan masa bersama penyeri hidup kami. Aku gembira melihat mereka ketawa dan bergurau bersama. Mulut Darwisy Hakimi yang semakin petah bercakap sangat mengembirakan babah dan mamanya ini.
Aku sedang menggoreng mee hoon ala Singapura di dapur. Mee hoon goreng yang sangat sesuai dihidangkan buat anak-anak kecil kerana tiada kandungan cili. Hanya menggunakan, biji lada hitam, bawang putih dan bawang besar. Campuran sayuran taugeh dan sawi serta lobak merah cukup memberi warna kepada masakanku. Aku juga menyediakan laksa Pulau Pinang. Adik-beradikku dan birasku turut membawa pelbagai kuih dan kek.
Kek coklat lembap yang dihiasi ganache dan coklat Smarties juga hasil bancuhanku. Tersenyum gembira buah hatiku melihat mamanya yang bersilat di dapur pada awal pagi. Suamiku turut membantu. Kami melakukannya bersama. Suamiku seorang yang ringan tulang. Cukup rajin membantu aku melakukan kerja rumah.
Hari itu juga kaum keluarga kami tidak putus-putus memberi kata semangat buat suamiku. Mereka semua sudah mengetahui jangka hayat yang dijangkakan oleh Mr. Nazri. Tetapi kami semua masih berpegang teguh kepada qada’ dan qadar Allah. Sesungguhnya kematian itu pasti, cuma kita tidak tahu masa dan cara nyawa kita akan diambil oleh Pencipta.
Mungkin jangkaan orang, suamiku yang akan pergi dahulu mendahuluiku. Tidak mustahil aku yang bakal dijemput Ilahi terlebih dahulu. Manalah tahu nyawaku diambil tatkala melahirkan buah cinta kami nanti?
‘’Sayang, kalau abang dah tak ada nanti abang izinkan sayang carilah pengganti abang. Carilah ayah buat anak-anak kita. Kasihan mereka sayang. Abang tak nak biarkan mereka membesar tanpa belaian dan asuhan seorang bapa.’’ Tiba-tiba petang itu selepas kepulangan ahli-ahli keluarga kami, suamiku menyuarakan perasaannya.
‘’Tak mungkin, bang. Abang seorang sahaja lelaki selain ayah dan Darwisy dihati Ana. Ana nak jadi isteri abang di dunia dan akhirat.’’ Aku bertingkah. Aku mungkin kelihatan seperti mementingkan diri sendiri.
‘’Tapi sayang, masa abang dah tak lama. Bila-bila sahaja abang akan bertemu DIA.’’ Suamiku membalas lembut. Peritnya hati ini apabila seorang suami sudah berpesan begini. Tidak ubah seperti suami yang meminta izin untuk berpoligami. Aku tidak pernah terfikir akan hal ini. Apabila aku sah sahaja ditabalkan sebagai isterinya, aku mahu menjadi isterinya di dunia dan di akhirat.
‘’Abang tolonglah jangan cakap macam tu. Ana tak mampu nak kehilangan abang dalam hidup Ana dan anak kita,’’ rayuku. Aku belum bersedia untuk ‘melepaskan’ dia pergi daripada hidupku di dunia yang fana ini. Aku masih memerlukan dan mahukan dia di sisiku sebagai suamiku dan babah buat anak-anak kami.
Suamiku mengangkat daguku. Aku nampak air matanya mengalir di pipi cengkung suamiku. Begitu juga di pipi tembam milikku.
‘’Sayang, harus bersedia. Abang tak tahu sampai bila Allah masih pinjamkan nyawa dan hidup abang untuk bersama sayang dan anak-anak kita. Sayang perlu belajar untuk hidup tanpa abang. Abang tahu sayang kuat. Isteri abang tabah orangnya. Abang pun tak tahu sampai bila abang mampu melawan sakit ini. Janji dengan abang, jikalau sampai masanya ‘itu’ lepaskanlah abang pergi ya.’’ Suamiku bertutur dalam sendunya.
Aku menarik tubuh suamiku ke dalam dakapanku.  Aku memeluk tubuh kurus itu seerat yang boleh. Aku melambakkan tangisanku di bahunya. Darwisy Hakimi yang sedang bermain dengan kereta mainan pemberian Mak Usu Jannah, adik suamiku, mendatangi kami.
‘’Babah, mama nangis?’’ soal buah hatiku dalam telor pelatnya.
Aku melepaskan diri daripada pelukan suamku. Aku mengambil Darwisy Hakimi dan meribanya. Pipi tembamnya aku cium bertalu-talu. Kemudian, babahnya pula mengambilnya daripada ribaanku. Dia juga melakukan perbuatan yang sama lalu tubuhku yang sarat mengandung ini dirangkul jua. Berpeluklah kami tiga beranak.
***
Kandunganku sudah menghampiri due yang telah dianggarkan oleh Pakar Perbidanan yang menjagaku. Bila-bila masa sahaja aku akan melahirkan tanda cinta kami yang kedua ini. Aku dan suami begitu gembira saat mengetahui diri ini hamil buat kali kedua setelah betul-betul bersedia untuk memberi adik buat Darwisy Hakimi. Pada mulanya, Darwisy Hakimi kuat merajuk apabila melihat perut kempisku berubah menjadi buncit sikit demi sedikit. Dia asyik dengan babahnya. Dia tidak mahu bermanja dengan diriku. Lebih-lebih lagi dia sudah berpisah susu badan. Puas aku ‘membeli’ jiwanya. Alhamdulilah, masuk sahaja trimester kedua dan alahanku sudah berkurangan, buah hatiku kembali manja dengan mamanya ini. Geli hati mengenangkan telatah putera sulungku itu.
Suamiku walaupun semakin lemah hari ke hari, dia tetap berusaha untuk terus menikmati sisa-sisa hidupnya bersama aku isterinya dan anak kami. Akhir-akhir ini, aku lihat suamiku begitu manja dengan ibunya dan ibuku. Ada sahaja masakan yang diminta olehnya daripada kedua-dua ibunya. Suamiku memang menantu kesayangan ibuku. Dia melayan dan menyayangi ibuku persis melayan ibu kandung. Tiada beza.
‘’Mak, along nak makan asam pedas ikan pari dengan pucuk paku masak lemak bersama keledek.’’ Suamiku meminta manja dengan ibunya. Dia berbaring di riba ibunya begitu manja sekali. Naik cemburu pula aku melihatnya. Kalau dengan aku tak adalah sebegitu manja kebelakangan ini. Manja-manja setiap hari tu wajib tapi tiada sebegitu manja. Aku yang lebih memanjai dia.
Ibu mertuaku, Hajah Aminah mengusap-usap ubun-ubun anak lelaki sulungnya itu.
‘’Yalah, nanti mak masakan,’’ ujar ibu mertuaku lembut. Dikucup ubun-ubun anaknya itu.
Aku ingatkan dia manja dengan maknya sahaja. Ibuku Puan Norhayati turut dia bermanja. Dia memeluk bahu ibuku mesra.
‘’Ibu, Ad nak makan ayam masak merah dengan sayur paprik. Ibu masakan untuk Ad ya.’’ Suamiku meminta selamba. Dia mengerling-ngerlingku bertujuan membuat aku cemburu. Aku hanya menjuihkan bibir. Suamiku memang kuat menyakatku apabila dapat peluang bermanja dengan ibu mertuanya.
‘’Tak ada masalah, Ad. Nanti ibu masakkan ya untuk menantu ibu ni.’’ Ibuku membalas dengan senang hati.
‘’Ana, tak boleh makankan, bu?’’ sakat suamiku selamba. Ibuku sudah ketawa kecil. Seawal usia perkahwinan kami, suamiku Fakhri Adli pandai meletakkan dirinya dihati ibu dan ayahku. Sifat penyayang dan pengasih suamiku memang terserlah.
‘’Yalah, abang ‘anak’ ibu. Ana ni, ‘menantu’ ibu.’’ Aku membalas dengan nada berpura-pura merajuk.
Suamiku dan ibuku sudah ketawa besar. Seronok sekali mereka dapat menyakat isteri dan anak perempuannya.
***
Kandunganku genap Sembilan bulan tujuh hari. Kontraksi semakin terasa. Perut sudah rasa memulas. Pergerakan bayi dalam kandungan semakin aktif. Mengikut ujian ultrasound yang dilakukan, jantina bayiku kemungkinan perempuan. Orang yang paling gembira tentulah suamiku kerana dia mengharapkan kehadiran ‘puteri’ dalam hidup kami.
Pagi itu ketika mahu ke bilik air untuk membersihkan diri, aku berasa pehaku basah dihujani air ketuban.
‘’Abang, air ketuban dah pecah!’’ jeritku dari dalam bilik air kami.
‘’Ya Allah, sayang dah nak bersalin ni. Abang bersihkan sayang dahulu. Lepas ni kita ke hospital.’’ Suamiku terus membantuku membersihkan diriku.
Dalam keadaan suamiku yang semakin lemah, dia menemaniku dewan bersalin. Bukaan rahimku baru empat sentimeter. Aku perlu menunggu sekurang-kurangnya tujuh ke lapan sentimeter. Akhirnya setelah bertarung selama hampir sepuluh jam, aku selamat melahirkan seorang puteri yang comel. Wajahnya persis babahnya. Kata orang, kalau anak perempuan ikut wajah bapa akan sejuk.
Suamiku begitu gembira dengan kelahiran Damia Humairah. Aku melihat dia seolah-oleh sudah terlupa kesihatan dirinya yang semakin meruncing itu. Aku berharap, kehadiran puteri kami akan menguatkan lagi semangat suamiku.
‘’Sayang, janji dengan abang ya didiklah putera dan puteri kita sebaik mungkin. Ajari mereka membaca al-quran sekurang-kurangnya nanti mereka boleh menyedahkan roh abang Al-fatihah. Abang tahu, abang dah tak ‘sempat’ nak tengok anak-anak kita membesar. Masa abang dah semakin tiba.’’
Aku sudah menahan kolam mataku yang hampir melimpah. Aku berada dalam dakapan suamiku yang tercinta.
‘’Abang, janganlah cakap macam ni! Abang tahu tak, siang dan malam Ana minta Allah lanjutkan usia Ana dan abang supaya kita dapat besarkan dan didik anak kita bersama-sama!’’balasku lirih sekali.
Aku melambakkan tangisan di bahu suamiku. Aku tak mampu mendengar lagi pesanan dia.
***
Hari ini, aku tamat menjalani pantang 44 hari. Tempoh berpantang yang sungguh memilukan kerana suamiku kerap keluar masuk wad. Kekurangan haemoglobin puncanya. Kepalanya semakin botak. Pipinya yang cembung menjadi semakin cengkung. Bibirnya semakin pucat. Sayu hatiku melihat fizikal suamiku. Aku tak dapat menemani dia di wad. Hanya ibu mertuaku yang menjaga suamiku di wad. Lirih hatiku tak dapat menemaninya. Keadaan fizikal yang masih belum kuat selepas bersalin menghalang aku untuk bersama suamiku.
Walaupun suamiku kini sakit, cinta dan kasihku buat dia tak pernah berubah. Dia lelaki yang aku cinta. Dia lelaki yang telah aku serahkan jiwa dan raga untuk mengharungi hidup bersama. Aku sangat sayangkan dia.
Petang itu, kami empat beranak beriadah di taman yang berdekatan rumah kami. Kami ingin membawa Damia Humairah keluar melihat dunia setelah 44 hari berpantang di rumah. Bulat matanya yang apabila aku baringkan dia dalam kereta sorongnya. Mata bundar yang diwarisi daripada babahnya.
‘’Ana, masih ingat tak first time kita jumpa?’’ soal suamiku Fakhri Adli sambil memaut bahuku mesra. Aku melentokkan bahu kepalaku di bahunya. Suamiku memakai snow cap. Kepalanya dah semakin botak. Walaupun fizikalnya semakin berubah tetapi dia tetap sama dihati ini saat kali pertama kami bertemu. Ketampanan dan kekacakkan suamiku akan sentiasa terakam dimata dan hati ini. Senyuman dan tawanya akan menjadi pengubat kesedihanku.
Darwisy Hakimi nampak ligat bermain papan gelongsor bersama kawan-kawan sebayanya. Kami memerhati dari jauh. Aku mahu dia bergaul tanpa perlu diawasi dari dekat. Mahu melihat cara puteraku berkawan. Kami telah membentangkan tikar untuk kami duduk lebih selesa.
‘’Mestilah ingat. Ingat sangat. Mahu tak ingat panahan abang tu. Menusuk ke kalbu,’’ jawabku mesra. Damia Humairah sudah berada dalam pangkuan babahnya. Cuaca yang cerah dan berangin amat mendamaikan.
‘’Ya ke?Maknanya sayang terus jatuh cinta dengan abang masa tu?’’ soal suamiku ingin tahu sambil memberi pandangan mesra buatku. Pandangan yang penuh rasa cinta.
‘’Yalah...cair  tengok renungan abang tu.Tajam sungguh,’’ jawabku sambil berseloroh. Ketawa kecil suamiku, begitu juga aku.
‘’Ya ke?Maknanya kita saling jatuh cinta pada pandangan pertama,’’ balas suamiku lembut sahaja.
‘’Betul, bang. Ana sebenarnya dulu tak pernah pun percaya cinta pada pandangan pertama. Bagi Ana mana mungkin sekali pandang terus cinta tapi bila Ana pandang aje wajah abang, jantung Ana dup dap dup dap tahu. Masa tu Ana yakin inilah yang dinamakan cinta.’’ Aku bercerita ceria.
‘’Kita saling beruntung, sayang.’’ Aku mengerutkan keningku sambil memandang wajah pucat suamiku. Wajahnya tidak mampu menyembunyikan kesihatan suamiku.
‘’Sebab Ana cinta pertama abang dan abang juga cinta pertama Ana,’’sambung suamiku sambil mengenggam tangan kananku erat. Aku membalasnya.
‘’Alhamdulilah, bang. Antara kita saling menjadi yang pertama dalam hidup masing-masing. Cinta dan kasih Ana sudah pun Ana serahkan kepada abang. Selepas kita berkenalan, hati Ana sering berkata-kata,Fakhri Adli bin Azman yang bakal menjadi suami dan imam dalam hidup Ana. ‘Rasa’ yang tidak pernah Ana rasa dengan lelaki lain. Hanya abang.’’ Aku berkongsi luahan rasaku bersama suamiku. Suami yang terlalu aku cinta. Suami yang telah aku jalani hidup bersama selama empat tahun dengan diceriakan dua penguat kasih kami. Buah cinta kami. Darwisy Hakimi dan Damia Humairah. Mereka bukti luhurnya cinta, kasih dan sayang kami suami isteri.
Suamiku, Fakhri Adli tersenyum manis dan senang mendengar luahanku.‘’Kalau abang dah tak ada nanti, Ana jangan keraskan hati untuk menyayangi insan lain ya, sayang.’’ Nampaknya suami sudah memulakan kembali babak sedih antara kami.
‘’Abang, kenapa asyik ulang perkara ni?’’ soalku lembut, namun menahan rasa. Aku sangat sedih apabila suamiku membangkitkan perihal ini. Aku tahu dia mahu ada ‘insan’ lain yang menjaga kami tiga beranak seandainya masa dia untuk bertemu kekasihnya tiba. Aku tahu. Tapi aku hanya mahu menjadi isterinya dunia dan akhirat.
‘’Sebab abang tak nak sayang rasa bersalah untuk menyayangi orang lain apabila abang dah tak ada nanti. Sayang berhak untuk jatuh cinta lagi.’’ Suamiku menjawab tenang sambil mengagah-agah Damia Humairah yang sudah pandai tersenyum. Senyuman manis yang diwarisi daripada babahnya.
‘’Ana nak jadi isteri abang dunia dan akhirat!’’ beritahuku tegas.
‘’Abang tahu, sayang isteri abang yang sangat baik dan solehah untuk abang. Ana juga ibu yang mithali untuk Darwisy Hakimi dan Damia Humairah. Terima kasih sebab sayang masih sudi berada di sisi abang hingga ke saat ini. Pilihan hati abang dahulu memang tepat.’’ Fakhri Adli mengucap lembut dalam sayu dan kelemahannya.  
Aku menahan ombak dada dan kolam mataku. ‘’Abang tak perlu cakap terima kasih sebab Ana isteri yang abang didikkan? Abang dah didik Ana untuk jadi isteri dan wanita Islam dengan sebaik mungkin. Terima kasih, abang. Lagi pun abang suami Ana yang cukup Ana cinta dan kasih. Tak akan mungkin Ana membiarkan abang bersendirian tatkala abang diuji. Susah dan sakit abang, Ana juga rasa abang. Rasanya di ‘sini’, bang...’’ ucapku jujur dan telus serta ikhlas sambil membawa tangannya ke dadaku.
Suamiku tersenyum gembira. Dia menarik kepalaku dan mendekatkan bibirnya lalu mengucup dahiku. Aku menaikkan tubir mataku agar tasik mataku tidak berubah menjadi sungai dengan jari-jariku.
Darwisy Hakimi berlari mendapatkan kami. Aku menarik dia dan meribanya. Peluhnya aku lap lembut dengan tuala kecil itu. Aku kucup pipi montelnya. Hero kecilku ini akan bijak dan tampan seperti babahnya juga. Suamiku pula mengucup pipi Damia Humairah. Dia menyerahkan puteri kecil kami kepadaku dan menarik Darwisy Hakimi keribaannya. Darwisy Hakimi mengucup pipi babahnya. Babahnya mengucup lagi pipi zuriatnya bertalu-talu. Damia Humairah aku pangku erat. Puteri yang cukup mudah untuk aku jaga dan asuh kerana Damia Humairah anak yang cukup baik. Seolah-olah dia memahami dan mengetahui keadaan mama dan babahnya.
‘Ya Allah, panjangkanlah usia suamiku dan bapa anak-anakku ini. Berilah peluang untuk kami terus berasa kasih dan sayang serta cinta seorang suami dan bapa. Ampunkan dan kasihani kami anak beranak , Ya Allah. Perkenankanlah permohonan hamba ini, Ya Allah...’ pohonku kudus dalam hati ini. Hati yang mengharap sebulatnya kepada DIA.
***
Kini sembilan bulan sudah berlalu...suamiku Fakhri Adli masih dipinjamkan oleh Allah s.w.t buat kami tiga beranak. Allah s.w.t telah membuktikan Dialah berhak menentukan ajal dan maut hamba-hamba-NYA. Keadaan kesihatan suamiku bertambah baik dari hari ke hari. Cuma dia perlu mengikuti rawatan susulan dengan teratur.
Aku telah menggunakan sebaik mungkin ‘peluang keemasan’ itu untuk menikmati hidup bersamanya dan buah cinta kami. Aku cuba belajar menghargai tiap detik dan saat bersama-samanya. Aku tanpa penat dan jemu mengucapkan kata-kata cinta dan sayang buat suamiku. Aku percaya ubat yang paling mujarab untuk suamiku saat ini ialah cinta dan kasih sayang daripada aku, isterinya. Di samping, sokongan dan kasih sayang keluarga kami.
Setiap hari inilah ucapanku. “Assalamualaikum, abang. Sayang, sangat cintakan abang. Sayang, sayang abang sangat-sangat. Ampunkan segala dosa-dosa Ana ya, bang. Halalkan makan minum Ana, bang. Terima kasih sebab abang memperisteri Ana. Terima kasih sebab jadi suami dan babah yang terbaik buat Ana dan anak-anak. I will never stop love you, darling.’’
Saat yang paling menguji adalah tatkala aku bersua dengan kawan sekampungku, Amir yang pernah melamarku dahulu.
‘’Itulah balasan kau tolak pinangan aku dulu! Sekarang ni, suami kau pun dah nak mampus!’’
‘’Jodoh itu milik aku dan Fakhri Adli! Kau tak ada hak cakap macam tu! Ajal dan maut suami aku bukan ketentuan kau!” balasku berani. Aku tak dapat menahan rasa hiba dan sedihku. Kerana dendam, orang sanggup melukakan orang lain. Aku menolak pinangan daripada keluarganya dahulu secara baik. Tetapi kenapa dia tidak dapat menerima qada’ dan qadar Allah?
Mujurlah suamiku tidak mengetahu kejadian itu. Pasti hatinya luka seluka hatiku ini.
***
Malam itu setelah menidurkan anak-anak, aku menghampiri suamiku. Dia sedang melihat album perkahwinan kami yang telah dirakamkan empat tahun dahulu. Pelik aku melihatnya. Sudah lama dia tidak menatap gambar kenangan hari bahagia kami. Dia juga melihat potret yang dirakamkan ketika aku mengandung buat pertama kalinya.
‘’Ana, cinta dan sayangkan abang sangat-sangat...’’ bisikku ditelinga suamiku, manja sekali.
Suamiku memusing kepalanya dan mengucup pipi kananku, hangat. ‘’Abang pun cinta dan sayangkan sayang sangat-sangat,’’ balas suamiku mesra dan mendekatkan hidung kami. Mata kami saling merenung. Renungan penuh cinta.
Dia meletakkan album perkahwinan kami ke tepi. Dia memaut kedua-dua bahuku. Dia memegang kedua-dua belah pipiku. Aku membalas perbuatannya. Aku mendekatkan dahi kami pula. Aku mengucup dahi suamiku lama. Aku mengucup pipi cengkung itu lama. Pelupuk mata suamiku juga aku kucup.
Suamiku pula memegang kepalaku dan mengucup ubun-ubunku lama. Pelupuk mataku dan kedua belah pipi tembamku jua. Akhir sekali, bibirku diragut lembut. Kucupan itu lama. Hangat seperti selalu.
‘’Sayang, abang bahagia sangat jadi suami sayang. Abang bersyukur sangat jadi babah untuk anak-anak sayang,’’ ucap suamiku mesra.
Aku tersenyum gembira. Aku menyatukan tangan kami. ‘’Ana pun sangat bahagia hidup bersama abang. Abang seorang suami dan babah yang terbaik seperti mana yang Ana dambakan selama ini. I really love you, bang. Abang ‘anugerah’ yang terindah daripada Allah buat Ana. Please be strong, bang.’’ Aku memberi kata-kata semangat untuk suamiku. Walau aku tahu tubuhnya semakin melemah saat ini.Pucat wajahnya semakin ketara.
Suamiku mengukir senyuman tawar. Aku mengusap-usap pipinya. ‘’Sayang terlalu indah dalam hidup abang. I love you so much, sayang.’’ Ucap suamiku dan mengucup kedua-dua tanganku.
Aku mengambil tangannya. Aku kucup tangan kekar yang semakin tidak bermaya itu. Aku kucup semahu-mahunya. Hangatnya terasa seperti kali pertama aku mengucup dan mengenggam tangan itu semasa ijab dan Kabul kami.
‘’Sayang, janji dengan abang. Jaga diri baik-baik. Sayang jaga dan asuhlah anak kita sebaik mungkin. Sentiasa beritahu mereka, babah terlalu menyayangi mereka. Pesan pada mereka, babah sangat bersyukur dan berbangga mendapat anak seperti mereka. Sayang mesti kuat teruskan semuanya lepas ni. Abang minta maaf sangat-sangat sebab abang tak dapat nak besarkan anak-anak kita bersama-sama. Satu saja yang abang nak sayang ingat, abang terlalu cintakan sayang. Abang terlalu sayangkan sayang. Kita  jumpa kat ‘sana’ ya, sayang. Abang tunggu sayang.’’ Suamiku bertitip panjang sambil menggenggam erat tanganku. Aku tak mampu membalas sepatah pun. Sebak di dada sudah tidak tertahan. Mataku melimpahkan empangan yang semakin membengkak.
Dia meraih aku ke dalam pelukkannya. Dia mengeratkan pelukkan kami. Dia mengucup bahuku. Ubun-ubunku dikucup semahunya. Aku memeluk seeratnya tubuh suami yang sangat kucintai. Aku terlalu menyayangi lelaki ini. Lelaki yang telah mengambil ku secara halal dalam hidupnya. Lelaki yang membawa aku mengenal apa itu ertinya cinta dan kasih. Dia lelaki yang telah aku izinkan benihnya bersatu dengan benihku di dalam rahimku. Dia lelaki yang sangat aku cinta. Terlalu cinta!
Kemudian, suamiku menarikku ke katil Darwisy Hakimi. Kami berdiri di tepi katil itu sambil melihat betapa nyenyak dan lasaknya hero kami menganyam mimpi indah.
Suamiku mengusap-usap ubun-ubun puteranya itu. ‘’Darwsiy Hakimi, babah sangat sayangkan Darwisy. Mama dan adik pun sayangkan Darwisy. Babah nak Darwisy jaga mama dan adik untuk babah ya. Darwisy harapan babah untuk jaga mama dan adik. Darwisy hero babah, maafkan babah sebab babah tak mampu nak besarkan Darwisy bersama-sama dengan mama. Darwisy Hakimi, babah percaya Darwisy Hakimi akan menjadi seperti mana yang babah dan mama harapkan,’’ ucap suamiku panjang lebar buat putera. Dia tunduk dan kucup semahunya hero kami.
Suamiku menarikku ke katil Damia Humairah pula. Puteriku itu juga nyenyak setelah aku menyusukannya dengan susu badanku yang penuh khasiat kolostrum itu. Suamiku mengusap-usap ubun Damia Humairah.
‘’Damia Humairah, babah sayangkan Damia sangat-sangat. Babah gembira sangat dapat melihat Damia lahir daripada rahim mama. Damia Humairah ialah puteri babah. Damia, jadi anak perempuan yang baik ya, sayang. Jangan susahkan mama, sayang. Kesian kat mama, sayang. Babah sayangkan Damia Humairah sangat-sangat. Dengar cakap mama dan abang ya, sayang. Babah tahu, puteri babah ni akan cantik secantik bidadari syurga.’’ Seusai berkata-kata kepada puteri kami yang sangat comel itu, suamiku mengucup-ucup ubun, dahi dan pipi Damia Humairah.
‘’Abang, kenapa dengan abang?’’ soalku dalam tangis yang tiada hentinya.
Suamiku menarik ku ke birai katil. ‘’Abang tak ada apa-apa, sayang. Jom, tidur sayang!’’ balas suamiku dan menarik aku ke peraduan kami.
Aku menuruti. Kami memilih untuk berbaring beralaskan bantal yang sama. Dia menutupi tubuh kami dengan comforter tebal itu. Dia membawa aku ke dadanya. Aku bahagia dalam keadaan itu. Aku memeluk erat tubuhnya. Dia juga begitu. Aku harap esok hari aku mampu tatap wajah suamiku lagi. Aku harap esok hari tubuh itu akan dapat ku peluk erat lagi. Dia membisikkan surah Al-Fatihah, Ayatul Kursi, tiga Qul dan doa tidur ditelingaku. Aku mengikuti perlahan. Akhirnya aku terlena dalam dakapannya seperti selalu. Hangatnya dakapannya masih terasa seperti malam pertama kami.
***
‘’Sayang, bangun sayang. Kita mandi lepas tu solat ya,’’ kejut suamiku perlahan. Aku membuka mata dan terus menitip rasa syukur yang terhingga. Aku dapat tatap wajahnya lagi.
‘’Ya, bang.’’ Aku bangkit dari pembaringanku. Aku mengambil tangannya.
‘’Assalamualaikum, abang. Ana cintakan abang sangat-sangat. Ana sayangkan abang sangat-sangat.’’ Aku mengucapkan ayat yang sama aku ucapkan kepadanya setiap hari. Aku kucup kedua-dua belah pipnya. Aku peluknya erat. Dia juga memeluk erat seakan tidak mahu dilepaskan. Suamiku tersenyum gembira. Dia mengucup kedua-dua belah pipiku.
‘’Ya, sayang. Abang pun terlalu cinta dan sayangkan sayang. Cinta abang pada sayang tiada seperti apa yang boleh abang gambarkan. Terlalu indah sayang. Jom, kita siap-siap lepas tu berjemaah!’’ ajak suamiku. Aku angguk.
***
Aku mengaminkan segala doa yang dipanjatkan oleh suamiku. Terlalu sayunya hati ini mendengar doa yang dialunkan oleh suamiku. Aku bersyukur sangat, subuh jumaat ini aku masih mampu berimamkan dia.
Suamiku memusingkan tubuhnya menghadapku. Aku menghulurkan tangan untuk menyalaminya. Aku cium hangat. Aku meletakkan kepalaku ke ribanya. Dia usap-usap kepalaku. Dia kucup semahunya kepala yang ditutupi kain telekung ini.
‘’Sayang, abang pula nak baring atas riba sayang...’’ pinta suamiku. Aku tersenyum senang. Aku bangun. Aku bertimpuh.
‘’Manjanya suami sayang ni,’’ usikku.
Dia ketawa kecil. Dia membuka kopiahnya. Dia meletakkan kepalanya. Dia mengambil tanganku yang mengusap-usap kepalanya. Aku kucup dahi itu hangat.
‘’Sayang, lepaskan abang dengan reda ya.’’ ucap suamiku tiba-tiba.
Aku hanya angguk perlahan kerana itulah yang kerap diucap beberapa hari kebelakangan ini.
‘’Abang, maafkan segala dosa sayang. Halalkan makan minum sayang, ‘’ucapku perlahan. Dia hanya mengangguk perlahan sambil tersenyum menawan.
Aku menjeling ke katil anak-anakku. Sebelum solat tadi, dia sudah mengucup kedua-dua anak kami. Dia sempat berkata kepada mereka. ‘’Bangunlah anak-anak babah. Tataplah wajah babah sayang untuk kali terakhir. Bagilah babah tengok anak-anak babah tengok babah pagi ni.’’ Aku hanya memandang sahaja. Setiap pagi itulah usikkannya buat anak-anak untuk membangkitkan mereka.
Tiba-tiba aku terdengar dia mengucap perlahan. Aku memandang wajahnya dan aku terkaku apabila aku lihat matanya sudah terkatup rapat.
‘’Bang, bangun bang. Kalau nak tidur naik atas katil,’’ panggilku sambil menepuk perlahan pipinya. Panas.
Dia tidak memberi respon. Aku menjeling jam dinding. 6.15 pagi. Aku meraba ke ke bawah lehernya. Aku cari nadinya.
‘’Ya, bang. Sayang reda. Sayang lepaskan abang, ya. Abang tenang ya. Selamat bertemu kekasihmu, bang. Inalilahwainalilahirajiun...’’ ucapku dengan tangis yang tiada hentinya. Aku kucup wajah tampan yang tenang persis sedang lena itu. Lena untuk selama-lamanya.
Aku qiamkan tangannya. Pagi jumaat 14 Febuari. ‘’Sayang, kulepaskan kau pergi...’’
Janji-MU pasti. Mati itu pun pasti.
***
Aku menaburi pusara merah suamiku dengan kuntuman kelopak mawar putih kegemaran arwah. Aku siraminya dengan air yang bercampur air mawar itu bersama deraian air mata yang tiada hentinya bukan kerana meratap tetapi terlalu berasa sedih dan kehilangan seorang suami, sahabat dan kekasih hati  sambil mengendong  Damia Humairah. Darwisy Hakimi turut mengikutiku. Dia seakan memahami apa itu kematian. Dia seakan memahami, dialah yang akan menjagaku dan adiknya. Dia menangis. Aku tahu dia faham. Bijaknya Darwisy sebijak babahnya.  Aku meletakkan lili putih di kepala pusara. Lili putih juga kegemarannya. Katanya dahulu, diriku ini seputih dan sesuci lili putih. Begitu gembiranya aku dengan penghargaannya buat diriku.
‘Sayang akan jadi isteri abang dunia dan akhirat. InsyaALLAH,sayang. Sayang akan jaga buah cinta kita sebaik mungkin. Bersemadilah abang dengan tenang. Satu hari nanti kita jumpa ya, bang. Abang rehatlah ya. Ana, akan datang lagi.’ Ucapku dalam hati sambil memegang erat tangan kiri Darwisy Hakimi.
Bait-bait lagu Melawan Kesepian seakan bernyanyi dalam hatiku...
Semoga kepergianmu
Tak akan merubah apa pun
Semoga mampu ku lawan
Kesepianku...
‘‘Sayang, kulepaskan kau pergi... Ku reda...ini janji-NYA... Semoga Allah tempatkan abang dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.Assalamualaikum, sayang’’ ucapku sebelum pulang bersama kaum keluarga dan sahabat handai aku dan arwah. Aku reda dengan pemergiannya. ‘Pinjaman’ Allah s.w.t yang satu ini terlalu indah dalam hidupku. Terima kasih Allah!
                               
                                                                                ***  TAMAT ***
ALHAMDULILAH...syukur kepada DIA yang memberikan kepadaku ilham yang cukup istimewa ini. Sesungguhnya yang BAIK DAN SEMPURNA ITU datangnya daripada ALLAH S.W.T. Yang BURUK DAN SERBA KEKURANGAN ITU datangnya daripada penulis sendiri, IMAN LILY. Secebis kisah untuk dikongsi. Secebis rasa ingin ku bawa ke dalam hati kamu para pembaca dan kawan Facebook Iman Lily. Semoga kisah ini dapat menguatkan semangatmu wanita yang bergelar isteri dalam menjalani kehidupan suami isteri. Ampun maaf daripada IL.


5/4/14  12.47 am

CERPEN JIJAH GEDEMPOL! [FULL]

Projek Cerpen 10 : Jijah gedempol! 26/2/2014
‘’Kau tu dahlah gemuk gedempol. Ada hati nak bersuamikan aku yang handsome dan ‘sempurna’ ni!’’
Umie Azizah terdiam mendengar jerkahan yang penuh kehinaan dan cacian daripada seorang lelaki yang dia cintai dalam diam. Sayangnya, cinta dalam diam itu bukan rahsia lagi akibat hasad dengki seseorang, dirinya diaibkan sebegini rupa. Umie Azizah hanya mampu meraupkan wajahnya bersama sisa air mata yang membanjiri pipinya.

PROJEK ENOVEL KTI...BAB 14

Bab 14
Malam itu, setelah menikmati makan malam dan mengemas dapur Munirah merebahkan tubuh langsingnya di atas katil bertiang empat buatan kayu jati itu. Lega rasanya dapat merehatkan diri. Penat melayan ibu mertua dan adik iparnya masih terasa, maklumlah kena berlakon jadi pasangan yang gembira dan reda dengan jodoh yang ditentukan oleh orang tua. Ya Allah, ampunkanlah dosa aku sebab berlakon depan mak mertua aku, doanya kudus. Sungguh penat berlakon! Tak suka tapi terpaksa. Lakonan yang dimulakan oleh suaminya.

PROJEK ENOVEL 13

 BAB 13
Firas Amsyar yang sedang menonton rancangan di Astro terbau nasi ayam yang cukup membangkitkan nafsu makannya dan tak beberapa lama kemudian terbau pula sesuatu yang dibakar di dalam ketuhar.
          Firas Amsyar cuba mengawal keinginannya yang mahu melihat apa yang disediakan oleh isterinya di dapur kerana khuatir dikatakan sangat kebulur oleh Munirah. Dia memang pun sedang lapar sangat kerana pagi itu sebelum pulang ke rumahnya, uminya hanya menyediakan sarapan yang sedikit ringan sahaja iaitu jemput-jemput ikan bilis dicicah dengan sos cili. Umi mungkin kepenatan selepas majlis resepsi jadi hanya menu ringkas yang disediakan. Walaupun Yanti, pembantu rumah mereka ada tetapi umi tidak pernah membenarkan Yanti memasak. Umi mahu suami dan anak-anaknya makan makanan air tangannya sahaja.

PROJEK ENOVEL KTI BAB 12

BAB 12
          ‘’Kau jangan ingat aku nak layan kau macam tuan puteri dalam rumah ni! Aku nak kau jalankan tanggungjawab kau sebagai isteri aku tanpa apa-apa balasan istimewa daripada aku, faham?’’ ujar Firas Amsyar sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke dalam apartment milik Firas Amsyar. Hari itu Munirah mengikut suaminya berpindah ke apartment itu. Apartment Kipark yang terletak di Bandar Tampoi, Johor Bahru.
          Pagi-pagi lagi mereka sudah bersiap untuk ke rumah Firas Amsyar. Munirah hanya menuruti perintah suaminya. Sedar dia kini seorang isteri yang perlu mengikut suaminya tinggal ke mana sahaja. Pada mulanya, begitu berat hatinya untuk berpindah dari rumah keluarganya yang selama ini menjadi syurga buatnya. Dia akhirnya akur setelah menyedari hakikat statusnya kini.

PROJEK ENOVEL KTI BAB 11

Selepas seminggu majlis menerima menantu menyusul pula majlis menyambut menantu. Malam sabtu itu merupakan majlis resepsi bagi pihak keluarga Firas Amsyar. Majlis menyambut menantu itu telah diadakan di Persada Johor atau Johor Convetion Centre yang terletak di tengah-tengah Bandar raya Johor Bahru. Majlis yang berkonsepkan English Garden telah mendapat sentuhan istimewa daripada perancang perkahwinan, Naz Great Idea’s. Sebuah perunding dan perancang perkahwinan yang cukup dikenali di Malaysia. Angan-angan Datin Nora telah berjaya direalisasikan.

PROJEK ENOVEL BAB 10


Bab 10
Suasana di dapur Puan Juriah sungguh sibuk kerana menyediakan sarapan pagi untuk pagi ahad itu. Lauk pauk kenduri diperhangatkan lagi untuk dijadikan sarapan pagi. Nasi lemak dan kuih muih yang dibeli oleh Mahadzir turut memenuhi meja makan yang mampu diduduki seramai lapan orang itu. Kaum lelaki dibiarkan bersarapan dahulu. Sementara kaum perempuan beralih ke beranda rumah untuk menanti giliran merekan bersarapan pula. Masing-masing dengan secawan kopi O panas. Kerepek-kerepek yang berlebihan turut dijadikan kudapan untuk mereka.
          ‘’Irah, tak layan suami kau makan ke?’’ tegur Nabila sepupunya, anak kepada Mak Usu Faridah.
          Gadis berusia 25 tahun itu kurang rapat dengan sepupunya itu. Dia hairan melihat perhubungan suami isteri itu yang berbeza daripada pasangan yang lain. Mereka membuat hal masing-masing. Seorang ke kiri seorang ke kanan. Setahu Nabila, kalau pengantin baru ni tidak boleh berenggang. Dia tidak begitu rapat dengan Munirah kerana Laut Cina Selatan memisahkan mereka. Dia bertugas sebagai guru di negeri Sarawak. Bertemu hanya apabila ada keraian mahu pun keramaian.
          Munirah terkedu dengan soalan sepupunya itu. Dia sedang enak mengunyah kerepek pisang tanduk yang lemak-lemak masin, menggelengkan kepalanya.
          ‘’Alah, pandailah dia makan. Tak akan aku nak suap kot?’’ jawab Munirah selamba. Padahal dia sebenarnya malu untuk bertembung dengan suaminya selepas peristiwa pagi tadi. Peristiwa yang cukup memalukan dia. Rasanya hari ini mahu diserkup muka ini. Wajahnya panas membahang lagi.
          Nabila sudah mengerutkan keningnya. Aduhai, peliknya sepupu aku seorang ini!