Pages

welcome


Tuesday, August 23, 2016

CERPEN : BUKAN KISAH ROMEO & JULIET

CERPEN : bukan kisah Romeo & Juliet                                                                   
cerpen ni mungkin sekali baca very cliché, mudah diagak jln ceritanya tp 30 percent dlm cite ni kisah benar.
 1
AKU TENUNG lelaki itu dengan rasa geram yang menggunung. Lelaki yang baru beberapa jam bergelar suami aku. Dia bukan orang asing dalam hidup aku. Dia pernah menjadi sahabat baik aku. Sahabat yang paling aku sayang! Ya, sayang! Tapi itu dulu! Sekarang ni hati aku dah lemau dengan dia!
Sahabat lelaki aku sayang? Ya, sayang. Tak salahkan? Tak akan sahabat perempuan aje boleh sayang.
‘’Yusra, jom kita solat jemaah!” ajak lelaki itu, Muhammad Adham.
Ketika itu aku baru menyarungkan telekung putih itu pada badan untuk menunaikan solat asar.
Majlis pernikahan aku bersama dia hanya ringkas, Akad nikah dan jamuan makan bersama saudara-mara terdekat, jiran tetangga dan beberapa kawan yang aku undang. Seawal jam 9.30 pagi aku dinikahkan dan majlis tamat jam 2 petang. Tiada pelamin, tiada bersanding. Cukuplah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w .
Aku kucup kekura tangan lelaki itu seadanya. Sekadar tanda hormat sahaja. Aku tak mahu tangan yang disua itu dibuai angin lalu sahaja.
‘’Yus, tunggulah dulu,’’ pinta Adham apabila melihat aku buru-buru membuka telekung dan memulas tombol pintu bilik.
‘’Kau nak apa lagi? Aku rasa dah tak ada apa nak bincangkan. Tak tahulah kalau kau dah bersedia nak lafaz cerai tu sekarang. Bagus jugak. Aman hidup aku,’’ balasku sinis sekali. Permintaan yang aku pinta semalam sebelum kami dinikahkan hari ini.
‘’Yusra!’’ tinggi nada suara dia menyebut namaku,
‘’Aku nak kita berbual sebagai kawan baik macam dulu-dulu,’’ kata dia lembut seakan memujuk.
Aku lempar senyum senget. “Perlu ke lepas apa yang kau dah buat?’’ balas aku sambil memulas semula tombol pintu yang aku lepaskan tadi untuk meninggalkan lelaki itu sendiri.
Perut yang berkeroncong minta diisi. Ketika majlis berlangsung aku tiada selera untuk mengunyah waima sepotong kuih.
‘’Makan?’’ suara makuda dari pintu dapur menghentikan kunyahanku.
Anggukkan. Respon tanda hormat buat kakak kepada ibuku. Makuda terus berlalu ke ruang hadapan rumah.
          Baru terasa perut ini lapar sebenarnya. Mogok lapar pun tak guna, aku juga yang sengsara. Cukup rasa sengsara yang bergumpalan dalam ketulan daging yang satu itu.
          Aku menambah lauk dan nasi dalam perut pinggan. Inilah akibatnya makan dalam keadaan yang sangat lapar. Sedangkan Rasulullah s.a.w dah tegah makan ketika sangat lapar sebab boleh menjadikan kita kawan kepada syaitan. Gelojoh. Pelahap.
          Terdengar bunyi kerusi meja makan enam orang di hadapanku ditarik, lantas aku tongkat kepala untuk melihat gerangan manusia itu.
          ‘’Baru lapar ke? Ingat mogok lapar lagi,’’ perli Haziqah dengan senyuman penuh makna.
          Sepupuku ini memang sengaja bikin panas. Hati ini baru nak berada takat sejat. Mentang-mentanglah dia seorang yang tahu aku mogok lapar sepanjang majlis. Macam manalah orang lain nak tahu sebab tiada sesi makan beradap. Hanya khemah biasa sahaja yang aku sedia. Tidak ubah seperti kenduri tahlil atau kesyukuran biasa.
          ‘’Sudah-sudahlah, Yusra. Semuanya dah selamat pun. Kau terima ajelah takdir. Kita ini hamba hanya mampu merancang,’’ kias Haziqah sambil join  aku sekaki di meja makan.
          ‘’Tak semudah itu, Ziqah!’’ putus aku lalu bangkit mengangkat pinggan. Licin. Nampak sangat kebulur. Mogok sangat katanya. Hampeh!
          ‘’Kalau macam tu bagi tahu aku macam mana nak mudahkannya, Yus.’’
          Suara itu. Muncul tepat pada masanya.
          Mujur hanya kami bertiga yang berada di situ. Kalau tak pasti pecah berderai rahsia antara aku dan dia. Nampaknya lelaki itu memang tak faham bahasa.
          Aku lihat Haziqah geleng kepala dengan perangai kepala batu aku. Aku tunakkan anak mata ke arah Adham yang berpagoda dan kain pelikat. Kopiah putih atas kepala juga belum ditanggalkan.
          Lelaki itu hembus nafas lemah. Aku tinggalkan mereka berdua tanpa rasa ‘cemburu’ sedikit pun setelah mecuci pinggan. Dia nak makan? Lantak dialah.
 2
ALBUM KENANGAN zaman persekolahan tingkatan 6 aku belek dengan senyuman manis. Rindu. Kerana rindu aku capai album yang tersusun atas almari bilikku. Rasa aku itulah zaman persekolahan yang paling menyeronokkan dan membiaskan kenangan manis.
          14 orang dalam sebuag kelas tapi keriuhannya bagaikan 30 orang. Mengusik dan ‘membahan’ kawan-kawan itulah kerja kami. Tiada istilah ‘sentap’ atau kecil hati antara kami. Kasih sayang dan ukhuwah antara kami cukup tersemat dalam memoriku. Kami benar-benar menikmati zaman terakhir memakai uniform sekolah sepanjang hidup kami.
          Wajah seorang demi seorang aku tatap. Makin mencanak rindu dihati ini. Masing-masing ada karakter tersendiri. Tapi tetap ‘sekepala’.
          Begitu juga haluan hidup. Ada yang ke menara gading dan memilih bekerja dengan kelulusan STPM itu. Antaranya akulah. Bukan tak layak. Cuma rezeki bukan milik aku. Maklumlah persaingan antara pelajar perempuan untuk mendapatkan tempat di university awam sangatlah sengit. Berlainan dengan pelajar lelaki, pointer cukup-cukup makan pun dah lepas.
          Tapi impian segulung ijazah belum pernah tenggelam dalam hatiku. Takkan tenggelam seperti tengelamnya kapal Van Der Wjick.
          Jariku terhenti menyelak tatatkala terpaku pada potret yang meninggalkan jejak dalam lipatan hidup aku.
          Dia. Dia yang aku rindu. Dia sahabat baikku. Tapi mungkin dulu ketika kami masih memakai uniform kain dan seluar krim itu.
Sekarang entahlah. Hanya aku saja yang masih ingat akan tali persahabatan antara kami. Aku saja yang masih menyisip sisa  kenangan persahabatan yang ada.
          Aku masih ingat betapa akrabnya kami ketika itu. Kami senang berkawan. Bercerita dan ‘bergosip’ bersama. Aku juga sangat senang dan selesa dengan dia. Aku benar-benar menjadi diriku tatkala bersama dia.
          Bersms setiap hari selepas waktu sekolah sememangnya aktiviti wajib kami. Ketika itu telefon bimbit tidak secanggih sekarang. Dapat bersms pun dah cukup seronok. Mungkin lebih menarik berbanding aplikasi whatsapp kerana ‘sayang’ mahu membuang setiap mesej walaupun inbox hampir penuh. Kenangan mengusik jiwa betul.
          Kami akan berbual kisah di sekolah, gelagat kawan-kawan dan cikgu-cikgu kami. Tidak pernah ada ayat ‘aku sibuklah nanti kisah mesej lagi ya’ sebab perbualan kami tiada penamat. Kami akan membalas setiap mesej dikirim. Jarang tergantung perbualan kami.
          Aku juga begitu senang berkongsi cerita dan ‘rasa’ bersama dengan menari di atas papan kekunci telefon bimbit. Dia juga tempat aku meluahkan rasa kekecewaan apabila cinta monyetku di usia 18 tahun punah.
          Ketika di sekolah kami tidaklah serapat dan semesra ketika bersms, biasa saja. Pelikkan? Aku jugak pelik dengan cara persahabatan antara kami.
          Tapi kini antara kami semakin renggang. Asing umpama kawan jauh yang kurang dikenali.
          Semuanya bermula selepas dia memasuki universiti di nun utara sana. Aku faham kesibukkan dia sebagai pelajar tapi entahlah.
          Sebenarnya tali persahabatan antara kami semakin rapat tatkala ibu aku dimasukkan ke wad kerana menjalani pembedahan ketumbuhan kanser usus. Dialah satu-satunya kawan yang sentiasa ‘keep in touch’ dengan mengambil tahu keadaan ibu aku dan melawat di hospital. Sokongan dan semangat daripada dia sentiasa ada untukku. Apabila ibu aku dimasukkan ke dalam ICU, dialah insan pertama yang aku called untuk memberi tahu perihal tersebut. Aku benar-benar sedih ketika itu. Dia menenangkan aku.
          Selepas dia memasuki universiti kami jarang sangat-sangat berhubung. Adakah kerana peristiwa hari raya itu menggambarkan pandangan lain daripada dia terhadap aku?

 3
AKU PULAS tombol pintu bilikku perlahan. Kantuk yang cuba aku tahan membuatkan rabak peluput mata ini. Penat mengemas rumah yang tunggang langgang akibat majlis siang tadi masih bersisa. Aku regangkan otot yang kejang.
          Mata merayap ke sekeliling kamar beradu yang dihias indah oleh mak, Kak Yusmira dan Yuhanes. Cantik. Sayangnya sedikit pun aku tidak teruja. Indah dan seri kamar itu ditenggelamkan oleh gumpalan rasa dalam setiap relung hatiku.
          Aku membaringkan tubuh atas katil. Lega. Badan terasa segar selepas dibersihkan. Tak sedar aku terlelap.
          Laungan azan membangkitkan lena yang dihanyut oleh mimpi. Panggilan  syahdu dari surau berdekatan rumah umpama alarm clock.
          Suasana bilik yang suram menyukarkan pandanganku. Dengusan nafas di telinga membawa mataku mencari dari mana datangnya bunyi itu.
          Terkejut. Terlupa status diri. Rupanya tidurku semalam berteman. Nasib dialah kalau kaki aku ada ‘landing’  pada tempat bukan sepatutnya. Aku tidur ganas.
          Aku renung raut wajah yang tidur meringkuk dek kesejukan angin subuh itu. Tak sangka dia insan pertama yang aku lihat ketika bangun dari tidur pagi ini. Sesuatu yang langsung tidak pernah terlintas dibenak fikiran ni. Benarlah kadang kala kita tidak terfikir itulah yang terjadi. Hidup ini tak selalu seperti yang disangka.  Hidup ini pun bukan selalu main sangka-sangka tetapi keyakinan yang utuh terhadap qadak dan qadar.
          Tapi perkahwinan ini terlalu sukar untukku terima. Walau apa pun alasan lelaki ini, aku tak akan mampu meneruskan ikatan yang penuh tipu muslihat ini.
          Jelas raut ketenangan terpancar pada wajah suamiku ini. Kacak. Patutlah terlalu ramai perempuan yang mendekati. Walau dalam ramai perempuan yang wujud dalam dunia lelakinya tapi kenapa aku yang perlu berada di atas katil yang sama dengannya pagi ini? Kenapa aku yang dapat melihat wajahnya dalam lenanya dan bukannya perempuan lain?
          Tak pernah terlintas dalam sanubari yang aku akan menjadi isterinya. Dia bukan angan pelaminku. Namanya tidak pernah ada dalam doaku.
          Tiba-tiba dia membuka sedikit kelopak matanya. Aku cepat-cepat mahu berlalu. Mahu merebut bilik air. Kalau lambat gamaknya subuh dihujung waktu. Tak suka solat dalam gopoh-gapah.
          Dalam terkocoh-kocoh mahu memulas tombol pintu dia bersuara, ‘’Yusra, tunggu aku. Jemaah sekali dengan aku.’’
          Tanpa memandang wajahnya aku mengangguk sebelum berlalu keluar.
 4
AKU TAK boleh tipu hati aku. Aku berasa tenang sangat-sangat setelah berjemaah subuh dengan dia hingga aku terlupa akan amarah yang berlingkar dalam hatiku semalam. Sesuatu detik baru yang aku alami sepanjang hidupku ini. Berimamkan dengan seorang bernama suami. Terasa perasaan asing mengacau bilau lagi  gejolak rasa.
          Mungkin ini ketenangan yang sering diperkatakan oleh mereka yang sudah berkahwin. Jiwa yang tenang dan damai setelah membina sebuah perkahwinan. Halal. Bertambah berkat dalam lindungan rahmat-NYA.
          Tiap bait doa yang dilafaznya bagaikan terlalu dalam maknanya. Kenapa aku yang diheretnya dalam perkahwinan ini?
          Ketika aku selesai melipat marhana, gerak tangan ini dihentikan pergerakkannya. Tangan kekar itu memegang erat kedua-dua pergelangan tanganku. Aku cuba meloloskan pegangan itu, namun gagal.
          ‘’Kau dah kenapa?’’ soalku dengan mengetap bibir kerana geram dengan perbuatannya. Aku dibawanya duduk di birai katil.
          Dia menarik tubuhku rapat kepadanya. Pinggangku direngkuh kukuh. Tak mampu aku lawan tenaga lelakinya.
          ‘’Lepaskan akulah, Am. Rimas tahu tak!’’ rungutku dengan menolak-nolak tubuh sasanya. Fizikal yang ketara berubah selepas zaman persekolahan. Sado ke tak ‘sado’ diri?
          Tangan kasar itu mula membelai-belai rambut ikalku yang masih lembap. Dari kepala turun pula ke sekitar wajahku yang kelat mempelam.
          ‘’Tak baik melawan suami, Yus. Aku cuma nak tunaikan angan-angan aku je. Semalam dapat peluk jasad je. Nasib akulah dapat bini tidur mati,’’ perlinya sambil mengetatkan rangkulan yang cuba aku leraikan.
          Malas aku ambil pusing-pusing kata-katanya. Langsung tiada rasa debar yang menjalar dalam ruang dada ini dengan kedudukan kami sebegitu. Entahlah. Agaknya jantung aku dah tak ‘berfungsi’ lagi kot?
          ‘’Sebagai kawan pun aku tak mampu nak terima kau lagi, kau rasa sekarang ni aku rela sangat ke hidup dengan kau? Cukuplah kau dah buat hidup aku kucar kacir dengan perkahwinan ni. So please, tunaikan persetujuan kau sebelum ni. Aku nak tuntut janji kau.’’
          Aku lantas meninggalkannya sekali lagi begitu. Sendiri.
Image result for BISKUT MAMA CAREY

 5
SERONOK RASANYA apabila kawan-kawan sekelas nak datang beraya ke rumah. Setelah dua tahun aku tinggalkan alam persekolahan barulah tahun ini diaorang nak datang beraya ke rumah aku.
          Aku siapkan beberapa hidangan ringkas untuk mereka. Biskut raya dalam baling turut aku tambah. Ketika menyusun biskut Mama Carey di dalam balang, aku teringat pada Am yang suka sangat dengan biskut raya itu. Sama macam aku. Aku puas mencuba pelbagai jenis resepi dan teknik akhirnya percubaanku tahun itu ‘menjadi’. Dohnya tiada masalah cuma hiasan aising di atasnya itu. Teknik membuatnya bukannya mudah. Aku mengkaji pelbagai cara melalui banyak resepi. Maklumlah tak semua orang ikhlas dalam berkongsi ilmu.
          Biskut Mama Carey versi aku sedap dan secantik yang biasa dimakan. Aku ingat lagi, aku sms Am yang aku berjaya buat Mama Carey. Dia pun teruja dan tak sabar nak makan katanya. Dengan rasa senang hati, aku pun memasukkan beberapa keping biskut itu ke dalam bekas plastik tau foo fah. Nak bagi pada Am sebab aku tahu dia suka makan. Itu saja.
          Rupa-rupanya yang datang beraya cuma kawan-kawan lelaki. Sabar ajelah. Takpelah mungkin yang lain sibuk. Apa-apa pun aku gembira sangat dengan kedatangan mereka. Tanda ingatan buat sahabat lama.
          Ketika aku memberi plastik berisi bekas plastik itu, Pejal, Yem, Faez, Hazrin, Pipi  dan Arep hanya tersenyum penuh makna.
          ‘’Yus, bagi Am aje ke? Kitaorang punya mana?’’ usik Pejal.
          Aku mampu senyum. Bengang. Aku pun satu apasallah aku bagi depan budak-budak ni. Sengal. Sekarang sendiri yang malu.
          Am pun agak bengang. Aku tahu. Mungkin tak mahu kawan-kawan kami salah faham. Dia pun tak cakap apa tapi terima jugak pemberian aku.
          Malamnya aku sms dia sebab nak tahu apa komen dia pasal biskut mama carey aku. Haram! Sebatang abjad pun dia tak ada balas. Berminggu aku sms dia pasal tu. Aku bukan apa teruja nak tahu komen dia. Sedap ke idak.
          Akhirnya aku sendiri pendam  rasa. Geram. Marah. Dan mulalah syaitan mengaca bilau hati aku dengan membuat aku bersangka dan berfikir bukan-bukan.
          Satu malam tu, aku rasa macam ternampak dia bersama bekas budak kelas tingkatan 6 yang lain ketika berkunjung ke bazar karat JB. Aku smslah dia tanya betul dia ada ke bazar karat malam yang aku nampak dia. Hampeh! Sikit pun dia tak balas. Apa salah aku pada dia? Apa dosa aku pada dia? Sampai hati dia buat kawan dia macam ni. Kejam. Benci aku!
          Lama jugak kami tak ada berhubung. Berbulan lamanya. Akihirnya dengan rasa geram aku menghantar sms kepada dia.
          + Am, kalau kau rasa aku bagi kau biskut tu sebab aku ‘suka’ kau sorrylah beb! Sikit pun takde niat macam tu. Aku bagi sebab aku tahu kau suka makan biskut tu. That’s all. Aku rasa cukuplah sampai sini aje persahabatan kita. Aku minta maaf atas salah silap aku semasa berkawan dengan kau. Bye!
          Aku pun dah tak ingat teks yang dibalasnya. Aku tahu dia berlagak buat tak faham. Aku rasa cukuplah hati aku ‘dirosakkan’ oleh dia. Dia dah buat hati aku kacau bilau. Aku terfikir sendiri tanpa jawapan yang pasti. Sejak peristiwa itu langsung aku ambil keputusan tidak ingin lagi mempunyai kawan baik berjantina lelaki. Pasti akan selalu disalah tafsir. Dia belum kenal siapa aku. Dia tak faham cara aku dan isi hati aku.
Cp 6
KAHWIN. Isu bila aku nak kahwin sering diungkit oleh keluarga cukup menyesakkan dada. Kala usia menjengah 27 tahun, perempuan mana yang tidak gusar? Ingat aku tak risau ke? Serius risau jugak. Tapi aku sentiasa cuba bersangka baik kepada ALLAH. Aku tahu dia sudah sediakan siap-siap bakal suami aku cuma belum masanya. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui waktu yang tepat untuk mengabulkan permohonan hamba-NYA.
          Cinta pertamaku dengan lelaki bernama Amir ketika berusia 18 tahun terkandas. Tak kesampaian mencapai mimpi. Umur yang masih muda menyebabkan tiada kematangan dan serius dalam perhubungan antara uda dan dara.  Dulu aku sangka dialah cinta matiku. Cinta pertama dan terakhir tapi nampak sangat aku ni kuat berangan. Cinta mukabukukan jarang sangat berakhir dengan satu kepastian. Tak sangka aku termasuk dalam golongan yang pernah menjadi mangsa cinta siber ni. Kelakar sungguh apabila diingat kembali.
          Tapi aku tak pernah mengalah. Aku berusaha juga untuk berkawan dan bergaul. Maklumlah kalau tak bersosial cara sihat macam manalah nak ‘survey’ calon suami. Nak beli barang pun kita ‘survey’ banyak kedai dan tempat apatah lagi bakal suami.
          Masa zaman budak-budak dulu aku fikir apa yang susah sangatlah nak dapat jodoh? Takkanlah susah sangat? Sekarang bila dah terkena batang hidung sendiri barulah aku ‘faham’. Payahya nak bertemu jodoh. Kita mungkin mampu berkawan beribu orang tapi nak jumpa seseorang yang dinamakan ‘jodoh’ amatlah susah.
          Makin aku bertambah risau mak aku dah mula berkias. Saudara-mara tak usahlah ceritalah. Lebih-lebih lagi sepupu sebaya dah pun selamat melangsungkan perkahwinan.
          Berita yang dibawa Yuhanes cukup mengejutkan aku.
          ‘’Kak Yus, adik nak bertunang hujung bulan ni.’’
          Terkedu aku. Tak pernah dengar pula adik yang berusia 24 tahun itu menjalin hubungan serius dengan sesiapa.
          ‘’Dengan siapa?’’
          ‘’Faris.’’ Jawab Yuhanes tersipu malu.
          Faris. Sahabat baiknya yang selalu dinafikan punya perasaan terhadapnya. Kalau diberitahu Faris punya hati terhadapnya akan dijawabnya mereka hanya kawan baik.
          ‘’Allhamdulilah. Tepat pilihan Hanes. Akak yakin Faris akan jadi suami dan bapa yang baik.’’ Aku peluk tubuh kecil molek Yuhanes.
          Rangkulan dilepaskan Yuhanes. Wajah muram pula yang terlukis pada Yuhanes. Aku kerut dahi.
          ‘’Kenapa ni?’’ soalku lembut.
          ‘’Tapi kalau boleh adik nak tengok akak kahwin dahulu. Hanes tak nak akak terus dijadi bahan tanyaan dan cerita orang lain. Mak pun kalau boleh mahu Kak Yus kahwin dahulu  daripada Hanes.’’ Luah Yuhanes dalam serba salah.
          Ya. Aku ni sentiasa jadi bahan gosip dan cerita jiran sekeliling dan saudara-mara. Maklumlah aku ini yang paling ‘corot’ dalam keluarga. Belajar tak pandai. Cantik pun tidak. Menganggur lama. Senang cerita macam orang yang tiada masa depanlah. Aku pasti sekarang ni pun aku dah jadi bahan cerita orang sebab masih sendiri sedangkan kawan sebaya aku yang merupakan jiran aku pun dah selamat bernikah bulan lalu. Sabarlah duhai hati. Allah tidak pernah mengecewakanmu.
          ‘’Mak cakap macam tu ke?’’ Dugaku setelah hampir bersaat aku terdiam tidak berkutik.
          ‘’Kalau boleh mak tak nak Hanes langkah bendul. Lagi pun family Faris tak nak kami bertunang lama-lama. Kalau dapat tahun ni juga nak langsungkan tahun ni jugak,’’ cerita Hanes tenang.
          Nampaknya pembayangnya jelas mahu aku segera berkahwin. Jika tidak keluarga Faris harus menunggu lebih lama.
          Aduhai, jikalah mencari jodoh itu semudah membeli barang di pasar pasti aku tak perlu keluh kesah begini!
          ‘’Hanes tak usahlah fikirlah soal langkah bendul. Ni semua budaya Melayu aje. Dalam Islam tak sebut pun pasal langkah-langkah bendul ni. Jangan langkah bendul pintu sudahlah! He he he...’’ selorohku bagai menutup rasa yang menyelebungi awan hati ini.
          ‘’Hanes jangan risau ye. Nanti akak ‘slow talk’  dengan mak ya,’’ pujukku lembut. Aku tak mahu dia runsing. Janganlah disebabkan aku, jodoh dia pula yang tertangguh.
          Dalam sibuk aku membantu Yuhanes membuat persiapan majlis pertunangan, aku dikejutkan dengan rombongan merisik. Sudah pastilah untuk aku. Tak pernah sesiapa merisik aku sebelum ini. Jenuh aku menunggu pinangan orang.
          Hampir pengsan aku dibuatnya apabila mengetahui insan yang menghantar rombongan itu. Dia. Apa motif dia sebenarnya? Dia nak ‘prank’ aku ke? Ingat ni rancangan bang bang boom ke? Macam Rafidah Ibrahim kena dengan Zuan Melodi.
          Rombongan merisik itu cukup mengembirakan ibuku. Yuhanes apatah lagi. Aku?
Cp 6
AKHIRNYA setelah bertahun aku tak bersua empat mata dengan lelaki itu, aku mengatur satu pertemuan. Tak sabar rasanya aku nak ‘sembur’ dia.
          ‘’Apa khabar, Yus? Lama kita tak jumpakan.’’ Suara dia memecah tembok sepi antara kami.
Ternyata masa telah mengubah segalanya. Dia nampak lain sangat. Muka ‘baby face’ dia pun dah hilang dek kematangan. Kalau masa zaman sekolah dulu, kami berdiri sama tinggi duduk sama rendah. Sekarang aku perlu mendongak untuk melihat raut wajahnya.
          Tak tahu nak jawab macam mana. Canggungnya rasa. Tadi sebelum sampai restoran mamak 24 jam itu, aku dah siap-siap nak ‘serang’ dia tapi bila dah jumpa mulut aku bagai dizip.
          ‘’Aku sihat. Aku tak ada masa nak berbual-bual mesra dengan kau sekarang ni. Straight to the point, apa motif kau ekk? Kau nak ‘prank’ aku ke apa?’’
          Dia tongkat tangan kanan dia pada dagu. Ya Allah, kenapa kau handsome sangat?
          ‘’Kau ni tak berubah langsung ekk... asyik fikir buruk ajekan. Cuba kau ubah sikap kau tu, Yus. Emo tak habis-habis. Perempuan sangat...’’ kata-kata dia itu cukup buat aku’sentap’ seketika. #sentapgila
          ‘’Aku tak kisah apa yang kau nak cakap. Yang penting aku nak kau jangan hantar lagi rombongan bodoh tu!’’ sela aku sedas. Sakitnya hati aku saat ni.
          Aku lihat dia hanya tersenyum sumbing. Mamat ni gila ke apa? Tak ada perasaan agaknya. Tujuan aku jumpa dia malam ni untuk menghentikan ibu dan bapanya menghantar rombongan meminang setelah risikan direstui oleh keluargaku.
          Aku capai beg tangan atas meja dan mahu berdiri untuk berlalu. Namun tindakan aku dihalang. Kejap sungguh cengkaman tangannya pada pergelangan tangan aku. Nasib baik tak kena kulit aku. Itu pun aku dah menyinga.
          ‘’Lepaskan tangan akulah!’’ Aku perasan orang sekeliling memerhati kami. Aku terpaksa melabuhkan semula punggung aku. Sia-sia aje buat drama percuma dekat kedai mamak.
          ‘’Tahu pun kau malu ekk...’’ orang Johor sangat mamat seorang ni.          Aku ingat negeri labu sayong dah menelan loghat Johor dia.
          ‘’Kenapa makin susah nak bercakap dengan kau sekarang, Yus. Emosi kau selalu mendahului tindakan kau, Yus. Cuba kau bertenang. Tarik nafas dalam-dalam. Nampak sangat aku aje yang faham sangat perangai kau ni, Yus. Sebab itulah agaknya jodoh kita kuatkan.’’ Kata-katanya cukup menyentakkan aku. Nampaknya jaraknya hubungan persahabatan kami tidak menghalang dia mengingati segala sikap dan tindak tandukku.
          ‘’Aku nak jawapan soalan aku tadi. Jangan nak menceceh benda lain boleh tak,’’ gerutu aku geram. 
          ‘’Aku cakap benda yang betul apa. Aku juga yang kena pinang kau. Orang lain tak berani nak masuk meminang sebab kau tu dah ada ‘cop’ aku. Aku rasakan tak payahlah kau menyombong sangat nak tolak pinangan aku ni sebab petang tadi mak aku dah bagi tahu yang mak kau dah bagi tarikh pertunangan kita. So, apa alasan kau?’’ kata-kata dia itu terus membuatkan aku membuat tindakan refleks dengan mentunakkan pandangan ke arahnya. Tepat.
           Sampai hati mak buat aku macam ni... dia tak pernah tanya apa jawapan aku. Terdesak sangat ke dia nak tengok aku berumah tangga. Kalaulah ayah masih ada mesti dia tak buat macam gini.
          ‘’Itu mak aku yang cakap. Aku tak pernah bagi apa-apa kata putus pun. Tolonglah jangan teruskan rancangan bodoh ni, Am!’’ rayuku. Aku terdesak sangat. Aku tak mampu nak terima dia dalam hidup aku sebagai suami. Aku tak cintakan dia. Aku tak akan kahwin dengan orang yang aku tak cinta dan kasih.
          Bibir itu bergayut senyum. Senyuman yang sukar aku tafsir. Sinis atau harapan.
          ‘’Kau sanggup ke nak kecewakan mak kau? Tiada apa yang lebih mengembirakan seorang mak apabila anak perempuan dia disunting orang untuk dijadikan isteri, Yus. Percayalah cakap aku. Kau nak tunggu umur kau berapa baru kau nak terima pinangan orang? Atau kau memang bercita-cita nak jadi andartu?’’ provok Adham selamba.
          ‘’Kau jangan nak kurang ajar dengan aku, Am. Kata-kata kau tu menghina aku tahu tak!’’ selar aku. Tegang. Perbualan kami berubah suasana.
          ‘’Aku bukan nak hina tapi aku nak kau fikir. Fikir sebelum buat sesuatu keputusan dalam hidup ni. Apa yang susah sangat kau nak terima pinangan aku? Aku bukan mintak kahwin free. Beradab dan beradat segala. Umur kita bukan muda lagi,’’ jawab dia tenang.
          ‘’Aku tak suka kau. Full stop!’’ Aku terus bangun setelah memberi jawapan pada persoalan dia.
          Aku tekup muka pada stereng Myvi kesayanganku ini. Hasil titik peluh dan kesabaranku mencari rezeki yang halal demi keselesaan dan kelangsungan hidup. Air mata pun mengalir jua apabila mengenangkan perbuatan Adham lima tahun dulu. Aku dibiarkan tanpa jawapan kini kembali dengan niat untuk mengambil aku sebagai isteri. Sebagai kawan pun dia sudah merosakkan persahabatan kami apatah lagi perhubungan suami isteri di kemudian hari.
          Aku tak pernah menyimpan secebis hama rasa suka dan sayang lebih daripada seorang sahabat untuk dia. Aku tak tahu apa niat sebenar dia. Tak mungkin sebab cinta. Aku bukan perempuan idaman dia. Kalah aku dengan kawan-kawan perempuan yang sering dia bergaul.
          Aku tak nak kahwin dengan dia!!!
Cp 7
AKU beranikan diri untuk berbincang dengan mak. Walau aku tahu tarikh pertunangan itu semakin dekat. Yuhanes sudah selamat bertunang dengan Faris minggu lalu. Emak pun seronok nampaknya menjemput orang untuk majlis pertunanganku. Sedangkan aku hanya menyimpan gumpalan rasa sedih dan geram dalam hati.
          ‘’Mak, kalau Yus nak tolak pinangan tu boleh tak?’’ ujarku perlahan dalam rasa takut-takut.
          Mak yang sedang menyembat tempahan baju kurung drastik mentunakkan pandangan ke arah aku yang melutut di hadapannya. Aku pegang kepala lutut mak.
          ‘’Kenapa?’’ lembut saja jawapan mak. Hati aku berbunga seketika. Nampaknya harapan masih ada.
          ‘’Yus, tak sedia lagi nak kahwin lagi pun Yus tak sukakan Adham, mak. Kami tak pernah ada apa-apa hubungan pun.’’
          Mak membuka cermin matanya. Berlopak matanya. Alamak, aku dah buat mak menangis! Terasa bahangnya api neraka.
          ‘’Tak cukup lagi kau kecewakan aku, Yus? Kau dah lah corot dalam belajar ni soal kahwin pun kau tak boleh gembirakan aku sikit pun. Pedih telinga aku dengar orang mengata kau dari kecik sampai ke besar. Kenapalah kau tak habis-habis buat masalah, Yus? Kenapa kau tak macam kakak dengan adik kau. Diaorang tak pernah susahkan hati aku macam kau ni, ah. Aku tak kira kau suka atau tak kau kena kahwin jugak hujung tahun ni. Aku dah tak nak simpan anak tak guna macam kau ni!’’
          Pedihnya hati ini. Ya Allah, kenapa mak benci sangat dengan aku? Aku darah daging mak. Aku anak mak. Mak, siapa yang jaga mak bila mak sakit dulu. Siapa yang sanggup bersakit badan tidur atas kerusi plastik di wad selama sebulan. Siapa tidurnya sentiasa terjaga-jaga kerana khuatir dengan keadaan dia. Siapa yang teman mak buat rawatan kemoterapi. Aku bukan mengungkit tapi aku terlalu sedih. Kenapa layanan mak terhadap aku sangat berbeza berbanding buat Yusmira dan Yuhanes. Aku sering dikutuk. Mereka sering dipuji. Dari kecil sampai ke besar.
          Aku tak pernah jadi anak yang membanggakan mak. Aku tak pernah buat mak gembira dengan keputusan peperiksaan aku. Tiada deretan abjad ‘A’ yang dapat aku hadiahkan.

          Mereka sering mendahuluiku dalam semua perkara termasuk soal jodoh. Apakah aku terpaksa ‘membuat’ mak gembira dengan berkahwin dengan Adham? Sedangkan aku terpaksa untuk mengharunginya...


BERSAMBUNG...

IMAN LILY SAY : Alhamdulilah belog kecik ni dah berfungsi kembali... jemput komen ya kawan2.. memang saja post separuh...hehee

8 comments:

  1. Best..tak sabar tunggu sambungan..

    ReplyDelete
  2. ishh.. tengah syok baca sambungan la pulak.. next bagi sambungan.. x sabar la nak baca

    ReplyDelete
  3. ishh.. tengah syok baca sambungan la pulak.. next bagi sambungan.. x sabar la nak baca

    ReplyDelete
  4. sedih cerita ni... sambung cepat...

    ReplyDelete
  5. tegah dok syok ni....mana sambungannya.....

    ReplyDelete
  6. Bila nak sambung....x sabar ni

    ReplyDelete
  7. Bila nak sambung....x sabar ni

    ReplyDelete
  8. Knp bersambung? Kalu cerpen ni brsambung pttnya letakkn part 1.. Mf ats teguran tpi cerpen sepatutnya tidak bersambung...

    ReplyDelete

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)