Bab 17
Hujung minggu itu,
Munirah menyediakan sarapan pagi seperti biasa dengan menyediakan pancake dan
mee hoon goreng ala Singapura. Suaminya Firas Amsyar juga masih tidak dari
bilik tidurnya. Apabila melihat jarum tangan dinding yang sudah menginjak ke
8.30 pagi, dia memberanikan diri untuk mengetuk pintu kayu yang dicat berwarna
putih itu. Ketukan sebanyak tiga kali tidak mendatangkan hasil. Akhirnya
Munirah memusingkan tubuhnya untuk ke ruang tamu.
‘’Tak reti nak bagi salam ke?’’ spontan kaki Munirah
menghentikan langkahnya.
Dia memalingkan tubuhnya menghadap suamin yang tampak
kacak bert-shirt Giordano dan berjeans biru gelap. Kacak. Itu ayat yang terbit
daripada hati Munirah setelah melihat suaminya yang bergaya ringkas di pagi
ahad itu.
‘’Assalamualaikum dan selamat pagi, Encik Firas. Jom,
kita breakfast!’’ sapa dan lawa Munirah ceria dan bersahaja. ‘Wanginya suami
aku pagi ini, rasanya bukan minyak wangi yang dia selalu guna, ‘ monolog
Munirah.
Firas Amsyar menutup pintu biliknya. ‘’Waalaikumussalam.
Morning. Nanti lepas breakfast tolong ambil baju kotor aku dalam bilik,’’ arah
Firas Amsyar dan dengan selamba menepuk perlahan pipi kiri yang tembam putih
gebu milik isterinya. Gayanya bersahaja.
Terpana Munirah dengan aksi bersahaja suaminya. Berdegup
laju jantungnya. Mesra suaminya pagi itu. ‘Harimau jadian’ tidak mengaum pagi
itu.
‘’Okey. Nanti saya buat,’’ akur Munirah dalam rasa debar
yang masih berbaki. Dia membuntuti langkah suaminya.
Firas Amsyar melabuhkan punggungnya di kerusi makan
buatan kayu getah itu. Munirah menuang kopi O Arabika yang masih panas ke dalam
cawan berjenama Corelle itu. Firas Amsyar meneguk jus oren Peel Fresh yang
sedia dituang ke dalam gelas.
‘’Encik Firas, nak pancake ke mee?’’ aju Munirah lembut.
‘’Bagi aku pancake,’’ pinta Firas Amsyar. Sebenarnya
sudah lama dia tidak menikmati pancake air tangan uminya. Dia mahu merasa,
adakah sama seperti umi buat untuk mereka anak-beranak?
Munirah meletakkan dua keping pancake bersaiz sederhana
bulat dan meletakkan mentega serta madu di atas pencake tersebut. Nampak
menyelerakan apabila mentega semakin cair dan meleleh. Resepi pancake mudah
yang digunakannya selama ini. Satu biji telur, satu cawan susu segar, dua sudu
makan gula, satu cawan tepung gandum berserta satu sudu teh serbuk penaik.
Adunan pancake tanpa penggunaan mesin.
Satu perkara yang patut dia puji tentang
suaminya ialah seorang yang tidak cerewet tentang makanan. Apa sahaja hidangan
yang disediakan oleh Munirah pagi dan petang mahu pun malam akan dinikmatinya
tanpa kompelin. Tanpa kutukan atau pun penghinaan.
Firas Amsyar membaca doa makan dan Munirah
mengaminkannya. Mereka bersarapan dengan tenang tanpa berkata apa-apa. Munirah
melayan suaminya sebaik mungkin. Dia ingin memperoleh ‘markah’ yang terbaik
daripada suaminya. Lagi pun dia sudah berjanji kepada dirinya untuk mengaut
sebanyak mana pahala dalam perkahwinan itu. Dia masih menunggu tindak balas
suaminya terhadap permintaannya malam kelmarin.
‘’Kau habiskan semua kerja rumah lepas ni,’’ beritahu
Firas Amsyar serius sejurus meneguk kopi O.
‘’Okey. Tapi kenapa ya?’’ akur Munirah tetapi ingin tahu
sebabnya.
‘’Nak balik rumah family aku dan kau. Jengah dia orang
sekejap,’’ jawab Firas Amsyar. Mood lelaki itu tampak baik sahaja pagi itu.
Kalau tidak habislah Munirah ‘dihembusnya’.
Munirah tersenyum panas mendengar jawapan suaminya.
Seronok sangat dengan rancangan suaminya. Tambahan pula, dia terlalu rindukan
keluarganya.
***
Puan Juriah memerhati
lenggok tubuh anak yang sedang membantunya menyiapkan hidangan tengah hari di
dapur. Kedatangan anak menantunya setelah hampir sebulan mereka bergelar suami
isteri. Mereka tampak selesa dengan hubungan suami isteri yang telah dimetrai pada
awal bulan itu. Berbunga hatinya sebagai ibu untuk melihat setiap anak-anaknya
bahagai adalam perkahwinan yang dibina.
‘’Mak,
kenapa tengok Irah macam tu dari tadi? Orang dah gemuk ya, mak?’’ soal Munirah
apabila melihat ibunya menilik dari tadi.
Ketawa kecil Puan Juriah mendengar tebakkan Munirah.
‘’Kalau gemuk pun gemuk ‘berisi’ lagi bagus...’’ usik Puan Juriah meleret.
Munirah buat muka tidak faham. ‘’Gemuk memang berisi,
mak. Lemak. Kolesterol.’’ Munirah membalas usikkan ibunya ceria. Fizikalnya
bukannya kurus ramping. Berat badannya mudah naik tapi makan masa untuk jarum
pengukur timbangan berat badan bergerak ke belakang. Dia perlu mengawal sendiri
seleranya.
Puan
Juriah mendekati Munirah yang sedang membasuh ayam dan ikan sembilang di
singki. ‘’Kalau gemuk yang tu mak tak naklah. Mengancam kesihatan buat apa? Mak
nak gemuk yang boleh bagi mak cucu lagi. Irah tak teringin ke nak jadi ibu
macam Kak Maria tu? Irahkan sayang benar dengan anak-anak buah awak tu. Bila
pulak nak rasa untuk diri sendiri?’’
Munirah
mengetap bibir bawahnya. Terkedu dengan kata-kata ibunya. Inilah part yang
paling melemahkan bagi orang yang baru sahaja berkahwin. Anak! Aduhai, tak
terfikir lagi nak ada anak-anak dengan suaminya! Mereka baru nak mengenali diri
masing-masing. Rasa kasih itu sudah ada. Sayang belum berbenih. Cinta? Jauh
lagi.
Tiada
perempuan dalam dunia ini yang tidak mahu menghamilkan zuriat sendiri. Dia juga
punya impian dan rasa begitu. Tetapi keadaan dia dan suaminya, Firas Amsyar
berbeza. Munirah tidak mahu berkahwin semata-mata untuk mempunyai anak. Kalau
begitu, memang tiada bezalah dia dengan binatang iaitu untuk membiak. Dapatkan
anak sekadar mengembangkan keluarga seterusnya mengelakkan diri daripada
digelar sebagai lelaki mandul atau perempuan mandul. Biasalah terlalu takut
dengan penilaian daripada makhluk. Sifat lemah seorang hamba.
Sedangkan perkahwinan manusia itu bertujuan
menyatukan dua hati dan jiwa menjadi satu. Hati yang menjadi satu demi kasih
yang suci. Menyuburkan pinjaman sifat daripada Allah s.w.t iaitu pengasih dan penyayang.
Perkahwinan yang mengutamakan nilai kasih sayang yang seterusnya melahirkan
generasi gamma yang penyayang dan empati.
Perkahwinan dalam Islam bertujuan mendapatkan zuriat untuk meramaikan
umat Nabi Muhammad s.a.w dan membina bala tentera Islam itulah visi perkahwinan
yang sepatutnya.
‘’Mak,
Irah belum sedia lagi. Lagi pun Abang Firas dah benarkan Irah sambung belajar
lepas ni. Biarlah kami kukuhkan hubungan kami dulu barulah boleh fikir pasal
anak, mak. Mak fahamkan keadaan kami?’’ ujar Munirah memberi jawapan yang
sebaik-baiknya. Dia tahu anak pengikat dan penguat kasih antara suami isteri.
Biarlah dia dan Firas Amsyar membina rasa cinta, kasih dan sayang terlebih
dahulu barulah menyusul misi membina empayar Firas Amsyar dan Munirah.
Puan
Juriah tersenyum manis dengan jawapan anaknya yang cukup matang itu. Dia
memahami situasi anaknya yang masih hijau hidup berumah tangga. Baru belajar
nak rasa masinnya garam setelah menikmati apa itu manisnya gula. Zaman sebelum
berkahwin banyak manis gula yang dirasa dan apabila berkahwin banyak masin
garam dan pahit peria yang perlu diharungi. Itulah norma kehidupan. Dia
mengusap-usap belakang tubuh anaknya itu seakan menyalurkan sokongan seorang
ibu.
’’
Mak faham,Irah. Tapi harap-harapnya kalau dah sampai rezeki itu, janganlah
tolak. Anak ini rezeki yang paling besar tau.’’ Puan Juriah menitip pesan buat
anak perempuannya.
‘’InsyaALLAH,
mak. Okeylah, mak tumislah dulu bahan kisar gulai ikan sembilang ni,’’ jawab
Munirah. Mereka berdua meneruskan aktiviti memasak mereka. Mazni tidak
menyertai kerana menghadiri kumpulan belajarnya. Gadis yang bakal menduduki
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun itu. Firas Amsyar rancak berborak
bersama bapa mertuanya di ruang tamu berkenaan isu semasa. Rancak perbualan
anak menantu itu.
***.
Firas Amsyar merebahkan
tubuhnya di atas katil beradunya. Dia letih. Letih bukan kerana melayan karenah
isterinya tetapi letih melayan karenah Amelia yang semakin menjadi-jadi
manjanya dan permintaannya. Dia tidak tahu macam mana dia perlu melayan wanita
itu sebaik-baiknya. Perhubungan yang sepatutnya sudah dinoktahkan terus
berlangsung akibat khuatir wanita itu menjalan misi balas dendamnya. Dia sedia
maklum sifat Amelia yang sukar menerima hakikat sesuatu yang tidak menyebelahinya.
Rasa kasih dan cintanya buat wanita itu semakin memudar. Tiada warna-warna
ceria yang mewarnai kanvas hatinya.
Ketukan di pintu menghentikan khayalannya. Dia merengus.
Apalah yang dimahukan oleh isterinya saat itu. Dia sudahlah letih melayan permintaan
uminya yang semakin bertambah. Umi pandai ‘mengayat hatinya’. Hubungannya dan
umi memang intim. Umi memang tahu ‘kelemahan’ dirinya.
‘’Masuk ajelah,’’ arah Firas Amsyar dari dalam. Dia masih
dengan posisinya.
Munirah memulas perlahan tombol kayu itu. Terbuntang matanya
melihat fizikal suaminya yang hanya bertuala di paras pinggang bersama tubuh yang bersisa
air mandian yang belum kering. Rambut suaminya juga masih lembap. Tergoda
naluri kewanitaannya.
‘’Nak apa? Nak tunaikan permintaan umi dan mak tadi ke?’’
tebak Firas Amsyar selamba.
Munirah menggigit bibirnya geram. “Kalau Encik Firas sudi
memenangi ‘rahim’ saya, apa salahnyakan? Lagi pun halal,’’ balas Munirah
berani. Geram. Petang tadi umi juga sudah membangkitkan soal anak dengan
mereka. Bertambah serabut fikiran Munirah dibuatnya. Merah mukanya menahan
bengang apabila umi asyik bercerita pasal cucu. Umi dan abah memang sudah
mengidam tangisan seorang cucu. Hatinya tertanya-tanya, adakah suaminya
mendengar perbualannya bersama Puan Juriah?
Firas Amsyar terus membangunkan tubuhnya. Dia duduk di
birai katil. Dia meraup rambut basahnya ke belakang. Memercik airnya. ‘’Kau
cabar aku ke? Aku memang pantang dicabar, Munirah.’’ Firas Amsyar membalas dengan
senyuman penuh maksud tersirat. Senyuman yang cukup menggoda hati Munirah. Dia
mendekati isterinya yang berdiri tegak di hadapan pintu biliknya. Isterinya
yang hanya memakai baju tidur paras peha seakan menyerah diri kepadanya.
‘’Tapi Encik Firas kena imamkan solat maghrib dan isyak
dahulu. Kalau lulus barulah saya fikirkan ya,’’ balas Munirah bersahaja dan
tegas.
Firas Amsyar tahu isterinya memang pandai bermain kata
dengannya. Dia tahu isterinya itu bukan seperti gadis-gadis biasa yang mudah
menyerah. Bukan gadis yang mudah lemah dengan ugutan mahu pun pekikkan.
‘’Okey, baiklah. Tunggu ‘abang’ siap ya. Lepas ni kita
berjemaah ya, ‘sayang’.’ Abang’ mungkin tak sebagus Imam Muda Asyraf tapi
insyaALLAH doa Qunut memang hafal,’’ beritahu Firas Amsyar dengan sengaja
membahasakan dirinya sebagai ‘abang.’ Sengaja memerli isterinya. Dia tahu doa
Qunut, doa dalam solat subuh yang selalu menjadi kayu pengukur kerajinan
seseorang dalam menunaikan rukun Islam yang kedua itu.
‘’Baiklah, ‘abang’. ‘Sayang’ memang nak ajak abang
berjemaah pun. Tak gunalah kalau ada suami tapi tak boleh imamkan solat isteri.
‘Sayang’ tunggu abang siap ya,’’ beritahu Munirah selamba dan membuat muka
paling manis dan meninggalkan suaminya.
Sememangnya itulah tujuannya memanggil suaminya. Baguslah
suaminya faham. Dia begitu ingin bersolat dengan diimamkan oleh suami sendiri.
Tidak mengapa suaminya tidak melayannya sebagai isteri yang selayaknya cukuplah
kiranya suaminya memimpin solatnya. Itulah pimpinan pertama daripada seorang
suami yang sebaik-baiknya.
***
Munirah mengaminkan segala
doa yang dipanjatkan oleh suaminya. Dia tersenyum dengan doa kudus yang dipohon
oleh suaminya. Doa untuk ibu dan ayah mereka. Itulah yang mensayukan hati
Munirah. Alhamdulilah suaminya sudi mendoakan untuk ibu dan ayahnya. Mereka
memulakan solat maghrib berjemaah maghrib. Sementara menunggu kemunculan waktu
isyak, mereka berzikir-zikir sendiri dan melakukan solat sunat rawatib.
Munirah menggapai tangan suaminya. Dia mengucup syahdu
tangan kekar itu. Telapak tangan yang boleh menyebabkan orang yang ditampar
pengsan kerana permukaannya yang luas.
‘’Encik Firas, ampunkan segala dosa saya hari ini.
Halalkan segala makan minum saya, ya.’’ Munirah meminta lembut dan perlahan.
Dia sedar tempat dirinya di akhirat nanti berasaskan reda dan ampun daripada
suaminya. Walau bengis dan garang mana pun suaminya, dia sebagai isteri tetap
mempunyai dosa terhadap suami yang perlu ditanggung.
‘’Okey,’’ jawab Firas Amsyar pendek. Perbuatan rutin yang
dilakukan oleh isterinya setiap malam. Dia menarik tangannya dan melipat
sejadahnya yang dibentangkan di ruang tamu yang luas itu. Ketayap di atas
kepala juga dibuka.
‘’Macam mana ‘sayang’? ‘Abang’ lulus tak?’’ soal Firas
Amsyar mengejek isterinya.
Munirah hanya menekur diam sambil membuka telekung
berjenama Siti Khadijah yang diberi oleh suaminya ketika pernikahan mereka.
Telekung yang mahal, namun cukup berkualiti dan selesa digunakan. Harga
bukanlah taruhannya. Pandai umi memilih untuk menantu sulungnya itu.
‘’Lulus.’’ Munirah menjawab pendek. Kemampuan suaminya
untuk mengimamkan solat mereka memang tidak mampu dipertikaikan. Bacaan
suaminya cukup baik.
Firas Amsyar tersenyum ‘menang’. Dia bukanlah seorang
cetek perihal agama. Umi dan abah memang cukup memberatkan perihal ilmu agama
semenjak kecil lagi. Sehingga kini uminya masih memanggil ustaz dan ustazah
untuk mengajar mereka perihal ilmu tauhid, tajwid dan ibadat di rumah. Oleh
sebab itulah, dia yakin boleh membimbing Amelia sekiranya mereka bergelar suami
isteri. Malangnya umi dan abah meragui kemampuannya.
Firas Amsyar mendekati isterinya yang sedang melipat kain
telekungnya. Dia menghampiri mulutnya di sisi telinga istertinya. ‘’Lain kali
jangan berani nak cabar aku. Aku ni suami kau tahu. Ikut sahaja arahan aku
selagi aku tak suruh kau buka aurat dan mencemarkan maruah kau sebagai isteri
aku. Maaflah, aku tak nak ‘rosakkan’ kau. Aku tak nak semakin ‘terikat’ dengan kau. Kau masih muda,
kau berhak mencintai dan mengasihi suami yang menerima kau. Antara kita tak
mungkin wujud Firas Amsyar junior mahu pun Munirah junior.
Aku bukan lelaki dayus yang ‘menyentuh’ isteri
semata-mata kerana melepaskan hawa nafsu atau sekadar melunaskan tanggungjawab
sebagai suami. Aku tahu, kau pun begitukan? So, kita hidup sebagai suami isteri
seperti biasa. Aku tak boleh ceraikan kau sebab umi dah haramkan aku untuk
ceraikan kau. Tapi kalau kau yang menuntut fasakh mungkin umi terpaksa
‘halalkan’ kot?’’ beritahu Firas Amsyar terang dan jelas.
Ketika
seminggu sebelum berlangsung pernikahan mereka, umi sudah memberi amaran
kepadanya agar jangan sesekali berani menceraikan dan melepaskan Munirah.
Uminya mahu Firas Amsyar menerima Munirah dan menyayangi Munirah sebagai
isteri. Umi juga berpesan kepadanya jangan menyeksa anak dara orang. Cuba
dahulu pupuk rasa sayang dan jangan sesekali berani mentangan-tangankan anak
orang. Itulah pesan umi. Pijar telinganya. Tetapi apabila mengenangkan wanita
itu ibu yang menghamilkan dan melahirkannya, dia menelan dan menghadam jua kata-kata
itu.
Munirah menahan sebak di dalam dadanya. Sedih hatinya.
Adakah sebegini nasib insan yang berkahwin kerana permintaan ibu bapa? Tiada
hakkah untuk dia memegang gelaran ‘isteri tercinta dan tersayang’ dihati
suaminya?
‘’Saya pun begitu, encik. Saya pun tak rela ‘bersama’
sekadar memenuhi impian ibu bapa kita. Saya tak rela. Moga-moga Allah s.w.t
ampunkan dosa kita. Walaupun mungkin ketika ini tiang arasy bergegar kerana
kita telah mempermainkan tujuan perkahwinan itu sendiri. Maafkan saya, encik.
Mungkin saya bukan jodoh yang benar-benar tertulis di luth mahfuz, Encik Firas
Amsyar. Agaknya nama Amelia kot?’’ ujar Munirah tanpa memandang raut suaminya.
Dia bingkas bangkit selepas berkata begitu.
Dia mahu menyediakan makan malam yang semakin lewat untuk
mereka. Lauk yang dibekalkan oleh maknya dan umi menjadi menu mereka.
Firas Amsyar terpana dengan jawapan berani isterinya.
Nampaknya antara mereka memang buku bertemu ruas. Sama-sama mahu menang apabila
berkata-kata. Walaupun tampak isterinya seperti ‘menerima’, namun terserlah
keberanian yang luar biasa.
Agaknya umi yang bercerita perihal kekasihnya, Amelia.
Baguslah isterinya tahu. Tidak perlu dia menyatakan sebab musabab keadaan rumah
tangga mereka begitu.
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)