Pages

welcome


Saturday, February 8, 2014

PROJEK E-NOVEL KERANA TAKDIR ITU... BAB SEMBILAN

BAB 9
Majlis menerima menantu itu Encik Haron dan Puan Juriah cukup meriah dengan dihadiri para jemputan yang dekat mahu pun jauh. Nampak jelas terpancar  wajah kegembiraan di wajah seluruh ahli keluarga mereka. Rasa seronok lebih mengatasi rasa penat. Majlis yang bermula seawal 10 pagi itu tamat pada pukul 5 petang. Tujuh buah khemah yang berkanopi biru putih itu tinggal untuk dikemaskan kerusi dan meja. Aktiviti gotong- royong masyarakat kampung itu diteruskan. Masing-masing mengambil tugas yang mereka ingin lakukan.
          Munirah menyelinap masuk ke bilik yang diinapnya bersama Mazni. Dia mahu menukar dress pengantin bewarna biru firus kepada baju basahan. Rasa tubuh yang melekit perlu dibersihkan. Selesai bersiap dia menyertai aktiviti mengemas.
          Dia menuju ke ruang dapur yang berserak dengan perkakas dapur yang belum dicuci. Dia pun mencuci perkakas-perkakas tersebut. Ruang dapur itu dikemasnya sebersih mungkin. Munirah melakukannya bersama sepupu-sepupunya. Ibunya dan yang lain sibuk membungkus lauk kenduri yang lebih untuk diagihkan kepada jiran tetangga yang berdekatan.
          Ruang tamu turut dikemasnya. Lantai disapu dan disedut dengan penyedut hampas gas. Dia buat kerjanya dengan ralit sehinggakan terlupa dengan suaminya yang telah menikahinya dengan satu kali lafaz beberapa jam yang lalu.
          ‘’Irah, Firas mana?’’ soalan yang diajukan oleh Puan Juriah mengejutkannya yang sedang menyapu di beranda luar rumah berjubin yang berpasir itu.
          ‘’Entahlah mak. Dalam bilik kot,’’ jawab Munirah selamba dengan tangan yang ligat menyapu lantai.Ketika selesai majlis dan kepulangan keluarga mertuanya itu mereka terus membawa diri masing-masing. Langsung dia tidak kisahkan suaminya.
          ‘’Firas tengah tolong orang basuh periuklah, mak.‘’ Sedang mereka berdua sibuk mengenai Firas Amsyar, muncul Maria dari dalam rumah yang sedang mengendong anak keduanya, Thaqif dengan botol susu di tangan.
          Munirah menoleh ke belakang untuk melihat kakaknya, Maria. Puan Juriah sudah tersenyum simpul. Berkerut dahinya mendengar perkhabaran yang dibawa oleh kakaknya. Ternganga sedikit mulutnya. Terkejut badak juga.
          ‘’Kenapa Irah, tak percaya?’’ aju Maria sambil melabuhkan punggungnya di kerusi set yang berada di beranda itu. Anaknya Thaqif yang berusia enam bulan itu kelaparan susu. Susu badannya yang disimpannya di peti sejuk telah dipanaskan untuk disuakan ke mulut anaknya.
          Munirah yang masih ragu-ragu dengan kata-kata kakaknya itu, menjengah ke tepi rumah yang terletak kepala paip di situ. Terkejut besar dia apabila melihat Firas Amsyar yang sudah berpakaian ringkas, berseluar pendek paras lutut dan bert-shirt lengan pendek sedang tekun memberus periuk sepuluh gantang itu bersama abang iparnya, Helmi. Lelaki itu turut berbual-bual mesra dengan abang iparnya dan bersama sepupu lelakinya, Fariz dan Zahrin.
          Puan Juriah turut menjengah. ‘’Alhamdulilah... menantu lelaki mak semuanya boleh diharap, ‘’ ucap Puan Juriah lega dengan penuh rasa syukur. Dia mengusap-usap belakang Munirah.
          Munirah yang masih dalam rasa terkejutnya meneruskan kerjanya yang tergendala seketika.
          ‘’Dah percaya, Irah?’’ Maria mengusik adiknya. Punggung anaknya itu ditepuk-tepuk perlahan. Pipi comel dan gebu itu dicium-ciumnya. Suka dia melihat Thaqif meminum susu badannya yang dipam ke dalam botol itu.
          ‘’Percaya... baguslah macam tu. Tak adalah orang kata menantu mak goyang kaki ajekan?’’ balas Munirah bersahaja. 
          Maria dan Puan Juriah sudah tersenyum simpul sesama sendiri.
          ‘’Mak tengok, Firas tak kekok buat kerja-kerja tu.’’ Puan Juriah ‘mengumpan’ Munirah untuk menarik minat Munirah.
          ‘’Bukan ke Mak Cik Nora dan Pak Shad tu orang kampung juga?Mestilah dia dah biasa dengan kerja-kerja ni, ‘’ ujar Munirah sambil menyusun selipar dan kasut yang berterabur letaknya.
          Puan Juriah terdiam. Maria sudah menjuihkan bibirnya sambil memandang ibunya yang melabuhkan punggung di sisinya. Ibunya mengagah-agah cucunya yang keempat itu.
          ‘’Tak juga biasa kalau tangan tu jenis manja.’’ Puan Juriah membalas selamba.
          Maria yang sedang menepuk belakang anaknya yang sudah selesai menyusu, hanya mengukir senyuman.
          ‘’Irah nak masuk dululah. Nak makan lagi. Lapar pulak perut ni.’’ Munirah meminta diri untuk ke dapur. Perutnya perlu diisi. Ketika makan beradap tadi, sikit sahaja dia menjamah maklumlah pengantin tak akan nak makan bersungguh-sungguh.
          Sementara itu, Puan Juriah dan Maria berbual-bual seketika berkisah perjalanan majlis mereka.
          ***
Waktu Maghrib dan Isyak Munirah hanya memerap di dalam bilik yang dikongsinya bersama Mazni. Dia sudah lima hari kedatangan haid jadi dia tidak bolehlah menyertai solat berjemaah ahli keluarganya. Mak Long, Mak Usu dan Mak Lang akan bermalam lagi di rumahnya pada malam ni bersama anak-anak perempuan mereka. Para suami tidak menyertai kerana memberi peluang para isteri untuk menikmati masa bersama adik-beradik.
          Semenjak petang tadi, dia tidak bersua langsung dengan suaminya, Firas Amsyar. Mereka membuat hal masing-masing. Suaminya menggunakan bilik pengantin yang lengkap dengan bilik air. Langsung dia tidak menjenguk bilik pengantinnya.
          Tepat pukul 8.45 malam, mereka seisi rumah menikmati makan malam yang dihidangkan di ruang tamu. Munirah membantu ibunya menyediakan lauk pauk kenduri yang berbaki untuk rumah.
          Munirah mengambil tempat di sisi adiknya, Mazni. Suaminya langsung tidak diendahnya. Dia makan dengan bersungguh-sungguh walaupun petang tadi dia sudah makan. Dia bagaikan membalas dendam terhadap nasi beriyani yang berlaukkan ayam masak merah, dalca sayur berserta daging beriyani. Makanan itu dimasak oleh Pak Sharif, seorang tukang masak  yang handal di kampung mereka.
          Selepas makan berlangsung pula aktiviti picit-memicit antara mereka. Bukan main ibunya dan makcik-makciknya memicit antara satu sama lain. Munirah juga menyertai. Seronok mereka berbual mengenai perkahwinan Munirah.
          Ayahnya dan yang lain duduk beranda sambil menikmati kopi O panas yang dibuat oleh Kak Maria. Kak Erina pula menghidangkan kerepek-kerepek untuk dibuat snek untuk mereka. Kedengaran rancak benar mereka berbual.
          Munirah sudah mengantuk sangat. Matanya seakan kelat untuk dibuka. Akhirnya dia tertidur di sofa. Mereka yang lain terus berbual tanpa menyedari Munirah tertidur di sofa panjang itu.
          Bahu Munirah digoyangkan seseorang. Tidurnya terganggu. Dia cuba mencelikkan matanya yang bagi dilekatkan gam UHU. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Tangannya mencari telefon bimbit berjenama Samsung yang diletakkan di atas badannya. Terkejut dia melihat waktu yang tertera di skrin sesentuh Wonderland. 11.50 malam. Nampaknya lama dia tertidur di sofa panjang itu.
          Dia melihat seseorang sedang memerhatikannya. Terbuntang matanya apabila melihat wajah suaminya, Firas Amsyar berdiri tegak menghadapnya. Terus dia terduduk. Malunya tidak terkira. Dia mengelap kesan air liur basi di pipinya. Lena sangat tidur sampai terkeluar air liur basi gamaknya.
          ‘’Jom, masuk bilik!’’ ajak Firas Amsyar dalam nada suara yang tegas. Dia memandang wajah comel isterinya yang masih mamai dan terkejut itu. Geli hatinya melihat air liur basi yang meleleh keluar daripada mulut isterinya tadi.
          Munirah masih terkedu. Dia tidak berganjak daripada sofa berkain kusyen itu.
          Geram pula dia melihat isterinya yang selamba dengan arahannya. Dia dengan bersahaja menggapai tangan isterinya. Munirah terkesima bagaikan terkena kejutan elektrik ketika memegang mesin pengisar milik ibunya dahulu yang sudah rosak. Ketika itu dia cuba membersihkan mesin pengisar ibunya itu.
          ‘’Hei, cepatlah masuk bilik! Dahlah tidur kat sini. Menyusahkan orang nak kejut dia pulak,’’ bebel Firas Amsyar. Malam itu Firas Amsyar mengenakan t-shirt lengan pendek berwarna merah bersama seluar track suit hitam. Telinganya dahlah bernanah diusik kaum keluarga Munirah ketika mereka menyedari isterinya itu tertidur di sofa.
          ‘’Firas, malam ini nampaknya melepaslah ya,’’ usik Mak Lang Surinah.
          ‘’Firas, jangan lupa kejut isteri itu. Karang tak ada bantal peluk pulak, ‘’ usik Mak Long Halijah.
          Abang iparnya, Mahadzir dan birasnya, Helmi juga boleh tahan mengusik.
          ‘’Jangan lupa dukung bini masuk bilik ya!’’ itulah kata-kata yang digiatkan mereka sebelum melelapkan mata dan berdengkur.
          Tebal mukanya ketika itu. Usik-usikkan itu dibalas dengan senyuman sahaja. Wajahnya bahang memanas juga.
          ‘’Yalah...’’ balas Munirah meleret sedikit merengus. Dia bangun juga akhirnya. Serta merta tangan Firas Amsyar dilepaskan. Barulah dia menyedari ruang tamu itu sunyi yang cuma kelihatan abangnya Mahadzir dan abang iparnya, Helmi tidur di ruang tamu itu beralaskan narita.
          Makcik-makciknya dan sepupu-sepupunya mungkin tidur di bilik Mazni. Munirah berjalan selamba untuk menuju ke bilik bujangnya. Baru sahaja dia mahu memegang tombol pintu kayu itu, namanya dipanggil suaminya.
          ‘’Salah bilik. Masuk sini,’’ arah Firas Amsyar dengan jari telunjuknya mengarah ke bilik utama yang berdekatan ruang televisyen itu.
          ‘’Wajib ke?’’ balas Munirah selamba dengan menggosok-gosok matanya. Tubuhnya cukup letih. Dia sangat perlukan rehat. Kantuknya perlu disambung.
          ‘’Kau boleh tanya wajib ke tidak?Kau isteri aku, mestilah wajib dengar arahan aku!’’ balas Firas Amsyar tegas dengan membahasakan ganti nama diri mereka, aku dan kau.
          ‘’Kau tak pergi kursus kahwin ke?Seorang isteri mana boleh berpisah tempat tidur dengan suami.’’ Firas Amsyar menambah lagi dengan nada yang sedikit memerli isterinya.
          ‘’Yalah,yalah...’’ balas Munirah sedikit merengus dalam masa yang sama menuju ke pintu bilik pengantinnya.
          Tersenyum ‘menang’ Firas Amsyar melihat ‘kekalahan’ isterinya itu.
          Munirah menggaru-garu lengannya yang gatal akibat gigitan nyamuk. Dia berdiri tegak di dalam bilik yang mekar mewangi itu sambil memerhati ruang sekeliling bilik yang sarat dengan barang hantaran. Hantaran sebanyak sembilan dulang daripada suaminya. Hantaran yang digubah dengan bunga-bungaan segar. Dia mengangkat dulang-dulang hantaran daripada pihak suaminya yang berada di atas katil. Dia meletakkan hantaran itu di sudut bilik yang lapang itu.
          Setelah itu, dengan selambanya dia mencampakkan badanya di  atas katil. Lega terasa apabila tubuhnya dapat berbaring dengan lebih selesa. Dia mengeliat. Berasa seronok dapat mengeliat. Kelopak bunga mawar merah, ditindihnya.
          Firas Amsyar yang baru selesai melegakan tekaknya yang kering di dapur,  memasuki bilik. Terkejut dia melihat isterinya yang selamba berbaring di tengah-tengah katil.
          ‘’Amboi, kau ingat kau seorang aje yang nak tidur?Aku pun nak tidur juga. Tepi sikit,’’ sergah Firas Amsyar selamba. Dia merapati katil yang dihias indah dengan kain tabir berwarna putih susu. Gantungan bunga melur cukup mengharumkan kamar beradu itu.
          Munirah tersipu malu apabila menyedari suaminya melihat dia yang sedikit lepas laku dengan kaki terkepak sedikit.
          Munirah bangun daripada pembaringannya yang cukup selesa itu setelah suaminya itu sudah menghampiri sisi katil. Dia membuka almari untuk mencari alas tidur di lantai. Dia terjumpa narita yang diperbuat daripada kain kapas itu. Dia mengeluarkannya.
          Firas Amsyar sedang ralit dengan gajet berjenama Apple. Ucapan tahniah daripada kawan-kawannya tidak dibalasnya. Dia terpandang Munirah yang sedang  membentangkan narita di lantai bilik yang berjubin.
          ‘’Kau buat apa tu?’’ soal Firas Amsyar dengan membetulkan letak bantal kepalanya. Dia sedang melayan permainan Candy Crush. Seronok pula melayani permainan telefon pintar yang cukup digemari ramai. Sudah dua puluh level telah berjaya dia lepasi.
          ‘’Nak tidurlah...tak akan nak masak pulak kat sini, ‘’ jawab Munirah selamba. Munirah berani berbalas kata dengan suaminya.Dia mengambil bantal kepala di sisi Firas Amsyar.
          ‘’Siapa suruh kau tidur bawah? Kau tidur sebelah aku sekarang,’’ arah Firas Amsyar tegas. Dia menunjukkan muka garangnya.
          Munirah yang begitu penat dan mengantuk malas melayan. Dia cuba membaringkan tubuhnya di atas narita. Dia membelek-belek jari-jemarinya yang merah menyala sedikit jingga. Tangannya yang putih gebu nampak kontras dengan warna inai daun asli itu.
          Panas pula hati Firas Amsyar melihat keingkaran Munirah dengan arahannya. Dia memang cukup pantang orang yang tidak mendengar katanya. Kedudukannya sebagai anak sulung membuatkan sifatnya yang suka mengarah terserlah.
          ‘’Wajib ke saya kena tidur sebelah awak?’’ soal Munirah lemah dan selamba. Dia dah tak ada mood nak bergaduh dengan suaminya. Ketika itu, dia hanya mahukan bantal. Sebenarnya dia tahu itu soalan paling bodoh yang dipersoalkan kepada seorang suami yang sudah halal dan sah dalam hidupnya.
          ‘’Kau ni degil ea...baik kau nak atas katil sebelum aku cium kau kat situ.’’ Firas Amsyar mengugut isterinya. Dia yakin gadis itu akan takut dengan ugutannya itu. Dia masih ingat peristiwa pagi tadi semasa dia mahu mengucup dahi itu betapa menggigil isterinya itu.
           Munirah terus mencelikkan matanya. Rasa gerun dengan ugutan dengan suaminya. Dia seakan terasa bekas kucupan suaminya di dahinya.
          ‘’Berani ke awak nak cium saya?’’ aju Munirah berani dengan masih lagi dengan posisinya.
          Firas Amsyar sudah duduk bersila di atas katil. Dia memandang Munirah yang berada di lantai sebelah kiri yang berdekatan pintu bilik itu. Dia melihat Munirah semakin mengecil dimatanya.
          Munirah mengiringkan tubuhnya ke kiri menghadap dinding. Walaupun ruang di lantai itu sempit, dia selesa di situ. Dia memejamkan matanya. Kantuknya sudah tiada daya untuk ditahan.

      

6 comments:

  1. see...CEO Firas Amsyar sdg sibuk cuci periuk belanga...so hensem..hihi

    ReplyDelete
  2. Degil yg amat Pulak si munirah ni.... X sukanya isteri yg kata muslimah tp degil x dengar cakap suami. Walaupun suami tu x suka dia...tunjuklah ciri2 isteri solehah supaya cair hati suami...

    ReplyDelete
  3. A very well-written post. I read and liked the post and have also bookmarked you. All the best for future endeavors.
    HealthCare CPA

    ReplyDelete
  4. Hehehe...degil kn si munirah ni..hehehe
    Kiss ajelah firas...den sokong 100%...muahahaha

    ReplyDelete

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)