Bab
10
Suasana
di dapur Puan Juriah sungguh sibuk kerana menyediakan sarapan pagi untuk pagi
ahad itu. Lauk pauk kenduri diperhangatkan lagi untuk dijadikan sarapan pagi.
Nasi lemak dan kuih muih yang dibeli oleh Mahadzir turut memenuhi meja makan
yang mampu diduduki seramai lapan orang itu. Kaum lelaki dibiarkan bersarapan
dahulu. Sementara kaum perempuan beralih ke beranda rumah untuk menanti giliran
merekan bersarapan pula. Masing-masing dengan secawan kopi O panas. Kerepek-kerepek
yang berlebihan turut dijadikan kudapan untuk mereka.
‘’Irah, tak layan suami kau makan
ke?’’ tegur Nabila sepupunya, anak kepada Mak Usu Faridah.
Gadis berusia 25 tahun itu kurang
rapat dengan sepupunya itu. Dia hairan melihat perhubungan suami isteri itu
yang berbeza daripada pasangan yang lain. Mereka membuat hal masing-masing.
Seorang ke kiri seorang ke kanan. Setahu Nabila, kalau pengantin baru ni tidak
boleh berenggang. Dia tidak begitu rapat dengan Munirah kerana Laut Cina
Selatan memisahkan mereka. Dia bertugas sebagai guru di negeri Sarawak. Bertemu
hanya apabila ada keraian mahu pun keramaian.
Munirah terkedu dengan soalan
sepupunya itu. Dia sedang enak mengunyah kerepek pisang tanduk yang lemak-lemak
masin, menggelengkan kepalanya.
‘’Alah, pandailah dia makan. Tak akan
aku nak suap kot?’’ jawab Munirah selamba. Padahal dia sebenarnya malu untuk
bertembung dengan suaminya selepas peristiwa pagi tadi. Peristiwa yang cukup
memalukan dia. Rasanya hari ini mahu diserkup muka ini. Wajahnya panas
membahang lagi.
Setelah selesai bersarapan, Munirah
membantu ibunya dan makcik-makciknya menyiapkan makan tengah hari. Menu tengah
hari itu ialah asam pedam ayam, sambal goreng tauhu dan tempe berkicap, sayur
kubis goreng serta sambal belacan. Mereka bersedia untuk menikmati makanan pada
pukul 12.30 tengah hari.
Munirah menjengah ke bilik
pengantinnya untuk memanggil suaminya. Tanpa mengetuk pintu dia memasuki kamar
yang masih harum mewangi. Matanya meliar melihat sekeliling ruang bilik yang
luas itu namun, bayang tubuh suaminya tiada.
‘’Mana pulak pak cik seorang ni
pergi?’’ soalnya sendiri.
Dia menghampiri sudut kanan bilik yang
luas itu yang dipenuhi barangan hantaran miliknya. Semalam dia belum sempat
menilik barangan hantaran yang digubah bertemakan moden itu. Dia melihat kasut dan
beg tangan berjenama Guess dan Braun Buffle itu. Pilihan yang dibuat bersama kedua-dua
ibunya.
Dia terpandang sebuah pahar yang
terdapat sekeping cek yang diletakkan dalam bingkai gambar bersama kotak cincin
kahwinnya serta mas kahwin sebanyak tiga Dinar itu. Tergamam dia apabila melihat
jumlah yang ditulis oleh pemberi. Dia tidak percaya begitu banyak wang hantaran
yang diberi. Seingat dia ketika proses perbincangan, bapanya tidak mahu
menerima wang hantaran hanya mas kahwin itu pun diserahkan kepada pihak
suaminya bagi jumlahnya.
‘’Hai, berpinar ke mata kau tengok cek
tu? Bolehlah kau berjoli lepas ni kan,’’
Hampir melompat Munirah yang sedang
duduk bertinggung di situ. Diurut-urut
dadanya bagi melegakan degupan jantung yang semakin pantas itu. Pak cik seorang
ni memang suka bagi orang terkejut aje kerjanya, bebel Munirah dalam hati.
Munirah bangkit dari posisinya. Dia
memandang suaminya yang berdiri sambil memasukkan tangan ke dalam poket seluar
pendek paras lutut jenis khaki itu. Suaminya itu tersenyum penuh sinis. Entah
dari mana suaminya muncul pun dia tidak tahu.
‘’Kenapa bagi wang hantaran? Kan ayah
cakap tak payah bagi?’’ aju Munirah lembut. Dia memegang cek itu. Cek yang
tidak berpalang itu. Dia menunjukkan cek yang ditulis dan ditanda tangani oleh
suaminya. Jumlah yang tertera di situ cukup membuatkan Munirah melopong
seketika. Terlebih tulis angka sifar agaknya.
‘’Dah aku nak bagi? Suka hati
akulah,’’ jawab Firas Amsyar bersahaja. Dia mendekati Munirah yang berbaju
kurung Johor daripada fabrik kapas itu. Ketinggian isterinya hanya di paras
hidungnya. Dia tersenyum mengejek. Dia masih teringat peristiwa pagi tadi. Dia
tahu isterinya itu malu untuk bersua muka dengannya.
Dia sudah dimaklumkan oleh umi dan
abahnya bahawa bapa mertuanya tidak mahu menerima sebarang jumlah wang
hantaran. Dia yang mahu memberi, umi dan abah pun menggalakkan. Umi dan abah
pun tidak mencampuri jumlah wang hantaran dan mas kahwin buat isterinya. Perkahwinan
mereka mungkin aturan umi dan abahnya tapi bagi dia biarlah Munirah berasa
seperti gadis lain. Menerima wang hantaran dan mas kahwin yang sewajarnya.
Munirah hanya diam menunggu tindakan
suaminya seterusnya. Suaminya itu, hanya merenungnya tajam. Munirah berani melawan
renungan itu walaupun selepas sahaja bangun pagi tadi dia sudah mengelakkan
diri daripada bertembung dengan suaminya.
‘’Tapi kenapa awak bagi banyak sangat?’’ soal
Munirah lagi tidak berpuas hati dengan jawapan bersahaja suaminya. Jumlah
hantaran yang terlalu tinggi untuk gadis biasa dan berusia 20 tahun sepertinya.
Dia bukan anak orang kaya. Dia cuma seorang gadis biasa yang punya cita-cita
menggunung tinggi.
Firas Amsyar semakin mendekati wajah
ayu isterinya. Dia merenung tajam wajah itu. Wajah yang manis persis pelakon
tempatan, Nelydia Senrose.
‘’Dah bagi pun banyak songeh kau ni
ekk… aku rasa RM44, 000 itu cukup untuk harga kau berkhidmat menjadi isteri aku selama mana yang kau
mahu.’’ Firas Amsyar bersuara sini dan tegas. Wajahnya begitu serius dan tampak
garang.
Munirah bungkam dengan kata-kata kasar
suaminya itu. Sakit hatinya dengan kata-kata suaminya itu. Dia ingat dia
‘membeli’ isteri agaknya. Firas Amsyar
fikir wang hantaran merupakan
harga dirinya.
Wajah Munirah sudah membahang. Pipinya
yang putih gebu sudah merah merona. Muka yang menahan amarah. Dia mendekatkan
wajahnya dengan wajah suaminya itu. Dia
memandang tepat mata suaminya. Mata yang ke dalam itu. Mata yang galak apabila
memandang.
‘’RM44,000 ni terlalu ‘murah’ untuk saya
berkhidmat sebagai isteri awak, Encik Firas. Khidmat saya sebagai isteri
harganya ialah keikhlasan dan kasih sayang seorang suami bukan wang ringgit
awak, tahu tak!’’ lantang suara Munirah. Dia tidak rela maruahnya
diperkotak-katikkan oleh lelaki itu.
Firas Amsyar terkedu. Dia tidak
menyangka gadis manis yang nampak lembut ini tegas orangnya. Berani juga.’ Wow,
pandai umi pilih isteri untuk Firas ya!’
‘’Bukan ke sebab duit kita kahwin
sekarang ni?’’ soal Firas Amsyar pula dengan mengangkat kening kanannya. Dia
memeluk tubuhnya sendiri. Dia rasa ‘menyampah’ pula apabila isterinya kononnya
bercerita tentang maruah diri. Baginya gadis semuda Munirah tidak layak
berbicara soal maruah diri.
Munirah terdiam seketika. Dia
melepaskan nafas panjang sebelum membalas, ‘’ ya, saya tahu keluarga saya dah
terhutang budi dengan keluarga awak. Tapi itu tidak bermakna awak boleh
menganggap saya sebagai galang gantinya. Saya terima awak jadi suami saya sebab
mak dan ayah saya. Lagi pun Pak Cik Arshad dan Mak Cik Nora terlalu baik untuk
saya dan keluarga.’’ Munirah terketar-ketar menjawab kerana pertikaman lidah
itu cukup tegang.
‘’See… kau pun tak ikhlas kahwin aku.
Ada hati nak harapkan keikhlasan dan kasih sayang daripada aku? Jangan
hipokritlah, Munirah!’’ jerkah Firas Amsyar lantang sambil jari telunjuk tangan
kanannya ditonjol-tonjolkan ke dada
Munirah sehingga gadis itu rasa tertolak ke belakang.
Munirah membeku. Ketika itu, dia
berasa seperti Firas Amsyar memercikkan air ke mukanya. ‘’Ikhlas atau tidak
saya menjadi isteri awak , saya akan buktikan nanti,’’ tutur Munirah tegas dan
berani.
Firas Amsyar ‘terpesona’ dengan
keyakinan dan ‘cagaran’ yang isterinya beri dalam perhubungan mereka suami
isteri. ‘’Okey, aku nak tengok. Aku nak kau buktikan bukan cakap sahaja,’’
setuju Firas Amsyar tanpa banyak cerita lagi.
Munirah mengangguk setuju namun, dalam
masa yang sama dia rasa lehernya terjerut. Dia tahu bagaikan meletakkan dirinya
dalam ruangan yang sempit. Dia mengambil tangan kanan kekar suaminya yang
berpeluk tubuh itu. Tangan kasar yang telah dia cium semasa upacara pembatalan
wuduk. Munirah diletakkan cek itu ke dalam genggaman suaminya.
‘’Saya tak boleh terima wang hantaran
ni, awak. Ini bukan harga atas perkhidmatan saya sebagai seorang isteri,’’ ujar
Munirah lembut .
Firas Amsyar menarik tangannya.’’ Aku
tak akan ambil semula benda yang aku dah beri kepada orang. Lebih-lebih lagi
duit. Aku bukan lelaki buruk siku, okey. Lagi pun aku tak naklah orang ingat aku
ni berkira dengan isteri. Tak naklah siku aku
yang cantik ni jadi buruk pula. ‘’ Firas Amsyar mempertahankan
pendiriannya. Dia sempat berloyar buruk pula. Dia mengangkat tangan kanannya
dan menunjukkan sikunya yang cerah betul-betul di depan mata isterinya.
‘’Saya tak boleh terima,’’ tingkah
Munirah serba salah.
‘’Kalau macam tu, kau anggap ajelah
itu ‘hadiah’ daripada aku buat kau ya. Terima kasih sudi perjudikan hidup kau
bersama aku!’’ ucap Firas Amsyar mengejek.
Munirah membundarkan matanya. Mata yang
bundar semakin terserlah bundarnya. ‘Kau ingat aku ni hadap sangat nak kahwin
dengan kau agaknya, kalau tak sebab kenangkan muka mak bapa kita, tak ingin aku bersuamikan lelaki
macam kau! Munirah menggerutu dalam hati.
Belum sempat Munirah memberi serangan
hendap sekali lagi, suaminya menambah pula. ‘’Marah ke sayang? Janganlah marah!
Ambil ajelah duit tu, orang dah bagi pun banyak tanya. Aku sumbat cek ni dalam
mulut kau karang, baru tahu!’’ Firas
Amsyar mengusik nakal dalam tegasnya. Firas Amsyar terpempan juga dengan respon
penuh berani daripada isterinya. Nampak aje muda remaja tapi gayanya macam
orang yang sudah berusia lebih 25 tahun.
Munirah sudah mecemberutkan wajahnya.
Orang tua ni, aku cakap serius dia main-main pula ya, ngomel Munirah sendiri.
Tersentuh juga hatinya dengan panggilan
‘sayang’ yang sedikit mengejek daripada suaminya. Kenapalah kau panggil
‘sayang’ itu palsu? Cuba kau panggil ‘sayang’ itu penuh makna, bahagialah hidup
aku, Munirah mengeluh pula.
Lantas fikiran Firas Amsyar ingin
berkata sesuatu. ‘’Malam ni, kau nak tidur peluk aku lagi tak?’’ soal Firas
Amsyar meleret nadanya sambil mendekatkan mulutnya ke telingan kiri isterinya
dalam nakal dengan senyuman mengejeknya.
Munirah membulatkan matanya. Pipinya
merubah ronanya. Dia memusingkan tubuhnya ke belakang menghadap ke longgokan
pahar hantaran. Dia memandang ke tingkap daun berkaca yang dilindungi
penembusan cahaya. Dia mengigit bibir bawahnya yang merekah cantik itu.
Serta-merta peristiwa pagi tadi bermain
semula di memorinya. Semalam suaminya mengarahkan dia tidur di katil di sisinya
tetapi Munirah enggan kerana dia geram dengan kata-kata suaminya ketika upacara
pembatalan wuduk.
‘’Kau ni dahlah tak cantik!Macam
manalah umi dan abah boleh pilih kau jadi bini aku?’’
Firas Amsyar berbisik demikian ketika
orang sibuk menangkap aksi-aksi romantis yang dibuat-buat oleh mereka berdua.
Pasti ketika itu, orang lain fikir Firas Amsyar membisikkan kata-kata romantis
di telinganya.
Tambahan pula, dia belum bersedia
untuk berada suami itu secara dekat. Dia canggung dan kekok untuk berdua-duaan
bersama suaminya di atas katil pengantin. Dia takut sekiranya lelaki itu
‘menuntut’ haknya sebagai seorang suami. Walaupun dia sedar mana mungkin
suaminya itu mahu ‘bersama’ dengannya. Diakan sedang berbangga mengibarkan
bendera negara matahari terbenam itu. Tapi waktu uzur yang haram antara pusat
dan peha.
Dia bukan isteri pilihan lelaki itu. Pasti
Firas Amsyar memiliki pilihan hatinya sendiri. Lagi pun Firas Amsyar sudah
memberi amaran kepadanya bahawa ‘tempat’ Munirah hanya di dalam kertas. Lelaki
itu juga ada mengatakan sesuatu yang cukup menghiris tangkai hatinya. Kata-kata
yang diucap ketika mereka bertembung di dapur malam tadi seusai makan.
Bagai nak terkeluar jantungnya pagi tadi
apabila menyedari dia enak tidur di atas katil pengantin yang baru dibeli
seminggu lalu. Lebih menambahkan bengang apabila dia sedang memeluk erat tubuh
sederhana suaminya. Suaminya sudah tersenyum mengejek. Dia memeluk erat
pinggang lelaki itu erat. Kakinya boleh pula menyilang cantik dikaki suaminya. Munirah
terpinga-pinga bagaimana dia boleh berada di atas tilam tebal itu?
‘’Amboi, semalam bukan main berlagak
tak nak tidur atas katil! Pagi ni sedap pula kau buat aku macam bantal peluk
ea..,’’ perli suaminya pagi tadi.
Munirah memusingkan tubuhnya menghadap
suaminya. Wajah tampan itu dipandangnya. Ada sesuatu yang melingkari kepalanya
kini.
‘’Awak angkat saya ke semalam?’’ soal
Munirah ragu-ragu dalam malu-malu. Perkara ini yang membuatkan otaknya
bercelaru sejak pagi tadi. Jenuh dia memikir, bagaimana dia boleh berada di
atas katil itu? Seingatnya dia tidur nyenyak di atas narita.
Firas Amsyar membulatkan matanya.
‘’Tak ada kerja aku nak angkat kau. Kau yang tidur mengingau dan menjalu tak
sedar pulak?’’ jerkah Firas Amsyar sambil membulatkan matanya.
Munirah mengerutkan dahinya. ‘’Saya
tak tidur macam itulah!’’ sangkal Munirah. Seingat dia dari kecil hinggalah
sudah bergelar isteri orang, dia tidak pernah berkelakuan sebegitu ketika
tidur. Mengigau pun tidak pernah apatah lagi mahu menjalu.
Firas Amsyar tersenyum sungging. ‘’Tak
nak mengaku pulak dia. Entah-entah rumah kau ni ada makhluk halus tak? Benda tu
alihkan kau masa kau tidur, ha ha ha’’ Firas Amsyar menyakat isterinya dan
tertawa ‘jahat’.
Munirah menarik muka dua belas. ‘’
Jangan nak merepeklah, awak! Rumah saya ni ‘lembut’ okey. Cek ni saya bagi mak
dengan ayah nanti. Dahlah malas layan, awak. Jom, makan!’’ ajak Munirah dalam
rasa geram yang berlipat-lipat. Sakit hatinya.
Munirah meletakkan kembali cek itu ke
tempat asal dan berlalu keluar tanpa menghiraukan suaminya.
Firas Amsyar ketawa besar dapat
mengenakan isterinya. Padan muka isterinya kerana dia berjaya mengharu-birukan
hidup gadis itu pagi tadi. Padahal malam semalam selepas gadis itu lena, dia yang
telah mengendong tubuh sederhana itu dan diletakkan di atas peraduan mereka.
Dia bukan sezalim itu untuk melihat isterinya tidur meringkuk kesejukkan di
lantai marmar itu.
Walaupun dia tidak menyukai gadis itu
tapi tidak bermakna dia akan berlaku zalim ke atas gadis itu. Dia bukan lelaki
dayus. Pagi tadi, apabila mendengar azan subuh berkumandang dia mencelikkan
matanya yang kelat. Rumah mertuanya berdekatan surau. Terkejut bukan kepalang apabila melihat tubuh
tegapnya dirangkul selamba oleh isterinya. Begitu selesa sekali isterinya
merangkul tubuhnya, tidak ubah persis anak kecil memeluk patung beruang.
Tidak beberapa minit kemudian, gadis
itu terjaga. Mencicit isterinya bangun dari pembaringan dan keluar terus dari
bilik pengantin mereka. Ketawa besar dia dengan telatah isterinya yang muda
remaja itu. Isteri pilihan umi dan abah yang tercinta.
Dia amat yakin yang Munirah tidak
mampu membuktikan keikhlasannya menjadi isteri buat dirinya. Firas Amsyar juga
tahu gadis itu juga terperangkap dengan budi yang ditaburkan oleh umi dan
abahnya. Dia juga tersekat angkara amaran uminya. Dia tahu kedudukan syurganya
sebagai anak lelaki. Walau sudah berkahwin syurga dan taatnya tetap buat ibu
yang melahirkannya.
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)