Pages

welcome


Tuesday, April 22, 2014

PROJEK E-CERPEN : DENDAM VS CINTA

Projek Cerpen : Dendam vs Cinta  8/4/14
‘’Akhirnya dendam aku terbalas, Nadeelah!’’ ujar Akif Furqan dengan wajah yang puas. Sangat puas! Dendamnya ketika zaman sekolah terhadap Nadeelah, sudah ‘terbayar’.
Nadeelah duduk meringkuk di hujung kamar yang suram itu. Hanya lampu tidur yang menerangi kamar itu. Kamar berhias indah berharum mewangi. ‘’Kau memang syaitan, Akif! Kau dah rampas seluruh kehidupan aku, tahu tak!’’ jerit Nadeelah dengan memeluk lutut. Rambut yang basah dibiarkan kering sendiri.
Akif Furqan mendekati Nadeelah. Dia memegang kedua-dua pipi itu. ‘’Aku ni suami kau, bukan orang lain. Kau tu milik aku dari hujung rambut sampai ke kaki. Aku berhak ke atas kau. Kau nak menyesal buat apa? Itukan lumrah suami isteri,’’ jerkah Akif Furqan. Dia mencengkam kedua-dua belah pipi itu.
Nadeelah menolak tubuh lelaki yang bergelar suaminya itu sekuat tenaganya. ‘’Tapi kau aniaya aku. Aku teraniaya, tahu tak!’’jerit Nadeelah geram. Dongkol hatinya apabila mengingatkan sebab musabab mereka disatukan sebagai suami isteri. Begitu mudah sekali maruahnya diperkotakkatikkan oleh lelaki bernama Akif Furqan itu.
Akif Furqan ketawa besar. ‘’Aku tak aniaya kaulah, Deelah. Aku ajak kau kahwin, salah ke?’’ balasnya selamba. Akif Furqan mengelap rambut basahnya dengan menggunakan tuala. Tubuhnya hanya bersarung boxer.
Nadeelah bangkit dari posisinya. Dia mendatangi suaminya yang duduk di birai katil itu.  Dia merapapatkan muka mereka. ‘’Kau perdaya mak bapa aku, kau cakap aku ni dah terlanjur dengan kau. Kau tipu semua orang. Sampai tunang aku pun tinggalkan aku. Itu kau kata tak salah, Akif Furqan?’’ serang Nadeelah dengan beraninya dia menampar wajah tampan itu semahunya.


Akif Furqan tangkas merampas tangan Nadeelah setelah tamparan pertama menghinggap pipinya. ‘’Kau dah gila ke? Kau tak boleh terima takdir ke? Aku suami kau sekarang. Aku yang terima ijab dan kabulnya. Bukan bekas tunang kau yang pengecut tu. Dasar bukan anak jantan. Itu pun kau nak?’’ sela Akif Furqan geram lalu berdiri. Dia menarik isterinya ke dalam pelukkannya. Dipeluk tubuh sederhana itu sekuat-kuatnya biar pun isteri yang baru semalam dinikahi itu meronta-ronta.
Nadeelah yang cuba melepaskan dirinya terkedu dengan bisikan lelaki itu ditelinganya.
‘’Aku mencintai kau sejak dulu lagi, Nadeelah Nadeem, isteriku.’’
Nadeelah menolak tubuh tegap itu semahunya. Dia tidak ‘berminat’ dengan luahan suaminya itu. Bagi dia lelaki itu sejahat-jahat manusia.
Setelah berjaya melepaskan pelukkan lelaki itu, dia menampar lelaki itu sekali lagi. ‘’Aku benci kau Akif Furqan! Aku tak akan benarkan keturunan kau hidup menumpang dalam rahim aku. Aku tak ingin nak mengandungkan anak kau. Selama-lamanya aku tak akan terima kau sebagai suami aku, faham!’’ beritahu Nadeelah dengan penuh keberaniannya.
Selepas meluahkan apa yang sepatutnya dia terus membaringkan tubuh ke katil dan membungkus seluruh tubuhnya. Malam itu malam pengantin yang meninggalkan titik hitam dalam hidupnya.
***
‘’Sampai bila kau dan Deelah nak hidup macam ni, Kif? Dah dua bulan kahwin tapi hidup tak serupa orang berumah tangga. Rumah aje yang ada. Titian tangga bahagianya tak ada,’’ luah Irfan terhadap Akif Furqan, kawan baiknya. Dia mengetahui kisah rumah tangga sahabatnya itu.
Akif Furqan meraup wajahnya. Dia juga buntu. Dia juga mati akal. ‘’Nadeelah tak boleh terima hakikat. Aku dah cuba layan dia sebaik mungkin. Aku dah luahkan perasaan aku. Tapi dia still tak boleh terima aku sebagai suami dia,’’ balas Akif Furqan sebelum menyedut Jus Avokado kegemarannya itu.
Selepas peristiwa malam pengantin mereka, dia puas memujuk Nadeelah. Pohonan maaf juga telah dipaut, namun ternyata isterinya ‘keras’ orangnya. Tidak berubah lagi perangai isterinya walaupun sudah melalui proses kedewasaan dan kematangan. Dia berusaha melayan isterinya sebaik mungkin. Mereka sebilik dan sekatil cuma tidak sehati dan sejiwa.
Irfan menggelengkan kepalanya. Dia merapatkan kedua-dua tangannya ke meja. ‘”Kau pun satu. Kenapa tak beritahu perkara sebenar? Kau biarkan isteri kau terus membenci kau, tahu tak.’’ Irfan membalas geram dengan ‘kebodohan’ sahabatnya itu.
Akif Furqan menjeling ke sekeliling restoran seperti mencari ayat terbaik. ‘’Aku tak akan beritahu dia. Biarlah menjadi rahsia aku dan kau. Aku hanya mahukan cinta daripada seorang isteri, Ir.’’ Akif Furqan mempertahankan tindakannya.
‘’Terserahlah, Kif. Apa-apa pun aku belakang kau, okey.’’ Irfan menepuk bahu sahabatnya.
***
‘’Kenapa kamu kurang ajar dengan suami, Deelah?’’ tegur Puan Ruhaya apabila melihat anaknya Nadeelah menempelak suaminya sendiri.
‘’Perlu ke saya hormat dia, mak? Dia dah letak maruah saya serendah-rendahnya ke tanah. Sampai mak dan ayah tak percayakan Deelah. Mak tahu tak, dia ni syaitan bertopengkan manusia,’’ luah Nadeelah keras sahaja suaranya. Dia telah menempelak tindakan Akif Furqan yang cuba  mengambil berat perihal mak dan ayahnya. Benci hatinya dengan lakonan lelaki itu.
Puan Ruhaya mengurut dadanya. Tak dapat diterima sikap anak perempuannya yang semakin kasar setelah berkahwin dengan menantunya. Pada mulanya, dia dan suami juga tidak dapat menerima ‘kenyataan’ itu. Tetapi terima juga Akif Furqan sebagai anak menantu apabila menantunya bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa dia seorang yang bertanggungjawab terhadap apa yang telah dilakukannya.
‘’Deelah, mengucap banyak-banyak. Istighfar. Mak tak pernah ajar anak mak jadi isteri yang kurang ajar. Hormat suami kamu, Deelah.’’ Puan Ruhaya menasihati anaknya lembut. Dia pun hairan dengan perubahan anaknya yang semakin kasar dan keras dari hari ke hari.
Akif Furqan hanya diam menekur. Kemudian mengambil keputusan supaya keadaan tidak semakin keruh. ‘’Kami balik dulu ya, mak.  Sayang, jom kita balik.’’ Akif Furqan menyalami mak mertuanya. Mujur bapa mertuanya, Encik Nadeem tiada di rumah ketika itu. Tadi dia cuba mengambil tahu perihal kesihatan ibu mertuanya yang baru pulih daripada demam denggi. Mereka melawat keluarga isterinya pada hujung minggu itu. Rutin yang dilakukan setelah mereka duduk di rumah sendiri.
Nadeelah jijik dengan panggilan mesra yang dikeluarkan oleh Akif Furqan. Telinganya berbulu apabila suaminya bercakap mesra dengannya.
‘’Aku tak nak ikut kau balik. Kau baliklah sendiri,’’ ingkar Nadeelah berani. Dia menyikat rambut basah Puan Ruhaya dengan lembut. Dia sudah dua bulan hidup bersama Akif Furqan di rumah lelaki itu. Terpaksa mengikut. Itu pun setelah telinga bernanah dileter oleh ibu bapanya yang  sudah tertipu dengan kasih sayang yang ditonjolkan oleh Akif Furqan.
‘’Deelah, jangan lawan cakap suami. Pergilah ikut suami kamu balik.’’ Puan Ruhaya cuba memujuk anaknya lembut. Tubuhnya masih lemah. Seminggu menjadi penghuni di hospital. Bau-bauan di hospital membuatkan dia lemah.
‘’Deelah tak pernah anggap dia suami Deelah lah, mak.’’ Nadeelah tidak mempedulikan suaminya yang setia menunggunya di muka pintu bilik Puan Ruhaya dan Encik Nadeem.
‘’Deelah, tak baik cakap macam tu. Pergi balik. Mak tak nak tengok muka Deelah dekat sini,’’ ‘halau’ Puan Ruhaya. Dia perlu tegas dengan Nadeelah.
Nadeelah terkejut. ‘’Sampai hati mak, kan. ‘’ Nadeelah menyalami juga maknya seperti biasa. Walaupun marah, pipi dan dahi ibunya tetap dikucup hangat.
Akif Furqan menyalami Puan Ruhaya sekali lagi. Dipeluknya tubuh wanita separuh abad itu.
‘’Sabar banyak-banyak ya, Kif.’’ Puan Ruhaya mengingatkan menantu lelakinya itu.
‘’Ya, mak. Mak banyakkan rehat ya. Saya dan Deelah balik dulu,’’ ucap Akif Furqan.
Nadeelah menyampah melihat situasi itu. ‘’Cepatlah balik. Tadi sibuk sangat nak balik,’’ ujar Nadeeelah geram.
Akif Furqan menarik tangan Nadeelah. Cepat-cepat  Nadeelah membolos. Dia menonong ke kereta lelaki itu.
***
‘’Sayang, tak baik tau cakap kasar dengan mak.’’ Akif Furqan menegur isterinya lembut. Isteri yang leka dengan telefon pintar ditangan.
Nadeelah menjeling lelaki itu tajam dengan ekor matanya. Lelaki yang tenang memandu kereta buatan negara Jepun itu.
‘’Kau peduli apa? Kau tak payah nak berlagak baiklah, Akif. Aku jijik tahu tak. Jijiknya sama macam mana kau ‘sentuh’ aku, tahu tak!’’ pekik Nadeelah dalam kereta itu.
Akif  Furqan menumpukan tumpuan kepada pemanduanya. Nyawa mereka ketika ini dalam tangannya.
‘’Abang ni anjing ke Deelah sampai jijik sangat untuk sentuh isteri sendiri?’’ soal Akif Furqan lembut.
Nadeelah merengus.
Akif Furqan menyambung lagi kata-katanya. ‘’Nadeelah Nadeem, cuba beristighfar banyak-banyak. Belajar terima ketentuan dan takdir ALLAH. Kalau tak, sampai bila-bila emosi dan badan Deelah takkan tenang dan lelah sentiasa. Terimalah haikikat, abang ni suami Deelah. Abang yang bertanggungjawab atas Deelah sekarang ni,’’ ujar Akif Furqan lembut.
Nadeelah terdiam. ‘’Satu sahaja untuk aku tenang, Akif.’’ Nadeelah ‘memancing’ suaminya.
Akif Furqan menoleh isterinya. Ketika itu, Akif Furqan memberhentikan keretanya di hadapan sebuah restoran. Dia mahu mengajak isterinya menikmati makanan kegemaran isterinya.
‘’Deelah jangan sebut benda tu. Sampai bila-bila pun Deelah tetap isteri abang, faham.’’ Akif Furqan memutus tegas. Dia tahu itulah satu-satunya yang diinginkan oleh isterinya saat itu. Dia takkan mengalah untuk memiliki hati Nadeelah Nadeem.
Tiba- tiba dengan rasa geram, Nadeelah mencengkam kolar t-shirt suaminya. Perkara yang tidak pernah dibuatnya selama ini. Kerana amarah, sakit hati dan dendam. ’’Kau sanggup tengok aku terus pikul dosa hidup dengan kau, kan. Aku minta lepaskan dengan cara baik kau tak nak kan. Baik. Aku akan tuntut fasakah. Kau tunggu ajelah nanti,’’ ugut Nadeelah keras.
Akif Furqan hanya tersenyum. Dia memegang tangan isterinya. ‘’Sayang, abang sentiasa ampunkan dosa-dosa sayang. Hati abang ni memang sentiasa terbuka luas untuk sayang. Dah, jom kita makan, ya. Abang tahu, tadi sayang tak makan pun kat rumah mak. ‘’ Akif Furqan mengajak isterinya menikmati  makanan ala Thai. Makanan yang dimasak oleh Nadeelah di rumah keluarga isterinya itu langsung tidak dijamah oleh isterinya.
‘’Aku tak nak makan tapi aku nak cerai, Akif Furqan.’’ Nadeelah meminta dengan nada suara yang tinggi. Ketika itu dia tidak peduli langsung hukum isteri meminta cerai tanpa sebab yang kukuh.
Akif Furqan keluar dari kereta dan menuju ke pintu penumpang. ‘’Kita makan dulu, sayang. Nanti sayang tak payah masak kat rumah,’’  pujuk Akif Furqan. Isterinya itu walaupun membencinya, tetap menyediakan makan minumnya. Tetap memasak untuk suami. Makin berbunga kasih buat isterinya yang moodnya yang tak ubah seperti dingin di musim sejuk. Ada kalanya berlaku juga letusan gunung berapi isterinya.
Nadeelah akhirnya menuruti walaupun dengan muka yang tegang. Dia bengang apabila pemilik kereta di parkir sebelah memandang mereka suami isteri. Dia masih punya malu.
Akif Furqan tersenyum melihat isteri yang menonong masuk ke dalam restoran itu.
***
Akif Furqan menumpukan pemanduannya. Dia buntu mengenangkan rumah tangganya yang suram tiada warna. Sikap baran dan keras isteri yang dinikahi cukup menjeruk rasanya. Dia sudah mencampakkan egonya ke tanah. Dia mahu mengemudi bahtera rumah tangga itu sebaik mungkin. Dia mahu menjadi nakhoda yang baik dan  Nadeelah navigatornya. Malangnya bahtera sentiasa bergoyang dek ombak laut. Jika tidak terus bersabar pasti bahtera mereka akan karam bila-bila masa. Itulah yang ditakutinya. Dia tahu, dia hanya manusia biasa yang tingkat sabarnya boleh merudum. Sebaik mungkin dikuatkan imannya demi mendapatkan cinta puan isteri.
Nadeelah Nadeem merupakan rakan zaman persekolahannya dahulu. Dia akui pernah berdendam dengan gadis itu. Ketika Nadeelah bergelar pengawas sekolah, isterinya telah melaporkan kesalahannya merokok di dalam tandas lelaki. Isterinya terlihat perbuatan nakalnya ketika membuat rondaan. Sejak peristiwa itu, dia cukup berdendam dengan Nadeelah. Lebih-lebih lagi Nadeelah merupakan junior sedangkan dia di tahun akhir persekolahan.
Dia cuba mencari peluang untuk membalas dendamnya. Malangnya peluangnya tiada. Sehinggalah pertemuannya bersama Nadeelah dan bekas tunangnya, Dazrin cukup menjeruk rasanya. Dendamnya belum tertunai.
Dia cuba berusaha menggagalkan perkahwinan mereka. Usaha tanpa jemu sehingga berjaya menyakinkan ibu bapa mertuanya bahawa dia dan Nadeelah pernah terlanjur ketika zaman persekolahan mereka.
Serta-merta rancangan perkahwinan dan Dazrin dibatalkan. Tetapi dia melakukannya bukan semata-mata kerana dendam. Sesuatu yang tersirat dalam perkara itu.
Ketika malam pertama mereka, dia berusaha sedaya upaya menjadikan Nadeelah hak milik mutlaknya. Walaupun nampak dia seperti membalas dendam semata-mata yang sebenarnya perlakuan itu kerana cinta. Dendam bertukar cinta. Rasa dendam yang cuba melawan rasa cinta.
Sejak dihukum oleh Cikgu Mansor, guru disiplin sekolah mereka sehingga kini dia tidak merokok lagi. Itulah akibat suka mencuba-cuba. Cikgu Mansor memberi kaunseling tentang bahayanya merokok dan bukannya merotannya sahaja. Itulah peranan guru disiplin yang sepatutnya ketika mengendali pelajar yang bersalah. Hukuman yang berat bukan jaminan kesalahan itu tidak berulang. Sepatutnya hukuman yang bersalut kasih sayang itulah yang sebaik-baiknya.
 Dia amat berterima kasih kepada Cikgu Mansor. Jika tidak, tiga puluh peratus wang gajinya akan ‘dibakar’ hangus begitu sahaja. Sia-sia sahaja hasil titik peluh dibakar hangus.
***
Nadeelah menyedari sudah sebulan dia sudah tidak kedatangan haid seperti biasa. Buntu kepalanya memikirkan perkara kewanitaan itu. Rutin bulanan yang tidak menjengah amat membimbangkan. Dia menyentuh perutnya. Perut yang sedikit buncit itu. Berdegup jantungnya. Dia jenuh mengingati tarikh akhir haidnya. Disebabkan periodnya yang teratur, dia tidak mengambil kisah untuk menandakannya pada kalendar.
‘Tak akanlah aku mengandung?’
‘Tapi aku dah sebulan tak datang bulan,’
‘Tak mungkin!!!’
‘Tapikan baru sekali aje dia sentuh aku,’
‘’Sayang buat apa tu?’’ tegur Akif Furqan apabila menyedari isterinya terduduk di hujung bilik itu.
Nadeelah mendengus. ‘’Kau sibuk kenapa? Pergilah makan. Aku dah masak untuk kau tu,’’ marah Nadeelah lalu bangkit dan mahu bersiap.
‘’Sayang nak pergi mana, bersiap ni?’’ soal Akif Furqan apabila melihat isterinya yang menukar pakaian dan menyarung tudung dengan selamba sahaja di hadapannya.
‘’Aku nak beli barang,’’ jawab Nadeelah selamba.
‘’Jom, abang bawak!’’ ajak Akif Furqan.
Nadeelah membundarkan matanya. ‘’Tak payah. Aku boleh pergi sendiri,’’ tolak  Nadeelah. Dia mencapai kunci keretanya.
***
Nadeelah tersandar dalam kereta apabila mendapat keputusan itu. Dia menghentak-hentak stereng Perodua Viva itu.
‘’Puan hamil enam minggu. Tahniah, Puan Nadeelah!’’
‘’Aku tak nak mengandungkan anak dia!!!’’ jerit Nadeelah dalam kereta itu.
Dia menangis semahu-mahunya. Dia tidak mahu lagi terikat dengan suaminya.
‘Gugurkan saja kandungan kau, Nadeelah!’
‘Jangan Nadeelah! Kau mahu jadi pembunuh ke?’
‘Kaukan benci suami kau. Buat apa kau nak mengandungkan anak dia?’
‘Nadeelah, kau jangan bunuh zuriat kau sendiri!’
Nadeelah tertekan dengan suara-suara itu. Dia benci dengan benih yang bercantum dengan benihnya!
***
Nadeelah mula mengalami simptom ibu hamil. Tekaknya asyik loya kebelakangan ini. Dia cuba sedaya upaya mengelakkan kehamilan itu diketahui oleh suaminya. Walaupun dia semakin malas mahu melakukan sesuatu, dia tetap lakukannya kerana dia mahu berlagak biasa.
Nadeelah dan Akif Furqan sedang menikmati makan malam. Sedang enak Nadeelah menyuap  nasi berlaukkan ayam kurma, dia rasa makanan itu tak boleh diterima oleh tekaknya. Padahal dia yang begitu ingin menikmati ayam masak kurma itu.
Akif Furqan memandang isterinya yang mengurut-urut perlahan dadanya.
‘’Sayang, nak muntah ke? Agaknya anak kita tu tak suka ayam masak kurma kot. Dia nak ayam masak asam pedas macam selera abah dia ni,’’ ujar Akif Furqan selamba.
Nadeelah membuntangkan matanya. ‘’Apa yang kau merepek ni, ah?’’ balas Nadeelah geram.
Akif Furqan tersenyum. ‘’Sayang, sampai hati tak bagi tahu abang yang sayang pregnant. Sayang ingat abang tak tahu sayang pregnant? Tengok gaya jalan sayang, selera makan sayang suami mana yang bodoh tak faham, sayang. I’m your hubby, Nadeelah. Pergi check up kat klinik pun tak nak ajak abang, ya. ‘’
Akif Furqan mengekori ketika isterinya memandu sendirian minggu lalu. Dia telah bertanya kepada jururawat yang bertugas di kaunter klinik yang dituju isterinya. Selepas itu, dia memerhati segala tingkah laku dan perubahan fizikal  serta emosi isterinya. Dia telah melihat proses kehamilan kakaknya, Akira. Mustahil dia tidak faham. Suami yang baik ialah suami yang memerhati dan memahami isterinya.
‘’Bila masa pulak aku mengandungkan anak kau? Kau dah lupa ke apa yang aku cakap dulu? Aku tak nak keturunan kau menumpang dalam rahim aku. Aku benci kau tahu tak!’’ pekik Nadeelah dan bangkit membawa pinggannya ke sinki. Ditinggalkan suaminya makan bersendirian. Dia tak perlu risau. Suaminya akan membantunya mengemas. Dia mahu rehat.
***
Akif Furqan mengambil tempat di sofa bersebelahan Nadeelah. Isterinya itu begitu khusyuk menonton slot Samarinda. Isterinya sedikit pun tidak mengengsot. Selalunya kalau Akif Furqan mendekat, Nadeelah menjauh.
Akif Furqan meletakkan telapak tangannya ke perut isteri yang semakin membuncit. Dia tahu di dalam rahim isterinya bercantum benih mereka. Darah mereka bersatu. Makin mekar sayangnya terhadap isteri. Dia mendekatkan bibirnya ke perut isteri yang berkaftan  itu.
‘’Assalamualaikum, anak abah dan mama.’’
Nadeelah yang leka dengan tontonannya, tidak menyedari perlakuan suaminya.
‘’Baby, cakap dengan mama abah sayang sangat dekat mama. Abah cintakan mama sangat-sangat,’’ ucap Akif Furqan lagi. Dia mengusap-usap perut isterinya.
Dia mendekatkan bibirnya ke telinga isterinya. ‘’Sayang abang rayu sangat dengan sayang, tolong izinkan anak abang bernyawa  dalam rahim sayang hingga cukup sembilan bulan sepuluh hari. ‘’
Nadeelah buat-buat tidak dengar. Padahal dia menyedari segala perlakuan suaminya. Dia sengaja mengeraskan tubuhnya. Sebenarnya emosinya dan perasaannya ketika hamil ini sangat berbeza. Kebencian dan dendam terhadap suami sudah berada takat sejat.
‘’Aku tak mengandungkan anak kaulah! Kalau betul aku mengandungkan anak kau, aku akan gugurkan tahu tak!’’ ujar Nadeelah keras dan bangkit dari posisinya. Ketika itu, drama kegemarannya Epilog Cinta Khirana sudah tamat tayangannya.
‘’Ya ke? Kalau macam gitu abang sendiri akan bawa sendiri sayang pergi buat abortion,’’ putus Akif Furqan tegas. Dia seakan tidak mampu lagi bersabar dengan sikap isterinya.
Nadeelah menoleh memandang suaminya. Terkedu dengan ayat kedua suaminya.’’Baik. Aku baru dua bulan lebih pregnant. So, esok kau bawak aku pergi gugurkan kandungan ni,’’ setuju Nadeelah dan terus masuk ke bilik tidur mereka. Akhirnya dia sendiri mengaku kepada suaminya tentang kehamilannya.
Akif Furqan terduduk kembali dan mencapai telefon pintarnya.
***
Akif Furqan benar-benar membuktikan kata-katanya. Kebetulan hari ini, hari sabtu. Mereka keluar dari kereta Akif Furqan. Mereka di hadapan Klinik Pakar Sakit Puan Irina.
Nadeelah berdebar-debar. Hatinya tidak sedap. Akif Furqan sudah pun mendahuluinya memasuki klinik itu.
Dia memegang perut yang mengandungi satu nyawa. Sememangnya dia impikan kehamilan setelah berkahwin tetapi benih yang bersemadi dalam rahimnya, benih lelaki yang cukup dibencinya.
Dia melihat seorang wanita yang tampak sarat mengandung dipimpin keluar dari klinik itu oleh suaminya. Wajah penuh kegembiraan jelas terpancar pada wajah mereka. Muncul pula seorang wanita yang ceria juga sambil mengusap-usap perutnya yang tampak kempis. Wanita itu menelefon seseorang, mungkin suaminya. Situasi itu cukup memberi tekanan buat Nadeelah.
Tiba-tiba muncul suaminya. ‘’Sayang, cepatlah. Doktor dah tunggu tu,’’ panggil Akif Furqan setelah menyedari isterinya masih lagi berada di luar klinik.
Nadeelah merengus. ‘’Yalah...’’ balas Nadeelah dan terus memasuki klinik yang tampak elegan itu.
‘’Sayang duduk dulu. Abang uruskan okey,’’arah Akif Furqan lembut.
Nadeelah memerhati seorang wanita disebelahnya. Wanita itu memegang bahagian ari-arinya. ‘’Akak, baru lepas cuci rahim. Akak terpaksa gugurkan kandungan akak sebab doktor cakap embrio tak membesar. Macam tak menjadi,’’ beritahu wanita itu tanpa dipinta oleh Nadeelah.
Nadeelah berminat ingin tahu pula. ‘’Kesian akak. Anak yang ke berapa, kak?’’ soal Nadeelah lembut.
Wanita itu mengesat tubir matanya yang mula berlopak itu. ‘’Yang ketiga, dik. Yang sulung meninggal dalam perut. Yang kedua gugur. Yang ketiga ni pulak tak menjadi pula. Sepuluh tahun akak kahwin,dik. Dah lama akak menunggu nak ada anak. Suami akak pun sampai dah kahwin lain. Akak juga yang izinkan. Akak gugur ni pun dia tak tahu, dik. Maklumlah orang sibuk nak dapat anak sendiri,’’ cerita wanita yang membahasakan dirinya akak tanpa selindung. Sedih sungguh kisah rumah tangga wanita itu. Ternyata kegagalan melahirkan zuriat menjadi kayu pengukur kesetiaan cinta dan kasih seorang suami.
Nadeelah mengambil tangan wanita itu. ‘’Sabar banyak-banyak ya, kak. Allah sayangkan akak sebab tu Allah uji akak,’’  balas Nadeelah lembut.
‘Amboi, Deelah pandainya kau suruh orang sabar! Padahal kau sendiri masih tak boleh terima takdir kau dan Akif Furqan!’ Nadeelah mengutuk dirinya sendiri.
Wanita itu tersenyum. ‘’Adik dah mengandung ke?’’ soal wanita pula.
Nadeelah mengangguk perlahan. ‘’Beruntung adik. Muda-muda dah pregnant. Jaga kandungan baik-baik ya, dik. Akak balik dulu ya,’’ ucap wanita itu setelah namanya dipanggil oleh jururawat.
Nadeelah hanya tersenyum tawar. ‘’Sayang, jom kita jumpa doktor.’’ Akif Furqan menggamit isterinya.  
Nadeelah teragak-agak. Dia membuntuti jua langkah suaminya.
Mereka memasuki bilik rawatan. Seorang doktor wanita tampak muda menanti kedatangan mereka bersedia untuk memberi rawatannya.
Mereka menduduki kerusi yang disediakan.
‘’Puan Nadeelah Nadeem, apa yang saya boleh bantu?’’ aju doktor wanita itu lembut. Sesuai profesionnya sebagai doktor.
Nadeelah terdiam. ‘'Saya nak gugurkan kandungan saya,’’ beritahu Nadeelah tegas. Nekad.
Doktor wanita itu terdiam. ‘’Puan ada masalah kesihatan ke? Selalunya wanita yang mengalami masalah kesihatan yang kronik sahaja terpaksa mengugurkan kandungan,’’ soal doktor wanita itu. Sebuah kehamilan terpaksa ‘dimatikan’ apabila itu memberi risiko yang tinggi kepada ibu dan bayi itu sendiri.
Nadeelah menggelengkan kepalanya. ‘’Puan tak bersedia nak jadi ibu? Suami pun kan ada,’’ ujar doktor itu lembut.
Nadeelah diam. Dia menjeling Akif Furqan yang hanya diam. ‘’Mari saya check puan dulu ya,’’ ajak doktor itu dan membawa Nadeelah ke katil yang disediakan.
Nadeelah membaringkan tubuhnya di atas katil itu. Doktor wanita itu menjalankan ultrasound.
Nadeelah teruja untuk melihatnya. Dia dapat melihat jantung bayi berdegup. Dia sungguh kagum melihat anugerah Ilahi itu.
‘’Puan, nampaknya embrio berkembang dengan baik.  Nampak tak jantung bayi itu? Dia menanti untuk bernafas di muka bumi ini. Puan, anak ni satu anugerah dan amanah daripada ALLAH. Kita kena bersyukur apabila disahkan hamil. Kat luar sana, ramai lagi wanita nak hamil. Puan bertuah. Jaga kandungan puan baik-baik ya.’’ Sebagai doktor, Doktor Irina menerima pelbagai ragam pesakit. Jadi dia banyak menggunakan psikologi tatakala berhadapan dengan pesakit. Baginya semua doktor merupakan doktor psikatri. Doktor perlu memahami emosi dan perasaaan pesakit.
Doktor Irina juga menunjukkan video bagaimana proses pengguguran kandungan dilakukan. Ya Allah terasa menyucuk ke ari-ari Nadeelah apabila melihat proses yang cukup mengerikan itu.
Akhirnya dia terpaksa akur pada takdir. Jujur dia akui, dia sayangkan kandungannya. Mana mungkin dia sanggup membunuh zuriatnya sendiri. Setiap hari, dia akan bercakap-cakap dengan anaknya. Dia hanya menggertak suaminya. Tak sangka suaminya melunaskan janjinya. Dia sayangkan zuriatnya sendiri. Terlalu sayang!
Mereka berada dalam kereta untuk pulang. Sejak tadi, sepatah perkataan pun tidak diucap oleh suaminya.
‘’Lepas aku bersalin, aku nak kau ceraikan aku.’’ Nadeelah membuka ruang sepi antara mereka.
‘’Sayang, terima kasih sudi kandungkan anak kita. Anak kita, bukti cinta kita,’’ ucap Akif Furqan tulus. Dia membuat tak tahu apa yang diucapkan oleh isterinya.
Nadeelah menjeling tajam. ‘’Bukti cinta apanya, kalau dah kau yang memaksa...’’ balas Nadeelah meleret. Cara cakapnya sudah lembut sedikit.
Akif Furqan tersenyum. ‘’Abang beri, sayang terima...’’ balas Akif Furqan meleret juga nadanya.
‘’Kau jangan buat-buat tak faham,Kif. Aku nak cari bahagia aku sendiri,’’ ujar Nadeelah lagi. Dia tak ingin nak berbual mesra dengan suaminya.
Akif Furqan tersenyum. Dia menggapai tangan kanan isterinya. ‘’Bahagia sayang hanya dengan abang. Carilah, galilah kat mana pun bahagia sayang hanya bersama abang. Believe it. I really love you, sayang. Bagilah abang peluang bahagiakan, sayang. Bukaklah ruang hati sayang. Kita dah nak ada anak. Abang nak kita bina keluarga kita. Lupakan kisah lalu. Kita buka buku baru kehidupan kita,’’ luah Akif Furqan. Dia kucup hangat tangan itu. Tangan yang sudi menyediakan  makan minum dan pakainya walau tanpa senyuman buat suaminya.
***
‘’Ir, tolong sampaikan salam dan terima kasih aku pada Kak Irina. Dia dah berjaya guna kepakarannya. Bukan seorang pakar sakit puan aje pakar psikologi sekali,’’ ucap Akif Furqan kepada Irfan. Doktor Irina kakak sulung Irfan. Dia menelefon Irfan untuk mendapatkan bantuan Kak Irina.
Irfan tersenyum gembira mendengarnya. ‘’Kiranya hubungan korang dah okeylah ni? Alhamdulilah...kau berterus teranglah pada Deelah, Kif. Cakap pada dia perkara yang sebenarnya...’’ nasihat Irfan.
‘’Alhamdulilah. Cakap dengan laki dia sorang ni pun dah tak kasar. Aku nampak dia happy bila pregnant ni. Aku lagilah happykan. Soal itu, aku nak ketepikan dulu. Satu hari nanti pasti dia akan tahu,’’ balas Akif Furqan ceria. Hidupnya kini ceria lebih ceria. Nadeelah sudah boleh menerima dirinya sebagai suami.
‘’Suka hati kaulah, Kif. Nampaknya tahun depan aku dapat anak sedara lagilah jawabnya. Dah happy-happy ni jawabnya balas dendamlah nanti kau, ha ha ha...’’ usik Irfan.
Akif Furqan ketawa besar dengan usikkan Irfan. ‘’Pelan-pelan kayuh dulu nanti baru speed...he he he’’ balas Akif Furqan nakal.
Tak sabarnya untuk menantikan kehadiran anak sulung mereka hujung tahun ini. Bukti cintanya buat isteri.
***
‘’Akif, kenapa kau tak cakap dengan aku perkara yang sebenarnya?’’ soal Nadeelah keras. Panggilan masih belum berubah.
Akif Furqan mengerutkan dahinya. ‘’Perkara apa, sayang?’’ aju Akif Furqan pelik.
‘’Kenapa kau tak cakap dengan aku yang Dazrin tu penjenayah sebenarnya? Kenapa kau sanggup aniaya aku supaya kahwin dengan kau?’’ soal Nadeelah bertubi-tubi.
Irfan telah memberitahunya bahawa dia telah menceritakan segala-galanya kepada Nadeelah.
Akif Furqan terdiam. Sebagai seorang pegawai siasatan jenayah, dia mengetahui bekas tunang isterinya merupakan seorang penjenayah pemerdagangan manusia yang menjadikan gadis-gadis kampung dan warga  asing sebagai produknya. Dazrin suspek yang begitu dikehendaki. Lelaki itu menyediakan khidmat pelacur kelas atasan. Kegiatannya cukup licik.
Nadeelah sudah menghamburkan tangisan. Jika tidak kerana pertemuannya dengan Irfan pasti dia akan terus berada dalam kebencian. Dia terserempak dengan sahabat suaminya ketika membeli barang di farmasi. Lelaki itu beria-ia mengajak dia minum untuk berkata tentang sesuatu.
‘’Sayang, abang minta maaf sebab abang guna cara tu supaya sayang tak kahwin dengan Dazrin. Sebenarnya mak dan ayah tahu perkara sebenar tapi abang yang minta diaorang rahsiakan. Sebab tu diaorang senang terima abang,’’ cerita Akif Furqan.
‘’Tapi kenapa kau nak sangat selamatkan aku walaupun kau dendam dengan aku?’’ soal Nadeelah lagi.
Akif Furqan tersenyum manis. ‘’Inilah indahnya apabila dendam itu bertukar menjadi rasa cinta,’’ luah Akif Furqan.
‘’Abang cintakan sayang dah lama...walaupun masa kita sekolah dulu, abang dendam sangat dengan sayang tapi bila abang jumpa sayang dengan Dazrin, hati abang sakit sangat. Lagi-lagilah abang tengah handle satu kes pasal sindiket pelacuran kelas atasan. Abang dapat tahu Dazrin tu bapa ayam, sayang. Sayang tak akan tak tahu sisi gelap Dazrin?’’ soal Akif Furqan lembut. Dia tahu isterinya tertekan dengan semua itu.
Nadeelah menggeleng. Dia hanya mengenali Dazrin sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta. Patutlah hidup Dazrin begitu mewah. Pelbagai barangan mewah lelaki itu hadiahkan untuknya. Walaupun dia enggan menerima, Dazrin mengatakan bahawa dia bekerja kuat untuk kehidupan mereka berdua. Dia tertipu dengan tipu daya dan ayat manis lelaki berhidung belang itu. lagi pun sepanjang proses perkenalan dan pertunangan, Dazrin menonjolkan sifat budimannya. Tidak pernah sekali pun lelaki itu cuba mengambil kesempatan atas dirinya. Benarlah sejahat-jahat lelaki itu pasti mahukan wanita yang baik dan suci sebagai isterinya.
Nadeelah terduduk di lantai. Dia terlalu kecewa tetapi dalam masa yang sama dia bersyukur jodohnya bukan dengan Dazrin.  Patutlah lelaki itu tiba-tiba menghilang entah ke mana. Tarikh perkahwinan semakin mendekat, namun batang hidung lelaki itu langsung tidak menjengul. Tiba-tiba muncul pula Akif Furqan memperdaya ibu bapanya. Puan Ruhaya dan Encik Nadeem bagai orang yang mengantuk disorongkan bantal, menerima sahaja Akif Furqan sebagai pengganti Dazrin. Walaupun pengakuan gila lelaki itu membuat Nadeelah mengamuk sakan.
‘’Aku minta maaf dengan kau, Kif. Aku banyak dosa dengan kau. Aku tak pernah hormat kau sebagai suami aku,’’ luah Nadeelah lemah sambil meyandarkan badannya pada dinding.
Akif Furqan mendekati isterinya. Dia menarik isterinya ke dalam pelukkannya. Dia peluk tubuh yang semakin sarat itu. ‘’Sayang, abang sentiasa ampunkan segala perbuatan sayang. Abang tahu sayang tak tahu keadaan sebenar. Lupakan saja Dazrin. Dia pun dah meringkuk dalam penjara tu,’’ balas Akif Furqan lembut. Dia merafakkan segala syukur kepada Allah yang mengabulkan doanya agar isterinya itu menerima dirinya sebagai suami.
‘’Patutlah Dazrin hilang macam tu aje. Patutlah mak dan ayah bersungguh-sungguh terima kau jadi menantu dia orang,’’ luah Nadeelah lagi.
Dia teringat sebulan sebelum perkahwinannya muncul Akif Furqan berjumpa dengan ibu dan ayahnya untuk mengaku kononnya mereka sudah terlanjur ketika zaman persekolahan. Padahal mereka merupakan seteru ketika di sekolah. Nadeelah cukup membenci sikap nakal Akif Furqan. Merokoklah, panjat pagar sekolahlah tapi otaknya pandai. Malah menjadi pelajar terbaik SPM sekolah mereka.
Dazrin merupakan anak yatim piatu. Lelaki itu tiada saudara-mara lagi. Sebab itulah Nadeelah tidak dapat mengetahui segala kisah Dazrin.
‘’Sayang, dah lupakan semuanya. Cuba belajar jatuh cinta dengan abang,’’ pinta Akif Furqan nakal.
‘’Orang bodoh aje yang tak jatuh cinta dengan kau, Akif.’’ Nadeelah mengucapkannya tanpa sedar. Dia mengakui bahawa suaminya seorang yang cukup baik. Penyabar dan penyayang.
Akif tersenyum bahagia dengan kata-kata isterinya. ‘’Kalau macam tu tukarlah panggilan tu. Abang dah mengidam sangat nak dengar sayang panggil ‘abang’...’’ pinta Akif Furqan manja sekali. Dia  mengesat air mata yang mengalir laju di pipi isterinya.
Nadeelah memegang kedua-dua belah suaminya. ‘’Deelah, cintakan sejak malam pertama kita lagi tapi Deelah tak boleh terima abang ‘sentuh’ Deelah macam tu. Abang kasar!’’ Nadeelah menumbuk perlahan dada bidang milik suaminya.
Akif Furqan meragut tangan isterinya. ‘’Abang berlakon aje, sayang. Abang minta maaf okey. Sebenarnya abang nak ‘ikat’ sayang supaya gen kita bercantum. Biar kita kekal jadi suami isteri untuk selama-lamanya, ‘’ ujar Akif Furqan.
‘’Abang jahat!!!’’ jerit Nadeelah geram. Dia menyembamkan mukanya pada dada suaminya.
‘’Sayang, jom kita pergi honeymoon!’’ ajak Akif Furqan bersungguh-sungguh.
Nadeelah mengangkat kepala dan memandang suaminya. ‘’Nak honeymoon apanya, bang. Perut dah sarat macam ni,’’ ujar Nadeelah sambil mengusap-usap perutnya yang semakin membulat itu. Kata Puan Ruhaya, kemungkinan anaknya lelaki.
Akif Furqan membantu isterinya berdiri. Mereka duduk di atas sofa. ‘’Alah, tak apalah...’’ ujar Akif Furqan dalam nada manja.
Dia begitu teringin untuk membawa isterinya bercuti berdua. Bermesra dan saling mencurahkan kasih dan sayang. Terlalu banyak masa telah mereka terbuang.
Nadeelah tersenyum. ‘’Dalam rumah pun boleh honeymoon, bang.’’ Nadeelah menggiat suaminya.
Akif Furqan ketawa besar. ‘’Kalau honeymoon dalam rumah, tak payah keluar biliklah... ha ha ha’’ usik Akif Furqan nakal.,
‘’Isshh..abang ni... tak ada kerja lain,’’ ujar Nadeelah lalu mencubit pipi suaminya.
Akif Furqan ketawa besar. Dia tidak sangka isterinya itu manja orangnya. Selama mereka bergelar suami isteri segala sikap sebenar isterinya disembunyikan.
‘’Abang dah lama ‘puasa’ sayang...’’ giat Akif Furqan dengan muka paling menggoda.
‘’Puasa teruslah, bang. Lagi tiga bulan lagi abang kena puasa juga. 100 hari lagi, he he he’’ giat Nadeelah. Ketawa kecil dia dapat mengenakan suaminya.
‘’Mana boleh...abang nak buka puasalah sayang, hehe’’ goda Akif Furqan. Dia mengusap-usap pipi isterinya. Rambut panjang mengurai itu dibelai lembut. Perut membulat isterinya turut diusap dan dicium mesra.
‘’Dah  nak manghrib ni, bang. Lepas-lepas isyak karanglah...’’ usik Nadeelah tersipu.
Akif Furqan ketawa besar. ‘’Yeah...I love you, sayang,’’ ucap Akif Furqan gembira dan mengucup dahi isterinya.
Nadeelah tersenyum syukur. ‘’I love you too, bang. ‘’ Nadeelah mengucup jari-jari suaminya. Biarlah bahagia terus menjadi milik mereka.
***
Pasangan suami isteri yang bagai pengantin baru itu menyelusuri gigi air pantai. Mereka mengambil peluang angin petang berbayu itu menikmati keindahan ciptaan Ilahi itu.
‘’Abang, boleh Deelah tahu macam ma na dendam abang tu boleh tewas dengan rasa cinta?’’ aju Nadeelah lembut dan mengeratkan genggaman antara mereka. Dahulu tangan itu rasa jijik disentuh kini tangan itu yang diharapkan setiap detik dan saat.
Akif Furqan memusingkan tubuhnya menghadap isteri yang hanya berada di paras dagunya. Dia mengusap-usap pipi isteri yang semakin tembam itu.
‘’Rasa cinta tu datang tiba-tiba, sayang. Masa abang jumpa sayang dengan Dazrin abang rasa jeles sangat tengok you all. Rasa hati abang ni macam disiat-siat. Abang pun pelik. Tapi sebenarnya hati abang tak boleh menipu. Masa zaman sekolah lagi sayang dah ada tempat dalam hati abang,’’ jelas Akif Furqan jujur. Dia memaut bahu isterinya untuk merapat ke badannya.
‘’Ya ke? Tak akan sikit pun  tak ada rasa dendam lagi sekarang ni?’’ giat Nadeelah dia memaut pinggang suaminya.
‘’Kalau ada dendam tak adalah yang kat dalam ni, ‘’ balas Akif Furqan sambil mengusap-usap perut membusung isterinya. Dia bangga apabila dapat menyatukan gen mereka. Dia tidak sabar memangku anaknya yang bakal lahir tak sampai tiga bulan lagi.
Nadeelah tersenyum dengan kata-kata suaminya. ‘’Lagi pun sayang, menyimpan dendam ni tak baik. Buat jiwa kita tak tenang. Hati pun tak happy. Sebab itulah Rasulullah s.a.w suruh kita maafkan semua orang sebelum tidur. Maafkan semua orang setiap detik dan saat. InsyaALLAH dengan cara hidup lebih berkat dan ceria saja. Simpan rasa cinta lagi bagus sebab dia boleh buat kita happy,’’ sambung Akif Furqan pula.
Nadeelah menjongketkan keningnya. ‘’Kalau cinta tu dah tak berbalas macam mana?’’ aju Nadeelah ‘mengusik’ suaminya.
Akif Furqan menjeling isterinya. ‘’Nak kenakan abanglah tu, kan? Kalau tak sabar dah lama dah sayang dapat kawan namanya ‘MADU’... he he he...’’ seloroh Akif  Furqan.
Nadeelah sudah membuat muncung buaya. ‘’Ada hati nak  bukak cawangan ke, cik abang?’’ aju Nadeelah dengan nada suara yang ‘geram’. Perempuan biasalahkan, pantang suami sebut perkataan ‘madu’.
Akif Furqan mengeratkan pautan antara mereka. ‘’Alahai, yang seorang ni pun abang susah nak dapat! InsyaALLAH sayang akan jadi yang pertama dan terakhir dalam hidup abang. Walaupun abang bukan yang pertama dalam hidup sayang.’’ Akif Furqan menyakinkan isterinya tentang cintanya yang tulus ikhlas terhadap isterinya.
Nadeelah terdiam dengan kata-kata suaminya. ‘’Abang akan jadi yang terakhir dalam hidup sayang. I really love you, bang. Kesabaran dan kesungguhan abang terlalu bermakna dalam hidup sayang,’’ ucap Nadeelah dan mengucup tangan suaminya.
‘’Kita terus ukir bahagia ya, sayang. Kita bina rumah tangga yang terindah buat hidup kita, okey?’’
Nadeelah mengganguk. Dia berdoa agar segala penyakit dendam akan terus hilang dalam titik hatinya. Dia mahu hanya rasa bahagia yang mewarnai hidupnya.
Akif Furqan bersyukur dengan rasa cinta yang dikurniakan buatnya. Rasa cinta mampu mengatasi rasa dendam. Dendam vs Cinta. Cinta jua yang menang!

***TAMAT***











17 comments:

  1. Best arr iman lily...tangkap leleh tau...

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih kak fiza ;) lap...dah leleh dah tu,.,..hehee

      Delete
    2. Bila nak up cerpen lain pulak...harap maklum....kikikikikihhhh

      Delete
  2. Wah betul2 best ni... sweet jer yg akhir2 tu... buat la cerpen lg...

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulilah best ;) bukan senang nak dpt best dr readers ni ;)
      terima kasih sidi baca ;) insyaALLAH idea utk cerpen sentiasa ada ;)

      Delete
  3. So sweet dgn akif furqan....luv it :)

    ReplyDelete
  4. Best lah ..best gila !! Iman good job babe ...go on ..iman de bkat .

    ReplyDelete
  5. Nora suka,nora bg 4bintang..hihi
    Best la cite ni..nnt blh wat novel pulak

    ReplyDelete
  6. typical lame story..bnyakkkan baca cerita lagi sbb writer to be belajar drpd writer yg dah berjaya...the more u read, the more u can compare...sy bukan penulis tpi sy rasa u need more...btw, goood luck! different people different way they think,, for me, cerita ni lame... tpi ok la d atas ada org puji..:)

    ReplyDelete

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)