Selepas
seminggu majlis menerima menantu menyusul pula majlis menyambut menantu. Malam
sabtu itu merupakan majlis resepsi bagi pihak keluarga Firas Amsyar. Majlis
menyambut menantu itu telah diadakan di Persada Johor atau Johor Convetion
Centre yang terletak di tengah-tengah Bandar raya Johor Bahru. Majlis yang
berkonsepkan English Garden telah mendapat sentuhan istimewa daripada perancang
perkahwinan, Naz Great Idea’s. Sebuah perunding dan perancang perkahwinan yang
cukup dikenali di Malaysia. Angan-angan Datin Nora telah berjaya
direalisasikan.
Firas Amsyar baru sahaja keluar dari
bilik mandi. Dia baru sahaja membersihkan tubuh yang melekit akibat peluh. Dia
hanya memakai tuala mandi separas pinggang. Apabila terpandang raut wajah manis
Munirah, dia terfikir sesuatu.
‘’Mulai esok, kau kena tinggal di apartment
aku. Kau bersedia ajelah ‘merana’ bersama aku ya. Erm… lagi satu, aku tak suka
kau panggil aku awak,wak-wak. Kau ingat aku Wak Parjo?’’ ujar Firas Amsyar
malam itu setelah mereka pulang daripada majlis resepsi keluarganya. Ketika itu
mereka berada dalam bilik tetamu yang dihias menjadi bilik pengantin buat
pasangan suami isteri itu.
Munirah yang baharu selesai menukar
dress pengantinnya, hanya diam namun, mengukir senyuman ‘jahat’. Dia
mengerutkan dahinya. Dia menutup bibirnya menahan gelak. ‘’Dah tu nak panggil
apa?’’ soal Munirah bersahaja dengan mengangkat kening kirinya.
Dia duduk di sofa panjang yang
menghadap televisyen plasma itu. Dia meluruskan kakinya yang letih akibat
memakai kasut bertumit tinggi setinggi tiga inci. Dia memang tidak menggemari
kasut bertumit tinggi. Buat menyeksa kaki sahaja. Biasalah perempuan nak cantik
punyal pasal sanggup ‘seksa’ badan sendiri. Munirah mengurut lembut betisnya
yang putih bak bunting padi dengan minyak Johnson’s Baby Bedtime. Minyak
lavender kegemarannya. Haruman yang cukup membantu untuk meredakan ketegangan.
Lebih-lebih lagi dengan ‘harimau jadian’!
Firas Amsyar yang sudah menyarung
jersi Manchester United berwarna merah dan berboxer menghampirinya isterinya yang
sudah siap berbaju kaftan.
Munirah pula mengensot sedikit. Firas
Amsyar mendekat mukanya ke muka isterinya. Jari-jarinya yang kasar, mengusap
lembut rambut panjang mengurai milik isterinya.
Munirah sudah kecut dengan aksi
suaminya. Dia hanya diam menanti aksi seterusnya. Mata mereka bertentang namun,
sayangnya pandangan mereka itu ‘kosong’ tiada rasa tiada gentar.
Dia merapatkan mukanya lagi ke wajah
isterinya yang tiada darah itu. Sebelum menjawab,‘’panggil aku, Encik Firas!
Faham?’’ ujar Firas Amsyar keras lalu mencengkam rambut isterinya. Tertarik
kepala Munirah ke belakang.
Munirah terkedu. Perit terasa.
‘’Faham, Encik Firas!’’ balas Munirah geram. Tangan kirinya memegang tangan
kanan suaminya yang mencengkam rambutnya yang lembut beralun itu.
‘’Tak payahlah nak tarik-tarik rambut
orang! Sakitlah!’’ adu Munirah sedikit mendengus dan dengan berani dia menarik
tangan suaminya.
Firas Amsyar terkejut dengan tindak
balas penuh berani daripada isterinya. ‘’Amboi, melawan kau ya!’’ ujar Firas
Amsyar geram.
Munirah menjeling wajah Firas Amsyar
yang merenungnya tajam. Dia bangkit dari sofa berkulit itu tanpa mempedulikan
suaminya. Firas Amsyar geram dengan tindakan isterinya.
‘’Saya tak nak gaduh lagi Encik Firas.
Saya dah letih dan mengantuk sangat. Saya nak rehat,’’ rayu Munirah. Dia tahu
lelaki itu pasti mencari poin untuk bertikam lidah dengannya. Menyakitkan
hatinya merupakan hobi suaminya kini.
Firas Amsyar juga bangkit. Dia berdiri
berhadapan isterinya. ‘’Kau kena ingat Munirah, aku tak akan pernah dapat
menerima kau sebagai isteri aku. Kau kena ingat, keluarga kau tu ‘berhutang’
dengan keluarga aku. Aku ni mangsa keadaan keluarga kau tahu tak!’’ tempik
Firas Amsyar dengan serius dan terjerit. Dia meluahkan apa yang dirasainya itu.
Rasa ketidakadilan dalam dunia ini.
Munirah sudah berubah mendung. ‘’Saya
juga berkorban Encik Firas. Saya reda kalau Encik Firas tak boleh terima saya
sebagai isteri. Saya sedar siapa diri saya. Cuma satu saya minta, tolong
hormati ibu bapa dan keluarga saya. Maaf keluarga saya dah susahkan Encik Firas
sekeluarga.’’ Munirah membalas dan merayu tenang. Biarlah situasi itu tidak
terus tegang. Dia akur keadaan diri mereka ketika itu. Mereka tersepit. Keadaan
mereka tidak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Firas Amsyar terdiam. ‘’Bagus kalau
kau dah sedar siapa kau di sisi aku. Aku boleh terima keluarga kau tetapi bukan
engkau!’’ ujar Firas Amsyar lantang.
‘’Terima kasih, Encik Firas. Saya nak
tidur sekarang. Saya betul-betul letih.’’ Munirah mengakuri kata-kata suaminya.
‘Tidak mengapa, aku tidak diterima
sebagai seorang isteri di dalam hidupnya syukurlah dia masih boleh menerima mak
dan ayah juga keseluruhan keluarga aku,’ desis sudut dalam hati Munirah yang
mensyukuri ‘keistimewaan’ suaminya itu.
Firas Amsyar tidak bereaksi. ‘’Dah
pergi tidur.’’ Firas Amsyar mengarah pendek sahaja.
Munirah termangu-mangu. Matanya
merayap ke seluruh isi bilik tetamu itu. Mengintai-intai ruang mana yang sesuai
menjadi tempat beradunya. Ruang bilik itu cukup luas tiga kali ganda keluasan
daripada bilik pengantin di rumahnya. Bilik yang lengkap dengan bilik air yang
boleh dijadikan ruang untuk berjakuzi. Bilik ini memang dibina khas untuk anak-anak
Dato’ Arshad dan Datin Nora yang akan menggunakannya apabila mereka bergelar
raja sehari. Sehari sahaja bukan untuk berhari-hari. Rasanya setiap pasangan
tidak perlu berbulan madu di luar kerana kamar itu umpama suite berbulan madu
ditambah pula, suasana yang malap dan bau-bauan yang mengharum wangi dan
sensual itu.
Sofa berbentul L di ruang menonton ini
juga sesuai, detik hati Munirah. Rasanya selesalah beradu di sofa itu. Kusyen
yang lembut pasti nyenyak tidurnya nanti, desis Munirah.
Sedang Munirah baru berkira-kira untuk
mengambil bantal kepala di katil, suaminya menyergahnya. ‘’Yang tercegat lagi kat
sini kenapa? Pergi naiklah atas katil tu,’’ tegur Firas Amsyar sinis.
Tersentak Munirah dibuatnya. ‘Orang
tua ni, memang suka buat aku menambah potensi mendapat sakit jantung’, gerutu
Munirah geram. ‘’Habis tu, Encik Firas nak tidur mana?’’ soal Munirah ingin
tahu. ‘Baik juga laki aku inikan bagi aku tidur atas katil tak adalah sakit
badan aku tidur di atas sofa yang tak berapa nak lembut ni,’ puji Munirah
sendiri.
‘’Jangan banyak tanya boleh tak? Pergi
ajelah tidur…’’ arah Firas Amsyar geram disusuli dengusan panjang.
Munirah tanpa banyak cerita lagi terus
ke katil jati bertiang empat itu yang cukup cantik dihiasi kelambu. Kamar
beradu yang cukup romantis disediakan oleh keluarga Firas Amsyar buat pasangan
pengantin baru itu. Mereka pasangan kedua yang menggunakannya selepas Farah
Laura dan suaminya, Farouk.
Dia membaringkan tubuhnya secara
perlahan-lahan di atas katil itu. Sungguh tidak percaya dia kini menjadi
menantu kepada keluarga sahabat baik ayahnya. Dia rasakan kisah hidupnya tidak
ubah seperti kisah drama Melayu. Malangnya realiti yang dihadapinya kini tidak
seindah kisah Bawang Merah yang bertemu jodoh dengan anak raja setelah hidup
teruji bersama ibu tiri dan Bawang Putih yang cukup membenci dirinya. Dia juga
bukan Cinderella yang berjaya memikat putera raja yang mencintainya sepenuh
jiwa. Dia hanya seorang hamba yang bernama Munirah binti Haron yang terbelenggu
di atas lantai takdir duniawi. Dia belum berjaya meraut kasih seorang suami
apatah lagi memetik cintanya.
Munirah memandang lelangit kelambu
putih itu. Dia seakan melihat dirinya yang sedang menangis pilu dalam hati apabila
dirinya tidak dapat diterima oleh insan bergelar suaminya yang sah dan halal
dalam hidupnya.
‘Cerita hidup aku bukan kisah dongeng dahulu kala, ini kenyataan hidup aku dan ini
juga takdir DIA Yang Maha Berkuasa,’ pujuk hati kecilnya supaya perlahan-lahan
menerima takdir dan ketentuan Ilahi. Kisah hidup yang perlu dihadapi. Realiti
hidup akan terus ‘hidup’ tidak seperti mimpi akan ‘mati’ apabila terjaga
daripada lena.
Munirah menarik perlahan komforter
tebal untuk menutupi seluruh tubuhnya. Suhu dingin menyerobosi kamar beradu ini.
Suhu 16 darjah celcius cukup membuatkan dirinya yang tidak pernah tidur dalam
suhu pendingin hawa itu berasa kesejukkan yang teramat.
Baru dia mahu melelapkan mata,
suaminya menghampiri katil. Jantungnya pantas mengepam darah. Darah terkejut. Tekanan
darah pasti berada di tahap tinggi ketika ini berbanding bacaan normal 120/80.
Firas Amsyar dengan selambanya membuka
jersinya di hadapan isterinya. T-shirt berkain jersi itu dicampakkan ke lantai.
‘’Kenapa takut? Kata ikhlas jadi
‘isteri’ aku. Buktikanlah keikhlasan kau sekarang,’’ ujar Firas Amsyar sinis
sahaja dan perlahan-lahan menghampiri isteri yang sudah tidak berwarna. Dia
membaringkan tubuh sasanya. Dia juga letih dan mahu merehatkan tubuh. Penat
melayan tetamu. Walaupun perkahwinan itu bukan perkahwinan yang dia impikan,
seharusnya dimaklumkan kepada semua kawannya. Dalam Islam juga mengharuskan
umatnya untuk mengwar-warkan perkahwinan.
Munirah sudah terkujat. Dia belum
bersedia untuk menjalankan tanggungjawab yang satu itu. Dia tidak rela
‘bersama’ dalam jiwa mereka suami isteri yang kosong tanpa rasa cinta buatnya.
Dia tidak mahu menjalani ‘tanggungjawab’ itu hanya perlakuan fizikal biarlah
seiring dengan ‘batin’.
Tiba-tiba Firas Amsyar yang sedang menarik
gebar tebal itu, ketawa besar. ‘’Dah gabralah tu kan? Ha ha ha… kelakarlah kau
ni. Aku tak ‘berselera’ dengan kau. Tidur ajelah.’’ Suaminya berkata sinis.
Firas Amsyar menyakitkan hati isterinya. Biar gadis itu sedar, dia tidak layak
mendapat belaian istimewa daripada dirinya.
Munirah berasa geram pula dikenakan
oleh suaminya. Dia menarik gebar tebal itu menutupi seluruh tubuhnya. Dia
mengiringkan tubuh sederhananya yang bukanlah kategori begitu langsing ke kiri
menghadap ruang menonton itu.
Firas Amsyar tersenyum sinis. ‘’Apa
hukumnya seorang isteri yang tidur membelakangi suami ya, Munirah?’’ soal Firas
Amsyar bersahaja namun, dalam nada serius. Malam itu cuaca dirasakan terlalu
bahang sebab itulah dia tidak mahu tidur dengan berbaju.
Munirah yang baru sahaja mahu melelapkan
matanya, terbuntang terus mata bundarnya. ‘’Hukumnya berdosa, Encik Firas.’’
Munirah menjawab tenang. Dia mengubah posisinya dengan menelentang.
Munirah menarik comforter tebal itu
hingga ke paras dadanya. Dia memejamkan matanya dalam debar menggila. Rasa
debar tidur sekatil dengan lelaki yang bergelar suaminya kini. Mereka sekatil
tetapi mereka tidak sehati dan sejiwa. Sayangnya malam pengantin itu, malam
yang tiada indah dan manisnya seperti pasangan lain.Firas Amsyar sudah lena
dalam kantuk dan letihnya. Dia membelakangi isterinya. Kamar yang dihias indah
itu tidak membawa sebarang erti buat raja sehari itu.
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)