BAB
12
‘’Kau
jangan ingat aku nak layan kau macam tuan puteri dalam rumah ni! Aku nak kau
jalankan tanggungjawab kau sebagai isteri aku tanpa apa-apa balasan istimewa
daripada aku, faham?’’ ujar Firas Amsyar sebaik sahaja mereka melangkah masuk
ke dalam apartment milik Firas Amsyar. Hari itu Munirah mengikut suaminya
berpindah ke apartment itu. Apartment Kipark yang terletak di Bandar Tampoi,
Johor Bahru.
Pagi-pagi lagi mereka sudah bersiap
untuk ke rumah Firas Amsyar. Munirah hanya menuruti perintah suaminya. Sedar
dia kini seorang isteri yang perlu mengikut suaminya tinggal ke mana sahaja.
Pada mulanya, begitu berat hatinya untuk berpindah dari rumah keluarganya yang
selama ini menjadi syurga buatnya. Dia akhirnya akur setelah menyedari hakikat
statusnya kini.
“ Kau ni dengar ke tak dengar apa yang
aku cakap?’’ ulang Firas Amsyar apabila melihat Munirah yang diam tidak
menyahut dengan matanya meliar melihat setiap sudut apartment tiga bilik itu
yang ditatarias kemas. Walaupun apartment itu didiami oleh seorang lelaki.
Terkejut Munirah dengan sergahan
suaminya dan serta-merta dianggukkan kepalanya tanda memahami kehendak lelaki
itu.
‘’Faham...Encik Firas. ‘’ Munirah
menjawab sedikit kuat dan meleret. Geram gamaknya.
‘’Bagus kalau kau dah faham! Aku nak
kau pergi masuk bilik yang hujung tu. Aku tak selera nak duduk sebilik dengan
kau. Lepas tu kau pergi masak apa yang patut untuk malam ni,” arah Firas Amsyar
sambil menunjukkan bilik yang bakal
dihuni oleh Munirah. Bilik sebelah kanan yang bersebelahan bilik tidur utama yang dihuni oleh suaminya.
‘Aku pun tak selera dan tak ‘hingin’
nak duduk sebilik dengan harimau jadian macam kau,’ balas Munirah dalam hati
sahaja. Itulah gelaran yang Munirah berikan buat Firas Amsyar semenjak beberapa
hari mereka bergelar suami isteri. Muka
garang yang seakan dibuat-dibuat oleh
Firas Amsyar penyebab gelaran itu tercetus.
Munirah mengangkat beg pakaiannya dan
memasuki bilik yang dimaksudkan oleh Firas. Dia hanya diam dan mengangguk
sahaja apa yang disuruh oleh Firas Amsyar. Sejak hari pertama mereka bergelar
suami isteri, Munirah hanya bersuara apabila perlu. Mulutnya berat untuk
bersuara. Apabila dia bersuara pasti akan ada pertikaman lidah antara mereka.
Tambahan pula, suaminya sentiasa mencari
peluang menyakitkan hatinya.
Bilik itu boleh dikatakan luas dengan
dilengkapi set katil king size. Bilik
itu ditata kemas. Dia menekan suis pendingin hawa.
‘’Pandai jugak orang tua ni hias bilik
ni. Tak sangka aku, tak macam aku bayangkan tadi,’’ cakap Munirah sendiri
diiringi senyuman kagum.
Sangkaan Munirah rumah Firas Amsyar
mesti serabut dan tunggang-langgang maklumlah rumah orang lelaki dan duduk
berseorangan pula tu. Suaminya pandai juga menjaga kebersihan dan kecantikan
rumah. Kagum seketika Munirah dengan ‘harimau jadian’.
Tangan Munirah ligat memasukkan
pakaiannya ke dalam almari. Tidak terlalu banyak pakaian yang dibawanya kerana
dia masih boleh ambil lagi di rumahnya. Beberapa buah novel baharu yang
dibelinya bersama Aisyah turut disusun di meja solek. Setelah selesai semua kerjanya,
dia membaringkan badannya di atas katil. Lega rasanya tak perlu duduk sebilik
dengan ‘harimau jadian’ tu. ‘Aman dunia aku,’ bisik hati kecil Munirah dengan
senyuman kecil terukir dibibir.
Munirah cuba melelapkan mata untuk melayan kelat kerana
ngantuk yang teramat kerana pagi-pagi lagi sudah bangun untuk mengelakkan
suaminya sedar lebih awal daripadanya. Munirah khuatir lelaki itu melihat
keadaannya yang tidur pelbagai gaya akuatik itu. Tambahan pula, dia tidak mahu
berulang lagi peristiwa yang memalukan dirinya itu. Seharian haru biru
hidupnya. Sehingga hari itu, dia masih belum menemui jawapan.
Terdengar ketukan di pintu, dengan keadaan
sedikit mamai pintu dibuka. Terjengul muka suaminya yang seakan baru mandi dan
hanya berseluar pendek. Naik segan pula Munirah melihat keadaan suaminya yang
tidak sempurna itu. Bukan dia tidak biasa melihat abang dan adiknya begitu
tetapi mungkin kerana lelaki ini bernama suami menyebabkan dia berasa malu.
‘’Nak apa Encik Firas?’’ tanya Munirah
bersahaja lalu menguap kecil. Dia benar-benar mengantuk.
Rasa pelik pula dia mendengar
isterinya, Munirah memanggilnya ‘encik’ namun, apabila teringat yang dia
sendiri sudah memberitahu tiada panggilan istimewa atau mesra antara mereka. Malam
semalam, dia yang melarang isterinya memanggil dirinya dengan panggilan ‘awak’.
Dia tidak mahu ada ruang kemesraan antara mereka buat masa ini.
‘’Kat rumah aku ni satu barang dapur
pun tak ada sebab aku dah lama tak duduk sini. Kau ambil duit ni pergi beli apa
yang patut,’’ ujar Firas Amsyar sambil menghulurkan beberapa keping not RM50
kepada Munirah.
Munirah hanya diam sahaja tanpa
membalas sepatah pun. Dia mengambil duit itu lalu terus menutup pintu bilik. Firas Amsyar rasa
tercabar dengan respon isterinya namun, disabarkan hatinya. Sedar isteri itu
bukan pilihannya tapi abah dan uminya.selayaknya dia diperlakukan begitu kerana dia sendiri
tidak melayan Munirah dengan baik.
***
Munirah
berjalan kaki ke Pasar Kip Mart Tampoi
yang terletak berhampiran apartment milik Firas Amsyar. Sebelum keluar tadi,
dia sudah melihat keadaan dapur yang ‘bersih’ kerana tidak digunakan dan
mencatat beberapa barang yang perlu dibeli. Baru sebentar tadi juga dia
menelefon ibu mertuanya untuk menanyakan makanan kegemaran Firas Amsyar. Uminya kelihatan
gembira mendengar suara Munirah yang beria-ia untuk mengetahui masakan
kegemaran anak lelakinya itu.
Padahal Munirah ingin memudahkan
kerjanya kerana tidak perlu bertanya pada lelaki itu dan kemungkinan akan dimarahi
oleh suaminya kerana memasak makanan yang tidak digemari. Alahan lelaki itu
terhadap sesuatu makanan turut ditanya. Alhamdulilah suaminya tiada apa-apa
masalah terhadap makanan.
Munirah merancang untuk menyediakan
nasi ayam sahaja pada hari tu kerana menurut uminya, Firas Amsyar amat
menggemari nasi ayam yang disajikan ayam panggang madu. Setelah kesemua barang
yang diperlukan untuk memasak hari itu, dia pun menapak pulang ke apartment
Firas.
Dia membuka grill dengan kunci yang dibawanya. Kunci rumah yang diberi oleh
Firas Amsyar tadi. Ketika pintu rumah
dibuka dia terdengar suara Firas Amsyar bercakap dengan seseorang. Dia tidak
nampak pula kasut atau selipar sesiapa di luar.
Dia melangkah masuk lalu menuju ke
ruang dapur basah di sebelah kirinya. Dia meletakkan kesemua barangan yang
dibeli. Dia membeli barangan basah dan kering. Banyak juga barangan yang
terpaksa dibeli kerana dapur Firas Amsyar ‘kering’.
Selepas meletakkan barangan, dia
menuju ke ruang tamu. Ketika sampai di ruang tamu dia ternampak Firas Amsyar berbual
di telefon bimbitnya dengan menghadap balkoni yang menghadap kolam renang di
bawahnya.Terdengar suara Firas Amsyar seperti memujuk seseorang.
‘’ Sayang, you boleh sabar tak? I taulah macam mana nak lepaskan perempuan tu
nanti. You tahukan yang I sayangkan you sangat-sangat. You kena bagi I
masa untuk selesaikan semua ini,”
Munirah sedikit pun tidak terkejut
mendengar apa yang diperkatakan oleh suaminya di telefon bimbitnya itu. Hal ini
kerana, saat dia dinikahkan dia sudah bersedia menerima apa jua kemungkinan
yang melanda perkahwinan mereka.
Firas Amsyar tidak sedar akan
kepulangan isterinya. Dia terus rancak
berbual di telefon dengan Amelia kekasih hatinya yang dikenali hampir setengah
tahun itu. Mereka diperkenalkan oleh sahabatnya, Hafsham.
Amelia gadis yang sedikit sosial kerana gemar ke kelab malam mahupun pub. Gadis itu bekerja sebagai setiausaha di pejabat Hafsham.
Dia pun tidak tahu macam mana dia boleh jatuh cinta dengan gadis seperti
Amelia. Melalui pakaian Amelia yang seperti tidak cukup kain, tidak meyakinkan umi dan abahnya untuk dijadikan
menantu sulung keluarga.
Mungkin kenangan silam dikecewakan oleh gadis
yang bertudung dan berpakaian menutup aurat dengan sempurna membuatkan dia
tidak yakin lagi dengan gadis dalam kalangan begitu. Lantas berubah ‘selera’ kepada gadis seperti
Amelia kerana bagainya pakaian tidak mencerminkan keperibadian orang dan dia
yakin mampu mengubah pakaian dan cara hidup Amelia kelak mereka bergelar suami
isteri. Walaupun ketika ini, isterinya Munirah merupakan seorang gadis yang
bertudung dan menutup aurat dengan baik walaupun tidak berjubah sentiasa dan bertudung
labuh seperti ustazah.
Munirah terus ke bilik yang akan
dihuni untuk menukar jeans dan t-shirt lengan panjangnya ke pakaian basahan
yang santai. T-shirt lengan pendek dan seluar panjang berkain kapas
dikenakannya.
Munirah ligat menyediakan bahan-bahan untuk
memasak nasi ayam bergandingan dengan ayam panggang madu. Munirah memang gemar
memasak dan makan. Ilmu memasak ibunya banyak ‘dikorek’ ketika dia menghabiskan
masa terluangnya menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Pada hujung minggu, dia rajin mencuba
pelbagai resepi. Selalunya hidangan pemanis mulut seperti kek, puding dan
pastri.
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)