Pages

welcome


Sunday, March 2, 2014

CERPEN JIJAH GEDEMPOL! [FULL]

Projek Cerpen 10 : Jijah gedempol! 26/2/2014
‘’Kau tu dahlah gemuk gedempol. Ada hati nak bersuamikan aku yang handsome dan ‘sempurna’ ni!’’
Umie Azizah terdiam mendengar jerkahan yang penuh kehinaan dan cacian daripada seorang lelaki yang dia cintai dalam diam. Sayangnya, cinta dalam diam itu bukan rahsia lagi akibat hasad dengki seseorang, dirinya diaibkan sebegini rupa. Umie Azizah hanya mampu meraupkan wajahnya bersama sisa air mata yang membanjiri pipinya.

‘’Perempuan ni tak malukan sayang. Simpan perasaan dengan tunang I yang tampan ni. Hoi, Jijah kau kalau dah teringin sangat nak berlaki carilah mat-mat indon ke bangla mana. Sedarlah diri sikit. Kau tu memang layaknya seumur hidup jadi kuli batak aje dalam company tunang aku, faham!’’ jerkahan itu pula menambah rasa malu dan aibnya terhadap insan-insan sekeliling yang melihatnya dirinya ditertawakan dan dicaci oleh wanita cantik dan lelaki tampan itu.
‘’Mulai saat ini, aku nak kau sedar-sedar sikit siapa diri kau tu! Kau hanya kerani cabuk dalam office ni. Kau tak layak langsung nak simpan secebis zarah pun perasaan dekat aku, bos kau atau lebih terang lagi, CEO syarikat tempat kau tagih duit untuk isi perut kau yang boyot tu!’’ sergahan lelaki itu menerobos tepat ke mata dan telinganya yang ditutupi tudung bawal itu.
Air mata pilu dan sedih terus lancar mengairi pipinya yang tembam itu.
‘’Hoi, Jijah! Kau faham ke tidak apa kami cakap ni?Kau pekak ke apa?’’ jerit suara wanita cantik itu lagi.
Wanita cantik yang bagai hilang akal itu mula mendekati Umi Azizah yang terduduk di lantai lalu menampar-nampar wajah comel Umie Azizah. Bertubi-tubi tamparan itu. Lelaki tampan itu hanya tersenyum sinis melihat wanita cantik berstatus tunangnya menampar Azizah, gadis yang naïf lagi malang itu.
Umie Azizah hanya mampu terdiam dan tidak mampu melawan. Semua yang berada di situ, ada yang tersenyum sinis dan yang bersimpati. Malangnya simpati mereka terhalang tindakannya. Tiada siapa berani menghalang perbuatan wanita cantik dan lelaki tampan itu.
‘’Woi, Izreen! Kau dah gila ke buat budak tu macam tu?Kau nak bunuh dia ke?’’
Tiba-tiba tempat yang dikerumuni oleh kakitangan syarikat teknologi itu disergah oleh suatu suara yang cuba menjadi penyelamat Azizah, gadis malang itu. Gadis naïf yang ‘comel’ itu.
‘’Abang Iqram ni dah kenapa nak bela sangat si gemuk gedempol ni?’’ sergah wanita cantik yang bernama Izreen itu. Dia sudah menghentikan perbuatannya. Umie Azizah memegang kedua-dua pipinya yang pedih dan perit itu. Wanita cantik itu bukan sekadar menampar, malah mencakar wajah comelnya dengan kuku yang panjang itu. Kenapa wanita cantik itu bela khinzir ya?
‘’Sebab aku bukan jantan dayus macam tunang kau si Fikri ni yang sanggup tengok pehel bakal isteri yang dah tempah sebelah kaki ke neraka ni!’’ balas hero penyelamat bernama Iqram itu geram dan penuh amarah.
Lelaki tampan yang bernama Fikri itu, terdiam dan terkedu. Bahang wajahnya ketika itu. Darah merah menyala menyerbu wajah tampan persis hero pujaan Malaya.
‘’Iq, kalau kau nak sangat jadi hero si gemuk gedempol ni, kau bawak dia keluar dari office aku sekarang!’’ cabar jejaka tampan, Fikri. Jejaka tampan yang ditaruh sepenuh rasa sayang dan jiwa oleh Umie Azizah.
Iqram yang sudah pun merapati Umie Azizah, memegang bahu Umie Azizah yang terduduk lemah di lantai berpermaidani itu. Dia menyuruh Umie Azizah bangkit.
‘’Kau tak payah suruh, Fik. Aku tahu apa yang aku nak buat. Aku bukan jantan dayus macam kau!’’ balas Iqram serius sambil matanya tepat mencerlung ke arah pasangan ‘sejoli’ itu.
Umie Azizah dengan lemah dan sungguh perlahan membangunkan tubuhnya yang berangka timbangan 80 kilogram itu. Berat beban badan yang ditambah dengan ‘berat’ jiwa dan emosinya ketika itu. Iqram hero penyelamat bagaikan seorang Kluangman yang berjaya membantu orang ramai yang diancam oleh penjenayah, membantu Umie Azizah bangkit. Umie Azizah juga mangsa penjenayah. Penjenayah emosi yang tidak berhati perut apatah lagi berperikemanusiaan.
Sebelum Iqram hero penyelamat membawa Umie Azizah pergi, dia sempat berkata sesuatu kepada pasangan ‘sejoli’ itu.
‘’Izreen, kau tak payah nak bongkak sangat dengan wajah kau yang cantik. Tubuh kau yang langsing itu pun belum tentu membahagiakan kau!’’ ujar Iqram nampak mendatar tetapi ‘keras’.
‘’Kau, Fik. Jangan ingat kecantikan fizikal perempuan kebahagiaan buat seorang lelaki! Satu masa nanti ‘idaman’ kau akan membuat kau merana!’’
Selepas menitip ingatan yang penuh maksud mendalam, Iqram terus membawa Azizah pergi dari tempat gadis itu diaibkan oleh pasangan ‘sejoli’ itu.

***
‘’Terima kasih, Encik Iqram ‘selamatkan’ Jijah.’’ Umie Azizah memulakan perbualan mereka di dalam restoran makanan segera itu.
‘’Tak payah ucap terima kasih Jijah. Saya bertanggungjawab ‘bela’ awak tadi. Saya malu dengan perbuatan adik saya,Izreen dan kawan baik saya Fikri. Saya malu sangat dengan awak. Saya tak pandai didik adik saya. ‘’ Iqram membalas tenang namun, penuh rasa sedih dan malu menggebu.
Umie Azizah mengelap wajahnya yang sudah dicuci bersih dengan air pili. Wajah yang bersisa limpahan banjir itu berjaya disedut bahnya dengan kertas tisu. Pedih terasa pada kesan cakaran Izreen.
‘’Saya yang salah Encik Iqram. Saya tak sedar diri dan berdosa simpan perasaan pada hak orang,’’ balas Umie Azizah yang diburu rasa penyesalan kerana melayan rasa suka dan cinta buat tunangan orang. Lebih-lebih lagi kepada seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang cukup ‘sempurna’ serba serbi. Dia memang bodoh kerana tidak menatap cermin apabila menyedari rasa suka dan cinta terhadap Fikri.
‘’Awak tak salah Jijah,’’ ujar Iqram dengan mesra memanggil nama manja gadis comel itu.
Terkedu Umie Azizah dengan ayat pendek yang keluar daripada mulut Iqram.
‘’Saya bersalah, Encik Iqram. Saya simpan perasaan pada tunang orang bahkan majikan saya sendiri,’’ tukas Umie Azizah tegas.
Iqram menelan sedikit cecair salivanya. Dia memberi senyuman paling manis dan cukup menawan buat Azizah , gadis naïf itu.
‘’Rasa suka dan cinta itu bukan dipaksa. Perasaan halus yang datang tanpa diundang. Rasa yang semulajadi. Siapa boleh halang, Jijah. Macam mana rasa suka dan cinta saya buat Jijah.’’ Iqram meluahkan rasanya dengan spontan.
Terpempan Umie Azizah. Dia mengelap-ngelap wajahnya yang masih lembap kesan air pili. ‘’Encik Iqram perli saya ya. Saya sedar siapa diri saya, Encik Iqram. Saya ni tak layak dicintai. Saya tak cantik dan langsing macam Cik Izreen.’’ Polos sungguh kata-kata itu.
 ‘’Jijah, tak baik merendahkan diri awak macam tu sekali. Awak hamba Allah yang layak dicintai dan disayangi. Binatang pun sanggup orang bela dan sayang apatah lagi kita manusia, ciptaan ALLAH yang paling sempurna. Saya dah lama suka pada awak. Awak aje yang tak perasan. Yalah...saya tak tampan macam bakal adik ipar saya tu,’’ balas Iqram lembut namun, sempat mengusik gadis comel itu.
Umie Azizah menggeleng-gelengkan kepalanya. Iqram pula menghirup sedikit kopi Arabika kegemarannya.
‘’Bukan macam tu, Encik Iqram. Saya tak pandang rupa pun tapi Encik Fikri dah buat sesuatu yang buat saya jatuh cinta kepada dia. Maaf, Encik Iqram saya sedar siapa diri saya. Lagi pun saya tak nak rasa cinta itu berasas daripada simpati semata-mata.’’ Umie Azizah membalas tenang. Dia cuba sehabis mungkin ‘menolak’ secara lembut dan baik.
Iqram menegakkan batang tubuhnya yang lampai dan sasa itu dari posisi yang menyandar pada kerusi.
‘’Cinta saya bukan sebab simpati. Saya memang simpati dengan situasi awak tadi tapi saya suka dengan awak ikhlas.’’ Iqram menukas bagi menyatakan kebenaran rasanya buat gadis polos itu.
Umie Azizah hanya diam. Dia mengambil beg tangan cap bazar karatnya di sisinya. Dia bangkit. ‘’Maaf ,Encik Iqram. Jangan persendakan saya. Terima kasih selamatkan saya. Sampaikan salam maaf saya buat Cik Izreen.’’ Umie Azizah bertutur sebelum membawa diri pergi daripada hero penyelamatnya.

***
‘’Kan mak dah kata jangan mudah jatuh cinta. Inilah padahnya,’’ Puan Hanum bertutur lembut setelah mengetahui peristiwa yang terjadi pagi tadi.
‘’Tapi mak Jijah bukannya hebohkan pada orang yang Jijah suka pada Encik Fikri. Jijah cintakan dia dalam diam aje. Tapi Jijah tak tahu macam mana dia orang boleh tahu. Malu Jijah mak,’’ adu Umie Azizah kepada ibunya yang cukup memahami gejolak rasa anak daranya yang comel itu. Satu-satunya anak dara yang dia ada dalam dunia ini.
‘’Mungkin Jijah ‘show off’ sangat tak? Itu yang orang perasan tu,’’ tebak Puan Hanum selamba.
Tersenyum Umie Azizah mendengar perkataan Inggeris yang keluar daripada mulut ibunya.
‘’Wah, mak speaking mat salleh ya!’’ usik Azizah dalam kagumnya.
‘’Apa ekau ingat omak ekau tak makan keju ke?’’ balas Puan Hanum dengan suaranya yang nyaring.
Umie Azizah yang berada di riba ibunya. Menutup telinga kerana kenyaringan suara wanita akhir 40-an itu. Dia mengekek ketawa.
‘’Habis tu Jijah nak kerja lagi kat situ?’’ soalan Puan Hanum itu menyebabkan Umie  Azizah yang sedang bermain dengan anak rambutnya terdiam.
‘’Tak tahulah, mak. Kalau Jijah berhenti nampak sangat Jijah memang betul-betul sukakan Encik Fikri. Tapi kalau Jijah tak blah dari situ, orang cakap Jijah muka tembok.’’
Puan Hanum mengusap-usap ubun-ubun kepala Umie Azizah. ‘’Mak rasa, Jijah jangan berhenti. Kerja aje kat situ. Buktikan kepada orang yang Jijah tak lemah dengan semua tu. Jijah kena kuat. Peduli apa orang kata. Buktikan kepada orang yang Jijah tak layak diperlakukan sebegitu. Jijah kena berani. Jangan biar aje apa orang buat. Kuatkan semangat macam badan Jijah yang ‘semangat’ ni...’’ ujar Puan Hanum dalam kelembutan dan suntikan keyakinan buat puterinya itu. Sempat lagi mengusik anak daranya itu.
Umie Azizah yang beria-ia mendengar pendapat ibunya, mengetap bibir jongetnya itu apabila mendengar ayat terakhir ibunya.
‘’Mak ni...’’ Umie Azizah terus membangunkan tubuhnya dan duduk di sisi ibunya.
Puan Hanum senyum nakal. ‘’Mak gurau ajelah. Betul apa, badan aje besar anak mak ni tapi hati kecik. Orang jerkah sikit dah lembik. Cuba lawan. Jangan dok diam. Tengok sampai bercalar muka pun boleh terima aje apa orang buat. Lindungi diri sendiri Jijah. Nanti kalau mak dah tak ada, tak ada siapa boleh lindung dan pertahankan Jijah.’’  Puan Hanum menasihati puterinya yang sudah melentokkan kepalanya di bahu kirinya.
‘’Mak kenapa cakap macam ni?Janganlah tambah sedih Jijah, mak!’’ larang Umie Azizah. Dia memeluk tubuh sederhana itu. Tubuh yang berjaya membesarkannya selama 21 tahun itu seorang diri.
Puan Hanum tersenyum dan mengusap-usap tubuh berisi anaknya itu.

***
Umie Azizah dengan keyakinan dan semangat baru meneruskan sahaja tugasnya di syarikat teknologi itu. Dia mempedulikan kata-kata nista yang didengarinya. Yang penting periuk nasinya tidak berkerak!
Hidup perlu diteruskan walau apa pun yang berlaku. Itu kata-kata perangsang yang diberi oleh ibunya yang vogue itu pagi tadi sebelum dia melangkah pergi mencari sesuap nasi.
Umie Azizah melangkah dengan sedikit sisa lelah kerana jauh menapak dari perhentian bas. Baru sahaja dia menolak pintu kaca, namanya kedengaran disebut-sebut.
‘’Hai, Jijah datang kerja jugak kau hari ini! Tak malu betul budak gedempol ni ya?’’ kata-kata Juliza penyambut tetamu syarikat itu didengar bayu angin sahaja.
Umie Azizah malas melayan spesies sebegitu. Spesies yang sepatutnya dah pupus ketika zaman batu lagi.
Ketika dia melangkah ke meja kerjanya. Namanya disapa lembut.
‘’Jijah, okey hari ini?’’ aju Kak Uji Ramlah, pembantu peribadi Encik Fikri.
Umie Azizah berpaling memandang wajah lembut dan penuh keibuan itu. ‘’Jijah okeylah Kak Jee. Kenapa Kak Jee?’’ tanya Umie Azizah pula kepada Uji Ramlah. Berlagak seperti tiada apa berlaku semalam.
Uji Ramlah menghampiri tubuh comel itu. ‘’Jijah, maafkan Kak Jee. Kak Jee yang terjumpa diari Jijah. Tapi Encik Fikri nampak masa Kak Jee tengah baca. Dia rampas bila dia jumpa gambar dia dalam diari Jijah. Akak pun berdosa jugak sebab ceroboh hak peribadi Jijah. Maafkan Kak Jee, Jijah.’’ Uji Ramlah menceritakan punca sebenar perkara sebenar yang membuatkan dia malu semalu-malunya semalam.
Uji Ramlah sudah bersedia dan reda sahaja untuk menerima apa jua respon gadis comel itu. Dia perlahan-lahan mendekati tubuh berisi itu.
Terbuntang matanya apabila melihat Umie Azizah ketawa besar. Lopong mulutnya.
‘’Jijah, tak nak tarik rambut akak?’’soal Uji Ramlah sambil memegang rambutnya yang diset cantik macam orang bengong seketika.
Umie Azizah menarik Uji Ramlah duduk di sebelahnya. Kerusi yang dimiliki oleh rakan sekerjanya, Kamalia.
‘’Akak ingat Jijah Cik Izreen ya?Kak Jee dah buat Jijah sedar yang enggang dan pipit memang tak boleh terbang sama sebab ‘pipit ni’ berat macam anak gajah! he he he... Jijah tak layak kejar cinta mereka kak,’’ luah Umie Azizah bersahaja.
Uji Ramlah yang bergincu merah menyala sudah membuat raut sedih. ‘’Tak baik Jijah cakap macam tu. Jijah, kena percaya yang Jijah berhak meraih bahagia macam Cik Izreen tu. Kesian adik akak yang comel ni kena cakar dengan singa betina,’’ ujar Uji Ramlah dengan nada biasa tetapi sebelum menuju ke ayat-ayat terakhir dia merendahkan nadanya seperti berbisik dalam kelambu.
Ketawa besar mereka berdua. Malangnya tawa itu dihentikan oleh seseorang.
‘’Kak Jee layan budak gedempol ni sampai tak perasan Fik masuk office,’’ teguran itu menyebab Umie Azizah memandang muka meja kerjanya. Dia sibuk menyusun fail yang sudah sedia tersusun itu. Dia gugup untuk melihat wajah tampan itu. Wajah yang masih ada tempatnya dalam hati gadis naïf dan polos itu. Pelik! Walaupun sudah berbakul dihina dan dicerca masih tersemat rasa cinta itu?
‘’Fik, tak baik cakap macam tu pada Jijah. Jom, masuk office akak nak bagi tahu ‘shecedule’ Fik hari ini!’’ ajak Uji Ramlah dengan berkata lembut lalu menarik selamba tangan Encik Fikri.
 Semalam Uji Ramlah sudah menghalang Fikri berbuat begitu tapi malangnya, bakal isteri lelaki itu yang tidak disukainya tingkah laku Izreen telah memulakan segala-galanya dengan menyerang Umie Azizah dengan diari gadis itu.
Umie Azizah meneruskan tugasnya pada hari itu tanpa sedikit pun rasa sedih, marah terlalu mahu pun benci. Dia mahu mencari sesuap nasi sahaja di syarikat bumiputera itu. Tapi dalam masa yang selam-selam sedut juga air. Manalah tahu dapat balik seorang buat menantu untuk Puan Hanum. Malangnya dia tersalah sayang orang pula. Sekurang-kurangnya dia sudah mencerminkan dirinya bahawa mencintailah yang sepadan dengan diri.

***
Umie Azizah tekun untuk menjaga berat badannya. Dia mula mengamalkan pemakanan yang sihat. Tiada lagi junkfood di lewat malam. Nasi juga dijamahnya sekali seminggu sahaja. Ibunya juga banyak memberi sokongan dengan menyediakan masakan dengan cara mengukus dan merebus sahaja. Tiada lagi hidangan berlemak seperti kari dan lemak cili api. Dia mahu lakukan ini semua kerana ingin meningkatkan personaliti dirinya yang secara langsung meningkatkan keyakinan diri.
‘’Mak, berat Jijah dah kurang 20 kilogram!Alhamdulilah...tak sia-sia usaha Jijah, mak.’’ Umie Azizah memberitahu ibunya apabila menimbang berat badannya.
Puan Hanum tersenyum gembira. Dia perasaan tubuh anak semakin cantik dipandang. Tidak lagi orang memanggil anaknya dengan panggilan anak gajah.
‘’Ingat Jijah jangan ambil kesempatan nak tayang badan pula lepas ni. Mak tak nak Jijah pakai baju ketat-ketat. Ingat Jijah buat semua ini sebab sayangkan kesihatan diri.’’ Puan Hanum menitip ingatan buat anaknya. Dia tidak mahu anaknya menjadi seperti perempuan lain yang sudah langsing lalu membuka aurat dan berpakaian ketat serta menayangkan lekuk badan.
‘’Jijah ingat mak. Lagi pun Jijah tak nak tayang badan untuk orang lain. Jijah nak tayang untuk suami Jijah aje mak,’’ beritahu Jijah malu-malu dengan menayangkan giginya yang cantik tersusun.
Puan Hanum tersenyum. “Amboi, anak mak ni!Dah ada calon ke?’’ selidik Puan Hanum.
Umie Azizah hanya menggelengkan kepalanya. Tiba-tiba dia teringat tentang Iqram. Lelaki yang berjaya menyelamatkan dia daripada terus menjadi mangsa cakaran Izreen. Lelaki itu sudah lama tidak datang berjumpa Encik Fikiri di pejabat. Mungkin sibuk sangat atau dia malu dengan Umie Azizah sebab gadis polos itu menafikan pengakuan cintanya?
Umie Azizah bukan tidak menghargai pengakuan cinta lelaki itu cuma masa yang itu salah. Ketika dia sedang dirundung pilu akibat hinaan dan cercaan orang. Lagi pun, dia tidak percaya akan ada lelaki seperti Iqram boleh jatuh cinta akan dirinya. Dia hanya seorang gadis gemuk lagi gedempol. Gelaran yang diberi oleh lelaki tampan dan wanita cantik itu. Lagi pun, Encik Iqram bukan idaman Umie Azizah sebab lelaki itu tak sasa macam Encik Fikiri. Encik Iqram putih merah sangat tidak seperti Encik Fikri yang berkulit sawo matang. Amboi, citarasa Jijah Gedempol boleh tahan,ya?

***
Encik tampan dan wanita cantik dah berkahwin dua bulan lalu. Sedih betul hati Jijah sebab lelaki idamannya itu sudah pun menjadi hak wanita cantik itu.
Jijah dalam proses untuk mengambil kursus pastri. Jijah dah lama mahu mengambil kursus penyediaan pastri tapi dia mahu mencari pengalaman bekerja di pejabat dahulu. Ternyata bekerja di pejabat memang memboringkan sebab mengulang sahaja perkara yang sama.
Puan Hanum pun meyokong apa sahaja tindakan anaknya itu. Dia tahu anaknya sudah lama mengidam untuk memiliki kedai bakerinya sendiri.
Apabila Jijah mahu meletakkan jawatan, pelbagai kata-kata nista orang didengarnya. Orang cakap Jijah frust menonggeng sebab Encik Fikri berkahwin dengan Izreen. Dia malas melayan semua itu. Dia hanya mahu mengejar mimpinya sebagai pemilik kedai bakeri.

***
Jijah Gedempol Bakeri akhirnya berjaya ditubuhkan selepas dua tahun Jijah memegang sijil pastri dari Kolej Komuniti. Selepas tamat mendapat sijil, Jijah berkerja selama setahun di hotel untuk mencari pengalaman. Setelah berasa yakin dengan kemahiran yang dia miliki, Jijah berusaha membuat kertas kerja untuk mendapatkan pinjaman agensi kerajaan untuk membuka bakeri sendiri. Bantuan daripada pihak kerajaan banyak membantu melicinkan proses untuk memiliki bakeri sendiri.
Nama Jijah Gedempol Bakeri digunakannya bagi menaikkan semangatnya yang suatu ketika dahulu pernah luntur. Dia mahu membuktikan budak gemuk gedempol ini mampu mencapai mimpinya. Teringat kerani di kaunter majlis bandaraya tersenyum mendaftarkan nama perniagaannya. Mana tak gelak orang baca nama bakeri Jijah. Tambahan pula, tuan punya bakeri tidak gemuk mahu pun gedempol!
Nampaknya Jijah Gedempol Bakeri semakin menjadi tempat dihati orang ramai. Kesedapan pelbagai jenis roti, kek dan pastri menggamit orang untuk terus menikmati pastri yang ada di bakeri Jijah.
Jijah yang sedang sibuk menguruskan perihal invois dan baucer di kaunter terkejut apabila mendengar perbualan dua orang manusia.
‘’Ya, ini bakeri Jijah. Akak yakin sebab akak pernah nampak dia dalam bakeri ni, ‘’ suara itu cukup dikenali Jijah walau sudah bertahun suara itu tidak didengarinya.
‘’Pandai aje akak ni. Tak akanlah budak gemuk gedempol tu dah ada bakeri macam ni.’’ Suara itu! Suara yang pernah menjerkahnya dahulu. Suara cukup lunak ditelinganya dahulu.
Jijah mengangkat wajahnya. Mereka saling berpandangan. Tiga pasang mata menerobos antara satu sama lain.
‘’Assalamualaikum. Selamat datang ke Jijah Gedempol Bakeri,’’ ucap Jijah mesra dan bersahaja. Dia bergerak keluar dari kaunter untuk menemui dua orang yang cukup dikenalinya.
Nampaknya mereka berdua masih tergamam. Uji Ramlah tidak segamam Fikri.
‘’Jijah! Jijah tak kenal Kak Jee ke?’’ tegur Uji Ramlah mesra. Dia mendekati tubuh gadis yang cantik mengenakan jubah moden dan bertudung Sugar Scarf. Manis sekali gadis polos itu.
“Kak Jee...Jijah kenallah. Walaupun Kak Jee dah ubah imej sekarang,’’ balas Jijah mesra dan teruja. Dia mencapai tangan wanita yang sudah cantik berhijab kini. Dia kucup tangan itu. Tubuh itu ditarik ke dalam pelukannya. Jijah memandang Fikri yang masih terpaku dengan semua itu. Mata mereka bertembung. Anak mata hitam bertemu. Jantung Jijah berdebar secara mendadak. Denyutan jantung meningkat.
‘’Dah lama Kak Jee cari Jijah...Jijah menyepi terus lepas berhenti.’’ Uji Ramlah memulakan perbualan mereka setelah Jijah mengajak mereka duduk di meja kayu berbentuk bulat berwarna putih itu.
‘’Jijah sibuk nak gapai mimpi Kak Jee...mana Kak Jee tahu ni kedai Jijah?’’ soal Jijah lembut dan ceria. Fikri hanya diam tidak berkutik. ‘Tak nak jerkah Jijah ke encik tampan?’, monolog Jijah.
‘’Kak Jee carilah...lagi pun ada orang sibuk ajak Kak Jee cari Jijah dia yang comel tu. Dia rindu sangat dengan Jijah gemuk gedempol dia tu.’’ Uji Ramlah bercerita ramah.
Fikri yang bertentangan mereka sudah memusing memandang lain. Jijah hanya diam.
‘’Mana Puan Izreen, Encik Fikri?’’soal Jijah bersahaja.
‘’Jijah, encik tampan Jijah ni sekarang duda hot tau!’’ beritahu Uji Ramlah selamba dan berseloroh. Nasib baiklah kedai Jijah tiada pelanggan lain. Nama encik tampan diketahuinya ketika membaca diari Jijah dahulu.
Terkejut Jijah dengan berita terkini lagi sensasi itu. ‘Nampaknya ada peluanglah kau Jijah,’ monolog Jijah nakal.
‘’Encik Iqram macam mana sekarang, Kak Jee?’’
Tiba-tiba Jijah teringat hero Kluangman dia itu. Nampak sangat cinta lelaki itu tidak tulus. Kalau benar dia menyukai Jijah pasti dia serius untuk memikat hati Jijah.
Fikri sudah berubah rautnya. Tiba-tiba rasa lain perasaan apabila Jijah bertanya perihal Iqram sahabat baiknya yang kini sudah berumah tangga dengan kawan sekolah mereka, Eja.
‘’Iqram, dah kahwin dah Jijah. Tapi encik tampan Jijah ni aje yang belum kahwin sekali lagi, ‘’ beritahu Uji Ramlah dengan bersahaja sambil menjeling ke arah Fikri.
Jijah buat muka tidak faham sahaja dengan kata-kata itu. Ternyata benarlah telahannya Iqram hanya mempersendakan dirinya.
‘’Kak Jee dan Encik Fikri nak minum apa?’’ soal Jijah lalu bangun.
‘’Kak Jee nak fresh orange. Encik tampan Jijah ni rasanya nak apple juice,’’ beritahu Uji Ramlah selamba.
‘’Saya nak hot chocolate macam yang Jijah selalu buat untuk saya dulu,’’ pinta Fikri tiba-tiba.
Jijah terkedu dengan permintaan encik tampan. Encik tampan masih ingat coklat panas yang cukup ‘kaw’ itu? Mahu tak ‘kaw’ Jijah letak serbuk minuman coklat Cadburry itu ikut sesedap tekak dia. Masa  bekerja di syarikat teknologi itu, Jijah selalu tolong Uji Ramlah buatkan air untuk encik tampan. Wah, betapa gembiranya Jijah setiap kali dapat membancuh minuman kegemaran Fikri! Siap dia berzikir-zikir merdu moga-moga encik tampan jatuh sayang buat dirinya. Walaupun ketika itu Jijah sangat sedar yang dia menyintai tunang orang.
‘’Okey, Encik Fikri.’’ Jijah terus berlalu ke dapur bakeri yang sudah setanding taraf kafe itu.
 ‘’Kak Jee malukan Fik ajelah,’’ gerutu Fikri.
‘’Akak dah tolong kau kompelin pula ya,’’ balas Uji Ramlah geram.
‘’Fik, malulah kak. Fik pernah hina dia. Akak tak ingat ke?’’ balas Fikri penuh rasa malu dan penyesalan.
‘’Fik, maaf itu sentiasa ada untuk insan yang dicintai. Percaya cakap akak. Dah mulakan misi lepas ni,’’ ujar Uji Ramlah lembut penuh maksud mendalam sambil menepuk-nepuk bahu Fikri.
Belum sempat Fikri membalas Jijah muncul dengan minuman yang diminta mereka.
‘’Tak nak pilih makanan ke? Ada roti, kek dan pastri.’’ Jijah menyoal setelah meletakkan gelas dan muk dengan cermat.
‘’Mana boleh tak nak. Akak nak ambillah ni, ‘’ jawab Uji Ramlah dan berlalu ke deretan pelbagai pilihan pastri hasil pembakaran bakeri Jijah Gedempol.
Fikri pula tidak sabar menikmati minuman yang cukup dirinduinya itu. Jijah berlalu ke kaunter untuk melihat pekerjanya melayan pelanggan yang lain.
Fikri merencanakan sesuatu yang penting selepas ini. Misinya harus berjaya.

***
‘’Encik Fikri nak apa hari-hari menempel kat bakeri saya ni?’’ soal Jijah geram kerana setiap hari Fikri akan mengunjungi bakerinya semata-mata mencari peluang untuk berbual-bual dengan Jijah. Coklat panas semestinya mesti dipesan dengan permintaan khas hanya Jijah yang bancuh.
‘’Saya nak bakeri ni, ‘’ jawab Fikri selamba sambil mengekori Jijah yang bergerak ke sana sini dalam bakeri yang sekangkang kera itu.
Jijah yang sedang mengelap penyepit memandang wajah Fikri. ‘’Banyak cantik. Bakeri ni saya punya dan tak akan menjadi hak orang lain,’’ beritahu Jijah sambil mengacu-acukan penyepit plastik berwarna putih itu ke wajah tampan Fikri.
‘’Kalau tuan punya bakeri macam mana?Boleh jadi hak saya?’’ soal Fikri sambil merapatkan mulut ke sisi telinga gadis polos itu.
‘’Itu lagi tak boleh sebab bukan barang jualan ya,’’ jawab Jijah selamba dan bergerak ke bahagian dapur. Fikri mengekori lagi.
‘’Saya bawak jumpa tok kadi ajelah senang,’’ beritahu Fikri sambil sibuk mengacau adunan kek baldu merah yang sudah siap dibancuh oleh pekerja Jijah.
Jijah buat tak dengar. ‘’Encik Fikri ni dah kena pecat ke?’’ soal Jijah selamba. Mahu tak pelik dah seminggu muka dia sahaja yang menyemak di bakeri Jijah.
‘’Saya ambil cuti seminggu,’’ jawab Fikri. Dia membantu Jijah mempaip adunan puff di atas dulang pembakar. Nampak bersahaja dilakukannya. Mengikut spefikasi yang Jijah mahu.
‘’Saya tak mampu nak bayar gaji Encik Fikri setanding gaji CEO encik tu. Gaji kuli batak bolehlah,’’ ujar Jijah selamba dalam keras. Jijah sedang mempaipkan krim kastard ke dalam puff yang sudah sejuk itu.
Fikri sibuk memasukkan adunan kek baldu merah ke dalam cawan kertas. Segala yang dilakukan oleh Fikri tampak bersahaja langsung tidak kekok melakukan semua itu.
‘’Jijah jadi isteri saya. Itu ‘gaji’ saya. ‘’ Fikri membuat permintaan gila sambil memasukkan loyang pembakar ke dalam ketuhar. Dia perlu tebalkan telinga menerima semua itu.
‘’Hello, Encik Fikri ingat isteri tu apa?Barang pertukaran sistem barter?’’ balas Jijah geram sambil tangannya ligat menyusun puff ke atas dulang untuk diletakkan di hadapan.
Tiga orang pekerja Zuraihan, Zainon dan Satinah hanya memandang sesama sendiri dan tersenyum. Geli hati melihat Kak Jijah mereka ‘diayat’ baik oleh Fikri. Mereka ‘bekerjasama’ dengan baik.
‘’Ehea, tolong tengok kat depan kejap,’’ pinta Jijah terhadap Zuraihan yang dipanggil Ehea. Nama manja katanya. Nama manja loghat ‘kelate’.
‘’Okey kak,’’ akur Zuraihan dan membawa krim puff ke hadapan.
‘’Jijah, please be my wife. I really need you as my wife right now.’’ Amboi, encik tampan dah lama tak makan belacan ke? Tebak Jijah dalam hati aje.
‘’Kalau Encik Fikri dah kemaruk sangat nak kahwin lagi, pergilah cari perempuan macam Cik Izreen tu bukan macam saya yang ‘pipit’ ni. Encik layaknya dengan perempuan yang cantik dan langsing belaka bukan macam ‘anak gajah’ ni.’’ Jijah membalas ‘pedas’ umpama memulangkan paku buah kerasnya. Jijah berlalu ke hadapan bakeri untuk melihat pastrinya. Fikri turut mengekori sambil membawa roti berinti kacang merah ke hadapan. Fikri satu-satunya kumbang dalam bakeri itu.
‘’Jijah, saya minta maaf sangat pasal kes dulu. Saya betul-betul menyesal. Benar cakap Iq, ‘idaman’ saya buat saya menderita. Saya pun gagal didik Izreen. Jijah saya dah bersedia nak bergelar suami Jijah,’’ ucap Fikri penuh penyesalan dan pengharapan. Dia betul-betul menderita berkahwin dengan Izreen. Izreen hanya tahu bersosial dan tidak pandai menjadi isteri yang sepatutnya. Selama dua tahun dia berkahwin dengan Izreen jiwa lelakinya tidak tenteram. Telinganya bagai terdengar kata Iqram dan tangisan Jijah.
Jijah memang berhati kering. Langsung dia buat tidak endah dengan buah-buah penyesalan Fikri. Dia bukan Jijah yang dahulu, yang lemah!
‘’Encik Fikri boleh blah dari bakeri ni kalau setakat nak kacau saya. Saya tak perlukan seorang lelaki bernama suami sekarang ni. Saya happy dengan life saya sekarang.’’ Jijah tegas dengan pendiriannya.
‘’Saya betul-betul cinta dan sayangkan Jijah. Jijah tak nak bagi saya peluang?Sebab saya duda ya, itu yang Jijah tak nak kat saya?’’ ujar Fikri mendekati Jijah yang sudah duduk di kerusi yang terdapatnya laptop. Dia mahu membuat kerja pejabatnya seketika.
Dia menghadap laptopnya tanpa menghiraukan Fikri di hadapannya. ‘’Yalah...saya ni anak dara, takkan nak kahwin dengan duda. Tak classlah,’’ jawab Jijah selamba anak badak dengan mata yang tertumpu di skrin laptop Toshiba itu.
‘’Tapi saya duda tak ada anak, Jijah. Tak nak bagi peluang?’’ aju Fikri lagi cuba merayu lagi. Dia mengerdipkan-ngerdipkan matanya. Nampak miang pada orang lain tapi pada Jijah comel!
‘’Peluang apa?Saya tak pernah bagi sesiapa pun peluang. Cukuplah Encik Fikri jangan nak merepek entah apa-apa kat sini,’’ balas Jijah lagi.
‘’Saya nampak dalam mata Jijah masih ada cinta untuk saya,’’ ujar Fikri tiba-tiba setelah mereka berdua diam untuk beberapa minit.
Kata-kata itu menarik perhatian Jijah. Dia menjongketkan keningnya. ‘’Ya ke?Encik Fikri tak nampak ke mata saya penuh dengan cinta buat Encik Iqram?’’ aju Jijah sambil mendekatkan mukanya dengan muka Fikri. Dia merenung mata hazel lelaki itu. Jantung macam nak rebah ke bumi.
Fikri sudah berubah rautnya. Geram nampaknya. ‘’Hai, tadi kata  nak yang teruna aje!Suami orang pulak yang Jijah suka, ya. Tak baik ambil hak orang, Jijah.’’ Fikri mengusik Jijah dalam hati yang sebal. Tidak sangka Jijah menaruh perasaan terhadap Iqram. Cemburu pula rasanya. Mungkin Iqram pernah melayan Jijah dengan baik. Bukan seperti dia, menghina Jijah lagi ada. Jijah jatuh hati sebab Iqram ‘selamatkan’ dia dahulu kot. Berteka-teki Fikri sendiri.
Jijah memuncungkan bibirnya. “Tak apalah, sekurang-kurangnya saya tahu Encik Iqram ikhlas sukakan saya. Jadi bini nombor dua pun tak apa,’’ balas Jijah berani padahal dalam hati, minta simpang malaikat 44!Tak sanggup nak hidup bermadu!
‘’Jijah, jangan bohong saya! Saya tahu Jijah bukan perempuan macam tu,’’ tukas Fikri lembut tapi tegas.
Jijah terpegun dengan kata-kata Fikri. “Jijah dulu mungkin kot. Jijah sekarang tak kisah janji lelaki tu sayang dia.’’ Jijah membalas selamba dan bersahaja.
Fikri mengigit bibirnya. Dia tahu dia perlu sabar. Misinya untuk memetik cinta Jijah kembali semakin kemuncaknya. Sudah enam hari dia menjadi penyibuk di bakeri Jijah ini.
‘’Saya pun sayangkan Jijah. Sayang sangat-sangat!’’ ucapkan Fikiri beria-ia.
Jijah buat muka selamba. Matanya tetap diskrin komputer ribanya. Bukan buat kerja pun, tengok news feed dekat Facebook adalah!
‘’Sayang Encik Fikri tu boleh dijual beli.Palsu semua tu,’’ balas Jijah geram.
‘’Saya akan buktikan saya sungguh-sungguh sayangkan Jijah. Saya nak Jijah terima saya sebagai suami Jijah.’’ Fikri bersuara penuh yakin.
‘’Alah, piraahh...’’ balas Jijah selamba dengan tangan kanannya diangkat.
‘’Okey baik. Tak nak percaya ya?Tunggu esok,’’ ujar Fikri tenang. Dia kemudian bangkit dan berlalu keluar dari bakeri Jijah. Sebelum beredar dia tunggu juga Jijah memandang dia. Namun, hampeh sikit pun tak toleh!
“Kak Jijah, kenapa keras sangat hati tu?Kesian Encik Fikri tu. Dah berapa hari dia tak kerja semata-mata nak lamar Kak Jijah jadi isteri dia,’’ tegur Satinah lembut setelah puas memerhati Jijah yang menjual mahal langsung tak mahu bagi diskaun.
‘’ Kak Jijah ke yang suruh dia cuti?Tak kan?Kalau Tinah kesian sangat dengan dia, pergi ajak dia kahwin.’’ Jijah membalas selamba lalu berlalu ke kaunter apabila melihat dua orang pelanggan mula mengambil dulang dan memilih roti.
Satinah mecebikkan bibirnya.’’Dia nak kahwin dengan Kak Jijah bukan dengan Tinah. Akak tengoklah tadi betapa sweetnya dia tolong akak kat kitchen. Nampak bersahaja langsung tak kekok!’’ puji Satinah cuba mengumpan Jijah.
Jijah buat muka selamba. Dia mengelap meja kaunter. Malas melayan. ‘’Dah, pergi tengok oven. Karang hangus pulak roti. Akak denda nanti,’’ arah Jijah sempat ‘mengugut’ Satinah.

*** 

Hari esoknya Jijah mulakan seperti biasa. Dia langsung tidak memikirkan soal Fikri. Bagi dia Fikri hanya mengacau hidupnya. Dia tidak langsung berasa lelaki itu serius dan bersungguh-sungguh.
Jam sudah menunjukkan tepat pukul 3.00 petang. Dia tertunggu juga jikalau Encik Fikri mahu menempel lagi di bakeri ini.
‘’Assalamualaikum.’’ Terdengar satu suara memberi salam.
Jijah yang sedang mengatur-atur pastrinya menjawab salam tanpa memandang. ‘’Waalaikumussalam. ‘’
‘’Boleh aunty nak jumpa Jijah?’’ pinta wanita yang anggun berbusana baju kurung dan bertudung Fareeda.
Jijah terkedu apabila wanita itu mengenalinya. Mesra pula tu menyapanya. ‘’Maaflah ya. Boleh saya tahu, puan ni siapa?’’ aju Jijah lembut dan mesra. Dia mengukir senyuman manis buat wanita anggun itu. Dia menyambut huluran tangan itu dan tunduk mencium tangan itu.
Wanita anggun itu tersenyum. ‘’Aunty ibu Fikri.’’ Jawapan wanita itu menyebabkan rasa amarah menampar dada Jijah. Nampaknya lelaki itu ‘main kotor’ kerana menggunakan ibunya.
Dia menahan rasa dan cuba sedaya upaya untuk melayan kedatangan wanita itu dengan cara yang baik. Orang datang cara baik, kita layan dengan baik.
‘’Encik Fikri ke yang suruh puan datang sini?’’ tebak Jijah.
‘’Aunty datang sini sebab nak pinang sendiri bakal isteri Fikri. Aunty memang dah tak sabar nak tengok Fikri bertemu jodoh lagi. Umie Azizah sudi tak jadi isteri kepada Fikri sekaligus anak perempuan buat aunty?’’ aju Datin Kamalia lembut.
Ketika itu mereka berdua sudah melabuhkan punggung di kerusi kayu itu. “Maaf ya, aunty. Saya rasa puan tak kenal siapa saya dulu,’’ balas Jijah lembut.
Datin Kamalia tersenyum sahaja dengan jawapan ‘menolak’ gadis itu.
‘’Aunty minta maaf pasal Fikri, Jijah. Aunty tahu apa yang berlaku dulu. Aunty tahu segalanya pasal Jijah. Aunty terima Jijah sebagai anak perempuan aunty seadanya Jijah. Jijah terima Fikri ya.’’ Datin Kamalia bertutur lembut. Ternyata sifat keibuan wanita separuh abad itu terserlah.
Datin Kamalia mengambil tangan Jijah. Dia genggam tangan itu erat. ‘’Maaf ya, aunty. Saya tak boleh terima Encik Fikri. Saya dah ada pilihan saya sendiri.’’ Jijah bersuara yakin.
‘’Jijah, terima ajelah pinangan tu. Jijah, tak baik menipu orang.’’ Tiba-tiba suara itu menjengah.
‘’Mak...’’ panggil Jijah lemah. Terkejut dengan kedatangan ibunya.
‘’Jijah, jangan nak banyak songeh lagi ya. Mak dah terima pun pinangan daripada pihak Fikri. Kamu jangan nak membantah lagi. Keputusan mak muktamad. Tak ada talian hayat!’’ Puan Hanum menggunakan kuasa vetonya sebagai ibu. Dia muncul di bakeri itu pun bersama Datin Kamalia.
Jijah melepaskan genggaman Datin Kamalia. Dia berdiri menghampiri ibunya yang berada di pintu masuk itu. Mujur tiada pelanggan ketika itu.
‘’Mak, kenapa buat Jijah macam ni? Mak belakangkan Jijah tahu tak. Ini masa depan Jijah,’’ rayu Jijah sambil memaut lengan Puan Hanum.
Puan Hanum mengeraskan tubuh sederhananya. ‘’Kalau nak tunggu Jijah bawa calon menantu buat mak, jangan haraplahkan. Kami dah tetapkan. Lagi tiga bulan kamu dan Fikri akan disatukan,’’ beritahu Puan Hanum. Datin Kamalia tersenyum gembira, namun terselit rasa kasihan buat Jijah. Tapi hati tuanya tahu Jijah dan Fikiri ada ‘rasa’ itu.
Jijah sudah muncung sedepa. Dia melangkah menolak geram pintu kaca bakerinya itu. Nah, jelas dihadapannya Fikri yang sedang menyandar gembira di tepi Mazda X5 itu!
‘’Encik Fikri guna cara ‘kotor’ ya?’’ sergah Jijah geram.
Fikri mendekati Jijah yang cantik berblaus muslimah bercorak abstrak dan pashmina itu. Cantik dan manis. Luarannya tampak lembut sekali ‘menghembus’ Fikri, hilang terus kelembutan dan keayuan.
‘’Saya dapatkan Jijah cara yang betul. Kalau saya ‘noda’ Jijah, itu baru cara kotor, sayang. Lagi pun Jijah ingat selama ini saya main-mainkan? Saya serius untuk memperisteri Jijah. Jijah aje yang buat tak faham,’’ jelas Fikri lembut namun tegas.
Tersentak Jijah dengan kata-kata Fikri. ‘’Saya ada haklah nak batalkan semua ni,’’ ujar Jijah tak mahu angkat bendera putih lagi.
Fikri hanya tenang. Dia tahu gadis dia itu bukannya seperti  gadis-gadis lain yang ‘lemah’. Gadisnya ini ‘brutal’ sangat.
‘’Jijah nak buat apa?’’ soal Fikri dengan merapatkan bibirnya ditelinga Jijah yang ditutupi pashmina itu.
‘’Adalah,’’ jawab Jijah selamba.
Fikiri tersengih. Dia tahu apa yang berada di dalam perkiraan gadisnya itu.
‘’Jijah nak lari ya? Saya ikut tau,’’ tebakkan Fikri mengena!
Jijah sudah merona wajahnya menahan geram. Fikri ketawa ‘menang’.
‘’Jijah, terimalah saya jadi suami Jijah. Saya tak berani janji tapi saya akan berusaha menjadi suami yang baik seperti yang Jijah idamkan. Insya-Allah sayang kita bina ‘jannah’ dalam rumah tangga kita ya nanti. Saya janji saya akan pimpin Jijah ke jalan yang benar. Jijah pun dah permudahkan jalan saya dengan menutup aurat dengan sempurna. Jijah cuba lembutkan hati ya, sayang. Jijah lari macam mana pun, saya percaya Jijahlah tulang rusuk saya yang selama ini hilang.’’
Terpana Jijah dengan taburan keyakinan daripada lelaki itu. Jijah tidak menjawab sepatah pun dan memusingkan tubuhnya lalu menolak pintu bakerinya.
Fikri tersenyum lega. Dia telah berusaha sedaya upayanya untuk mengambil gadis itu menjadi yang halal buat dirinya. Gadis yang meninggal kesan mendalam dalam hidupnya.

***
Jijah meraupkan kedua-dua belah tapak tangannya ke muka setelah mengaminkan doa yang dipadu oleh suaminya. Encik Fikri lah suami Jijah! Ya, betul inilah malam pertama mereka! Ehem...suka ya! he he he...
‘’Abang, terima kasih sebab sudi ambil Jijah jadi isteri abang. Terima kasih sebab boleh terima Jijah yang serba kekurangan ni, ‘’ ucap Jijah sambil mengucup tangan kasar lelaki itu. Tangan lelaki yang bakal mencoret mimpi bersamanya.
‘’Sama-sama,sayang. Sayang cukup sempurna dimata abang. Abang pun tak sempurna, sayang. Sebab itulah Allah temukan kita supaya kita sedar tiada pasangan suami isteri yang sempurna sayang kerana perlu melengkapi antara satu sama lain. Terima kasih banyak-banyak sayang sebab tak lari masa wedding kita hari ni,’’ balas Fikri sempat mengusik isterinya. Dia mengucup dahi luas isterinya. Dikucup kedua belah pipi gebu itu. Rasa cinta dan sayangnya buat wanita itu cukup menggebu.
Jijah menarik muncung dan memaut lengan suaminya yang sudah bersila di sebelahnya. Dia melentokkan kepalanya dibahu suami tercinta. Tercinta sudah Jijah dengan Fikri, ya? he he he... Cinta yang kian mekar setiap detik dan saat.
Orang tua kan dah kata, hati perempuan inikan macam kerak nasi. Kalau dah direndamkan dengan kasih sayang dan cinta pastilah lembut. Begitu gigih Fikri melembutkan hati keras Jijah. Pelbagai dugaan yang mereka tempuhi tiga bulan sebelum majlis dengan kemunculan Izreen yang cuba menggoyahkan keyakinan yang telah Jijah semai dalam hatinya untuk Fikri. Mujurlah Fikri kuat menanganinya.
‘’Boleh abang tahu sebab apa Jijah sukakan abang dulu?” aju Fikri mengenai perkara yang telah lama melingkari fikirannya. Dia sebenarnya terpana dengan luahan jujur Jijah dalam diari gadis itu. Dia ‘cair’ dengan apa yang ditulis oleh Jijah, namun egonya tercabar kerana gadis yang menyukainya ialah gadis yang gemuk lagi gedempol! Tapi itu dulu, sekarang ni jiwa dan raganya hanya untuk isterinya yang cantik itu. Ya, Jijah sangat cantik dan sempurna dimatanya kini. Apabila kali pertama melihat isterinya tanpa tudung, barulah dia mengakui ‘nikmatnya’ memiliki isteri yang menjaga aurat dengan sempurna.
‘’Abang tak ingat ya?’’ aju Jijah sambil mengusap-usap pipi kiri suaminya manja. Ketika itu mereka menyandarkan tubuh mereka pada katil. Fikri memaut mesra bahu Jijah dan Jijah juga berbuat begitu.
Fikri mengerutkan dahinya. Dia menggelengkan kepalanya. ‘’Abang ingat tak pertama kali Jijah kerja dekat office abang, abang tolong Jijah masa Jijah tergelincir. Wah, masa tu Jijah terus jatuh cinta dengan abang!’’ cerita JIjah dengan tersipu-sipu.
Berkerut-kerut dahi Fikri. Akhirnya dia baru teringat. ‘’Sebab itulah Jijah sedih bila abang hina Jijah dulu. Penghinaan daripada orang yang kita cinta dan sayang amat menyakitkan, bang.’’ Jijah menyambung sayu.
Fikri memusing tubuhnya. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di bahu Jijah. ‘’Maafkan abang, sayang. Abang dah banyak lukakan Jijah,’’ucap Fikri jujur dan telus.
Jijah mengambil tangan Fikri. Dia tersenyum manis.‘’Abang, maaf itu sentiasa ada untuk insan yang dicintai. Jijah cuma nak kita bina rumah tangga kita aje sekarang ni. Jijah nak abang yang akan jadi pelindung dan penguat dalam hidup Jijah selepas mak. Abang, Jijah tak ada tubuh dan wajah yang cantik, tak ada kulit yang putih gebu, tak ada pelajaran yang tinggi tapi Jijah hanya ada sekeping hati yang tulus dan ikhlas untuk menjadi seorang isteri yang setia dan pendamping hati serta hidup abang. Isteri yang bakal menempuh segala susah dan senang bersama abang, InsyaALLAH. Terimalah segala kekurangan dan kelebihan Jijah, bang. Abang bantulah Jijah perbaiki diri Jijah.’’ Jijah berujar lembut dan sayu. Air mata gembira, kesyukuran dan pengharapan mengalir di pipi tembam itu.
Fikri terpaku dengan luahan ikhlas wanita yang bergelar isterinya kini. Wanita yang sudah bertahun dia cari untuk dirayu kemaafan dan menggapai peluang. Alhamdulilah Allah memperkenankan segala permintaan dan pengharapannya untuk hidup bersama Jijah. Air mata lelakinya menitis.
Fikri mengusap kedua-dua belah pipi isterinya. Ubun-ubun isterinya yang tidak ditutupi sebarang kain, dikucupnya. Kucupan itu bergerak ke dahi dan kedua-dua pipi isterinya.
‘’InsyaALLAH, sayang. Kita bina ‘jannah’ dalam masjid kita ni ya. Abang dah belajar daripada kenangan lalu. Semua itu bukan ukurannya sayang. Seorang lelaki yang ikhlas mencintai wanita tidak mempertikaikan perkara itu. keikhlasan dan keluhuran hati isterilah yang diperlukan oleh seorang suami, sayang. I love you so much, sayang. InsyaALLAH, cinta dan kasih sayang abang untuk sayang tak akan berhenti. InsyaALLAH abang akan menjaga dan melindungi sayang sebaik mungkin.’’ Fikri membalas lembut. Dia merenung dalam mata bundar milik isterinya.
Jijah merenung dalam mata persis mata yang dimiliki angkasawan negara. ‘’Jijah pun cintakan abang sangat-sangat. Daripada dulu,kini dan insyaALLAH untuk selama-lamanya,’’ ucap Jijah manja sekali.
Fikri tersenyum gembira dengan ucapan isterinya. Ucapan yang cukup yang dia nanti selama tiga bulan dahulu. Akhirnya malam pertama mereka bergelar suami isteri barulah isterinya mengucapkannya.
‘’Terima kasih, sayang. Ermm...apa kata kita merancang mengembangkan empayar Fikri Azidan dan Umie Azizah sekarang...’’ ujar Fikri dengan mengenyitkan mata kanannya.
Jijah mengerutkan dahi. ‘’Abang nak kembangkan bakeri Jijah, ya?’’ aju Jijah teruja.
Fikri tersenyum. ‘’Ya, itu semestinya sayang. Tapi abang rasa nak bagi badan Jijah kembang sikit lepas ni sebab nak ‘wujudkan’ Fikri Azidan Junior dan Umie Azizah Junior. Barulah ‘empayar’ kita berkembang, sayang.’’ Beritahu Fikri bersahaja dan bersungguh-sungguh.
Jijah buat muka tidak faham.’’ Oh...’’ itu sahaja balasannya.
Fikri menghela nafas panjang. Nampaknya isterinya buat-buat tidak faham. Misi menggoda perlu dijalankan.
‘’Assalamualaikum, abang.’’ Terkejut besar Fikri apabila Jijah mendekatkan bibirnya di telinganya. Fikri tersenyum gembira dan sangat teruja.
‘’Waalaikumussalam, sayang. Pandai ya kenakan abang. Nakal isteri abang ni!’’ balas Fikri dan menarik tubuh sederhana isterinya itu dan dipeluk erat. Jijah ketawa kecil. Dia mahu membawa isterinya ke syurga mereka. Bahagia milik mereka.
                               
                                                                                TAMAT

Alhamdulilah, syukur ke hadrat ALLAH S.W.T. yang memberi ilham buat saya untuk menghasilkan cerpen yang ringkas ini. Sebuah kisah di celah-celah kehidupan. Mungkin ‘fairytales’ semata-mata namun apa yang saya mahu bawakan di sini, siapa pun kita, apa pun fizikal kita, kita tak patut dihina mahu pun dicerca. Sesungguhnya bahagia itu milik kita. CInta itu tidak memandang kesempurnaan tetapi bagaimana kita mengemudikannya agar cinta itu sempurna untuk kita. Isterinya yang setia itu mahal harganya! 

12 comments:

  1. nape macam tergantung je ni.. ke ada sambungan lg..

    ReplyDelete
  2. sambungla lagi..teringin nak tahu kesudahannya....

    ReplyDelete
  3. bestttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttttt

    ReplyDelete
  4. Tq Iman lily..x sgka nma akak ada dlm ini cerita
    Jd assist jijah kt bakery.
    He he btw best cerpen Ni.

    ReplyDelete
  5. 'Jijah' kt sini menatap nukilan d tepi katil smbil teresak prlhan...ada some part yg ada jgk trjdi spnjang prjlnan meniti dewasa ini...tq k.iman...cita yg besssstt sngat pd sy... *still in tears*

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum, suka sangat dengan jalan ceritanya. good job sis!

    ReplyDelete
  7. Hi,
    semua! ;) jutaan terima kasih kpd kwn2 dan kakak2 yg sudi membaca dan
    menghadam cerita Jijah Gedempol! sekiranya suka, iman tambah lagi lemon2
    terima kasih ya ;) yg baik harapnya bersama-sama kita jadikan tauladan
    dan yg buruk jgn sesekali kita ikuti ;) sesungguhnya yg baik dan
    sempurna itu dtgnya drpd Allah s.w.t dan yg buruk dan serba comot itu
    dtgnya drpd iman lily sendiri :) maaf segala kekurangan dlm cerpen ini
    :) terima kasih byk2 ya sayang2 ;) syg kamu semua ;)

    ReplyDelete
  8. Best Iman.. thumbs up.. tulis cerpen lagi yer.. :)

    ReplyDelete
  9. wow sangat berbakat dan sangat rajin menulis

    Jom kita makan Minyak Ikan

    ReplyDelete

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)