Pages

welcome


Sunday, March 2, 2014

PROJEK ENOVEL KTI...BAB 14

Bab 14
Malam itu, setelah menikmati makan malam dan mengemas dapur Munirah merebahkan tubuh langsingnya di atas katil bertiang empat buatan kayu jati itu. Lega rasanya dapat merehatkan diri. Penat melayan ibu mertua dan adik iparnya masih terasa, maklumlah kena berlakon jadi pasangan yang gembira dan reda dengan jodoh yang ditentukan oleh orang tua. Ya Allah, ampunkanlah dosa aku sebab berlakon depan mak mertua aku, doanya kudus. Sungguh penat berlakon! Tak suka tapi terpaksa. Lakonan yang dimulakan oleh suaminya.

          Sedang seronok melayan perasaan sendiri,  bunyi telefon bimbit berjenama Samsung itu mematikan segala lamunannya. Tertera nama sahabat baiknya, Aisyah. Tersenyum manis dan gembira melihat nama kesayangannya pada skrin telefon pintar itu.
          ‘’Assalamualaikum, Puan Munirah Haron.’’ Aisyah menyapa mesra sekali dalam nada  mengusik.
          ‘’Waalaikumussalam, Cik Aisyah Nordin. Aku dah ada title ‘puan’ kau belum lagi, he he he...’’ jawab Munirah mesra juga. Sempat mengusik Aisyah.
          ‘’Yalah... aku ni tak laku macam kau. Belum apa-apa orang dah sambar!ha ha ha...’’ ketawa besar Aisyah dengan kata-katanya sendiri.
          ‘’Alah, kau tu yang jual mahal dulu. Cikgu Hafiz nak masuk meminang kau, kau tipu dia dah ada tunanglah apalah...’’ Munirah membuka kembali kisah Cikgu Hafiz, guru sandaran yang pernah mengajar mereka ketika di tingkatan 6 Atas  yang kini bertugas sebagai peguam di sebuah syarikat pembinaan. Lelaki itu bertindak sebagai pegawai undang-undang bagi syarikat itu. Peguam yang akan menjadi pemerhati dan juga penyedia bagi setiap kontrak perniagaan.
          ‘’Kau ni...jangan sebut nama dia lagilah tension aku ingat ‘orang tua’ tu...’’  larang Aisyah. Kalau boleh dia tidak ingin langsung mengingati bekas gurunya itu. Lagikan pula, dia tidak pernah menyimpan sezarah pun perasaan terhadap Hafiz.
          ‘’Orang tua kau panggil dia?Dia muda lagi tau baru 26 tahun apa kata orang tu, bujang trang tang tang!hahaha...’’ balas Munirah diiringi ketawa terbahak-bahak.
           Mereka jika berbual memang riuh dibuatnya walaupun melalui telefon.  Kalau bertemu tak mungkin sejam pasti berjam-jam. Kalau masing-masing ke rumah salah seorang, mesti dari tengah hari bawa ke lewat petang. Ibu bapa mereka cukup tahu akan keakraban mereka berdua. Bagai isi dan kuku. Persahabatan yang dibina sejak usia tujuh tuhun terus mekar hingga sekarang usia mereka 20 tahun.
          ‘’Dia tetap tua bagi aku!Titik.’’ Aisyah bertutur dengan serius. Tidak tahu mengapa sahabatnya itu sangat membenci Cikgu Hafiz sedangkan lelaki itu punya pakej yang lengkap untuk bergelar seorang suami. Tampan, berpendidikan tinggi, berketurunan baik dan sempurna agamanya.
          ‘’Kira kau kata, laki aku pun tualah ya?’’ tanya Munirah perlahan bunyinya seakan terasa dengan kata-kata Aqmalina.
           Dia tahu beza umurnya dan suaminya, Firas Amsyar ialah lapan tahun. Jarak yang jauh. Sebelum mengambil kata persetujuan untuk menerima pinangan Dato’ Arshad dan Datin Nora, dia ada terfikir beza usia antara dirinya dan Firas Amsyar. Tapi mengenangkan itu semua hanya angka. Dia fikir mungkin dengan jarak usia yang jauh,  Firas Amsyar akan dapat menerima dirinya namun, semua itu hanya angan semata-mata. Kata-kata amaran suaminya pada malam pertama perkahwinan  mereka dirumahnya tak akan dilupakan buat selama-selamanya. Sampai mati pun dia akan ingat.
          Aisyah menggigit bibirnya sendiri. Dia akui bibirnya itu memang tidak makan saman kalau bercakap, laju sahaja. Mulutnya memang macam bertih jagung. Kata orang mulutnya itu  macam Sharifah Shahira, pengacara terkenal itu. Kelemahnya ialah cakap dahulu baru fikir. Inilah akibatnya.
           ‘’Laki kau lainlah...dahlah handsome anak orang kaya pulak tu. 28 tahun tak adalah tua sangat,’’ pandai Aisyah mengatur susun katanya.
          ‘’Pandailah kau. Dah 28 tahun tak tua ke tu?Yang kaya bapa dia, bukan dia.’’ Munirah membalas selamba.
          ‘’Taklah. Lelaki umur macam inilah yang paling sesuai untuk dia orang kahwin. Dah matang dan stabil dari segi ekonomi. Alah, harta bapa dia kalau tak turun pada dia nak bagi pada siapa? Anak sulung pula tu,’’ sanggah Aisyah panjang lebar.
          ‘Amboi, makcik ni kalau bercakap kalah pakar motivasi!’,bebel Munirah dalam hati.
          Munirah sudah mencebikkan bibir. ‘’ Aku kahwin dengan dia bukan sebab harta. Aku kahwin dengan dia sebab aku kasihankan mak dan ayah aku. Malu dia orang kalau aku tolak pinangan itu. Mereka dah terhutang budi aku ni anak kenalah berkorban sikit. Walaupun aku tahu pengorbanan aku ni akan mencampakkan aku dalam kehidupan rumah tangga yang tak pasti. Aku tak pernah terfikir pun akan bertemu jodoh dengan cara macam ini.’’ Munirah meluah rasa hatinya yang tiada sesiapa mengetahuinya kecuali Dia.
          Entah sebab apa malam ini bibirnya ringan meluahkan rasa dihati. Tidak perasan tubir matanya sudah bergenang. Sejak bergelar isteri orang ini jiwanya begitu sensitif mudah benar hatinya tersentuh. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkahwinannya. Agaknya betullah kata orang, apabila seseorang perempuan itu bergelar isteri jiwanya lebih sensitif. Walaupun perempuan tersebut  seorang yang nampak keras daripada luarannya.
           Asyik-asyik tersentuh walaupun kadang-kadang sesuatu perkara itu nampak remeh dasarnya. Menjadi seorang isteri itu perlu ada rasa sensitiviti sebab dalam menjalankan tanggungjawab nilai kasih sayang dan perasaan perlu kuat sebab wanitalah tulang belakang dalam pembinaan sebuah keluarga yang berkat, mawaddah dan waramah. Isteri yang sensitif boleh memahami gerak zahir dan batin suami dan anak-anak.  Itulah kelebihan yang ALLAH S.W.T kurniakan kepada kaum hawa.
          Terdiam Aisyah mendengar luahan yang lembut tapi penuh dengan maksud yang mendalam berserta emosi. Dia turut bersimpati dengan takdir sahabatnya itu. Sebagai sahabat dia hanya menyokong apa sahaja yang dibuat oleh sahabatnya. Dia tahu, dia merupakan sebahagian kekuatan Munirah. Kasih sayang mereka berdua bagaikan ada aliran darah yang sama dalam tubuh mereka. Instinct mereka berdua kuat. Ikatan kimia dalam persahabatan itu bagaikan bersifat relatif yang tidak boleh dipisahkan lagi. Ketika zaman persekolahan mereka, ramai yang mencemburui persahabatan mereka berdua.
          ‘’Irah, kau sabar ya. Aku tahu jodoh kau memang dengan Firas Amsyar cuma cara kau berdua disatukan itu yang sukar untuk diterima oleh kau orang berdua. Aku percaya satu hari nanti pasti ada kebahagian buat kau orang. Dahlah... chill lah babe. Don’t be sad, darling, Because I’’ll always be on your side.’’Aisyah bertutur dengan  penuh semangat bagai menyalurkan aliran semangat dalam diri Munirah.
          Munirah terharu dengan kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Aisyah. Semakin bertambah sayangnya buat Aisyah. Bibirnya mampu mengukir senyuman walaupun tawar dan tiada perisa.
          ‘’Kalau betul ini jodoh aku harapnya berkekalan, ya. Terima kasih, Syah sebab kau sentiasa ada di sisiku  aku selama ini. Aku sayang kau plus plus plus, okey! He he he..’’ Munirah sudah kembali ceria. Munirah ini memang seorang pelik sebab moodnya akan cepat berubah. Kalau tengah-tengah sedih dia masih mampu mengeluarkan tawa.
          Ketawa kecil Aisyah mendengarnya. ‘’Plus, plus, plus kau ingat ini result SPM ke? Suami kau mana? Dia baik tak dengan kau?’’ tanya Aisyah cuba mengetahui perkembangan kehidupan suami isteri itu.         
          Munirah yang sedang menyelak majalah INTREND yang baru sahaja dibelinya tengah hari tadi ketika ke Pasar Kip Mart menghentikan gerakan jari-jemarinya. Apabila Aisyah menyebut tentang Firas Amsyar, moodnya terus berubah. Sakit hatinya dengan sikap hipokrit lelaki itu terhadap dirinya apabila bersama keluarga mertuanya. Berpura-pura melayannya dengan baik bagaikan dialah suami mithali. Munirah tertekan dengan semua itu. Dia tidak pernah terfikir mimpi ngeri ini akan berlaku dalam hidupnya. Bersuamikan  lelaki yang tidak menyintai dan menyayanginya umpama menjerat dirinya sendiri.
          ‘’Dia ada kat hall tu tengok tv. Baik? Bolehlah...cuma kita orang macam orang asinglah. Kau jangan tanya pasal dia boleh tak? Menyampahlah aku dengan ‘harimau jadian’ itu. Asyik tunjuk muka berlagak dan garang semacam dengan aku. Macam aku ini pula yang terhegeh-hegeh nak kahwin dia. Dia ingat aku suka sangat tengok muka dia. Nasib baiklah handsome. Tak adalah sakit hati sangat. Kalau muka macam pecah rumah confirm I tak setuju you nak kahwin dengan dia! Ha ha ha....’’ cerita Munirah riuh disusuli dengan ketawa nakalnya. Riuh sungguh perbualan dua sahabat itu bagaikan bertemu empat mata. Padahal, hanya melalui corong telefon.  
          Aisyah sudah terbahak-bahak ketawa. ‘’ Kau panggil dia ‘harimau jadian’?” tanya Aisyah lagi dengan ketawa yang masih bersisa. Sakit perutnya menahan gelak.
          ‘’Sesuailah tu dengan perangai dia,’’ jawab Munirah selamba. Tangannya mengurai-uraikan rambut panjangnya yang melepasi bahu itu.
          ‘’Amboi, kutuk laki sendiri ya!’’ usik Aisyah lagi.
          Munirah bangun daripada pembaringannya. Dia bergerak ke hadapan meja solek sambil melihat pantulan wajahnya pada cermin. ‘Hai, muka macam ni pun suami tak berkenan juga!’ Sempat Munirah bermonolog sendiri. Rambut panjangnya disikat untuk melancarkan peredaran darah dikepalanya.
          “Bukan kutuk tapi mengata!’’ seloroh Munirah diiringi ketawa kecil.
          ‘’Samalah tu Puan Munirah.’’  Aisyah mengenakan sahabat baiknya itu.
          ‘’Dahlah... tak nak cerita lagi pasal ‘harimau jadian’ tu ya. Aku rindu kaulah. Kau tak rindu aku ke? Jom, ronggeng!’’  ujar Munirah dengan suara manjanya. Dia mengubah topik perbualan mereka. Dia mahu mengajak sahabat baiknya itu keluar bersama. Istilah ‘ronggeng’ diguna pakai oleh mereka berdua selama ini.
          ‘’Hai, dah ada suami pun rindu kat aku jugak ke?he he he. Rindulah, babe. Mahu tak rindu kat kau. Dah lama kita tak jumpa sejak kau jadi Mrs. Firas.  Aku free aje maklumlah penanam anggur macam aku apalah yang sibuk.’’ Aisyah mengambil keputusan untuk membantu ibunya yang berniaga di gerai yang terdapat kampung mereka  sahaja semasa menunggu keputusan STPM. Lagikan pula ibunya memberinya gaji. Sama juga gayanya kalau dia makan gaji dengan orang lain. Menolong ibunya lagi mendapat pahala. Punca rezeki mereka sekeluarga juga setelah kematian ayahnya akibat kemalangan jalan raya.
          ‘’Dah kau kawan baik aku tak akan tak rindu. Suami tetap suami.  Kita jumpa ya nanti apa-apa hal aku roger kau ya. Okeylah, aku nak solat isyaklah dah lewat dah ni. ’’ Munirah meminta untuk mengakhiri perbualan mereka kerana dia masih belum menunaikan solat isyak setelah mengemas dapur tadi. Waktu Isyak sudah masuk hampir setengah jam yang lalu.
          ‘’ Okey nanti kau roger aje aku. Kau solatlah ya, aku cuti. Assalamualaikum. ‘’ Aisyah mengakhiri perbualan mereka malam itu.
          Setelah meletakkan telefon bimbitnya di atas meja solek buatan kayu jati itu dia terus  menuju ke bilik air yang terdapat di luar bilik itu . Wuduk diangkat, telekung dipakai dan terus menunaikan kewajipan kepada Yang Maha Pencipta.
***
Munirah cuba memberi kosentrasi yang terbaik dalam sujudnya kepada PENCIPTA. Hanya solat yang mampu menghilangkan segala duka dalam dirinya. Solat merupakan hubungan intim antaranya dan DIA. Dalam solatnya dia memanjatkan doa kudus agar segala dosanya diampunkan oleh-NYA. Dia masih ingat ketika usianya sembilan tahun, ustazah sekolah agamanya telah mengingatkan dia dan kawan-kawannya agar memulakan doa tentang jodoh seawal usia masih kecil kerana doa yang diulang-ulang itu pasti dikabulkan Allah s.w.t. DIA telah berjanji kepada hamba-NYA setiap doa itu pasti AKU kabulkan dengan syarat kita sebagai hamba-NYA perlu istiqamah dalam berdoa.
           Bermulalah saat itu, setiap kali lepas solat fardu  Munirah pasti berdoa agar jodohnya dipermudahkan dan seterusnya ‘dikirimkan’ dengan suami yang soleh, beriman dan berakhlak baik. Tidak disangka jodohnya telah dipermudahkan dengan cara yang dia sungguh tidak percaya.
          Walaupun suaminya bukan seperti dia harapkan namun, dia percaya setiap wanita memang diuji dengan jodoh. Ini kerana, mengikut pemerhatiannya ada wanita yang lambat dapat jodohnya tetapi mendapat suami yang sangat baik dan soleh. Ada wanita pula, jodohnya cepat tetapi diuji pula dengan suami yang cukup menguji kesabaran dan kesetiaan seorang isteri. Mungkin suami itu ujian buat perempuan yang solehah.
          Ujian yang Allah beri buat hamba-NYA  dalam pelbagai cabang sama ada dalam bentuk kewangan, jodoh dan kesihatan. Ada orang yang diuji dengan kesihatan tetapi memiliki seorang suami yang sangat baik. Mungkin betullah kata orang, soalan peperiksaan seorang hamba itu berbeza mengikut tahap keimanan dan kesabaran mereka.
           Walaupun Firas Amsyar bukanlah suami yang kelihatan soleh dan alim luarannya. Suaminya itu telah mengimamkan solat maghrib ketika mereka berada di rumah keluarganya pada malam pertama mereka. Itulah yang diberitahu oleh Kak Maria dan Mazni. Begitu juga di rumah  keluarga mertuanya setelah selesai majlis resepsi pihak lelaki di Persada Johor, Johor Bahru. Tersentuh Munirah kerana tidak sangka suaminya itu mampu menjadi seorang imam.
          Munirah percaya dia merupakan insan yang Allah s.w.t pilih untuk menghadapi ujian rumah tangga yang sebegini rupa. Diuji dengan suami yang tidak dapat menerima dirinya dengan sepenuh hati dan langsung tidak menyayangi dirinya apatah lagi menyintainya dengan sepenuh jiwa raganya.
          ‘’Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim...kau ampunkanlah segala dosa-dosaku. Sesunguhnya aku ini pendosa Ya Allah. Aku ini hamba Engkau yang sentiasa khilaf dan menzalimi dirinya sendiri dengan melakukan pelbagai dosa kecil mahupun besar. Ampunkan aku Ya Allah. Kasihani aku dan rahmati aku Ya Allah.
          Ya Allah, kau ampunkan dosa kedua-dua ibu bapaku dan mertuaku. Ya Allah, kau ampunkan dosa suamiku. Kau kurniakanlah kepadanya rasa cinta dan kasih kepada diriku ini yang bergelar isterinya. Kau lembutkan hatinya agar dia boleh menerima diriku dan keluargaku sedanya kami seperti mana aku menerima dan dia dan keluarganya.
          Ya Allah, jika benar dia jodoh yang kau tuliskan diluth mahfuzku, kau panjangkan jodoh kami dan kukuhkan ikatan kami suami isteri.Ya Allah, kau terimalah doaku. Ampunkan aku Ya  Allah......’’ panjang doa yang Munirah sebutkan dalam permohonan kudusnya terhadap yang Maha Esa sebegitu juga tinggi harapannya dalam masjid yang dibinanya bersama Firas Amsyar. Setelah itu,  dia meraupkan tangan ke  seluruh wajahnya. Lapang dadanya seakan terlepas sedikit rasa beban dihatinya.
          Munirah bangun sedikit untuk mencapai tasbih yang berada di atas meja lampu tidur itu. Dia berzikir memuji-muji nama Ilahi. Damainya mengkhalawatkan diri bersama PENCIPTA.
          Hari itu, genap empat belas hari dia bergelar isteri kepada Firas Amsyar. Terasa cepat sungguh masa berlalu. Dia membelek-belek  cincin perkahwinan yang diperbuat daripada emas putih dan bertatahkan berlian itu yang dipakai cantik dijari manis tangan kanannya. Seakan terasa tangan kasar suaminya menyarungkan cincin itu ketika upacara pembatalan air sembahyang yang berlangsung di pelamin mini yang dibuat khas untuk akad nikah.
          Ketika itu betapa sejuknya tangan Munirah  kerana itulah buat pertama kali dalam hidupnya jari-jemarinya dipegang oleh lelaki yang bukan mahramnya. Kucupan yang dihadiahkan oleh Firas Amsyar di dahinya  walaupun nampak seperti terpaksa dan seperti tiada perasaan namun, terasa kasih sayang lelaki itu buatnya. Ketika lelaki itu meletakkan tangan kanannya diubunnya dan mengikut doa yang diajar oleh tuk kadi, dia berasa sungguh bahagia.
          Setelah dia bergelar isteri, Munirah berasa sungguh gembira walaupun dia tahu dia bukan berkahwin dengan orang yang menyayangi waima mencintainya kerana dia tidak sabar ingin mengaut ruang-ruang mengumpul pahala. Maklumlah, seorang isteri yang menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Dia sangat yakin itu pencen kuburnya nanti.  Dia sangat bersyukur kerana ada insan yang sudi mengambilnya sebagai menantu walaupun anak lelakinya tidak suka akan perkara itu. Itu bukan masalah bagi Munirah kerana dia sudah mengenali hati budi keluarga mertuanya terutamanya abah dan umi. Mereka sangat baik dan tidak sombong walaupun berada dalam kalangan orang korporat. Sikap low profile mereka cukup menyenangkan hatinya.
***
Firas Amsyar sedang melayani saluran  Box Office di Astro di ruang tamu. Malam itu sekali lagi dia melayan tayangan filem Inggeris yang penuh aksi menyebabkannya melekatkan diri di rumah. Selalunya pada malam minggu begini ada sahaja aktivitinya bersama rakan-rakannya ketika zaman persekolahan dan universiti itu dengan mengajaknya minum bersama dan bermain boling. Kalau tidak pun, mereka akan berjumpa di gim sambil melakukan rutin senaman mereka. Maklumlah semuanya sibuk dengan karier masing-masing. Apabila sesekali berjumpa itulah peluang untuk mereka bertukar cerita terbaharu hidup masing-masing terutamanya perihal karier, cinta  dan keluarga.
          Terdapat beberapa kawan baiknya sudah menjejakkan kaki ke alam rumah tangga sepertinya. Mereka juga tahu akan kisah perkahwinannya dan isterinya yang muda lagi remaja itu, Munirah. Mereka jugalah  yang memberinya sokongan untuk Firas Amsyar melaksanakan niat murni abah dan uminya.
          ‘’Firas, jodoh yang ibu dan ayah carikan ini mesti terbaik. Kau tengoklah aku ni, bercinta bagai nak rak tapi rumah tangga aku cuma bertahan dua tahun aje. Tidak semestinya tak nak pernah sayang tak pernah cinta tak boleh berkahwin.’’ Pandangan yang disuarakan Lukman ketika Firas Amsyar berkongsi perihal rancangan perkahwinannya. Mereka baru sahaja bersenam di gim.
          ‘’Tapi sekurang-kurangnya kau berkahwin dengan orang yang kau sayangkan? Aku pulak perlu kahwin dengan orang yang aku tak pernah suka dan sayang,’’ tukas Firas Amsyar lantang suaranya seolah-olah cuba melepaskan geram.
          Lukman,Kamal dan Wafiy mencurah pandangan antara satu sama lain. ‘’Ya, betul tapi cinta dan sayang sebelum berkahwin yang bagai nak gila pun aku dan Gina bercerai juga. Nasib baiklah kami tak ada anak. Kalau tidak kesian anak-anak kami, ‘’ luah Lukman dalam membidas pernyataan Firas Amsyar. Dia dan bekas isterinya baru sahaja bercerai dua bulan lalu akibat hilangnya rasa cinta isterinya akan dirinya.
          Firas Amsyar yang sedang memainkan gajetnya dengan jari-jarinya membalas lagi.’’Itu sebab kau orang tak bijak tangani krisis rumah tangga kau orang,’’ perli Firas Amsyar.
          ‘’Kami dah cuba Firas tapi nampaknya aku dan Gina memang dah tak sehaluan. Cinta kami yang bertahun tu dah tak ada maknanya. Tiada siapa dalam hidup ni yang berkahwin hanya untuk bercerai hidup melainkan dia orang kahwin sebab MOU,’’ tangkas Lukman membidas hujah Firas Amsyar. Dia bukan mahu membela umi dan abah Firas Amsyar tetapi entah sebab apa hatinya kuat mengatakan bahawa Munirah jodoh yang Allah s.w.t anugerahkan buat rakannya itu. Dia sudah berusaha memenangi hati Gina sama sewaktu dia memikat Gina, ternyata hati Gina mudah digoda oleh lelaki lain. Peluang sewaktu tempoh iddah juga tidak menampakkan hasil. Akhirnya dia akur cinta mereka takat di situ.
          ‘’Aku sokong apa yang Lukman cakap tu, Fir... tiada siapa nak hidup menduda dan menjanda ni. Perit tahu. Aku sendiri macam mana peritnya mak aku besarkan aku lima beradik tanpa bapa aku.’’ Wafiy yang daripada tadi berdiam memerhati mencelah pula.
          Kamal hanya membisu dia tidak mahu campur kerana dia sendiri belum berkahwin. Dia belum layak nak bercakap perihal perkara tersebut. Pastinya Lukman dan Wafiy yang lebih merasa asam garam rumah tangga lebih memahami.
          Firas Amsyar mencampakkan kunci Mazda X6 di atas meja. ‘’Kau orang ni tak support kawan langsunglah!’’ keluh Firas Amsyar. Tiada seorang antara kawannya yang menyokong dia untuk mematikan hasrat umi dan abahnya. Dia sudahlah bengang apabila secara tiba-tiba umi dan abahnya mempersembahkan rancangan ‘membawa’ jodoh untuk dirinya. Lagi bertambah bengang setelah orang tuanya menolak Amelia secara terang-terangan tanpa cuba memberi peluang untuk dirinya membimbing Amelia.
          Lukman, Wafiy dan Kamal selamba menikmati minuman masing-masing. Kamal dengan selambanya menikmati roti tisunya.
          ‘’Kau harapkan kami akan ‘hasut’ kau jangan kahwin dengan Munirah?Macam tu ke Firas?’’ aju Wafiy. Lukman dan Kamal juga mengeyakan pernyataan Wafiy dengan mengangguk-anggukkan kepala masing-masing.
          Firas Amsyar mengusap-usap tengkuknya dengan tangan kirinya tanda binggung. ‘’Yalah...kau orang rela ea tengok aku menderita berkahwin dengan ‘budak kecik’ tu?’’ soal Firas Amsyar. Mereka sudah mengetahui usia Munirah yang jauh berbeza dengan mereka berempat.
          Lukman, Wafiy dan Kamal ketawa besar dengan kenyataan Firas Amsyar.
          ‘’Tapi ‘budak kecik’ tu dah terima pun kau jadi suami dia, ‘’ giat Wafiy.
          Firas Amsyar menjegilkan matanya. ‘’Munirah tu pun satu...apasallah dia terima,’’ keluh Firas Amsyar lagi.
          ‘’Entah-entah, dia memang suka kat kau tak?’’ ujar Kamal pula. Lukman dan Wafiy sudah tersengih.
          ‘’Tak ada maknanya. Tapi tak tahulah pulak kalau dia memang suka aku, maklumlah ‘terhangat di pasaran’!’’ ujar Firas Amsyar selamba dan bersahaja.
          Lukman, Kamal dan Wafiy sudah menyampah. ‘’Piiiraahh...’’ ujar mereka bertiga.
          Firas Amsyar sudah ketawa besar.
          ‘’Tapi apa-apa pun aku nak kau terima ajelah jodoh ni. Belajarlah terima Munirah, Firas.’’ Lukman menasihati rakannya. Dia yang tampak beria-ia menyokong Firas Amsyar berkahwin dengan Munirah.
          ‘’Macam mana aku nak hidup dengan dia. Nak tengok muka dia pun, aku tak suka tahu tak, ‘’ tukas Firas Amsyar.
          Lukman, Kamal dan Wafiy hanya terdiam dan menggelengkan kepala.
          ‘’Kenapa kau benci sangat dengan dia? Apa dosa dia pada kau, Firas?” tanya Wafiy cuba mengorek isi hati Firas Amsyar ketika itu. 
          Firas Amsyar yang baru sahaja  meneguk minuman teh tarik  di gerai mamak yang mereka pilih pada malam itu menjawab pertanyaan Wafiy. ‘’ Sebab dialah, umi dan abah aku tolak Amelia!’’ beritahu Firas Amsyar dengan penuh rasa marah dan dendam.
          Lukman, Kamal dan Wafiy terdiam. Mereka faham situasi sahabat mereka itu yang berada dalam keadaan tertekan kerana pilihan hati tidak menepati piawaian yang diidamakan oleh umi dan abahnya.
          ‘’Munirah tu istimewa sangat ke sampai umi dan abah kau tolak Amelia?” soal Wafiy pula.
          Firas Amsyar yang sedang leka dengan gajet jenama Apple itu, mengangkat wajahnya memandang Wafiy. ‘’Aku pun tak tahu apa yang istimewa sangat perempuan tu. Budak baru habis sekolah tu yang umi aku sibuk sibuk umi aku nak buat menantu,’’ balas Firas Amsyar sedikit mendengus. Dia meneguk sedikit minuman kegemaran rakyat Malaysia itu.
          ‘’Tentu ada istimewanya, Firas. Kalau tidak, tak adelah umi kau beria-ia paksa kau kahwin dengan dia. Hati orang tua, Fir.’’ Wafiy bersuara menyuarakan pendapatnya.
          ‘’Kalau tak nak bagi aje kat Luth , Fir. Aku tengok daripada asyik back up Munirah. Dia pun duda hot sekarang ni, ‘’ usik Kamal selamba dengan menyeringai.
          Lukman merenjis Kamal dengan air mineralnya. Kamal sudah tergelak besar.
          ‘’Amboi, senangnya cakap! Kau ingat Munirah tu anak ayam, Mal?’’ balas Wafiy.
          ‘’Kalau boleh dah lama aku buat tak payah kau suruh, Mal.’’ Firas Amsyar membalas selamba. Nampaknya mereka kawan-kawan yang baik tidak ‘membantu’ Firas Amsyar untuk membuat sebarang dajal. Umi dan abahnya hanya menunggu kata setujunya. Tanpa kata setujunya pun perkahwinan itu tetap perlu diteruskan. Pihak perempuan sudah menerima kalau dibatalkan, mengamuklah umi dan abahnya.
          Uminya memang tahu ‘kelemahan’ anak sulungnya itu. Pandai betul uminya.

          Firas Amsyar memandang pintu bilik isterinya. Dia cuba menghadam segala kata-kata rakan-rakannya dahulu. Dia memikirkan sesuatu. Ya, dia mahu Munirah yang meminta cerai bukan dia yang akan menceraikan!

3 comments:

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)