Munirah sedang mengemas kelasnya setelah selesai
tamat sesi pengajaran pada hari ini. Dia
menyusun kerusi meja dengan baik seperti sedia kala. Kemudian, dia mengambil
penyapu lembut dan menyapu lantai bagi menghilangkan segala habuk mahupun pasir
yang ada. Ralit Munirah membuat kerjanya.
Munirah
bernyanyi kecil sambil tangannya lincah melakukan rutin hariannya itu. Selepas
selesai menyapu lantai, dia kembali ke meja guru yang terletak di hadapan
kelas. Dia membuka buku laporan mengajarnya. Setiap hari tenaga pengajar di
Tadika Bintang Hati wajib membuat laporan mengajar yang akan disemak oleh
pengetua yang merangkap pemilik taman didikkan dan asuhan itu, Puan Hajah
Salwa.
Laju
jari-jarinya menulis. Ketika menulis dia terpandang, cincin belah rotan tanpa
permata di jari manis tangan kanannya. Tersenyum dia melihat. Cincin itu
menjadi tanda dirinya bakal dimiliki orang. Tak sampai beberapa minggu lagi dia
akan memegang gelaran isteri. Kursus kahwin sudah pun dihadiri. Yang manisnya,
sahabatnya Aisyah turut diheretnya untuk menghadiri kursus yang diadakan di
Pejabat Agama Daerah Johor Bahru itu.
Walaupun
kursus yang dihadiri selama dua hari itu tidak mungkin dapat menyampaikan
segala ilmu dan pendidikan rumah tangga sekurang-kurangnya bakal pengantin dapat
‘meyemak’ semula tujuan mendirikan masjid. Hendak mencari ilmu rumah tangga dan
keibubapaan itu tidak semestinya dengan menghadiri kusus, dengan membaca bahan
ilmiah berkualiti dan mencedok pengalaman orang yang lebih dahulu makan garam
juga membantu.
Teringat
reaksi Aisyah apabila diajak untuk menyertai kursus kahwin yang wajib dihadiri
semua bakal pengantin
‘’Kau
ajak aku? Isshh...malulah aku,’’ dalih Aisyah. Sebenarnya tak salah pun kalau
sesiapa nak menghadiri kursus itu waima bukan nak berkahwin dalam masa
terdekat.
Munirah
memujuk lagi. “Nak malu apanya bukannya aku ajak kau pergi tempat tak senonoh.
Lagi pun mana tahu kau jumpa calon suami masa tu?’’ giat Munirah. Dia cuba
memancing minat temannya.
Aisyah
sudah menaikkan kedua-dua keningnya yang cantik beralis dan lebat itu sambil
tersengih. Kemudian, sengihan itu mati. “Wei, bukan ke orang lelaki yang pergi
kursus kahwin mesti dengan pasangan dia orang? Agak gelap peluang untuk aku dapat calon.’’ Aisyah menyampaikan
faktanya. Selalunya begitulah gaya pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga
dengan menghadiri kurus kahwin bersama.
‘’Alah,
tak apalah sekurang-kurangnya kau nak kahwin nanti dah ada sijil kursus kahwin.
Manalah tau, kau pula ambil nombor nak kahwin lepas aku, ‘’ usik Munirah. Dia
sudah ketawa berdekah-dekah.
‘’Yalah...mana
tau ada mak datin mana pulak nak pinang aku, ha ha ha...’’ balas Aisyah selamba
dan bersahaja. Ketawa besar dua sahabat itu.
Tersentuh
hati kecilnya melihat pasangan yang menghadiri kursus bersama, sedangkan dia
hanya ditemani kawan baiknya.
Munirah
memujuk hatinya sendiri, tak apalah mungkin aku tak rasa manisnya sebelum
berkahwin tapi aku akan rasai manisnya setelah halal. Pujukan hati kecil itu,
mampu membuat dia kembali tersenyum manis. Dia yakin cinta selepas halal pasti
lebih manis. Mungkin ini ketentuan yang terbaik Allah s.w.t anugerahkan buat
dirinya. Siapa tahu? Siapa boleh jangka?
Setelah
sedar dia sudah jauh mengelamun , dia meyambung kembali tugasnya. Dua puluh
minit kemudian tugasnya selesai. Dia mengambil buku kerja anak didiknya. Buku
kerja yang terletak di tepi mejanya diambil. Buku Bahasa Melayu sebanyak 20
buah itu diambilnya. Dia melihat-melihat secara sepintas lalu latihan yang
telah dibuat oleh anak-anaknya. Tersenyum dia melihat perkembangan anak-anak
didiknya yang semakin hari semakin bijak. Bijak belajar dan bijak juga
mulutnya.
Kalau
bercakap tak henti, kalau suruh bercerita laju sahaja. Kalau berbahasa Inggeris
juga laju. Kadang-kadang Munirah yang terkebil-kebil nak membalas kata sebab
dia bukanlah seorang yang begitu fasih berbahasa bahasa kedua. Jadi apabila dia
sudah ‘zero’ dia akan menggunakan kuasa vetonya sebagai guru dengan
menghentikan perbualan itu.
Maklumlah
Tadika Bintang Hati ini terletak dalam kawasan perumahan kos sederhana mewah.
Kebanyakan ibu bapa dalam kalangan orang berpendidikan tinggi. Kalau mak bapa
dah pandai, memang sengajalah kalau anak-anaknya tidak pandaikan? Ya, memang
betul iman itu tidak dapat diwarisi tetapi gen kepandaian itu sedikit sebanyak
boleh diwarisikan? Jarang kita mendengar anak-anak mak bapanya orang pandai,
tidak menjadikan?
Munirah
menanda buku kerja anak-anaknya dengan pantas. Dia perlu menyelesaikan tugasnya
dengan segera kerana selepas ini dia perlu ke bahagian taska untuk membantu
cikgu-cikgu di sana pula kerana hari ini mereka ‘patah tulang’ kerana dua orang
guru taska bercuti.
***
Munirah
memberi salam kepada seluruh penghuni taska itu. Taska itu terletak di rumah
sebelah. Tadika Bintang Hati mempunyai dua buah lot rumah semi-d yang
sebelahnya dijadikan tadika dan satu lagi dijadikan taska. Pagar yang ada
sebelum ini telah dipisahkan ketika pengubahsuaian unit kediaman ini untuk
menjadi Tadika Bintang Hati.
‘’Waalaikumussalam.
Masuklah Moon,’’ jawab Cikgu Azwana ceria. Cikgu Azwana sedang memberi makan
kepada anak-anak asuhan yang dibawah jagaannya seramai lima orang. Taska itu
memiliki 30 orang anak asuhan di bawah asuhan lima orang guru dan seorang
pembantu taska.
‘Moon’
ini panggilan yang Munirah dapat sejurus mengajar di tadika itu. Yang
memberinya gelaran itu ialah Cikgu Azwana kerana matanya yang bulat dan
bersinar macam bulan. Itulah yang diberitahu Cikgu Azwana apabila ditanya sebab
menggelarnya dengan nama Moon . Sejak dari saat itu, kesemua ahli keluarga
Tadika Bintang Hati memanggilnya Moon. Pada mulanya canggung dipanggil dengan
nama itu, apabila sudah lama dia selesa dengan nama itu. Glamour pula rasanya apabila diapnggil Moon.
‘’Moon,
dah makan?’’ tanya Cikgu Azwana yang sedang memberikan secawan air bagi setiap
anak-anaknya. Anak-anak yang berusia dua hingga tahun itu.
Munirah
yang baru melabuhkan punggungnya di lantai, menggeleng. ‘’Belum, Kak Wana baru
habis settle semua kerja terus datang sini,’’ jawab Munirah perlahan. Dia
mencuit pipi anak-anak asuhan itu. Comel-comel wajah mereka. Dia menegur-negur
anak-anak itu.
‘’Pergilah
makan di dapur tu,’’ suruh Cikgu Azwana dengan memuncungkan bibirnya.
Munirah
tersengih sambil memegang perutnya yang kempis itu. ‘’Akak ini memang hebatlah,
tahu aje perut ini tengah joget lagu
dangdut he he he. Moon pergi makan ea, ‘’ balas Munirah lalu bangkit dan menuju
ke dapur taska.
Cikgu
Azwana hanya tersenyum sendiri. Geli hati dia melihat telatah anak dara itu.
Sementara
itu, di dapur kelihatan Cikgu Haninah dan Cikgu Khairina sedang menjamu selera
tengah hari mereka.
‘’Kak
Nina dan Kak Irin, boleh Moon join?’’ sapa Munirah lembut dan ceria sahaja
terhadap dua orang ibu muda itu.
‘’Eh,
jomlah makan, Moon.” Cikgu Khairina mempelawa Munirah menyertai mereka.
Munirah
mencuci tangannya di singki dengan pencuci tangan Dettol itu. Kemudian, dia
mencapai pula pinggan Corelle di tepi singki.
‘’Sedapnya
lauk, ‘’ ujar Munirah setelah melihat Sambal Tumis Telur dan sayur Kubis Lemak
Putih kegemarannya terhidang di meja makan bersaiz bulat yang boleh diduduki
seramai enam orang itu.
‘’Makanlah.
Lepas ni nak guna banyak tenaga tau,’’ jemput Cikgu Haninah mesra. Sempat lagi dia
mengusik Munirah. Mereka memang memerlukan tenaga Munirah kerana dua rakan
mereka, Azizah dan Safiah bercuti. Azizah cuti bersalin anak sulung manakala
Safiah bercuti kerana demam.
Munirah
mencedok dua senduk nasi ke pinggannya. Ya, dia memang kuat makan nasi. Kalau
makan nasi bertambah-tambah tapi berat tetap begitu. Kemudian, dia mencedok
lauk yang cukup menjemput seleranya.
Munirah
membaca doa makan dan memulakan suapannya. Lauk yang dimasak Kak Kamilah,
pembantu taska memang cukup rasa. Sedap sangat. Sayur masak lemak putih memang
kegemarannya. Lemak putih yang dimasak tanpa tumis memang menyelerakan
lebih-lebih lagi digandingkan dengan sambal tumis.
Haninah
dan Khairina yang sudah selesai, bangkit dan menuju ke singki.
‘’Moon,
Kak Nina dengar cerita Moon nak kahwin ya?’’ aju Cikgu Haninah lembut sahaja
nadanya. Manalah tahu berita yang didapatinya ini tidak sahih. Dia sedang
mencuci pinggan yang digunakan oleh mereka. Cikgu Khairina pula,
mengelap-ngelap dapur masak yang terdapat percikan minyak. Mungkin Kak Kamilah
terlepas pandang. Kak Kamilah sedang mencuci tandas jadi wajarlah dia membantu
apa yang perlu walaupun dia sebagai guru.
Munirah
yang sedang enak makan menghentikan suapannya. Dia meneguk sedikit air putih
yang yang dituang oleh Kak Irin untuk dirinya tadi. Rasa seperti tercekik pula
dengan soalan menjerut leher itu.
‘’Ya,
kak. Mana akak tahu ni?’’ soal Munirah pula dalam rasa yang masih terkejut. Amboi, cepatnya tersebar berita perkahwinannya
ditelinga-telinga ahli keluarga Bintang Hati ini!
‘’Puan
Hajah yang beritahu kami,’’ jawab Cikgu Haninah. Dia memandang wajah Cikgu
Khairina. Mereka tersenyum penuh makna. Ketika itu, Munirah membelakangkan
mereka. Jadi benarlah bukan gosip.
‘’Moon,
tengah sibuk buat persiapanlah sekarang ni ya? Majlis tak lama lagikan?’’
selidik Cikgu Khairina pula yang melabuhkan kembali punggungnya di kerusi tadi
berhadapan Munirah.
Mereka
juga sebenarnya terkejut dengan berita yang dibawa oleh Puan Hajah Salwa pagi
tadi. Mereka tidak perasan pula Munirah seperti gadis yang sibuk dengan
persiapan perkahwinan. Setahu mereka jika seseorang yang bakal berkahwin pasti
sibuk bercerita perihal persiapan perkahwinan dengan rakan sekerja tapi berbeza
pula dengan rakan sekerja mereka itu. Tidak pernah sekali bibir mungil itu
memberitahu kepada mereka yang dirinya bakal menamatkan zaman dara.
Munirah
sedang menelan perlahan-lahan suapannya. ‘’Biasa aje persiapannya. Moon suka
yang simple-simple aje. Majlis lagi dua minggu. Jemput datang tau Kak Irin dan
Kak Nina. Memang cadangnya nak edar kad jemputan esok . Tadi beritahu Puan Hajah
sebab nak minta cuti,’’ beritahu Munirah sempat menjemput sekali setelah
makanan telah selamat masuk ke dalam saluran makanannya iaitu osofagus.
‘’Tak
kisahlah yang penting ijab dan qabul tu selamat dijalankan. Besar ke kecil
majlis ikut kemampuanlah. InsyaALLAH kami datang, ‘’ balas Cikgu Haninah lalu
mengambil tempatnya kembali.
‘’Siapa
bakal suami Moon? Kami kenal ke?’’ risik Cikgu Khairina pula. Haruslah kena
ambil tahu. He he he... Seingat mereka, tidak pernah pula dia melihat sesiapa
yang ‘istimewa’ yang menghantar gadis itu ke taman didikkan dan asuhan itu.
Gadis ini juga tidak pernah perihal kisah peribadinya terutamanya kisah hati.
Munirah
yang sedap menjamu makanan tengah harinya merasa kelat pula ingin meneruskan
suapan. Tetapi memikirkan perut yang lapar, dia meneruskan juga. Aduhai, hilang
sedikit nikmat untuk makan setelah cerita perkahwinan berjaya ‘dibongkar’.
‘’Akak
berdua tak kenal. Kami dah lama kenal sebab family kami rapat,’’ beritahu
Munirah dan terus menyuap suapan yang terakhir. Dia mengangkat pinggan kotornya
ke singki untuk dicuci. Hilang niatnya untuk menambah.
‘’Oh...’’
panjang ‘oh’ Cikgu Kahirina dan Cikgu Haninah. Mereka tersenyum simpul antara
satu sama lain.
Munirah
meminta diri. ‘’Kak, Moon ke depan dulu ya, ‘’ pamit Munirah dan berlalu ke
hadapan untuk melihat-melihat asuhan yang memerlukan perhatiannya. Waktu tengah
hari, waktu tidur untuk anak-anak asuhan di sini. Perlu melihat sekiranya ada
yang meragam tidak boleh tidur atau yang perlu belaian sebelum tidur. Anak-anak
di sini memang manja.
Cikgu
Khairina dan Cikgu Haninah hanya menganggungkan kepala.
‘’Patutlah
Puan Hajah tu sedih aje Kak Nina, rupanya menantu pilihan dia bakal jadi milik
orang, ‘’ ujar Cikgu Kahirina setelah kelibat tubuh Munirah makin menghilang.
Cikgu
Haninah yang sedang mengelap meja makan membalas,’’ yalah, anak dia Razlan tu
dah lama berkenan dengan Moon. Puan Hajah pun memang dah sayang habis dengan
Moon. Tapi nak buat macam mana dah tiada jodoh. ‘’
‘’Betul
tu Kak Nina. Kalau kita beria padukkan belum tentu menjadi kalau dah diluth
mahfuz bukan jodoh mereka.’’ Cikgu Kahirina menyetujui kata-kata Cikgu Haninah.
‘’Irin,
jomlah kita sambung kerja!’’ ajakkan Cikgu Haninah mematikan perbualan mereka
setelah menyedari tempoh mereka berada di dapur. Risau pula mereka sekiranya
Puan Hajah Salwa buat spotcheck.
***
Munirah yang berada dalam tandas yang berdekatan
dapur taska terkejut mendengar perbualan dua orang ibu muda itu. Mereka berdua
tidak perasan dia menyusup masuk ke dalam tandas. Dia dapat berasa ada sesuatu
yang dikongsikan oleh dua guru taska itu, benarlah tekaannya.
Abang
Razlan anak sulung Puan Hajah Salwa ada menyimpan perasaan terhadapnya?
Patutlah Abang Raz panggilan Munirah untuk jejaka itu, selalu berkunjung ke
tadika jika dia bercuti selepas dia penat on call. Abang Razlan merupakan
Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Pegawai Perubatan
yang dalam proses mendalami opsyennya dalam Bidang Kardiologi. Orang
bercita-cita nak jadi Pakar Bedah Jantunglah katakana, sejak kecil lagi.
Cita-cita yang terbit selepas melihat bapa Dr. Razlan suami kepada Puan Hajjah
Salwa meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Dr. Razlan tidak mahu lagi
melihat orang disayanginya pergi disebabkan pembunuh utama rakyat Malaysia kini.
Munirah
mengetahuinya pun setelah Dr. Razlan yang bercerita kepadanya. Ketika itu, kali
pertama mereka berjumpa kerana Dr. Razlan menghantar barangan yang dipinta
uminya. Munirah cuba berbasa basi sahaja bertanya perihal kerjaya lelaki yang
berkarisma itu. Tidak jangka pula, ramah tamah pula anak teruna Puan Hajah
Salwa bercerita dan berkongsi impiannya sebagai pengamal perubatan.
Selepas
itu, Abang Razlan suka mencari peluang untuk berbual dengannya. Kadang kala
Munirah melarikan diri ke taska apabila Dr. Razlan muncul. Munirah segan dengan
kakitangan yang lain. Munirah gusar sekiranya mereka fikir dia ingin menggoda
Dr. Razlan dengan perhatian yang diberikan oleh lelaki itu terhadap dirinya.
Panggilan Abang Raz pun, lelaki itu yang minta dipanggil begitu.Tetapi
bersyukurlah dia, mereka di situ umpama sebuah keluarga besar yang saling
menyayangi antara satu sama lain. Tidak pernah berasa iri hati atau syak
wasangka antara satu sama lain.
Puan
Hajah Salwa juga melayan dirinya dan kakitangan lain dengan penuh kasih sayang.
Membuatkan mereka di sini menganggapnya sebagai ibu mereka sendiri. Munirah
tidak pernah menyedari maksud tersirat Puan Hajah Salwa terhadap dirinya. Bagi
Munirah itu layanan seorang wanita yang penuh jiwa keibuannya.
Nasib
baiklah, aku tak pernah ‘melayan’ Abang Raz kalau tak kesian anak teruna orang.
Munirah bermonolog sendiri. Layanan buat lelaki itu diberi seadanya sebagai
menghormati status lelaki itu sebagai anak majikannya. Tarafnya sama juga
seperti majikan. Dia pun keluar dari tandas dan menuju ke ruangan anak-anak
asuhan.
Nampaknya
hari itu, dia perlu pulang pukul 5.30 petang. Alhamdulilah Puan Hajah Salwa
membayar gaji bagi kakitangan yang bekerja lebih masa. Sekurang-kurangnya
bertambah sedikit gajinya. Wang lebih itu dapatlah diberikan buat ibu dan bapanya
untuk perbelanjaan rumah. Sememangnya setiap bulan wang gajinya ada bahagian
buat ibu bapanya cuma apabila dapat lebih bolehlah beri lebih. Maklumlah
pendapat guru tadika sepertinya tidaklah besar mana cukuplah menampung
perbelanjaan untuk diri sendiri seperti pakaian dan barang kebersihan serta
kecantikan diri.
Gembira
dan nikmat yang tidak dapat digambarkan apabila dapat memberi mak ayahnya
berasa wang gajinya. Terasa keberkatan wang gajinya.
Dia
pernah terbaca di dalam sebuah buku tentang rezeki. Sebagai anak yang sudah
bekerja, wajarlah untuk mereka memberi sedikit wang gaji buat ibu dan ayah. Ini
kerana rezeki yang sedikit pasti terasa berkatnya apabila dikongsi bersama
orang tua yang telah bersusah payah mengasuh dan membesarkan kita.