‘’Boleh mak cakap sikit, Ira?’’ pinta Puan Juriah
ketika itu Munirah sedang menggosok baju kurung Pahang yang akan digunakannya
esok untuk mengajar. Selepas tamat peperiksaan STPM, Munirah mengambil
keputusan untuk mengajar di sebuah tabika swasta. Sekurang-kurangnya dapat
mengurangkan beban ibu bapanya. Di samping itu, dapat mengumpul kos
perbelanjaan untuk menyambung pelajaran ke universiti sekiranya rezeki
menyebelahinya.
Puan
Juriah memerhatikan lenggok tubuh anak perempuannya yang bersahaja itu. Gayanya
seakan gembira dengan tali pertunangan yang sudah termetrai lewat petang tadi.
Terdengar nyanyian kecil daripada bibir mungil itu.
‘’Irah,
betul-betul setuju ke dengan pinangan ni?’’ soal Puan Juriah lembut sambil
tangannya lembut mengusap-usap cadar di katil bujang milik anak suntinya.
Munirah
yang baru selesai menggosok tudung bawal, terdiam seketika. Terhenti pergerakan
bibirnya yang menyanyi-nyanyi sumbang lagu Percayalah.
Munirah
memusingkan tubuhnya menghadap ibunya. “Mak, kenapa ni macam tak yakin dengan
keputusan Irah?’’ soal Munirah pula. Dia perasan ibunya masih tidak berpuas
hati dengannya sejak petang tadi. Ibunya nampak sangat terkejut dengan
keputusannya petang tadi
Puan
Juriah terdiam. ‘’Bukan macam tu. Mak cuma risau kalau anak mak terpaksa buat
semua ni sebab budi,’’ luah Puan Juriah.
Munirah
mengambil tempat di sebelah ibunya yang sedang melabuhkan punggung di katil
bujangnya.
‘’Mak,
Irah ikhlas melakukan semua ni. Ini semuakan dah jodoh. Jodoh yang Irah tak
pernah terfikir pun. Agaknya Abang Firas dah lama syok kat Irah tak mak? Sebab
itulah, dia suruh Mak Cik Nora pinang anak dara mak ni cepat-cepat,’’ balas
Munirah sambil seloroh. Dia ketawa manja sambil memaut lengan ibunya dan
melentokkan kepalanya di bahu ibunya.
Puan
Juriah tersenyum dengan jawapan nakal anaknya itu. ‘’Yalahkan...anak mak ni kan
jelita?’’ balas Puan Juriah dalam nada seloroh juga. Ketawa besar dua beranak itu sehingga Puan
Juriah hampir terlupa untuk mengorek isi hati anaknya.
‘’Of
courselah jelita mak. Jelita macam mak!’’ balas Munirah sempat masuk bakul
angkat sendiri. Dia mencuit pipi ibunya.
‘’Anak-anak
makkan semuanya jelita.’’ Puji Puan Juriah selamba. Aduhai, ketiga-tiga anak
perempuannya memang manis dan lawa!
Maklumlah ada bercampur darah Cina yang diwarisinya dicampur pula dengan
keturunan Jawa dan Serani daripada suaminya.
Ketawa
gembira Munirah dengan kata-kata pujian ibunya itu. Dia dan adik-beradik
perempuannya memang mesra dan bersahaja apabila berbual ibu mereka. Ibu mereka
melayan sahaja perangai gila-gila mereka. Kalau berbual anak-beranak riuh
serumah.
Puan
Juriah yang masih ingat akan tujuan asalnya menyambung bicaranya. ‘’Irah, mak
harap Irah fikir sekali hal ni ya. Mak rasa masih sempat sekiranya untuk anak
mak ni ubah apa-apa pun keputusan.’’ Dia
bukan cuba mengajar anaknya memungkiri janji dengan orang tetapi itu soal
kebahagiaan dan kegembiraan anaknya perlu untuk dia ‘membantu’ anaknya
menggapai bahagia sendiri.
Munirah
menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘’Mak ni keputusan hati, Irah. Ini dah muktamad
dah tiada pilihan objektif mahu pun talian hayat lagi. Irah dah fikir perkara
ni sebaik mungkin. Mak tolonglah restui keputusan Irah. Irah yakin mak, ini
jodoh yang ALLAH kirimkan buat Irah. Walau macam mana pun Irah tolak pasti akan
jumpa juga mak. Mak tak suka nak berbesan dengan Mak Cik Nora ya?’’ terang
Munirah untuk meyakinkan ibunya dengan keputusan hatinya yang bulat itu.
Keputusan yang sangat penting dan bermakna dalam hidupnya.
Puan
Juriah mencari tangan Munirah. Akhirnya, dia mendapat tangan kiri anaknya lalu
digenggam erat. ‘’Bukan mak tak suka. Mak suka, lagi-lagilah mak dah kenal
sangat hati budi Mak Cik Nora kamu tu. Pak Shad kamu tu lagilah sebaik-baik
manusialah selepas Rasulullah s.a.w. suka tolong orang tak kira siapa,’’ cerita
Puan Juriah jujur. Dia memang cukup menyenangi dua orang sahabat baik suaminya
itu. Tidak pernah mengidam untuk berbesan dengan mereka. Tidak sedar pula,
Datin Nora ‘menaruh minat’ terhadap anak suntinya.
Tekun
Munirah mendengar pandangan ibunya mengenai bakal mertuanya. Kagum dia
mendengar. Harap-haraplah anak teruna mereka pun baik, tidak meminta sempurna
segala serbi cukuplah berpengetahuan agama dan menghormati orang tua. Pinta
Munirah dalam sudut kecil hatinya terhadap bakal suaminya yang kurang
dikenalinya itu.
Wajah
Firas Amsyar seakan samar-samar sahaja disimpanan dalam memorinya. Tampan ke hodoh ke langsung dia tak ingat. Asalkan
jangan muka macam pecah rumah cukuplah. Seingatnya, jarang sekali Firas Amsyar
menyertai keluarganya berkunjung ke rumah. Ketika majlis perkahwinan Abang
Mahadzir dan Kak Maria, Firas Amsyar ada hadir. Itu pun dah berapa tahun
dahulu. Manalah dia ingat. Masa tu dia masih anak dara yang comot. Umur Firas
Amsyar 28 tahun. Lebih muda tiga tahun daripada Abang Mahadzir.
‘’Kalau
dah macam tu, kenapa mak macam was-was dengan keputusan anak mak ni?’’ soal
Munirah sekali lagi. Dia pelik dengan sikap ibunya. Dia perasan sejak petang
tadi ibunya memang mencari peluang untuk bercakap berdua dengannya. Ketika
Datin Nora menyarungkan cincin belah rotan dijari manisnya, ibunya hanya
tersenyum tawar. Sepatutnya ibunya harus gembira anak daranya ada orang yang
sudi menjadikannya menantu.
Puan
Juriah terdiam. Dia cuba menyusun ayat yang sesuai dan sedap serta yakin
diterima oleh Munirah. Dia mengelus rambut panjang anaknya yang melepasi bahu
itu. Warnanya sedikit keperangan, mungkin gen Serani yang banyak diwarisi
mutasi Munirah ketika embrio itu bernyawa dan membesar dalam rahimnya.
Munirah
seronok dibelai begitu, rasa seperti dimanjakan bagai bayi yang baru lahir oleh
ibunya. Apa lagi, Munirah pun melentokkan kepalanya dibahu ibunya.
Puan
Juriah tersenyum dengan tindak balas positif anaknya itu. Dia mengusap kepala
anaknya. Tidak perasan anaknya sudah meningkat dewasa dah pun disunting orang.
Rasanya seperti baru kelmarin dia menyikat rambut Munirah dan membedakkan muka
anaknya untuk bersiap ke sekolah.
‘’Mak
bukan was-was, Irah. Mak cuba nak pastikan yang Irah tak buat ini semua
semata-mata kerana nak balas budi yang Pak Shad dan Mak Cik Nora taburkan buat
kita. Mak tak nak anak mak jadi barang pertukaran orang.’’ Luahan tulus
daripada hati Puan Juriah.
Perasaan
seorang ibu yang terlalu menyayangi anak perempuannya. Dia tidak mahu kuasa
duit mengatasi kuasa kasih sayang. Dia gusar kisah hidup anaknya akan menjadi
seperti di dalam drama Melayu yang ditayangkan di televisyen. Menjadi mangsa
‘kuasa beli’ orang kaya. Walaupun dia cukup mengenali hati budi Dato’ Arshad
sekeluarga. Hati manusia siapa yang tahu. Waima rambut sama hitam hati belum
tentu sama putih dan jernih.
Munirah
hiba mendengarkan apa yang diluah daripada bibir nipis milik ibunya. Mak,
kalaulah mak tahu hati Irah saat ni, bisik hati Munirah.
‘’Mak,
takkanlah Pak Shad dengan Mak Cik Nora nak buat kita macam tu. Mak, Irah nampak
betapa ikhlasnya mereka mengambil Munirah untuk dijadikan menantu mereka. Mak
jangan risau okey? Irah lakukan semua ni disebabkan Irah betul-betul sayangkan
mak dan ayah. Irah tak pernah paksa diri untuk melakukan semua ni. Tapi ni semua
sebab Irah dah reda. Mak, Allah dah janjikan empat perkara dalam hidup kita
antaranya jodoh. Mak ni semuakan dah takdir,’’ laju dan lancar bibir mungil
yang merekah cantik bak delima menuturkan kata-kata. Ini semua disebabkan rutin Munirah
menyapukan madu sebelum tidur
untuk mendapatkan bibirnya yang lembap dan merah. Tidak perlu bergantung kepada
pelembap bibir.
Puan
tersenyum lega mendengar keyakinan yang diberikan oleh anak dara suntinya itu.
Jika benarlah itu yang dikatakan oleh Munirah dia sudah mampu berlapang dada.
Kalau tidak sesaklah dada memikirkan segala kemungkinan yang buruk belaka.
Sukar untuk seorang ibu untuk melepaskan anak perempuannya untuk diserahkan ke
tangan orang lain.
Puan
Juriah memusing tubuhnya untuk menghadap anak yang tersayang. Kedua-dua belah
pipi anaknya dipegang. Diusap-usap dengan jari-jarinya yang selama ini berbakti
buat keluarga tercinta. “Kalau itu dah kata Irah, mak lega. Mak nak Irah bahagia, nak. Kebahagiaan anak-anak,
kegembiraan mak dan ayah.’’ ucap Puan Juriah lalu menarik tubuh anaknya ke
dalam pelukkannya. Tangannya membelai-belai belakang tubuh anaknya.
Munirah
sudah mengalirkan air mata hiba yang ditahan-tahannya tadi. ‘’Mak, Irah pun
harap Irah akan bahagia dengan keputusan Irah ni,’’ ucap Munirah namun, suara
itu hanya bergema dalam hatinya.
Munirah
mengeratkan lagi pelukan itu. ‘’Terima kasih mak doakan Irah. Irah sayang mak!”
ucap Munirah lalu melepaskan pelukan itu dan mengucup kedua-dua pipi ibunya.
Bahagia
dua beranak itu dalam sesi meluah rasa mereka. Kasih sayang dan restu serta
reda seorang ibu amat penting dalam perjalanan seorang insan bernama anak. Reda
ibunya dengan keputusan ibunya satu kelegaan buat Munirah.
‘Mak,
restuilah Irah mak.’ Pohon Munirah daripada sudut hati kecilnya. Dia berharap
pilihan ini, pilihan yang terbaik dalam hidup yang dia lakukan. Semoga segala
perancangan mereka berjalan lancar.
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)