Orang kata, orang berbudi kita
berbahasa dan kerana pepatah inilah Munirah perlu berkorban demi keluarganya
yang sudah terhutang budi dengan keluarga Dato’ Arshad dan Datin Nora yang sudi
menolong mereka sekeluarga menyelamatkan tanah rumah pusaka keluarga ayahnya,
Encik Haron.
Tanah rumah pusaka
yang hampir dilelong kerana ketidakbijkasanaan abang sulungnya, Mahadzir
dalam perniagaan yang diusahakannya setelah menjadikan tanah pusaka itu sebagai
cagaran pada bank bagi perjanjian
pinjaman perniagaannya.
Haruskah perkahwinan itu dianggap sebagai tanda
penghargaan buat Dato’ Arshad sekeluarga? Munirah tidak tahu adakah perlu dia
memenuhi permintaan ibu dan ayahnya yang mahukan dia dan Firas Amsyar disatukan
sebagai suami isteri yang sah?
Tidak disangka kedatangan keluarga Dato’ Arshad
membawa hajat yang besar, sekali gus
menyangkal andaian Munirah yang kedatangan itu berniat memohon
hutang mereka sekeluarga dilangsaikan.
Jika mereka ingin memohon hutang tersebut dilangsaikan, dia sanggup membayar
bagi pihak ayahnya. Dia sanggup mengorbankan keinginannya untuk menyambung
pelajarannya di peringkat tertinggi dengan bekerja sambil membayar hutang itu
secara ansuran dalam kadar yang dia mampu.
Tetapi apakan daya, segala yang disangkakan itu
tidak benar belaka. Perkara ini pula yang terjadi. Hampir pitam Munirah, setelah perkara itu dimaklumkan oleh ibu dan
ayahnya tentang hasrat orang yang telah
berbudi kepada keluarganya. Muncul sedikit jentikan rasa marah dan tidak puas
hati terhadap abangnya, Mahadzir. Jika tidak kerana kecuaian abangnya pasti
ayahnya tidak akan meminta tolong kepada orang luar.
Hati yang marah pasti akan bertambah marah jika
ditambah bisikan syaitan yang rejam. Beristighfar Munirah sebanyak mungkin.
Tidak adil rasanya dia melontarkan segala marah itu kepada abangnya tanpa
menyelidik dahulu sebab abangnya melakukan perkara sebegitu.
“ Irah, mak harap Irah dapat fikir-fikir benda ni
semasak-masaknya ya,” ujar Puan Juriah kepada Munirah yang sedang membantunya
menyediakan sarapan pagi buat mereka sekeluarga.
Munirah hanya diam dan tidak bersuara. Dia binggung
sebenarnya. Tidak tahu keputusan apa yang patut diberikan buat kedua-dua ibu
bapanya yang menaruh harapan yang tinggi buatnya untuk membalas budi keluarga
dengan menjadi menantu buat Dato’ Arshad dan Datin Nora yang merupakan kenalan
ayahnya ketika zaman persekolahan.
Sedang leka Munirah membancuh kopi O panas di dalam
teko kaca itu terdengar suara ayahnya yang muncul dari depan.
“Irah, ayah harap
sangat Irah dapat menerima lamaran Pak Cik Arshad dan Mak Cik Nora. Mereka tu
kawan ayah , lagikan pula kita sekeluarga dah terhutang budi dengan keluarga
mereka, “ ujar Encik Haron lembut penuh mengharap. Bagi dia pinangan itu begitu
serba salah untuk ditolak. Kebaikan dan budi yang ditabur pasangan suami isteri
itu tidak mampu dibalasnya hanya Allah s..w.t sahaja yang akan membalasnya.
Sekali lagi Munirah
hanya diam tanpa menjawab sepatah pun. Entah kenapa pagi itu dia menjadi insan
yang bisu. Hanya diam tanpa mengangguk mahupun menggeleng apabila ditanya. Seperti
patung mannequin yang tidak bernyawa.
Puan Juriah dan Encik
Haron berpandangan sesama sendiri. Mereka mengerti anak perempuan kedua mereka
itu berada dalam situasi yang menentukan masa depan hidupnya. Mereka juga tahu
Munirah punya impian untuk menyambung pengajian di peringkat universiti selepas
memperoleh keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Persekolahan
Tinggi Malaysia (STPM) pada tahun lepas. Keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif
(PNGK) 3.56 yang diperolehi oleh Munirah pasti melayakkan dia untuk mendapat
tempat Institut Pengajian Tinggi Awam.
Munirah rasa tertekan
dengan kata-kata kedua-dua ibu bapanya. Mereka tidak mendesak mahupun memaksa
tapi seolah-olah itulah satu-satunya permintaan daripada mereka yang perlu ditunaikan oleh dirinya. Ya Allah,
tolonglah hamba-Mu ini. Sesungguhnya,
janganlah kau uji aku dengan ujian yang aku tidak mampu tanggung, bisik
Munirah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mendengar.
Dia tahu dia perlu
lakukan sesuatu, dia inginkan penjelasan daripada abangnya. Dia masih
teringat, rumah keluarganya ini yang
diperbuat daripada batu dan papan bergegar hebat dengan pertengkaran ayahnya
dan abangnya, Mahadzir. Dua beranak itu berbalas kata. Hubungan antara mereka
sebelum ini sangat baik menjadi ‘panas’ sedikit akibat masalah tersebut.
Mengamuk sakan ayahnya dengan sikap abangnya yang cuai dan terlalu mengikut kata isteri tersayang
yang ingin hidup mewah tidak kena tempatnya.
Ibunya, Puan Juriah
tidak tahu ingin berkata apa lagi. Anak sulungnya itu lelaki, dia sangka anak yang dididik dengan agama
yang secukupnya mampu menjadi pemimpin
dengan sebaik-baiknya. Lain pula jadinya, anak dia tidak mampu mendidik
‘makmumnya’ mengikut acuan yang sepatutnya. Puan Juriah hanya mampu
beristighfar dan menggelengkan kepala setelah diberitahu anak lelakinya itu
telah menggunakan duit pinjaman itu untuk membelikan isterinya barangan
perhiasan mewah seperti beg tangan berjenama.
Menantu perempuannya,
Erina memang berasal daripada keluarga yang berada. Menantunya itu pilihan
anaknya. Dia dan suaminya menerima dengan hati yang lapang pilihan anak. Segala
baik dan buruk menantu diterimanya dengan seadanya. Tidak dapat dinafikan,
Erina seorang menantu perempuan yang baik dan penyayang namun dek kehendaknya
yang memang sentiasa dipenuhi oleh mama dan papanya menyebabkan dia sangka
segala kehendaknya perlu diikuti oleh suaminya.
Munirah sudah beberapa
malam tidak dapat tidur malam dek asyik perkara sejak peminangan itu berlaku
tiga hari yang lalu. Tiga hari juga emosinya kacau bilau. Sekejap seperti ingin
marah dan sebentar nanti pula menyusul rasa kasihan dan kesedihan. Dia rasa dia
perlukan seseorang untuk mendengar rasa terbuku dihatinya. Seseorang yang boleh
membantu dia melegakan sedikit rasa beban dibahunya ketika itu. Mungkin
benarlah kata seseorang yang didengarnya, manusia ini apabila dia mempunyai
masalah mereka tidak meminta untuk diselesaikan masalahnya cuma mereka mahu
didengar. Apabila dapat meluahkan sesuatu yang terpendam pasti memberi sedikit
kelegaan.
Setelah selesai
menyusun cawan-cawan dan pinggan-mangkuk di atas meja makan dia berlalu keluar
dari dapur tanpa pamitan mahupun jawapan buat persoalan yang yang diutarakan
oleh ibu dan ayahnya tadi. Lantas rumah Aisyah, sahabat baiknya ingin ditujunya. Pintu dapur
laluan yang digunakan. Basikal yang biasa dikayuhnya diambil dan menuju ke
destinasi yang diingini. Dia bukan berkurang ajar, bukan juga mahu menunjuk
protes apatah lagi ingin menderhaka tetapi dia tertekan. Dia keliru. Dia ingin
‘keluar’ seketika dari situasi itu bagi
mencari solusi. Dia yakin ibu dan ayahnya faham keadaanya saat itu.
***
Puan Juriah dan Encik Haron hanya memandang
bayangan tubuh anak dara mereka meninggalkan kawasan dapur yang luas itu.
“ Abang, rasa Irah marahkan kita ke?’’ tanya Puan
Juriah kepada suaminya yang sedang menghiup perlahan kopi O panas bancuhan
daripada anak daranya yang manis itu.
Encik Haron mengambil pula sekeping karipap berinti
sardin yang dibuat isterinya dan
menggigitnya setelah membaca basmallah. ‘’ Abang tak rasa dia marahkan kita.
Dia cuma tertekan aje tu. Ju, janganlah risau. Anak kita itukan baik tak pernah
ingkar apa pun kata-kata kita tapi tak bermakna abang nak dia tunaikan hasrat
orang ini. Abang tak nak paksa dia. Ini hidup dia.’’ Encik Haron bertutur
lancar. Kata-kata daripada seorang bapa yang cuba berlaku adil terhadap urusan
hidup anak-anaknya lebih-lebih lagi perihal jodoh.
Puan Juriah hanya diam. Seleranya untuk menikmati
sarapan pagi itu tertutup kerana sikap berdiam diri yang ditonjolkan oleh
Munirah pagi itu. Dia gusar sekiranya Munirah menyangka dia dan suaminya cuba
menentukan jodoh anaknya itu. Sebagai ibu, dia tahu anaknya berat ingin
menerima pinangan itu.
‘’ Habis tu, hutang orang tu macam pula nak
dilangsaikan? Saya tak nak anak perempuan saya jadi mangsa ‘sistem barter’ yang
diciptakan oleh manusia. Anak saya bukan barang dagangan! ” luah Puan Juriah
dengan suara yang sebak namun, tegas.
Sedikit beremosi dia pagi itu. Emosi keibuan
terganggu melihat perubahan sikap anak perempuannya beberapa hari ini
disebabkan permintaan orang di sana. Dia hurungi rasa bersalah. Dia menyalahkan
dirinya atas semua ini disebabkan dia yang beria-ia memujuk suaminya untuk
membenarkan geran rumah yang didiami mereka sekeluarga ini menjadi cagaran di
bank.
Encik Haron terdiam mendengar kata-kata isterinya
itu. ‘’Hutang itu abang dah suruh Mahadzir cari jalan langsaikan. Dia pandai
cari pasal, pandailah dia tanggung. Ju, janganlah fikir macam tu. Takkanlah
Arshad dan Nora nak jadikan anak dara kita sebagai barang tukaran. Abang akan
bincang perkara ini dengan Arshad. Abang akan cakap dengan dia kita tolak
peminangan itu. Hutang tetap hutang yang perlu dibayar,’’ lantang suara Encik
Haron menyatakan keputusannya.
Terkedu Puan Juriah dengan keputusan Encik Haron
itu tetapi dalam masa yang sama terselit rasa syukur dan gembira yang teramat
dengan pendirian suaminya.
‘’Baguslah kalau abang dah cakap macam tu. Lega
hati saya. Ini semua salah sayakan, bang. Kalau bukan sebab saya yang pujuk
abang bagi Mahadzir gunakan geran tanah rumah ni, pasti semua ni tak berlaku. Maafkan saya,
bang. ‘’ ucap Puan Juriah penuh sendu diselitkan dengan rasa bersalah yang
teramat.
Encik Haron menghirup sekali lagi, kopi O panas
itu. Kopi O panas air tangan anaknya
memang cukup rasa. Manis-manis buah. ‘’ Semuanya dah berlaku pun, Ju. Abang
harap, Mahadzir dapat lunaskan hutang,
Arshad. Abang ni dah tebalkan muka dengan minta tolong dengan dia. Kalau tak,
kita merempat dekat manalah sekarang ni. Nauzubillahminzalik...’’ ucap Encik Haron perlahan.
Puan Juriah mengesat air mata yang sudah mengalir.
‘’Saya bersyukur sangat, Arshad dapat tolong kita. Baik sungguh diakan, bang.
Nora pun baik. Suami isteri sama baik. Abang, jangan lupa cakap dengan Arshad
pasal peminangan tu. Saya tak sanggup tengok anak saya perlu lalui benda yang
dia tak suka.’’
‘’Ju, jangan risau. Abang kenal sangat dengan
Arshad dan Nora tu. Abang pasti mereka boleh terima keputusan kita. “ Encik
Haron memberi keyakinan kepada isterinya.
saya br baca bab 1...tp saya doa kan yg terbaik utk iman...good job sis...
ReplyDelete