Munirah melihat jari-jemarinya yang sedang diinai
oleh Aisyah. Merah warnanya maklumlah daun inai asli dan bukannya yang dibeli
dalam calong itu. Merah warnanya itu semerah wajahnya ketika itu. Usik-usikkan
nakal sanak saudara yang memenuhi ruang tamu itu penyebabnya. Agaknya itulah
yang dirasa setiap bakal pengantin. Belum disolek dengan pemerah pipi oleh mak
andam wajahnya dah merah merona. Rasa seronok pula diusik. Usikan yang
lemak-lemak manis itu menimbulkan mood gembira buat dirinya sebagai bakal ratu
sehari.
‘’Malam
esok orang tu dah ada bantal peluk dah, ‘’ usik Mak Long Halijah.
‘’Nampaknya
tahun depan orang tu bolehlah beraya bertiga, ‘’ tambah Mak Usu Faridah.
‘’Pagi
ahad ada orang mandi basah rambutlah jawabnya,’’ celah Mak Lang Surinah.
‘’Mak
Lang, orang mandi basuh rambut juga apa hari-hari? ‘’ sangkal Munirah yang buat
tidak faham makna usikkan itu.
Mak
Lang Surinah tersenyum simpul. ‘’Basuh rambut lain sikit nanti sebab kena ada
niat dan baca-baca,’’ ujar Mak Lang Surinah kuat dan diiringi ketawa nakalnya
yang disambut yang lain.
Dia
hanya tersenyum dan cuba menepis usik-usikkan nakal itu dengan membuat tidak
tahu tetapi makin menjadi pula. Amboi, galaknya mengusik aku, gerutu Munirah
dalam hati.
Usik-usikkan nakal itu menambahkan debar yang
menggila dalam dada Munirah. Naik benggang dia dibuatnya. Selalunya apabila
sepupu-sepupunya berkahwin dia yang galak mengusik, sekarang dia pula yang
rasa. Seronok juga diusik barulah datang rasa berdebar nak bergelar isteri.
‘’Irah,
apa perasaan kau sekarang?’’ soal Aisyah yang sedang tekun menepek daun inai
yang ditumbuk hingga lumat bercampur gambir dan nasi sejuk. Campuran itu
ternyata menghasilkan warna yang cantik. Itu yang dilihatnya pada jari Aisyah
yang terkesan apabila menyentuh .
‘’Macam-macam.
Takut ada berdebar pun ada, ‘’ jawab Munirah lalu menguap. Dia amat letih dua
tiga hari kebelakangan itu. Segala persiapan dibuat sendiri. Hiasan bilik tidur
dan hantaran dibuatnya sendiri sambil dibantu ibunya, Kak Maria dan Mazni.
Sepupu-sepupunya juga ada membantu.
‘’Hai,
dah ngantuk, Irah. Awal lagi ni. Malam esok tak boleh ngantuk awal-awal,’’
belum sempat Aisyah membalas apa-apa, Kak Hasliza pula mengusiknya. Sabar
ajelah. Usikkan itu disambut ketawa besar yang lain. Mereka sedang sibuk memasukkan
telur pindang ke dalam bekas khas yang dibeli oleh ibunya. Berkat untuk para
jemputan yang bakal hadir untuk majlis perkahwinannya esok.
Aisyah
sudah mengekek ketawa. Dia turut ‘bersekongkol’ dengan saudara mara Munirah.
Seronok Aisyah melihat situasi itu. Dia bagaikan berasa yang Munirah berkahwin
dengan kekasih pilihan hati sendiri. Melihat dari segi persiapan dan
keseronokkan Munirah hampir terlupa kisah perkahwinan itu bermula. Suasana
kemeriahan yang sibuk dengan dipenuhi kaum keluarga serta jiran tetangga cukup
membuat Aisyah rasa seronok di rumah sahabat baiknya itu.
Berasa
geram pula Munirah melihat Aisyah ketawa. Jika tidak kerana tangannya ‘diikat’
sebentar, pasti lengan Aisyah akan dikutilnya manja.
‘’Kau
pun pun sama ya mengusik aku, ‘’ gerutu Munirah yang sedang duduk berlunjur
dengan badannya disandarkan pada dinding. Seronoknya dapat menyandar. Seharian
dengan kerja-kerja yang menimbun menyebabkan otot-ototnya kejang. Dia
‘dilarang’ membuat kerja sebenarnya tapi kasihan pula melihat Kak Maria dan
adiknya Mazni yang tidak terpegang semua kerja.
Aisyah
yang akan menginaikan lagi dua jari, tersengih memandang wajah Munirah
dihadapannya. ‘’Aku tumpang seronok kau kena usik, he he he...’’ jawab Aisyah
dengan ketawa mengekek.
‘’Marah
ke makcik?Alah, hari ini ajelah hari kau rasa diusik habis-habisan dengan
orang,’’ sambung Aisyah lagi setelah melihat Munirah muka berbelas-belas ke
belakang.
Munirah
memuncungkan bibirnya kemudian menjelirkan lidahnya pula. Aisyah sudah ketawa
terbahak-bahak.
‘’Macam
mana dengan bakal suami kau?’’ soal Aisyah pula cuba mengubah topik.
Munirah
bagaikan terkena kejutkan elektik dengan soalan Aisyah. Serta-merta wajah bakal
suaminya itu berlegar-legar diretinanya. Esok harinya. Hari yang bakal
memulakan kisah hidupnya bersama lelaki itu.
‘’Dia
okey aje,’’ jawab Munirah pendek. Ya, memang benar Firas Amsyar okey. Tampan
orangnya. Segak bergaya dan santai. Rasa tidak sesuai pula dia mendapat bakal
suami seperti Firas Amsyar. Berasa dia sangat muda di sisi lelaki itu.
Teringat
ketika mereka keluar bersama Datin Nora dan ibunya untuk membeli barangan
hantaran. Segalanya dibayar oleh lelaki itu. Mereka cuma bercakap apabila
perlu. Wajah lelaki itu sedikit garang dan tegas. Naik tegak bulu tengkuknya
apabila kali pertama melihat lelaki itu menjengkelkan mata bulat yang ke dalam itu terhadapnya. Munirah memilih
sahaja barangan yang disukainya selepas disuruh oleh Firas Amsyar. Apa lagi dia
pun ‘rembatlah’ beg tangan, kasut dan set solek serta barangan kecantikan wajah
yang berjenama. Rasanya sekali seumur hiduplah dapat berasa memakai barangan
berjenama antarabangsa.
‘’Okey
aje?’’ soal Aisyah lagi tidak puas hati dengan jawapan Munirah. Dia sedang
merapikan tepekkan inai dijari-jemari Munirah.
‘’Kau
nak aku cakap apa lagi? Okeylah. Dia baik aje dengan mak ayah aku dan
adik-beradik aku. Okeylah tu, ‘’ jawab Munirah bersahaja. Sebenarnya dia
sedikit ‘benci’ menjawab perihal bakal suaminya itu. Entahlah makin dekat
harinya makin bernanah hatinya dengan lelaki itu. Cara layanan yang keras dan
dingin buat dirinya membuatkan hatinya menjadi sebal. Seupaya mungkin dia
menyabarkan hatinya.
Namun
begitu, Firas Amsyar melayani keluarganya dengan baik tidak seperti dia melayan
bakal isterinya ini. Sinis dan serius. Ibu bapanya sebenarnya memang dah jatuh
cinta habis dengan Firas Amsyar. Bagi mereka memang layaklah Firas Amsyar
menjadi menantu mereka. Dia tidak nampak pula kalau-kalau lelaki itu berlakon
atau cuba berhiprokrasi. Tidak tahulah kalau lelaki itu cuba mengaburi mata
orang lain.
‘’Habis
tu dengan kau pulak, macam mana?’’ selidik Aisyah.
‘’Kita
orang masih canggung lagilah. Kau pun fahamkan situasi kita orang,’’ cerita
Munirah jujur dan sedikit mengeluh kerana ‘letih’ bercerita perihal bakal encik
suaminya itu.
Makcik
seorang inikan dah macam perisik perkahwinan aku pulak, gerutu Munirah.
‘’Tak
apalah mula-mula kekok, esok-esok dah hangat bercinta dah tak malu nak bermesra
dengan aku, he he he’’ giat Aisyah pula. Ketawa besar Aisyah dengan
kata-katanya sendiri.
Munirah
mencerlungkan matanya. Ketika itu, dia rasa mahu ‘menerkam’ Aisyah. Tangan yang
cantik berinai itu bagai mahu dilumurkan di muka Aisyah.
‘’Janganlah
marah! Aku gurau ajelah sayang intan payung. Lepas ni pergi minum air zam-zam
sikit biar reda sikit darah marah dengan gemuruh tu, ‘’ usik Aisyah lagi.
‘’Pandailah
kau...’’ dengus Munirah. Dia melonggar-longgarkan sendi tangannya yang sedikit
lenguh setelah Aisyah siap menepek inai. Apabila melihat jari-jemari yang
berbolot inai itu, rasa lain hatinya. Masa sekolah dulu seronok main
tumbuk-tumbuk daun inai. Akhirnya hari ini barulah kena dengan tujuan berinai.
Bukan macam zaman kanak-kanak Ribena yang suka-suka tepek inai dijari.
Aisyah
beralih ke kaki Munirah. Kuku di jari kaki pula diinainya. Sekejap-sekejap
Aisyah menaikkan kepalanya, terasa lenguh pula menunduk. Memakaikan inai buat
Munirah perkara yang sudah mereka sebutkan ketika seronok bercerita
anagan-angan perkahwinan mereka.
‘’Nanti
kau kahwin aku pakaikan inai tau. Aku kahwin nanti kau pula pakaikan.’’ Ingat
lagi perbualan dia dan Munirah.
‘’Irah,
kau percaya tak cinta selepas kahwin?’’ soal Aisyah tiba-tiba sambil mengesat
peluh yang mula menitik dengan belakang tangan kirinya.. Malam itu terasa
bahang. Keadaan rumah yang dipenuhi orang ramai menyumbang kepada keluar masuk
udara yang kurang. Padat rumah Encik Haron dan Puan Juriah dengan saudara mara.
Semuanya akan bermalam di situ.
Munirah
terkedu dengan soalan Aisyah. Tidak terfikir pula dia soal cinta. Lagikan pula
nak bercinta dengan Firas Amsyar. Apakah mungkin antara mereka akan ada
benih-benih cinta?
‘’Entahlah...aku
tak kahwin lagi, aku tak tahu.’’ Jawab Munirah selamba. Dia menggerakkan
kepalanya ke kiri dan ke kanan. Lenguh dengan tubuh yang perlu statik. Rasanya
malas nak mengenakan inai tapi mak dan kakaknya dah bising suruh berinai. Kata
mereka, kalau tak berinai bukan pengantin namanya.
Aisyah mencebikkan bibirnya. ‘’Aku tahulah kau belum
kahwin tapi esok kau dah nak kahwin ni. Kau tak akan ada angan-angan nak bercinta
selepas kahwin? Cinta lepas kahwin ni mesti bestkan? Yalah, dah halal. Nak buat
apa pun tak kisah.’’ Tutur bibir itu petah.
Munirah
mengangkat kening sebelah kanannya. Wajah Aisyah ditenung. Mereka bertentang
mata ketika itu.
‘’Mana
kau tahu best? Kau terpengaruh dengan novellah ni kan?’’ tebak Munirah. Dia
bukan tidak tahu kegemaran kawannya yang satu itu. Setiap bulan pasti ada
berbuah-buah novel dibelinya. Koleksi novel Aisyah dah boleh jadi perpustakaan
mini.
Aisyah
yang sudah selesai memakaikan inai di kaki Munirah, tersengih. Dia menepek pula
inai yang lebih di dalam mangkuk plastik itu ke jarinya pula. Sibuk juga mahu
berinai.
‘’Aku
baca macam lemak-lemak manis pula bercinta lepas kahwin ni. Lagi pun, bercinta
lepas kahwin ini yang lebih digalakkan sekarang ini. Kau tahulah sekarang ni
banyak sangat masalah sosial yang muncul disebabkan couple-couple bagai ni.
Maksud aku yang berpasangan tanpa matlamat yang cuma nak berseronok-seronok.’’
Bebel Aisyah panjang. Siap dikaitkan dengan isu semasa.
Kata-kata
Aisyah itu memang ada benarnya. Nilai cinta sudah jatuh tergolek dek nafsu yang
bergelora.
‘’Itu
dalam novel makcik. Ini kisah realiti hidup aku.’’ Sangkal Munirah. Dia
memusing-musingkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan untuk meregangkan otot.
Aisyah
yang sudah bangun untuk mencuci tangannya tersengih lagi. ‘’Alah, Irah tak
salah kalau kau cuba menyayangi Firas. Tak salah kalau kau goda hati dia. Kau
berhak raih bahagia dalam perkahwinan kau orang berdua.’’ Usai berkata
demikian, Aisyah berlalu ke dapur.
Munirah
terdiam sendiri. Kata-kata itu dibiarkan sepi dalam hatinya.
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)