Pages

welcome


Wednesday, January 22, 2014

PROJEK E-NOVEL KERANA TAKDIR ITU... BAB LIMA

Munirah sedang mengemas kelasnya setelah selesai tamat sesi pengajaran  pada hari ini. Dia menyusun kerusi meja dengan baik seperti sedia kala. Kemudian, dia mengambil penyapu lembut dan menyapu lantai bagi menghilangkan segala habuk mahupun pasir yang ada. Ralit Munirah membuat kerjanya. 
          Munirah bernyanyi kecil sambil tangannya lincah melakukan rutin hariannya itu. Selepas selesai menyapu lantai, dia kembali ke meja guru yang terletak di hadapan kelas. Dia membuka buku laporan mengajarnya. Setiap hari tenaga pengajar di Tadika Bintang Hati wajib membuat laporan mengajar yang akan disemak oleh pengetua yang merangkap pemilik taman didikkan dan asuhan itu, Puan Hajah Salwa.
          Laju jari-jarinya menulis. Ketika menulis dia terpandang, cincin belah rotan tanpa permata di jari manis tangan kanannya. Tersenyum dia melihat. Cincin itu menjadi tanda dirinya bakal dimiliki orang. Tak sampai beberapa minggu lagi dia akan memegang gelaran isteri. Kursus kahwin sudah pun dihadiri. Yang manisnya, sahabatnya Aisyah turut diheretnya untuk menghadiri kursus yang diadakan di Pejabat Agama Daerah Johor Bahru itu.
          Walaupun kursus yang dihadiri selama dua hari itu tidak mungkin dapat menyampaikan segala ilmu dan pendidikan rumah tangga sekurang-kurangnya bakal pengantin dapat ‘meyemak’ semula tujuan mendirikan masjid. Hendak mencari ilmu rumah tangga dan keibubapaan itu tidak semestinya dengan menghadiri kusus, dengan membaca bahan ilmiah berkualiti dan mencedok pengalaman orang yang lebih dahulu makan garam juga membantu.
          Teringat reaksi Aisyah apabila diajak untuk menyertai kursus kahwin yang wajib dihadiri semua bakal pengantin
          ‘’Kau ajak aku? Isshh...malulah aku,’’ dalih Aisyah. Sebenarnya tak salah pun kalau sesiapa nak menghadiri kursus itu waima bukan nak berkahwin dalam masa terdekat.
          Munirah memujuk lagi. “Nak malu apanya bukannya aku ajak kau pergi tempat tak senonoh. Lagi pun mana tahu kau jumpa calon suami masa tu?’’ giat Munirah. Dia cuba memancing minat temannya.
          Aisyah sudah menaikkan kedua-dua keningnya yang cantik beralis dan lebat itu sambil tersengih. Kemudian, sengihan itu mati. “Wei, bukan ke orang lelaki yang pergi kursus kahwin mesti dengan pasangan dia orang? Agak gelap peluang  untuk aku dapat calon.’’ Aisyah menyampaikan faktanya. Selalunya begitulah gaya pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga dengan menghadiri kurus kahwin bersama.
          ‘’Alah, tak apalah sekurang-kurangnya kau nak kahwin nanti dah ada sijil kursus kahwin. Manalah tau, kau pula ambil nombor nak kahwin lepas aku, ‘’ usik Munirah. Dia sudah ketawa berdekah-dekah.
          ‘’Yalah...mana tau ada mak datin mana pulak nak pinang aku, ha ha ha...’’ balas Aisyah selamba dan bersahaja. Ketawa besar dua sahabat itu.
          Tersentuh hati kecilnya melihat pasangan yang menghadiri kursus bersama, sedangkan dia hanya ditemani kawan baiknya.
          Munirah memujuk hatinya sendiri, tak apalah mungkin aku tak rasa manisnya sebelum berkahwin tapi aku akan rasai manisnya setelah halal. Pujukan hati kecil itu, mampu membuat dia kembali tersenyum manis. Dia yakin cinta selepas halal pasti lebih manis. Mungkin ini ketentuan yang terbaik Allah s.w.t anugerahkan buat dirinya. Siapa tahu? Siapa boleh jangka?
          Setelah sedar dia sudah jauh mengelamun , dia meyambung kembali tugasnya. Dua puluh minit kemudian tugasnya selesai. Dia mengambil buku kerja anak didiknya. Buku kerja yang terletak di tepi mejanya diambil. Buku Bahasa Melayu sebanyak 20 buah itu diambilnya. Dia melihat-melihat secara sepintas lalu latihan yang telah dibuat oleh anak-anaknya. Tersenyum dia melihat perkembangan anak-anak didiknya yang semakin hari semakin bijak. Bijak belajar dan bijak juga mulutnya.
          Kalau bercakap tak henti, kalau suruh bercerita laju sahaja. Kalau berbahasa Inggeris juga laju. Kadang-kadang Munirah yang terkebil-kebil nak membalas kata sebab dia bukanlah seorang yang begitu fasih berbahasa bahasa kedua. Jadi apabila dia sudah ‘zero’ dia akan menggunakan kuasa vetonya sebagai guru dengan menghentikan perbualan itu.
          Maklumlah Tadika Bintang Hati ini terletak dalam kawasan perumahan kos sederhana mewah. Kebanyakan ibu bapa dalam kalangan orang berpendidikan tinggi. Kalau mak bapa dah pandai, memang sengajalah kalau anak-anaknya tidak pandaikan? Ya, memang betul iman itu tidak dapat diwarisi tetapi gen kepandaian itu sedikit sebanyak boleh diwarisikan? Jarang kita mendengar anak-anak mak bapanya orang pandai, tidak menjadikan?
          Munirah menanda buku kerja anak-anaknya dengan pantas. Dia perlu menyelesaikan tugasnya dengan segera kerana selepas ini dia perlu ke bahagian taska untuk membantu cikgu-cikgu di sana pula kerana hari ini mereka ‘patah tulang’ kerana dua orang guru taska bercuti.
***
 Munirah memberi salam kepada seluruh penghuni taska itu. Taska itu terletak di rumah sebelah. Tadika Bintang Hati mempunyai dua buah lot rumah semi-d yang sebelahnya dijadikan tadika dan satu lagi dijadikan taska. Pagar yang ada sebelum ini telah dipisahkan ketika pengubahsuaian unit kediaman ini untuk menjadi Tadika Bintang Hati.
          ‘’Waalaikumussalam. Masuklah Moon,’’ jawab Cikgu Azwana ceria. Cikgu Azwana sedang memberi makan kepada anak-anak asuhan yang dibawah jagaannya seramai lima orang. Taska itu memiliki 30 orang anak asuhan di bawah asuhan lima orang guru dan seorang pembantu taska.
          ‘Moon’ ini panggilan yang Munirah dapat sejurus mengajar di tadika itu. Yang memberinya gelaran itu ialah Cikgu Azwana kerana matanya yang bulat dan bersinar macam bulan. Itulah yang diberitahu Cikgu Azwana apabila ditanya sebab menggelarnya dengan nama Moon . Sejak dari saat itu, kesemua ahli keluarga Tadika Bintang Hati memanggilnya Moon. Pada mulanya canggung dipanggil dengan nama itu, apabila sudah lama dia selesa dengan nama itu. Glamour pula rasanya apabila diapnggil Moon.
          ‘’Moon, dah makan?’’ tanya Cikgu Azwana yang sedang memberikan secawan air bagi setiap anak-anaknya. Anak-anak yang berusia dua hingga tahun itu.
          Munirah yang baru melabuhkan punggungnya di lantai, menggeleng. ‘’Belum, Kak Wana baru habis settle semua kerja terus datang sini,’’ jawab Munirah perlahan. Dia mencuit pipi anak-anak asuhan itu. Comel-comel wajah mereka. Dia menegur-negur anak-anak itu.
          ‘’Pergilah makan di dapur tu,’’ suruh Cikgu Azwana dengan memuncungkan bibirnya.
          Munirah tersengih sambil memegang perutnya yang kempis itu. ‘’Akak ini memang hebatlah,  tahu aje perut ini tengah joget lagu dangdut he he he. Moon pergi makan ea, ‘’ balas Munirah lalu bangkit dan menuju ke dapur taska.
          Cikgu Azwana hanya tersenyum sendiri. Geli hati dia melihat telatah anak dara itu.
          Sementara itu, di dapur kelihatan Cikgu Haninah dan Cikgu Khairina sedang menjamu selera tengah hari mereka.
          ‘’Kak Nina dan Kak Irin, boleh Moon join?’’ sapa Munirah lembut dan ceria sahaja terhadap dua orang ibu muda itu.
          ‘’Eh, jomlah makan, Moon.” Cikgu Khairina mempelawa Munirah menyertai mereka.
          Munirah mencuci tangannya di singki dengan pencuci tangan Dettol itu. Kemudian, dia mencapai pula pinggan Corelle di tepi singki.
          ‘’Sedapnya lauk, ‘’ ujar Munirah setelah melihat Sambal Tumis Telur dan sayur Kubis Lemak Putih kegemarannya terhidang di meja makan bersaiz bulat yang boleh diduduki seramai enam orang itu.
          ‘’Makanlah. Lepas ni nak guna banyak tenaga tau,’’ jemput Cikgu Haninah mesra. Sempat lagi dia mengusik Munirah. Mereka memang memerlukan tenaga Munirah kerana dua rakan mereka, Azizah dan Safiah bercuti. Azizah cuti bersalin anak sulung manakala Safiah bercuti kerana demam.
          Munirah mencedok dua senduk nasi ke pinggannya. Ya, dia memang kuat makan nasi. Kalau makan nasi bertambah-tambah tapi berat tetap begitu. Kemudian, dia mencedok lauk yang cukup menjemput seleranya.
          Munirah membaca doa makan dan memulakan suapannya. Lauk yang dimasak Kak Kamilah, pembantu taska memang cukup rasa. Sedap sangat. Sayur masak lemak putih memang kegemarannya. Lemak putih yang dimasak tanpa tumis memang menyelerakan lebih-lebih lagi digandingkan dengan sambal tumis.
          Haninah dan Khairina yang sudah selesai, bangkit dan menuju ke singki.
          ‘’Moon, Kak Nina dengar cerita Moon nak kahwin ya?’’ aju Cikgu Haninah lembut sahaja nadanya. Manalah tahu berita yang didapatinya ini tidak sahih. Dia sedang mencuci pinggan yang digunakan oleh mereka. Cikgu Khairina pula, mengelap-ngelap dapur masak yang terdapat percikan minyak. Mungkin Kak Kamilah terlepas pandang. Kak Kamilah sedang mencuci tandas jadi wajarlah dia membantu apa yang perlu walaupun dia sebagai guru.
          Munirah yang sedang enak makan menghentikan suapannya. Dia meneguk sedikit air putih yang yang dituang oleh Kak Irin untuk dirinya tadi. Rasa seperti tercekik pula dengan soalan menjerut leher itu.
          ‘’Ya, kak. Mana akak tahu ni?’’ soal Munirah pula dalam rasa yang masih terkejut.  Amboi, cepatnya tersebar berita perkahwinannya ditelinga-telinga ahli keluarga Bintang Hati ini!
          ‘’Puan Hajah yang beritahu kami,’’ jawab Cikgu Haninah. Dia memandang wajah Cikgu Khairina. Mereka tersenyum penuh makna. Ketika itu, Munirah membelakangkan mereka. Jadi benarlah bukan gosip.
          ‘’Moon, tengah sibuk buat persiapanlah sekarang ni ya? Majlis tak lama lagikan?’’ selidik Cikgu Khairina pula yang melabuhkan kembali punggungnya di kerusi tadi berhadapan Munirah.
          Mereka juga sebenarnya terkejut dengan berita yang dibawa oleh Puan Hajah Salwa pagi tadi. Mereka tidak perasan pula Munirah seperti gadis yang sibuk dengan persiapan perkahwinan. Setahu mereka jika seseorang yang bakal berkahwin pasti sibuk bercerita perihal persiapan perkahwinan dengan rakan sekerja tapi berbeza pula dengan rakan sekerja mereka itu. Tidak pernah sekali bibir mungil itu memberitahu kepada mereka yang dirinya bakal menamatkan zaman dara.
          Munirah sedang menelan perlahan-lahan suapannya. ‘’Biasa aje persiapannya. Moon suka yang simple-simple aje. Majlis lagi dua minggu. Jemput datang tau Kak Irin dan Kak Nina. Memang cadangnya nak edar kad jemputan esok . Tadi beritahu Puan Hajah sebab nak minta cuti,’’ beritahu Munirah sempat menjemput sekali setelah makanan telah selamat masuk ke dalam saluran makanannya iaitu osofagus.
          ‘’Tak kisahlah yang penting ijab dan qabul tu selamat dijalankan. Besar ke kecil majlis ikut kemampuanlah. InsyaALLAH kami datang, ‘’ balas Cikgu Haninah lalu mengambil tempatnya kembali.
          ‘’Siapa bakal suami Moon? Kami kenal ke?’’ risik Cikgu Khairina pula. Haruslah kena ambil tahu. He he he... Seingat mereka, tidak pernah pula dia melihat sesiapa yang ‘istimewa’ yang menghantar gadis itu ke taman didikkan dan asuhan itu. Gadis ini juga tidak pernah perihal kisah peribadinya terutamanya kisah hati.
          Munirah yang sedap menjamu makanan tengah harinya merasa kelat pula ingin meneruskan suapan. Tetapi memikirkan perut yang lapar, dia meneruskan juga. Aduhai, hilang sedikit nikmat untuk makan setelah cerita perkahwinan berjaya ‘dibongkar’.
          ‘’Akak berdua tak kenal. Kami dah lama kenal sebab family kami rapat,’’ beritahu Munirah dan terus menyuap suapan yang terakhir. Dia mengangkat pinggan kotornya ke singki untuk dicuci. Hilang niatnya untuk menambah.
          ‘’Oh...’’ panjang ‘oh’ Cikgu Kahirina dan Cikgu Haninah. Mereka tersenyum simpul antara satu sama lain.
          Munirah meminta diri. ‘’Kak, Moon ke depan dulu ya, ‘’ pamit Munirah dan berlalu ke hadapan untuk melihat-melihat asuhan yang memerlukan perhatiannya. Waktu tengah hari, waktu tidur untuk anak-anak asuhan di sini. Perlu melihat sekiranya ada yang meragam tidak boleh tidur atau yang perlu belaian sebelum tidur. Anak-anak di sini memang manja.
          Cikgu Khairina dan Cikgu Haninah hanya menganggungkan kepala.
          ‘’Patutlah Puan Hajah tu sedih aje Kak Nina, rupanya menantu pilihan dia bakal jadi milik orang, ‘’ ujar Cikgu Kahirina setelah kelibat tubuh Munirah makin menghilang.
          Cikgu Haninah yang sedang mengelap meja makan membalas,’’ yalah, anak dia Razlan tu dah lama berkenan dengan Moon. Puan Hajah pun memang dah sayang habis dengan Moon. Tapi nak buat macam mana dah tiada jodoh. ‘’
          ‘’Betul tu Kak Nina. Kalau kita beria padukkan belum tentu menjadi kalau dah diluth mahfuz bukan jodoh mereka.’’ Cikgu Kahirina menyetujui kata-kata Cikgu Haninah.
          ‘’Irin, jomlah kita sambung kerja!’’ ajakkan Cikgu Haninah mematikan perbualan mereka setelah menyedari tempoh mereka berada di dapur. Risau pula mereka sekiranya Puan Hajah Salwa buat spotcheck.
***
Munirah yang berada dalam tandas yang berdekatan dapur taska terkejut mendengar perbualan dua orang ibu muda itu. Mereka berdua tidak perasan dia menyusup masuk ke dalam tandas. Dia dapat berasa ada sesuatu yang dikongsikan oleh dua guru taska itu, benarlah tekaannya.
          Abang Razlan anak sulung Puan Hajah Salwa ada menyimpan perasaan terhadapnya? Patutlah Abang Raz panggilan Munirah untuk jejaka itu, selalu berkunjung ke tadika jika dia bercuti selepas dia penat on call. Abang Razlan merupakan Pegawai Perubatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Pegawai Perubatan yang dalam proses mendalami opsyennya dalam Bidang Kardiologi. Orang bercita-cita nak jadi Pakar Bedah Jantunglah katakana, sejak kecil lagi. Cita-cita yang terbit selepas melihat bapa Dr. Razlan suami kepada Puan Hajjah Salwa meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Dr. Razlan tidak mahu lagi melihat orang disayanginya pergi disebabkan pembunuh utama rakyat Malaysia kini.
          Munirah mengetahuinya pun setelah Dr. Razlan yang bercerita kepadanya. Ketika itu, kali pertama mereka berjumpa kerana Dr. Razlan menghantar barangan yang dipinta uminya. Munirah cuba berbasa basi sahaja bertanya perihal kerjaya lelaki yang berkarisma itu. Tidak jangka pula, ramah tamah pula anak teruna Puan Hajah Salwa bercerita dan berkongsi impiannya sebagai pengamal perubatan.
          Selepas itu, Abang Razlan suka mencari peluang untuk berbual dengannya. Kadang kala Munirah melarikan diri ke taska apabila Dr. Razlan muncul. Munirah segan dengan kakitangan yang lain. Munirah gusar sekiranya mereka fikir dia ingin menggoda Dr. Razlan dengan perhatian yang diberikan oleh lelaki itu terhadap dirinya. Panggilan Abang Raz pun, lelaki itu yang minta dipanggil begitu.Tetapi bersyukurlah dia, mereka di situ umpama sebuah keluarga besar yang saling menyayangi antara satu sama lain. Tidak pernah berasa iri hati atau syak wasangka antara satu sama lain.
          Puan Hajah Salwa juga melayan dirinya dan kakitangan lain dengan penuh kasih sayang. Membuatkan mereka di sini menganggapnya sebagai ibu mereka sendiri. Munirah tidak pernah menyedari maksud tersirat Puan Hajah Salwa terhadap dirinya. Bagi Munirah itu layanan seorang wanita yang penuh jiwa keibuannya.
          Nasib baiklah, aku tak pernah ‘melayan’ Abang Raz kalau tak kesian anak teruna orang. Munirah bermonolog sendiri. Layanan buat lelaki itu diberi seadanya sebagai menghormati status lelaki itu sebagai anak majikannya. Tarafnya sama juga seperti majikan. Dia pun keluar dari tandas dan menuju ke ruangan anak-anak asuhan.
          Nampaknya hari itu, dia perlu pulang pukul 5.30 petang. Alhamdulilah Puan Hajah Salwa membayar gaji bagi kakitangan yang bekerja lebih masa. Sekurang-kurangnya bertambah sedikit gajinya. Wang lebih itu dapatlah diberikan buat ibu dan bapanya untuk perbelanjaan rumah. Sememangnya setiap bulan wang gajinya ada bahagian buat ibu bapanya cuma apabila dapat lebih bolehlah beri lebih. Maklumlah pendapat guru tadika sepertinya tidaklah besar mana cukuplah menampung perbelanjaan untuk diri sendiri seperti pakaian dan barang kebersihan serta kecantikan diri.
          Gembira dan nikmat yang tidak dapat digambarkan apabila dapat memberi mak ayahnya berasa wang gajinya. Terasa keberkatan wang gajinya.
          Dia pernah terbaca di dalam sebuah buku tentang rezeki. Sebagai anak yang sudah bekerja, wajarlah untuk mereka memberi sedikit wang gaji buat ibu dan ayah. Ini kerana rezeki yang sedikit pasti terasa berkatnya apabila dikongsi bersama orang tua yang telah bersusah payah mengasuh dan membesarkan kita.


No comments:

Post a Comment

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)