Hari sabtu itu, genap seminggu peminangan yang
dilakukan tanpa jawapan itu berlangsung. Pihak lelaki ternanti jawapan daripada
keluarga Encik Haron. Besarlah harapan mereka untuk melihat anak lelaki sulung
mereka itu disatukan bersama anak dara Encik Haron dan Puan Juriah.
Datin
Nora sudah lama mengidam untuk bermenantukan anak perempuan Encik Haron dan
Puan Juriah. Dia cukup berkenan dengan rupa dan peribadi gadis semanis Munirah.
Munirah bagaikan spesies gadis Melayu yang diancam kepupusan bagi Datin Nora.
Ini kerana, dek kemajuan teknologi dan
peredaran zaman, anak perempuan kini semakin berbeza.
Kalau dahulu anak dara boleh dikawal dengan
sempurna. Boleh disekat pergaulannya tetapi sekarang pergaulan yang disekat
juga tidak baik untuk proses kehidupan mereka kerana satu masa nanti mereka
perlu berada dalam masyarakat untuk berkerja dan belajar serta hidup berumah
tangga. Kalau tidak, taklah dipanggil katak bawah tempurung. Semua perkara
tidak tahu hanya tahu dunia mereka sahaja.
Dato’
Arshad bersama Datin Nora berkunjung ke
rumah sahabat baik mereka ketika zaman persekolahan. Mereka merupakan sahabat
ketika sama-sama menuntut pelajaran di Tingkatan 6 atas dan bawah di Maktab
Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor yang lebih dikenali sebagai English
College dalam kalangan masyarakat Johor. Sekolah yang terletak di pusat Bandar
Johor Bahru.
Rezeki
mereka sahaja yang berbeza. Dato’ Arshad
dan Datin Nora berpeluang melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya manakala,
Encik Haron pula memperoleh pekerjaan di
sektor kerajaan. Encik Haron dan Puan Juriah mendirikan rumah tangga terlebih
dahulu. Dato’ Arshad dan Datin Nora menyusul tiga tahun kemudian. Hubungan
kedua-dua buah keluarga itu memang baik dan rapat. Oleh sebab itulah, Dato’
Arshad dan Datin Nora ingin lebih mengeratkan lagi hubungan dua buah keluarga
itu. Melalui ikatan dua hati ini akan menguatkan hubungan silaturahim antara
mereka.
Encik
Haron dan Puan Juriah menerima kedatangan, pasangan suami isteri itu dengan
gembira sekali. Walaupun mereka tahu jawapan yang bakal diberikan akan
mengecewakan hasrat murni pasangan suami isteri itu.
Munirah
sedang membancuh minuman panas buat sahabat ayahnya itu. Kopi O panas. Dia
sedang menggoreng kuih Cucur Badak yang dibuatnya bersama maknya pagi tadi. Dia
membalik-balikkan kuih yang dalam kuali panas itu. Petang itu, dia mengenakan sepasang kurung Johor yang
sudah bertahun dipakainya. Warna baju kurung yang ceria mungkin tidak seceria
perasaannya pada petang itu.
Sementara
itu, di ruang atas rumah Encik Haron dan Puan Juriah rancak bercerita.
Nampaknya topik perbualan mereka belum pun masuk ke topik yang sepatutnya. Isu
semasa berkenaan kenaikan harga barang makanan yang seronok dibualkan bersama.
Rupanya orang kaya pun mengeluh pasal kenaikan harga. Fikir Munirah, orang kaya
tidak berasa tempiasnya kerana mereka mampu dari sudut kewangan. Nampaknya,
andaian Munirah itu ternyata salah.
Hati
Munirah bagaikan ingin keluar daripada tubuhnya kerana terlalu bedebar-debar.
Aduhai, begini rasanya gadis yang disunting orang! Ingatkan boleh selamba badak
aje, rupanya perangai gila-gila hilang sekarang ini. Munirah bermonolog di
dapur sambil tangannya ligat dengan kerjanya itu.
Tiba-tiba
sedang asyik dia menyusun Cucur Badak di atas piring, dia terdengar suara Dato’
Arshad membuka kata.
‘’Haron
aku dan Nora ni tak sabar nak menunggu jawapan daripada Munirah. Maklumlah,
Nora ini dah lama sangat berkenan dengan Munirah.’’ Dato’ Arshad membuka pintu
bicara dengan ceria sambil memandang
wajah isteri tersayang berada di sebelahnya sambil tersenyum penuh makna dan
harapan.
Encik
Haron dan Puan Juriah memandang antara satu sama lain. Puan Juriah memberi
senyuman kepada tetamunya itu. ‘’ Macam inilah, Shad, Nor... aku dan Juriah
memang berbesar hati dan bersyukur dengan hasrat kau orang berdua nak sunting
anak aku, Munirah. Walaupun begitu, kami sebagai ayah dan maknya tak boleh
memaksa anak kami dalam soal jodoh. Aku dan Juriah tahu kami sekeluarga dah
terhutang budi dengan kau berdua tapi nampaknya aku tak boleh jadikan Munirah
sebagai gantinya.’’ Encik Haron membalas dengan kata-kata yang halus namun,
penuh maksud mendalam.
Dato’
Arshad dan Datin Nora berpandangan sesama sendiri. Mereka terkejut dengan ayat
terakhir yang dilontarkan oleh Encik Haron.
‘’Ha, Ju bukan itu tujuan kami mengambil
Munirah sebagai menantu. Aku tak terfikir pun pasal kes Mahadzir tu. Aku tolong
kau sebab kau kawan aku. Ini tak ada kena mengena pasal membalas budi.’’ Dato’ Arshad menjelaskan niat sebenar mereka
dengan rasa yang sedikit kecewa dengan tanggapan kawan baiknya itu.
Datin
Nora mengangguk-anggukan kepalanya tanda bersetuju dengan suaminya. ‘’ Ha,
Ju...kami tak pernah anggap ni semua pasal budi. Itu semua perkara lain. Ini
soal niat kami yang inginkan Munirah menjadi menantu kami.’’ Datin Nora pula
menambah bagi menegakkan kebenaran niat murni dia dan suaminya.
Encik
Haron dan Puan Juriah terdiam sendiri. Ternyata mereka berdua menaruh syak
wasangka terhadap sahabat baik sendiri. Ketika itu, mereka berasa bersalah yang
amat sangat. Encik Haron memandang wajah Puan Juriah yang nampak rasa
bersalahnya.
‘’Maafkan
kami... Shad, Nor. Kami dah berdosa dengan awak berdua. Kami kasihankan anak
kami, dia masih muda. Dia ada hak untuk menentukan jodoh dia.’’ Puan Juriah
pula bersuara demi anaknya, Munirah.
Walauapapun berlaku, dia tak akan biarkan anaknya menanggung kesedihan
cukuplah apa yang dilihatnya dua tiga hari lepas. Dia tahu anaknya tidak ingin
berkahwin dengan anak teruna Dato’ Arshad dan Datin Nora. Dia ibu, dia tahu apa
yang dirasakan oleh anaknya.
Jelas
terpapar wajah hampa Dato’ Arshad dan Datin Nora. Nampaknya hari itu mereka
terpaksa membawa pulang berita yang sedih. Habis punah segala angan-angan Datin
Nora untuk membuat majlis menyambut menantu yang terbaik yang paling bermakna
untuk Munirah. Segala tema dan warna sudah dibayangkannya selepas dia dan
suaminya mengambil keputusan untuk menyunting bunga di taman milik sahabat
mereka. Dia memang berharap sangat Munirah akan menjadi menantunya.
Dato’
Arshad membuka cermin mata yang dipakainya dan bersuara, ‘’ kalau dah itu
keputusan kau orang berdua, aku dan Nora terpaksa terima.’’ Jelas nada kecewa yang dilontarkan oleh Dato’
Arshad sambil memagut pandangan kea rah isteri yang berada di sebelahnya.
Terdampar wajah kehampaan seorang ibu. Punah segala mimpi dan angan mereka
berdua untuk melihat anak lelaki sulung mereka bersatu hidup bersama anak
kenalan mereka.
Munirah
yang sudah bersedia membawa hidangan buat tetamu, masih lagi statik di mata
tangga yang pertama dapur yang
menghubungkan ruang tamu. Dia mendengar segala perbualan antara ibu bapanya dan
pasangan suami isteri itu. Dia sibuk kerja di dapur, namun halwa telinga tetap
mencuri dengar. Dia kasihan dengan ibu
dan ayahnya yang tidak mahu dia berkahwin dengan cara yang sebegitu.
Datin
Nora yang masih lagi tidak berputus asa untuk mendapatkan apa yang diidamnya
selama ini. ‘’ Ha, Ju...boleh tak aku nak tahu jawapan yang keluar sendiri
daripada Munirah? Bukan apa, aku nak biarlah tuan punya diri bersuara juga,’’
pinta Datin Nora yang cantik berbaju kurung Johor bercorak abstrak.
‘’Saya
terima lamaran itu, Pak Shad dan Mak Cik Nora. ‘’ Jawapan itu cukup mengejutkan
kedua-dua pasangan suami isteri itu.
Mereka
rancak berbincang sehingga tidak perasan akan kemunculan Munirah yang membawa
hidangan baut tetamu. Munirah masih dengan wajah tenangnya. Bersahaja dia
meletakkan hidangan buat mereka. Dia
menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Datin Nora manakala, dengan Dato’
Arshad hanya memberikan senyuman.
Datin
Nora sudah tersenyum gembira dengan jawapan Munirah. Dia menyambut huluran
tangan Munirah dengan penuh mesra dan keibuan.
Ternyata kontra benar jawapan orang tua dan tuan punya badan. Dato’
Arshad juga tersenyum gembira dan menyangkutkan semula cermin matanya di
hidung.
Puan
Juriah dan Encik Haron berpandangan sesama sendiri. Mereka terkedu dengan
jawapan Munirah. Mereka pun silap tidak bertanya dan hanya membuat kesimpulan
sendiri. Tidak tahu pula mereka, yang Munirah menerima pinangan itu. Malam kelmarin,
mereka tiga beranak ada berbincang Munirah hanya diam apabila ditanya tentang
jawapan. Oleh itu, mereka membuat kesimpulan sendiri. Sehinggalah hari ini
mereka tidak bertanya tentang keputusan hati anak gadis mereka.
Munirah
mengambil tempat di sisi ibunya di sofa panjang itu. Dia menghadiahkan senyuman
manis buat semua. “Ayah, mak...Irah dah fikir masak-masak pasal perkara ini.
Mak dan ayah kenapa tak tanya keputusan Irah?’’ tanya Munirah kepada ibu dan
ayahnya yang masih lagi terkejut dengan ‘kejutan’ yang dibuat oleh anak dara
mereka.
Puan
Juriah sudah memandang suaminya dan seolah-olah bertanya sesuatu kepada
suaminya. Dia mengambil tangan kanan Munirah, digenggamnya erat. Munirah
memberi senyuman manis buat ibunya.
‘’Mak
ingat, Munirah tak terima pinangan ini. Hari itu, mak dan ayah tengok Irah diam
macam sedih aje apabila mak dan ayah cakap pasal perkara ni. ‘’ Puan Juriah
cuba mencari kepastian keputusan anaknya. Dia gusar keputusan itu didorong rasa
kasihan kepada dia dan suaminya.
Encik
Haron yang diam memerhati cuba mencelah,’’ betul tu, Irah. Ayah dan mak tahu
soal jodoh bukannya perkara yang remeh. Ayah tahu budak sekarang bukan zaman
dahulu yang tiada pilihan, terima aje keputusan mak dan ayah.’’
Munirah
menghela nafas panjang. Dia sudah meneka situasi itu akan berlaku. ‘’Mak dan
ayah...Irah dan buat apa yang patut untuk dapatkan jawapannya. Irah yakin ini
semua takdir-NYA. Qada’ dan qadar Allah itukan pasti. Kalau dah jodoh, apa cara
pun pasti bertemu. Irah reda dan berlapang dada dengan semua ini.” Munirah
menerangkan dengan penuh yakin dan dia berharap mak dan ayahnya juga yakin
dengan keputusannya. Tersusun ayatnya mengatur bicara.
Dato’
Arshad dan Datin Nora sudah tersenyum simpul dan bahagia dengan kata-kata yang
penuh yakin diucapkan oleh Munirah. Ternyata tepat calon menantu pilihan
mereka. Naluri ibu dan bapa itu tahu yang mana terbaik buat anak sulung mereka
itu. Tidak sia-sia langkah berani mereka meminang bunga larangan di taman yang
indah itu. Bunga yang suci daripada noda dan tangan-tangan kotor manusia. Bunga
yang belum dipetik orang. Mawar berduri yang kebal daripada segala godaan nafsu
dan duniawi.
‘’Ha,
Ju...kalau itulah keputusan Munirah, kami berdua gembira sangat. Nora dah
dapatlah apa yang dia idam selama ini. Kalah ‘mak buyung’ tau, yang dia
mengidam,’’ seloroh Dato’ Arshad. Datin Nora di sebelah menepuk paha suaminya
yang sempat mengusiknya.
Datin
Nora pula menyambung. ‘’Kalau dah begitu, kita tetapkan terus tarikhnya. Tarikh
pertunangannya, nikah dan langsungnya, ‘’ teruja benar Datin Nora untuk melihat
Munirah menjadi anak perempuan dalam keluarganya. Munirah sudah dikenalinya
sejak Puan Juriah melahirkannya ke dunia. Dia melihat anak gadis itu membesar
daripada cara didikkannya dan asuhannya. Oleh sebab itulah, dia ingin memberi
‘tanda’ kepada Munirah secepat mungkin.
Kalau
ikutkan perasaannya, ketika usia Munirah berusia 17 tahun lagi dia mahu
meminang. Hasrat itu dipendamkan terlebih dahulu, selepas itu pula, Munirah memilih menyambung pelajaran ke
tingkatan 6. Sejurus sahaja Munirah tamat persekolahannya, itulah masa yang
sesuai untuk dia memiliki bunga mawar berduri itu.
‘’Tuan
punya badan dah pun bagi persetujuan. Aku dan Ju rasa tak perlulah diadakan
majlis pertunangan. Kita sarung aje cincin pada hari ini. Bertunanglah teruslah
kiranya. ‘’ Encik Haron membuat keputusan sebagai ketua keluarga.
Puan
Juriah dan Munirah hanya diam tanda setuju. Kalau dah itu kata walinya mereka
hanya bersetuju. Bagi diri Munirah dia tidak kisah soal majlis pertunangan,
baginya yang wajib patut dilaksanakan. Tidak perlu majlis pertunangan yang
gah-gah lainlah kalau bertunang dengan pilihannya sendiri. Lagi pun banyak
belanja yang perlu dikeluarkan.
‘’Baguslah
kalau macam tu. Jimat masa kita. Haron, Juriah...soal belanja majlis kami akan
uruskan. Kamu berdua jangan risau soal
belanja.” Setuju Dato’ Arshad. Datin Nora hanya mengangguk-anggukkan kepalanya
sambil tersenyum tanda setuju dengan keputusan suaminya.
‘’Shad,
Nora...kami tak menetapkan sebarang jumlah hantaran mahu pun mas kahwin.
Terserah bagi pihak kau untuk memberi. Janganlah begitu, Shad. Aku dah Juriah
akan uruskan belanja majlis di sini,’’ larang Encik Haron. Dia masih mampu
untuk mengeluarkan belanja untuk majlis perkahwinan anaknya. Simpanannya untuk
anak-anak cukup untuk digunakan. Lagi pun, dia sudah tidak mahu terhutang budi
dengan sahabatnya itu. Tebal mukanya.
‘’Tak
apalah, Ha. Kami memang dah berhajat untuk melaksanakan kedua-dua buah majlis.
Munirah terima pinangan ini dah cukup bermakna buat kami sekeluarga,’’ celah
Datin Nora ceria nadanya. Gembira bukan kepalang dirinya ketika itu kerana
bakal memiliki Munirah sebagai anak perempuannya. Dia tidak kisah sekiranya
selepas ini Munirah akan menyambung ke mana pun. Ini kerana dia telah berjaya
memiliki sebagai menantu sulungnya.
“
Kalau begitu, kami sekeluarga tidak akan menerima sebarang jumlah hantaran. Mas
kahwinnya sahaja. Itu yang wajib, ’’ putus Encik Haron.
Puan
Juriah dan Munirah hanya diam sahaja. Mereka menyerahkan sepenuh keputusan
kepada suami dan ayahnya. Kalau itu yang difikirkan baik oleh suami, baiklah
untuk mereka juga. Itulah kelebihan satu akal yang Allah s.w.t kurniakan buat
lelaki kerana mereka menjadi sandaran kaum hawa dalam membuat keputusan keluarga.
Munirah
akur dengan kata-kata ayahnya namun, dalam hatinya gugup juga maklumlah akan
bergelar tunangan orang pasti banyak cabarannnya.
‘’
Bermula dari sekarang, segala persiapan akan dilakukan. Munirah dan Firas akan
disatukan awal bulan hadapan, ‘’ putus Dato’ Arshad. Yang lain turut bersetuju.
‘’Tak
terlalu cepat ke semua ni?’’ soal Munirah ragu-ragu. Dia terkejut dengan
keputusan Dato’ Arshad. Baru ayahnya putuskan dia akan bertunang, tiba-tiba
Dato’ Arshad pula putuskan majlis akan berlangsung lagi sebulan! Aduhai, boleh
kena serangan jantung aku macam ni sebab
terkejut!
Empat
pasang mata menerobos pandangan ke arah Munirah. Puan Juriah yang berada di
sebelah Munirah, mengenggam erat tangan anaknya bagai menyalurkan arus kekuatan
dalam salur darah Munirah. Sebagai ibu, dia tahu anaknya terlalu muda untuk
menggalas tanggungjawab sebagai isteri.
‘’Kenapa?
Munirah tak bersedia lagi ya nak jadi isteri Abang Firas?’’ tanya Datin Nora
lembut dengan penuh rasa keibuan.
‘’Sayakan
masih muda lagi. Mestilah rasa takut,’’ jawab Munirah dengan penuh berhati-hati
mengatur kata-kata.
Tersenyum
empat bibir kepada Munirah. Mereka faham keadaan Munirah. Rasa takut untuk
menggalas tanggungjawab sebagai isteri di usia muda. Lebih-lebih lagi kalau
dikurniakan cahaya mata awal pastikan bertambah tanggungjawab sebagai ibu muda
pula. Bertambah pula dengan zaman yang serba moden dan mencabar ini.
‘’Irah,
jangan risau atau takut sebab umi dan mak Irah pun dulu berkahwin muda,’’ balas
Datin Nora yang membahasakan dirinya sebagai umi.
‘’Betul
tu, cakap umi tu, Munirah. Alah, umi pun masa kahwin dengan abah pun bukannya
dah pandai serba-serbi tapi umi ni rajin belajar. Munirah jangan risau nanti
umi dan mak Irah akan pandu Irah okey,’’ tambah Dato’ Arshad pula meyakinkan
bakal menantunya itu.
‘’Irah,
kena yakin jangan risau segalanya akan berlaku dengan baik lagikan pula nak
membina masjid ni sunnah Rasulullah. Yakin ya,nak. ‘’ Encik Haron pula
mencelah.
Munirah
yang memain-mainkan jari jemarinya hanya diam. Dia tidak tahu sama ada dia
mampu atau tidak memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dalam masa tidak
sampai dua bulan untuk mempersiapkan diri. Dia tidak pernah terfikir akan
berkahwin di usia yang muda. Dahulu masih enak dibangku persekolahan, dah tetapkan
umur 27 baru nak kahwin kononnyalah. Sekarang ini, nampaknya angan-angan Minah
Jenin Munirah tidak menjadi. Hai, nasib baiklah bertemu jodoh awal, kalau dah
30 tahun tak kahwin juga memang harulah namanya. Andartulah gelaran buat
dirinya ketika itu. Saham dah turun.
Akhirnya
petang itu juga, jari manis tangan kanan Munirah tersarung cincin belah rotan
sebagai tanda dirinya milik orang. Encik Haron menganggapnya sebagai
pertunangan kerana baginya tidak perlu diadakan majlis pertunangan yang
besar-besaran kerana antara kedua-dua buah keluarga itu sudah saling mengenali.
Biarlah segalanya ringkas dan mudah.
No comments:
Post a Comment
dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)