Pages

welcome


Wednesday, January 22, 2014

PROJEK E-NOVEL KERANA TAKDIR ITU... BAB ENAM

“Firas tak setuju, abah!”
          Semua yang berada dalam rumah banglo tiga tingkat itu hanya diam mendengar pekikan Firas Amsyar yang kelihatan berang apabila mendengar abah dan uminya berkata hal peminangan itu.
          Ketika itu, seminggu sudah pertunangan yang dicipta secara rahsia oleh ibu bapanya. Adik-beradiknya juga baru mengetahui ketika ibu bapanya meminta mereka sekeluarga berkumpul. Rupanya perkara itu yang ingin diberitahu.

          “Keluarga Pak Haron dah terima pinangan kita. Kamu perlu terima perkara ini.”  Dato’ Arshad tegas dengan kata-katanya dengan kuasanya sebagai bapa. Dia  berdiri sambil memasukkan tangan ke dalam kocek seluar slacknya di hadapan anak lelaki sulungnya itu.
          “ Tapi abah dan umi tak patut nak tentukan jodoh Firas. Firas dah rancang nak kahwin dengan Amelia. Umi dan abah memang tak adil!” tempik Firas sekali lagi.
          Dato’ Arshad dan Datin Nora berpandangan sesama sendiri. Tidak disangka anak lelaki sulung yang selama ini dididik dengan sempurna agama dan moralnya boleh berkurang ajar dengan orang tua.
           Farah Laura anak kedua keluarga itu dan suaminya, Farouk juga diam. Fakhrul dan Fatin Lufya juga hanya diam memandang abah dan umi mereka berbicara bersama abang sulung mereka. Seorang pun daripada adik-beradik Firas tidak menyampuk. Mereka semua sedia maklum perangai abang sulung mereka yang sedikit  panas baran lebih-lebih lagi apabila ibu bapa mereka cuba mencampuri urusan peribadinya iaitu soal jodoh.
          “Perempuan yang macam pelacur kelas atasan tu nak kau jadikan isteri?” soal Datin Nora dengan tegas sekali.
          Firas cuba membidas kenyataan uminya itu,” umi tak ada hak nak cakap Amelia macam tu,”
          Datin Nora mempertahankan hujahnya,” umi ada hak sebab Firas anak umi.  Dan umi tak akan restu kalau Firas nak memperisteri perempuan macam tu,”
          Dato’ Arshad pula menyampuk,” abah dah siasat siapa Amelia yang sebenarnya, Amelia hanya nak mempermainkan kau,” Ini fakta yang baru didapatinya daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai.
          Firas Amsyar tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh abahnya. Dia cuba menangkis tuduhan abah dan uminya itu,’’ abah jangan halang perhubungan kami. Saya kenal siapa Amelia abah, umi.’’
          Datin Nora pula menambah, “Firas, umi dan abah nak yang terbaik untuk Firas. Jadi kamu perlu terima keputusan kami!” tukas Datin Nora tegas sekali. Dia perlu pertahankan anaknya daripada terjebak dengan perempuan yang tidak langsung menampakkan ciri-ciri isteri yang baik. Mungkin benar, anaknya boleh mendidik Amelia tetapi hati tuanya sudah terpikat dengan Munirah. Naluri keibuannya berkata, gadis itulah yang bakal menjadi suri hidupnya.
          Dia tahu dia salah dengan mencampuri soal jodoh anaknya itu. Tetapi jikalau pilihannya yang dirasakan yang paling terbaik itu tidak salah baginya. Pilihan orang tua mungkin tidak selalunya tepat. Bukan dia tidak pernah mendengar kes-kes penceraian yang berdasarkan pilihan orang tua. Tidak semestinya dalam sepuluh kes penceraian kesemuanya atas pilihan orang tua. Dua persuluh nisbahnya, mungkin. Cinta dan kasih sayang itu boleh dipupuk selepas berkahwin. Semua itu bergantung kepada cara mereka mengemudi rumah tangga.
          Kebanyakan kes penceraian yang berlaku saat ini disebabkan orang ketiga dan hilangnya rasa cinta antara satu sama lain. Pilihan orang tua tidak boleh dijadikan punca utama penceraian.
           Firas Amsyar memegang tengkuknya tanda binggung. Kusut dia dengan semua ini. Kredibiliti dia sebagai anak lelaki sulung untuk memilih suri hidup seolah-oleh tercabar setelah ibu bapanya telah mencaturkan jodohnya. Dia malu di hadapan adik-adiknya dan adik iparnya kerana abah dan umi mereka memandang rendah bakal isteri dia yang sepatutnya. Umpama dia tidak pandai mencari calon isteri sedangkan hatinya bulat ingin menjadikan Amelia sebagai teman hidupnya.
          Ketidakadilan juga dirasakannya apabila mengingatkan adik perempuannya, Farah Laura berkahwin dengan pilihan hatinya sendiri. Sedangkan dia sebagai anak lelaki sulung disuruh menamatkan zaman bujang dengan bakal isteri yang telah dipilih oleh abah dan uminya.
          Dia baru merancang untuk menghantar rombongan peminangan buat gadis pilihannya, lain pula yang terjadi. Percaturan Allah s.w.t mengatasi percaturan manusia yang serba lemah dan tidak berdaya.
          “ Kalau dah family dia yang berhutang dengan abah, bayarlah ajelah hutang tu,” marah  Firas Amsyar lantang setelah akalnya hampir mati untuk merosakkan rancangan perkahwinan yang dibawakan khas oleh ibu bapanya.                                                                                                            
          “Firas, kau jangan nak berkurang ajar! Kalau tak sebab Pak Haron tu dulu yang tolong abah selesaikan hutang syarikat abah, belum tentu kamu adik-beradik dapat rasa apa yang kamu semua rasa sekarang! ” sergah Dato’ Arshad apabila melihat tingkah laku anaknya yang melampaui batas dengan jari telunjuknya diarahkan ke diri Firas Amsyar yang berdiri menghadapnya ketika itu.
          Firas Amsyar  terkedu dengan apa yang diperkatakan oleh abahnya itu dan matanya mencari mata uminya bagi mendapatkan kepastian. Datin Nora hanya mampu mengangguk. Firas hanya mampu meraupkan mukanya tanda kusut mendengar perihal yang satu ini.Bertambah satu alasan ibu bapanya untuk menguatkan rancangan perkahwinan itu.
          Adik-beradik Firas Amsyar dan adik iparnya Farouk,  juga terkedu dan terdiam mendengar perkara yang baru diluahkan oleh abah mereka.
          Dato’ Arshad dan Datin Nora berpandangan sesama sendiri. Mereka juga berharap kenyataan itu dapat mengubah keputusan yang dibuat oleh Firas Amsyar tadi. Mereka ingin anak-anak mereka menyedari hakikat bahawa kesenangan orang kaya sebenarnya dibantu oleh orang yang kurang mampu pada dasarnya.
***
          Dato’ Arshad masih teringat keadaan syarikatnya yang hampir ranap apabila peratusan syernya dalam lembaga pengarah berkurangan disebabkan rakan kongsi yang cuba menjadi musuh dalam selimutnya. Semua itu disebabkan sifatnya yang terlalu mempercayai orang dan terlampau bersangka baik. Orang mengambil kesempatan atas sifat mulianya itu.
          Hampir meracau dia mencari solusi untuk menyelamatkan posisinya sebagai Pengarah Syarikat dan hutang syarikat yang terlalu banyak. Dia hampir disingkirkan sebagai ahli lembaga pengarah. Dia cuba meminta pertolongan rakan-rakan seperniagaan yang lain namun, seorang pun tidak boleh membantu. Pada suatu hari, dia meluahkan masalahnya kepada Encik Haron. Dia tahu sahabatnya mana mungkin boleh membantunya kerana jumlah wang yang diperlukan banyak.
          Orang yang dia sangka tidak mampu membantunya , orang bukan serba mampu itu juga yang sudi membantunya. Encik Haron telah menggadaikan beberapa tanah pusaka milik arwah ibu bapanya untuk membantu Dato’ Arshad. Hasil gadaian tersebut Dato’ Arshad dapat membeli syer untuk mengekalkan kedudukannya sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat itu. Syarikat yang dibina hasil titik peluhnya.
          ‘’Abang, kenapa menung jauh tu?’’ tegur Datin Nora apabila menyedari suaminya tidak menyentuh minum petang yang disediakannya.
          Petang itu mereka memilih untuk menikmati minum petang di halaman rumah. Kerusi set yang diperbuat daripada batu mamar itu menjadi tempat biasa buat mereka. Di samping itu, mereka dapat membuat senaman mata dengan melihat kehijauan alam. Taman mini botani yang menghijau di hujung halaman banglo itu cukup mendamaikan. Laman banglo yang dinamakan Teratak Kasih Suci diwarnakan pula dengan rumah orkid mini hasil garapan Datin Nora. Cinta wanita itu terhadap orkid cukup mendalam sehingga terbina rumah orkid mini itu. 
          Angin-angin sepoi bahasa di petang hari menambahkan lagi ketenangan buat jiwa Dato’ Arshad. Jiwanya lega dengan persetujuan yang dititikkan oleh anak sulungnya itu. Rasa syukur yang tidak terhingga buat Allah s.w.t hanya sujud syukur sebagai simbol kesyukuran atas kurniaan Ilahi. Isterinya juga begitu. Kerisauan mereka berdua berpenghujung apabila keesokan harinya Firas Amsyar mengakuri keputusan itu tanpa sebarang syarat mahu pun perjanjian. 
          ‘’Tak ada apa-apalah, Nor. Macam mana persiapan kita? Dah sempurna?’’ aju Dato’ Arshad pula. Tinggal seminggu sahaja lagi mereka bakal bergelar besan sahabat baik mereka. 
          Datin Nora tersenyum mendengar pertanyaan suaminya. ‘’ Dah, bang. Semua dah selesai. Tinggal tunggu masanya aje, ‘’ jawab Datin Nora ceria. Jelas terpamer wajah teruja isterinya untuk memiliki Munirah sebagai menantu sulung dalam teratak usang mereka itu.
          ‘’Abang pun dah tak sabar nak tengok anak bujang kita tu jadi suami orang. Beruntung Firas dapat Munirah.’’
          ‘’Saya berharap Firas akan terima Munirah sebagai isterinya. Nora tengok sejak dua menjak nak jadi suami orang ni, dia makin lain sikit. Nampak dah rajin ikut abang ke masjid.’’ Datin Nora bercerita perihal anak bujang mereka. Selalunya Firas Amsyar ikut serta juga cuma amat jarang melihat anak terunanya itu menyarung kain pelekat dan t-shirt berserta kopiah untuk ke masjid. Kalau tidak dihabiskan malamnya dengan teman wanita yang tidak direstui umi dan abahnya itu.
          ‘’Baguslah macam tu, Nor. Seronok abang. Abang harap sangat dia dapat jadi suami yang bertanggungjawab dan boleh bimbing isteri.’’ Dato’ Arshad meluahkan harapannya sebagai seorang bapa terhadap Firas Amsyar.
          Bagi Dato’ Arshad menjadi seorang suami bukannya mudah. Tanggungjawab dan amanah yang disandarkan dibahu seorang suami itu umpama sebiji permata yang harus dijaga dan digilap supaya sentiasa bersinar. Hal ini kerana, suami dan bapa yang akan mencorakkan setiap isteri dan anak-anak yang dianggap sebagai pertama terindah dalam hidup mereka. Mereka yang akan bertanggunjawab atas segala tindak tanduk dan langkah makmum mereka. Bukan sekadar menyediakan nafkah zahir dan batin. Jikalau langkah jemaahnya silap, imamnya telah menempah sebelah kaki ke pintu neraka jahanam. Lelaki juga yang akan disoal di padang masyar nanti. Nauzubillahminzalik!
          ‘’InsyaALLAH abang. Nor yakin Firas akan jadi suami yang baik. Nor kenal anak kita tu. Nor tahu macam mana sayangnya dia pada kita dan adik-adiknya.’’ Datin Nora mencambahkan lagi harapan dan keyakinan suaminya. Selepas itu,  dia menghirup perlahan bancuhan serbuk kafein dan krimmer berserta  gula pasir itu.
          Dato’ Arshad menghirup juga sedikit air Nescafe bancuhan isterinya. Puding roti bakar bersos kastard disudu ke mulutnya. Lemak manis rasanya. Pencuci mulut kegemaran mereka sekeluarga. Isterinya hebat dalam penyediaan pastri dan kek.
          ‘’Kita dah didik dia dengan agama yang cukup. Kalau ada terkurang sana sini dalam dirinya, mugkin kita terlepas pandang. Tetapi sebagai seorang yang dewasa abang yakin anak kita mampu membezakan yang baik dan buruk. ’’ Dato’ Arshad membalas setelah menelan perlahan-lahan pudding roti itu.
          Datin Nora menambah lagi air suaminya setelah melihat cawan bercorak vantage itu tinggal separuh. ‘’Kita berdoa agar perkahwinan Firas dan Munirah ini yang terbaik buat mereka. Nor dah tak nak dia hidup dalam kenangan lagi,’’ luah Datin Nora pula.
          ‘’Abang pun macam tu, Nor. Tak sabar rasanya nak menerima menantu ni. Moga-moga hubungan kita dan keluarga Haron akan bertambah erat lagi,’’
          ‘’Bukan abang aje yang tak sabar, Nor lagi teruja. Munirah tu idaman Nor, bang.’’
          Dato’ Arshad tersenyum dengan telatah Datin Nora. ‘’Nor, suka benar ya dengan Munirah. Kadang-kadang sampai Fatin naik cemburu kalau Nor bercerita pasal Munirah. ‘’ Suaminya mengusik. Teringat gaya Fatin Lufya yang merajuk sakan apabila uminya asyik memuji Munirah yang cekap dan mahir melakukan kerja rumah. Anak bongusnya itu sangat manja. Isterinya bukan tidak mengajar tetapi dengan kewujudan pembantu rumah dari Indonesia yang bernama Yanti itu menambah vitamin ‘m’ dalam diri Fatin Lufya.
          ‘’Yalah, bang. Siapa yang tak suka kalau dapat menantu yang macam  perempuan Melayu terakhir tu. Manis dan ayu aje. Walaupun, Nor tahu dia tu gila-gila juga. Tapi hormat orang tua, itu yang Nor jatuh cinta tu, ‘’ ujar Datin Nora dalam nadanya yang masih ceria dan teruja. Dia selalu melihat gaya Munirah apabila bergaul dengan Farah Laura dan Fatin Lufya. Selamba dan bersahaja. Tapi kalau dengan dia punyalah lembut dan sopan. Munirah memang pandai membawa dirinya bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.
          Ketawa kecil Dato’ Arshad. ‘’Abang pun berkenan sangat dengan Munirah tu. Lagi pun dia membesar depan mata kita. Mak ayah dia kawan baik kita. Abang rasa perkahwinan ini aje yang boleh menguatkan hubungan kita.’’
          ‘’Betul tu, bang. Kita doakan ajelah segalanya selamat dan berjalan lancar.’’

          Pasangan suami isteri itu mengharapkan segala apa yang mereka rencanakan akan berjalan baik dan mencapai matlamat mereka untuk menguatkan hubungan silaturahim dan ‘meghadiahkan’ seorang isteri yang baik buat anak teruna mereka.

No comments:

Post a Comment

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)