Pages

welcome


Wednesday, January 22, 2014

PROJEK E-NOVEL KERANA TAKDIR ITU BAB SATU

Orang kata,  orang berbudi kita berbahasa dan kerana pepatah inilah Munirah perlu berkorban demi keluarganya yang sudah terhutang budi dengan keluarga Dato’ Arshad dan Datin Nora yang sudi menolong mereka sekeluarga menyelamatkan tanah rumah pusaka keluarga ayahnya, Encik Haron.            
Tanah rumah pusaka  yang hampir dilelong kerana ketidakbijkasanaan abang sulungnya, Mahadzir dalam perniagaan yang diusahakannya setelah menjadikan tanah pusaka itu sebagai cagaran pada bank bagi perjanjian  pinjaman perniagaannya.
Haruskah perkahwinan itu dianggap sebagai tanda penghargaan buat Dato’ Arshad sekeluarga? Munirah tidak tahu adakah perlu dia memenuhi permintaan ibu dan ayahnya yang mahukan dia dan Firas Amsyar disatukan sebagai suami isteri yang sah?

Tidak disangka kedatangan keluarga Dato’ Arshad membawa hajat yang besar, sekali gus  menyangkal andaian Munirah yang kedatangan itu berniat memohon hutang  mereka sekeluarga dilangsaikan. Jika mereka ingin memohon hutang tersebut dilangsaikan, dia sanggup membayar bagi pihak ayahnya. Dia sanggup mengorbankan keinginannya untuk menyambung pelajarannya di peringkat tertinggi dengan bekerja sambil membayar hutang itu secara ansuran dalam kadar yang dia mampu.
Tetapi apakan daya, segala yang disangkakan itu tidak benar belaka. Perkara ini pula yang terjadi. Hampir pitam Munirah,  setelah perkara itu dimaklumkan oleh ibu dan ayahnya tentang hasrat orang yang  telah berbudi kepada keluarganya. Muncul sedikit jentikan rasa marah dan tidak puas hati terhadap abangnya, Mahadzir. Jika tidak kerana kecuaian abangnya pasti ayahnya tidak akan meminta tolong kepada orang luar.
Hati yang marah pasti akan bertambah marah jika ditambah bisikan syaitan yang rejam. Beristighfar Munirah sebanyak mungkin. Tidak adil rasanya dia melontarkan segala marah itu kepada abangnya tanpa menyelidik dahulu sebab abangnya melakukan perkara sebegitu.
“ Irah, mak harap Irah dapat fikir-fikir benda ni semasak-masaknya ya,” ujar Puan Juriah kepada Munirah yang sedang membantunya menyediakan sarapan pagi buat mereka sekeluarga.
Munirah hanya diam dan tidak bersuara. Dia binggung sebenarnya. Tidak tahu keputusan apa yang patut diberikan buat kedua-dua ibu bapanya yang menaruh harapan yang tinggi buatnya untuk membalas budi keluarga dengan menjadi menantu buat Dato’ Arshad dan Datin Nora yang merupakan kenalan ayahnya ketika zaman persekolahan.
Sedang leka Munirah membancuh kopi O panas di dalam teko kaca itu terdengar suara ayahnya yang muncul dari depan.
            “Irah, ayah harap sangat Irah dapat menerima lamaran Pak Cik Arshad dan Mak Cik Nora. Mereka tu kawan ayah , lagikan pula kita sekeluarga dah terhutang budi dengan keluarga mereka, “ ujar Encik Haron lembut penuh mengharap. Bagi dia pinangan itu begitu serba salah untuk ditolak. Kebaikan dan budi yang ditabur pasangan suami isteri itu tidak mampu dibalasnya hanya Allah s..w.t sahaja yang akan membalasnya.
            Sekali lagi Munirah hanya diam tanpa menjawab sepatah pun. Entah kenapa pagi itu dia menjadi insan yang bisu. Hanya diam tanpa mengangguk mahupun menggeleng apabila ditanya. Seperti patung mannequin yang tidak bernyawa.
            Puan Juriah dan Encik Haron berpandangan sesama sendiri. Mereka mengerti anak perempuan kedua mereka itu berada dalam situasi yang menentukan masa depan hidupnya. Mereka juga tahu Munirah punya impian untuk menyambung pengajian di peringkat universiti selepas memperoleh keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM) pada tahun lepas. Keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.56 yang diperolehi oleh Munirah pasti melayakkan dia untuk mendapat tempat Institut Pengajian Tinggi Awam.
            Munirah rasa tertekan dengan kata-kata kedua-dua ibu bapanya. Mereka tidak mendesak mahupun memaksa tapi seolah-olah itulah satu-satunya permintaan daripada mereka  yang perlu ditunaikan oleh dirinya. Ya Allah, tolonglah hamba-Mu ini. Sesungguhnya,  janganlah kau uji aku dengan ujian yang aku tidak mampu tanggung, bisik Munirah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mendengar.
            Dia tahu dia perlu lakukan sesuatu, dia inginkan penjelasan daripada abangnya. Dia masih teringat,  rumah keluarganya ini yang diperbuat daripada batu dan papan bergegar hebat dengan pertengkaran ayahnya dan abangnya, Mahadzir. Dua beranak itu berbalas kata. Hubungan antara mereka sebelum ini sangat baik menjadi ‘panas’ sedikit akibat masalah tersebut. Mengamuk sakan ayahnya dengan sikap abangnya yang cuai  dan terlalu mengikut kata isteri tersayang yang ingin hidup mewah tidak kena tempatnya.
            Ibunya, Puan Juriah tidak tahu ingin berkata apa lagi. Anak sulungnya itu lelaki,  dia sangka anak yang dididik dengan agama yang secukupnya mampu menjadi pemimpin  dengan sebaik-baiknya. Lain pula jadinya, anak dia tidak mampu mendidik ‘makmumnya’ mengikut acuan yang sepatutnya. Puan Juriah hanya mampu beristighfar dan menggelengkan kepala setelah diberitahu anak lelakinya itu telah menggunakan duit pinjaman itu untuk membelikan isterinya barangan perhiasan mewah seperti beg tangan berjenama.
            Menantu perempuannya, Erina memang berasal daripada keluarga yang berada. Menantunya itu pilihan anaknya. Dia dan suaminya menerima dengan hati yang lapang pilihan anak. Segala baik dan buruk menantu diterimanya dengan seadanya. Tidak dapat dinafikan, Erina seorang menantu perempuan yang baik dan penyayang namun dek kehendaknya yang memang sentiasa dipenuhi oleh mama dan papanya menyebabkan dia sangka segala kehendaknya perlu diikuti oleh suaminya.
            Munirah sudah beberapa malam tidak dapat tidur malam dek asyik perkara sejak peminangan itu berlaku tiga hari yang lalu. Tiga hari juga emosinya kacau bilau. Sekejap seperti ingin marah dan sebentar nanti pula menyusul rasa kasihan dan kesedihan. Dia rasa dia perlukan seseorang untuk mendengar rasa terbuku dihatinya. Seseorang yang boleh membantu dia melegakan sedikit rasa beban dibahunya ketika itu. Mungkin benarlah kata seseorang yang didengarnya, manusia ini apabila dia mempunyai masalah mereka tidak meminta untuk diselesaikan masalahnya cuma mereka mahu didengar. Apabila dapat meluahkan sesuatu yang terpendam pasti memberi sedikit kelegaan.
            Setelah selesai menyusun cawan-cawan dan pinggan-mangkuk di atas meja makan dia berlalu keluar dari dapur tanpa pamitan mahupun jawapan buat persoalan yang yang diutarakan oleh ibu dan ayahnya tadi. Lantas rumah Aisyah,  sahabat baiknya ingin ditujunya. Pintu dapur laluan yang digunakan. Basikal yang biasa dikayuhnya diambil dan menuju ke destinasi yang diingini. Dia bukan berkurang ajar, bukan juga mahu menunjuk protes apatah lagi ingin menderhaka tetapi dia tertekan. Dia keliru. Dia ingin ‘keluar’ seketika  dari situasi itu bagi mencari solusi. Dia yakin ibu dan ayahnya faham keadaanya saat itu.
                                                         
***
Puan Juriah dan Encik Haron hanya memandang bayangan tubuh anak dara mereka meninggalkan kawasan dapur yang luas itu.
“ Abang, rasa Irah marahkan kita ke?’’ tanya Puan Juriah kepada suaminya yang sedang menghiup perlahan kopi O panas bancuhan daripada anak daranya yang manis itu.
Encik Haron mengambil pula sekeping karipap berinti sardin  yang dibuat isterinya dan menggigitnya setelah membaca basmallah. ‘’ Abang tak rasa dia marahkan kita. Dia cuma tertekan aje tu. Ju, janganlah risau. Anak kita itukan baik tak pernah ingkar apa pun kata-kata kita tapi tak bermakna abang nak dia tunaikan hasrat orang ini. Abang tak nak paksa dia. Ini hidup dia.’’ Encik Haron bertutur lancar. Kata-kata daripada seorang bapa yang cuba berlaku adil terhadap urusan hidup anak-anaknya lebih-lebih lagi perihal jodoh.
Puan Juriah hanya diam. Seleranya untuk menikmati sarapan pagi itu tertutup kerana sikap berdiam diri yang ditonjolkan oleh Munirah pagi itu. Dia gusar sekiranya Munirah menyangka dia dan suaminya cuba menentukan jodoh anaknya itu. Sebagai ibu, dia tahu anaknya berat ingin menerima pinangan itu.
‘’ Habis tu, hutang orang tu macam pula nak dilangsaikan? Saya tak nak anak perempuan saya jadi mangsa ‘sistem barter’ yang diciptakan oleh manusia. Anak saya bukan barang dagangan! ” luah Puan Juriah dengan suara yang sebak namun, tegas.
Sedikit beremosi dia pagi itu. Emosi keibuan terganggu melihat perubahan sikap anak perempuannya beberapa hari ini disebabkan permintaan orang di sana. Dia hurungi rasa bersalah. Dia menyalahkan dirinya atas semua ini disebabkan dia yang beria-ia memujuk suaminya untuk membenarkan geran rumah yang didiami mereka sekeluarga ini menjadi cagaran di bank.
Encik Haron terdiam mendengar kata-kata isterinya itu. ‘’Hutang itu abang dah suruh Mahadzir cari jalan langsaikan. Dia pandai cari pasal, pandailah dia tanggung. Ju, janganlah fikir macam tu. Takkanlah Arshad dan Nora nak jadikan anak dara kita sebagai barang tukaran. Abang akan bincang perkara ini dengan Arshad. Abang akan cakap dengan dia kita tolak peminangan itu. Hutang tetap hutang yang perlu dibayar,’’ lantang suara Encik Haron menyatakan keputusannya.
Terkedu Puan Juriah dengan keputusan Encik Haron itu tetapi dalam masa yang sama terselit rasa syukur dan gembira yang teramat dengan pendirian suaminya.
‘’Baguslah kalau abang dah cakap macam tu. Lega hati saya. Ini semua salah sayakan, bang. Kalau bukan sebab saya yang pujuk abang bagi Mahadzir gunakan geran tanah rumah ni,  pasti semua ni tak berlaku. Maafkan saya, bang. ‘’ ucap Puan Juriah penuh sendu diselitkan dengan rasa bersalah yang teramat.
Encik Haron menghirup sekali lagi, kopi O panas itu.  Kopi O panas air tangan anaknya memang cukup rasa. Manis-manis buah. ‘’ Semuanya dah berlaku pun, Ju. Abang harap, Mahadzir dapat  lunaskan hutang, Arshad. Abang ni dah tebalkan muka dengan minta tolong dengan dia. Kalau tak, kita merempat dekat manalah sekarang ni. Nauzubillahminzalik...’’ ucap  Encik Haron perlahan.
Puan Juriah mengesat air mata yang sudah mengalir. ‘’Saya bersyukur sangat, Arshad dapat tolong kita. Baik sungguh diakan, bang. Nora pun baik. Suami isteri sama baik. Abang, jangan lupa cakap dengan Arshad pasal peminangan tu. Saya tak sanggup tengok anak saya perlu lalui benda yang dia tak suka.’’
‘’Ju, jangan risau. Abang kenal sangat dengan Arshad dan Nora tu. Abang pasti mereka boleh terima keputusan kita. “ Encik Haron memberi keyakinan kepada isterinya.



1 comment:

  1. saya br baca bab 1...tp saya doa kan yg terbaik utk iman...good job sis...

    ReplyDelete

dah baca? terima kasih dan lagi best kalau awak write something here :)